Negeri miskin dan mereka yang mendongengkannya

Jikalau untuk mengaku miskin pun kita masih tidak merdeka, makanya, kita terkurung. Ini kerana hanya orang yang terlalu kaya sahaja yang tidak melihat kemiskinan di sebuah negeri yang amat bertuah seperti Malaysia.

Bahawa negeri ini miskin sudah terlalu jelas. Bahawa mereka yang tidak mengakui dan mendongengkannya adalah mereka yang terpisah dari kenyataan.

Mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini berani mendongengkannya kerana mereka tidak pernah melihat flat kumuh, dengan pepijat yang bersembunyi di dalam dinding dan lantai; lantas menghisap darah anak-anak sehingga kering.

Tiang jeriji besi di flat tersebut terlalu buruk, berkarat dan rapuh; yang mana bersandar padanya akan membuatkan anak-anak kelesuan melayang jatuh dari tingkat 15 ke bawah, disahut raungan ibunya yang dahsyat sekali.

Pada hari-hari muram, anak-anak yang lebih bernasib baik akan mendaki tangga dari bawah ke aras dua puluh sehingga kekejangan kaki. Pada hari-hari yang mana jerit pekik akan menjadi latar bunyi, lif yang entah bila diselenggara akan menjunam dan menghempas semua yang ada di dalamnya menjadi sandwich tuna, atau penyek ibarat mentega roti.

Flat yang saya maksudkan itu sangat kecil, di mana anak-anak akan mengintai ibu bapa mereka bersenggama, atau anak-anak lebih kecil – kerana ketidakcukupan ruang – akan menggelintar di penjuru kota pada malam hari, memandangkan abang atau kakak yang lebih dewasa perlu berehat di ruang tamu kediaman kecil itu.

Anak-anak kecil itu akan disapa pedofil yang mana profesor di negeri yang miskin ini akan mempertahankannya sebagai seorang pintar terbilang.

Anak sunti di flat itu, kerana miskin, jarang sekali menggantikan tuala wanita yang sudah basah lantaran sebungkus kecil kotex dikongsi dengan ibu atau kakak.

Flat itu tiada mungkin dalam dongeng. Yang ada dalam dongeng ialah Puteri Dingin seperti dalam Frozen.

Maka anak-anak kepada mereka yang mendongengkan kemiskinan ini berani mendongengkannya kerana mereka fikir ia terlalu terpencil. Lagipun lembar wang kertas paling kecil nilainya yang mereka kadang pernah lihat adalah berwarna ungu.

Sungguh, mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini berani mendongengkannya kerana mereka tidak pernah melihat anak-anak yang memikul dan menyorong butir dan buah sawit yang mana apabila diketengahkan kepada pembeli, hanya memantul wajah lesu.

Mereka tidak mengerti resah remaja yang bangun pagi mencungkil sekerap dari mangkuk getah yang menitiskan susu semalaman. Entah mereka pernah mendengar kisah seorang makcik yang ke muara, atau ke tengah laut tatkala udang menggeletak.

Orang seperti makcik itu tidak punya pilihan lain, selain, mengais pagi untuk pagi, dan mengais malam untuk malamnya. Udang kecil tersebut disimpan dan dimakan berhari-hari. Kadang diasinkan ikan sebagai jeruk dan pekasam.

Anak-anak makcik itu menggenggam telefon retak demi mengikuti media sosial anak-anak kepada mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini, kerana ya, mereka terhibur melihat pergelangan tangan anak-anak mereka yang berani mendongengkan kemiskinan mereka itu.

Apa yang ada pada pergelangan tangan anak-anak mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini? Jam tangan mahal. Atau utas gelangan yang kemilau emasnya silau mencakar retina mata.

Mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini berani mendongengkannya kerana mereka tidak pernah mendengar kisah anak-anak di pedalaman Sarawak, yang menagih ilmu. Yang menanti-nanti nasib mereka diubah oleh guru-guru Semenanjung yang lambat laun akan kembali ke ceruk Kelantan, kerana Kelantan adalah kutub rohani segala-galanya. Maklumlah, Kelantan adalah serambi Mekah, dan lain-lain adalah parit longkang pada sebuah kekudusan.

