Hikayat mufti sombong

Kita sukar memahami lojika agamawan, sehingga kita merasakan seorang ulama, ustaz, haji, mufti dan lebai itu kadang-kala tidak punya otak untuk berfikir.

Seseorang yang tidak diselidiki, disangka ustaz, telah diberi muka yang banyak di negeri ini. Dia ke sana sini memberi ceramah tersangka intinya agama.

Agama memasukkan rasa bahagia ke dalam jiwa, tetapi sang asing ini mencipta rasa gelora sebagai asas agama. Dia bilang dirinya pakar perbandingan agama. Yakni pakar dalam membanding-bandingkan rasa bahagia. Dia mendakwa metod memasukkan bahagia ke dalam jiwa, ala-ala kepunyaan dia itulah yang paling benar. Yang orang lain salah.

Maka hiruk pikuk seisi negeri. Lantas orang lupa, tujuan agama adalah cinta. Atau memasukkan rasa bahagia ke dalam jiwa.
Apabila ada sebahagian penduduk negeri yang sedar dan lekas meminta dia berhenti, atau keluar, dia malah enggan dan mencari pergaduhan.

Sepertinya kita membawa masuk seorang asing ke dalam rumah kita, dan tatkala kita menyedari sang asing itu sudah pandai mengacum kita adik beradik, sang agamawan akan memberi hujah dan alasan yang tidak punya jejak; yakni tak apa-apa mempertahankan sang asing itu dengan argumen bahawa konon satu serangan ke atas seorang Muslim adalah serangan ke atas seluruh umat Islam.

Kenapa tidak satu serangan ke atas seorang bukan Muslim, adalah serangan ke atas semua manusia?

Kita sukar memahami lojika agamawan. Sehingga kita merasakan seorang ulama, ustaz, haji, mufti dan lebai itu kadang-kala tidak punya otak untuk berfikir. Apakah mereka punya?

Kita membayangkan Shuhaib al Rumi, Bilal al Habsyi, dan Salman al Farisi (mereka semua sahabat Nabi Muhammad saw yang bukan berbangsa Arab) duduk berteleku di satu penjuru di Masjid Nabawi, bersandar pada dinding yang diperbuat dari batang pohonan kurma.

Mereka diberitahukan, “Masuklah Islam, ini kerana keadilan adalah juga untuk kamu semua. Juga keadilan untuk semua termasuk untuk para Badwi di gurun meski mereka tidak kenal Islam. Tetapi, barang diingat, Hijaz adalah negeri Arab. Justeru tanah Arab. Orang Arab adalah gurunputera buat Hijaz. Maka kami adalah tuan kamu. Manakala kamu adalah pendatang.”

Sesekali, sang gurunputera akan mengungkit jasa baiknya kepada pendatang.

Lojika agamawan menyedihkan. Sukar untuk kita menjelaskan kepada para rahib, dan sami, yang seorang haji menyeru sejuta orang untuk mempertahankan seorang asing yang menghina agama lain, dengan alasan dia pakar membanding-bandingkan agama.
Seorang rahib atau sami mungkin menerima hujah itu. Tetapi rahib dan sami juga akan digaru-garu hatinya memikirkan haji yang sama turut menyeru sejuta orang untuk mempertahankan seorang pemimpin kleptokrat, pemimpin korup lantas mengintiminya.

Jika alasan seorang Muslim yang asing itu adalah bersamaan atau setara dengan semua Muslim yang lain, apakah alasan lacur yang dapat diberikan untuk mempertahankan seorang korup yang telah menjahanamkan amanah kepimpinan umat?

Tatkala Samara Ibn Jundab, Walid Ibn Uqba, dan Marwan Ibn al-Hakam membuatkan orang berasa tidak selesa, Nabi meminta ketiga-tiganya pergi memandangkan mereka tidak berupaya hidup dalam nilai masyarakat.

Tidak ada sebab kita sama-sama naik untuk membelakangkan negeri yang dibangunkan rakyat pelbagai warna kulit dan latar belakang ini dan memihak kepada seorang asing yang tidak kita usul periksa.

