Jadikan sejarah pendorong kemajuan, bukan belenggu kehancuran

Sejarah mempunyai fakta. Tetapi fakta itu datang dari pelbagai sumber yang diwarnai oleh pengalaman dan tanggapan peribadi, maka ia muncul dalam pelbagai versi dan melahirkan pelbagai tafsiran yang boleh bercanggah antara satu sama lain.

Namun begitu, terpulang pada seseorang yang hidup pada zaman ini untuk melayan sejarah. Ini kerana sejarah boleh jadi bidang positif yang merupakan pendorong kemajuan atau beban negatif yang boleh menjadi belenggu kehancuran.

Ia tetap merupakan sesuatu perkara yang sudah berlalu tetapi sebarang ungkitan mengenai zaman lalu boleh meleret-leret hingga mengganggu kebanyakan fikiran anggota masyarakat yang akhirnya boleh menjejaskan usaha pembinaan dan kemajuan negara.

Hari Kebangsaan sesebuah negara pasti berkait dengan sejarah. Ia merupakan suatu waktu yang mana sebahagian besar rakyat negara berkenaan lahir. Terdapat pelbagai naratif menyelubungi sesuatu peristiwa khususnya yang dipilih untuk diperingati sebagai Hari Kebangsaan. Tentunya naratif itu tidak semestinya disetujui semua rakyat negara berkenaan. Tetapi antara tujuan Hari Kebangsaan adalah untuk perpaduan dengan menanam rasa kebersamaan rakyat pada negara bangsa, suatu entiti ciptaan untuk memudahkan kehidupan warga negaranya.

Begitu juga Hari Kebangsaan Malaysia yang ditetapkan pada 31 Ogos setiap tahun. Hari Kebangsaan mengambil sempena daripada tarikh 31 Ogos 1957, iaitu hari kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu atau Federation of Malaya daripada British. Walaupun pada tarikh itu Sarawak dan Sabah belum mencapai kemerdekaan. Atas sebab-sebab tertentu yang pasti sudah dibincangkan dengan teliti oleh pengasas negara ini yang terdiri daripada pemimpin Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah menjelang penubuhan persekutuan itu, maka diputuskan Hari Kebangsaan ditetapkan pada 31 Ogos dan bukannya 16 September iaitu tarikh penubuhan Malaysia.

Adalah tidak dihebahkan kepada umum butiran perbincangan yang membawa kepada keputusan yang menetapkan 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan walaupun ahli sejarah boleh mengkaji dan dan dapat mengetahui sebab-sebab berlakunya keputusan penting itu pada negara.

Sejarah adalah tetap suatu fakta, walaupun banyak di antaranya tidak dapat dimuktamadkan. Namun jika ia dikehendaki memberi kesan positif, iaitu menyumbang kepada perpaduan dan pembinaan negara, maka sisi fakta yang bermanfaat saja dibesar-besarkan sementara yang tidak baik hanya dijadikan pengetahuan am atau ilmiah semata-mata tetapi tidak dijadikan isu.

Jadi dalam hal Hari Kebangsaan ini, ditetapkan pada 31 Ogos sementara Hari Malaysia disambut pada 16 September. Maka untuk mengutamakan kesan positif, wajar semua rakyat Malaysia, termasuk Sarawak dan Sabah menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos. Tarikh 31 Ogos 1957 itu sememangnya amat bermakna bagi sebahagian besar rakyat Malaysia iaitu mereka yang tinggal di Tanah Melayu kerana sejak tarikh itu mereka menjadi warga negara dalam sistem demokrasi berparlimen. Bukan saja mereka tidak lagi dijajah tetapi Persekutuan Tanah Melayu adalah milik bersama warga negara dengan mempunyai hak serta tanggungjawab, yang mana mereka juga boleh menentukan kerajaan sendiri melalui pilihan raya umum.

Jadi walaupun rakyat Malaysia di Sarawak dan Sabah tidak melalui pengalaman 31 Ogos 1957, tetapi dari segi sejarahnya, kemerdekaan Tanah Melayu itu juga merupakan tapak bagi Sarawak dan Sabah untuk turut menikmati kemerdekaan melalui entiti negara bangsa bersama iaitu Malaysia.