Sukar untuk mengerti anak-anak ini membesar dari hutan, yang mana hutan Sandakan itu sedang ditarah dengan kerakusan melampaui kebatinan seorang porno. Anak-anak itu sayup-sayup menyanyi lagu Setia, menyanyi Negaraku, menyanyi irama patriotik dengan suara sendu.

Mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini berani mendongengkannya kerana belum tentu mereka menghafal lirik lagu nyanyian Francissca Peter itu.

Mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini berani mendongengkannya kerana mereka tidak pernah mendengar kisah janda atau balu yang dicerai suami gelojoh, dan anak-anak mereka dibaham sang bapa nun di hujung estet yang tiada isyarat wi-fi.

Janda atau balu itu akan dibantu oleh Sisters in Islam, yang kemudian, akan diharamkan kerana kesesatan mereka, dan mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini berani mendongengkannya lantaran ksiah seumpama itu hanya terdapat dalam filem-filem yang punya harapan meraih Oscar di hujung tahunan.

Mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini berani mendongengkan kerana terdapat para lebai dan ustaz memesankan gagasan qada’ dan qadar. Bahawa takdir sia-sia dicabar.

Adalah mudah melangut mendengar nasihat Ismail Menk tentang kerudung yang harus dilabuhkan menutup tetek, juga kerana terpengaruh dan terkesan serak suara sheikh, akan melempar seribu dua dedak makanan kepada mereka yang kemiskinan. Kerana ya, kasihan. Lagipun untuk mengekalkan kekayaan, dan sampai ke syurga, orang miskin perlu diberi sekali-sekala makan.

Mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini berani mendongengkannya sebab mereka tidak pernah sekalipun mendengar tangis sayup anak-anak Amri Che Mat, yang bapa mereka, menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, dihilangkan secara paksa oleh pihak berkuasa yang tidak bertanggungjawab.

Mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini berani mendongengkannya kerana mereka tidak fikir ia munasabah terjadi dalam sebuah negeri yang bertuah. Polis menculik orang di jalanan? Itukan hanya terjadi dalam lelakon Martin Luther King? Yang kadang-kala diteriak-teriakkan Oprah, oh harus kita kadang menangis.

Mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini berani mendongengkannya kerana mereka belum pernah mendengar kisah perkauman yang mendidih. Apakah benar ada perkauman?

Bukan baru semalam seorang syed kaya mengahwini seorang amoi jelita dan memuatnaik status percutian mereka di Maldives di Instagram untuk tatapan kawan-kawan mereka yang juga turut mendongengkan kemiskinan negeri ini? Bukankah bapa mereka punya teman niaga dalam kalangan Cina dan India, yang juga hartawan?

Benarkah ada Melayu yang miskin melarat? Benarkah ada Cina yang bangun pagi terpisat-pisat untuk rebah kembali di bawah kenderaan sebagai mekanik? Atau India yang melawan ketagihan samsu menggembala kambing dan lembu di bucu kota yang kian kesempitan petak ruang?
Mereka yang berani mendongengkan kemiskinan negeri ini tidak pernah mendengar semua itu kerana bapa mereka – bukan sangat Tengku-Tengku – tetapi merupakan konglomerat yang berjaya.

Mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini berani menyalahkan semua yang miskin itu sebagai malas. Atau menuduh semudahnya, kerohanian mereka yang miskin melarat itu barangkali cetek dan sangat permukaan.

Ini kerana mereka, yang menganggap kemiskinan itu dongengan sering kaya dengan pahala dek berulang-alik di hadapan Kaabah demi menangisi peluang niaga yang terlepas, atau merintih agar biro pencegah rasuah tidak menghendap di luar banglo mewah.

Mereka kaya. Sungguh kaya dan tidak pernah mendengar kisah kemiskinan. Bahkan kisah kemiskinan itu dongeng.

Dan lebih lanjut, kemiskinan menurut mereka adalah tipis tebal dompet. Kemiskinan menurut mereka bukan penyusutan jiwa, atau moral, atau lebih mustahak, kemiskinan hak.