Nilai masyarakat harus dibina. Di dalam dunia ini kita tidak akan menemui tetamu yang mengacum keluarga yang ditumpanginya. Kecuali negeri ini, barangkali.

Kita sukar memahami lojika agamawan. Sehingga kita merasakan seorang ulama, ustaz, haji, mufti dan lebai itu kadang-kala tidak punya otak untuk berfikir. Ini benar hari ini.

Mengapa kita lakukan hal yang amat salah ini? Mempertahankan seorang asing, atau mempertahankan agamawan yang tiada lojika?
Salahnya ada pada fahaman agama yang kita fahami.

Kata oneng (cicit piut) Nabi Muhammad bernama Jaafar as-Sadiq, seorang Muslim itu adalah tangan dan lidahnya yang umat manusia berasa selamat. Dalam erti kata lain, kemanusiaan adalah keluarga besar kita, dan mereka yang terbaik adalah mereka yang melayani anggota keluarganya dengan cara paling baik.

Ada satu petua daripada menantu Nabi Muhammad, Saidina Ali, yang agamawan kita harus ketahui. Petua itu berbunyi: “Untuk saudara kamu, tawarkanlah darah dan harta kamu; untuk musuh tawarkanlah keadilan dan kesetaraan; manakala untuk manusia secara umum tawarkan kebahagiaan dan kebudimanan.”

Petua di atas itu adalah asas hak asasi manusia. Asas untuk berhubungan dalam masyarakat. Asas rahmatan lil alamin yang dihinjak.

Itulah sebabnya Jaafar as-Sadiq dan Saidina Ali itu dirujuk sebagai “kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah” dalam Surah Al-Imran, ayat 110.

Akan tetapi agamawan purbakala telah menjadikan ayat di atas mengenai diri mereka semata-mata, mengenai diri umat Islam sahaja. Dan kerana itu umat belakangan mengimani ayat ini sebagai petunjuk bahawa ia bukti kepada ketuanan seorang Muslim, bahawa Muslim lebih baik daripada bukan Muslim.
Padahal ayat itu bukan memaksudkan agamawan. Yang dimaksudkan adalah manusia suci di atas. Yang menjadi petunjuk.

Ayat itu akhirnya menjadi dasar hujah membela seorang Muslim yang salah, mengatasi umat manusia yang tidak Muslim.

Kita menyerukan dialog. Akan tetapi dialog itu bukan bertujuan untuk menentukan siapa kalah atau menang. Ini bukan debat di sekolah. Bukan debat antara murid Kolej Islam Klang dan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Tujuannya untuk saling memahami. Agar petua dan ajaran oneng Nabi Muhammad, iaitu Jaafar as-Sadiq dan pesan Saidina Ali itu mencapai matlamat. Yakni, menghormati manusia lainnya. Agar rasa bahagia tersemat dalam hati semua.

Kita sukar memahami lojika agamawan. Sehingga kita merasakan seorang ulama, ustaz, haji, mufti dan lebai itu kadang-kala tidak punya otak untuk berfikir.

Kadang-kala agamawan memikirkan mereka lebih baik dari semua yang ada di dunia ini kerana mereka – konon – tidak menyembah berhala. Mereka terlupa berhala boleh ada dalam diri sendiri. Ia dinamai ego.

Kadang, melihat muka mufti pun kita tahu dia penyembah berhala. Yakni berhala dalam diri. Mukanya sombong sekali. Mulutnya termuncung-muncung angkuh.

Itulah puncanya kata Saidina Ali: seseorang yang degil itu tidak akan mengalami reformasi. Yakni tidak berubah.

Kenapa tidak, satu serangan ke atas seorang bukan Muslim, adalah satu serangan ke atas semua manusia?

Harusnya dasar agama itu ialah memasukkan bahagia dalam jiwa manusia. Akan tetapi kini, malangnya, agama adalah mengenai siapa lebih tuan daripada siapa.

Oleh sebab agama sudah diubah demikian rupa, agama tidak lagi mendatangkan bahagia. Bahkan mendatangkan rasa bencana dalam jiwa… sehingga sulit untuk kita memahami lojika para agamawan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.