Itu kalau rakyat Malaysia mahu melihat sejarah Hari Kebangsaan secara positif. Tetapi kalau rakyat Malaysia mahu memilih jalan negatif, maka diungkitkan bahawa sejarah penubuhan negara gabungan itu dari sudut pecah-belah. Maka dibesar-besarkanlah tarikh 31 Ogos 1957 itu adalah peristiwa sejarah yang tiada kaitan dengan Sarawak dan Sabah. Juga diungkit butiran sejarah mengenai isu pertikaian antara pemimpin Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah ketika penubuhan Malaysia. Maka dipersoalkan pula mengapa tidak dijadikan 16 September dan bukannya 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan. Luka yang disembuh cuba dirungkai untuk berdarah kembali.

Mungkin butiran sejarah itu ada fakta yang betul tetapi untuk apakah yang diungkitkan atau dibesar-besarkan? Adakah ia mendatangkan manfaat untuk perpaduan dan pembinaan negara? Atau ia hanya mengheret rakyat negara ini kepada beban sejarah yang tidak menyumbang kepada kemajuan negara.

Lagipun dalam hal sejarah, ia merupakan detik yang dilakukan dan menjadi tanggungjawab pada generasi lalu, yang kebanyakannya pun sudah tiada. Sebagai contoh, pengasas Malaysia dan generasinya yang membentuk negara ini pun sudah meninggal dunia. Bagi generasi sekarang yang mewarisi negara tidaklah perlu bertangggungjawab pada keputusan dan kesilapan generasi terdahulu. Adalah lebih bermanfaat untuk mengambil tapak yang ada, dan dari situ dibinanya keadaan negara yang lebih baik tanpa terbeban dengan masa lalu.

Begitu juga dengan mengenai sejarah perjuangan kemerdekaan yang membawa kepada tarikh 31 Ogos 1957 bagi penduduk Semenanjung Malaysia. Ketika itu entiti politik yang mencapai kemerdekaan itu adalah Persekutuan Tanah Melayu dan di peringkat antarabangsa dikenali sebagai Federation of Malaya. Tentunya ada butiran sejarah mengapa ia bernama Tanah Melayu dalam bahasa Melayu tetapi dalam bahasa Inggeris, ia disebut sebagai Malaya. Untuk pengetahuan am dan ilmiah, sememangnya menarik untuk mengetahui latar belakang istilah Tanah Melayu dan Malaya. Untuk bersikap positif, terimalah akibat proses sejarah, ia kemudian bergabung dengan Singapura, Sarawak dan Sabah untuk menjadi Malaysia. Tanah Melayu dan Singapura dipanggil sebagai Malaysia Barat. Apabila Singapura dikeluarkan daripada Malaysia, maka Tanah Melayu ini dikenali sebagai Semenanjung Malaysia. Hilanglah istilah Tanah Melayu atau Malaya.

Tentunya ada butiran sejarah mengapa proses ini berlaku. Untuk bersikap positif, dari situ rakyat Malaysia kukuhkan perpaduan dan membina negara. Sejarah dibiarkan sebagai pengetahuan am dan ilmiah. Apa yang boleh menyumbang pada perpaduan dan pembinaan negara dibesarkan. tetapi apa yang boleh menjadi pertikaian dan perpecahan dikecilkan saja. Apa yang utama adalah untuk bergerak ke depan dan bukannya terperangkap dalam masa lalu.

Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957 yang mana negara berada dalam perang yang dipanggil Darurat. Perang ini bermula dari 1948 dan berakhir 1960. Dalam peperangan tentulah ada 2 pihak yang mana untuk menang, mereka memaparkan naratif masing-masing, yang banyak masanya adalah bercanggah dengan fakta dan kebenaran.

Lebih-lebih lagi perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu ini berkait rapat dengan pemberontakan komunis serta hubung antara kaum, Melayu dan Cina. Fakta mungkin sama tetapi versi berlainan kerana ia dilihat dari sudut kaca mata berbeza.

Namun, jalan apa yang harus rakyat negara ini pilih? Untuk bermanfaat, perlulah diambil jalan positif dan mengutamakan perpaduan dan pembinaan negara. Tindakan mengungkit-ungkit butiran sejarah lama yang hanya memecahkan perpaduan dan meruntuhkan negara merupakan jalan negatif yang tidak bermanfaat pada semua rakyat negara ini tanpa mengira kaum. Sejarah bukan untuk dijadikan belenggu bagi kehancuran negara.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.