Saban hari ada mereka yang kehilangan hak. Akan tetapi mereka tidak pernah mendengar itu semua. Mereka memujuk anak-anak mereka yang hampa kecewa Tom Holland misalnya kehilangan hak melakon watak Spiderman di dalam siri Marvel.

Mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini berani mendongengkannya kerana pada masa lapang, mereka membaca karya sastera yang plotnya indah. Tidak, mereka tidak membacakan karya sastera Islam terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Itu satu jenis kemiskinan lain menurut mereka.

Mereka membacakan karya-karya yang kaya roman dan perhatian. Karya-karya itu terbit di negeri nun jauh. Dan dibincangkan sebagai satu prestij, bukan sebagai satu pelajaran.

Sumpah mereka tidak pernah mendengar dongengan yang dikarang pengarang tempatan, yang malang, langka sekali mendongengkan hal-hal dengan berani seperti kemiskinan. Kerana pengarang tempatan itu tergila-gila menjadi sastera Islam (yang juga satu jenis kemiskinan iaitu kemiskinan makrifat) atau tergila-gila menulis karya yang akan disebut prestij, dan nanti dibaca oleh mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini.

Negeri ini ditimpa pusingan U. Terdapat pusingan U yang memang kita lakukan kerana benar-benar patut kita lakukan.

Kita keluar dari rumah menuju kebahagiaan, tetapi kita kesasar dan sesat lalu menjajar entah ke lorong gelap mana. Kita perlu melakukan pusingan U setelah mendapat kembali isyarat, kompas, atau waze-wezan.

Itu kita lakukan pada tahun lalu. Negeri ini sedang melesat laju tetapi melencong sesat dan kita keluar beramai-ramai melakukan pusingan U untuk kembali menuju kebahagiaan.

Kita buangkan pemandu sesat yang korup. Kita talakan punggung dan pungkok berbulu merah sang bedebah itu ke bangku kayu yang keras. Biar kematu bontot merah itu. Akan tetapi kita kemudian juga menyedari kita mengalami siri pusingan U yang menjengkelkan.

Saat kita sudah mendapatkan lokasi untuk dituju, akan ada banyak suara bertingkah, lalu masing-masing mencadang jalan lain menurut pandai sendiri. Lantas masing-masing mencadang malapetaka untuk mengambus diri sendiri, dan kita ditimpa pusingan U berkali-kali.

Akan tetapi mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini tidak tahu semua ini kerana apa pun pusingan U; saham mereka naik, kelamin juga naik dan niaga berjalan maju.

Di manakah ada dongengan yang didengar mengenai kemiskinan? Itu negeri hulu. Jauh di hulu-huluan.

Mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini berani mendongengkannya kerana anak-anak mereka hanya bertutur dalam bahasa inggeris. Bukan Mandarin, Tamil apatah lagi Melayu.

Di dalam bahasa Inggeris yang standar, perihal miskin dan kemelaratan tidak didengar. Mungkin ada kisah dalam bahasa Inggeris seputar beberapa aktivis bukan Melayu yang gigih berjuang kerana itu tuntutan Jesus, atau kerana mereka memang humanis. Tetapi selagi kita menyorot Twitter atau IG kaum bangsawan, semua cerita-ceriti kaum murbawan adalah dongeng tentang pengabdi setan.

Syok sekali kalau orang miskin seperti kita saat berlanggaran kemek atau terbalik kenderaan, akan dibujuk oleh satu dua kata dewata, yang konon kesungguhan.

Mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini akan menggeleng dan berdecit melihat kita yang miskin-miskin ini saling menerpa dengan kayu besbol sambil hamun seranah berhamburan.

Pada 31 Ogos, mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini akan dengan berani menempik kemerdekaan. Merdeka adalah kerana mereka bebas mengaut kekayaan sepolos-polosnya.

Kita, yang menjadi muatan dan fantasi dongengan mereka yang mendongengkan kemiskinan negeri ini juga terhegeh-hegeh menyahut lelah kemerdekaan.

Bahawa negeri ini serba-serbi miskin sudah terlalu jelas.

Bahawa mereka yang tidak mahu mengakui dan mendongengkannya adalah mereka yang terpisah dari kenyataan.

Ini kerana kenyataan itu juga, buat mereka, adalah satu dongengan.