Terima kasih Agong, Permaisuri jadi penyatu rakyat

Hari ini, ramai yang terasa jurang antara kaum di Malaysia semakin melebar. Buka saja media sosial yang melibatkan politik, rakyat boleh melihat sendiri keadaan sebenar.

Semua ini ekoran tindakan tidak cerdik ahli politik di Malaysia kebelakangan ini, terutamanya dari kalangan pihak kerajaan. Sebenarnya banyak isu sensitif yang boleh diselesaikan melalui perbincangan dalaman kerajaan tanpa perlu dihebohkan kepada media.

Namun, kerana segelintir ahli politik yang sengaja membawanya ke media demi tujuan tertentu, isu sensitif bertukar menjadi polemik yang tidak perlu.

Laporan media terhadap isu sensitif pula menjadikan polemik itu berubah menjadi perbalahan antara rakyat di ruangan komen. Api emosi ini pula direbak melalui WhatsApp serta Telegram, dan tiada siapa yang tahu sejauh mana api ini akan merebak.

Ramai yang terasa sempadan antara kaum yang sepatutnya dihormati, masing-masing dicerobohi. Ahli politik pula sibuk mencari salah orang lain tanpa menilai kesan jangka panjang daripada tindakan sendiri yang memanaskan isu untuk meraih mata politik.

Di kalangan ahli politik hari ini, tiada lagi watak yang dapat menyatukan rakyat Malaysia selepas terjadinya kontroversi isu khat jawi, penyambungan lesen Lynas, Dr Zakir Naik dan isu skandal seks pimpinan kerajaan.

Keempat-empat isu ini menjadi “zero-sum game”, di mana apa-apa pendirian yang dinyatakan mengenainya akan menyebabkan pemimpin itu dijulang satu kumpulan dan pada masa sama dibenci kumpulan lain.

Contohnya, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamed teruk dimarahi golongan penentang Lynas, khat jawi dan Naik ekoran keputusan tegasnya menyambung lesen kilang Lynas di Gebeng, tetap memperkenalkan tulisan khat jawi dan mempertahankan keputusan tidak menghantar Naik pulang ke India.

Bagaimana pula Anwar Ibrahim yang biasa menyebut dirinya sebagai pengganti Mahathir? Setakat ini, beliau sekadar membuat pendirian samar-samar dalam 4 isu ini. Contoh paling ketara ialah isu Naik, beliau berkata pendiriannya bergantung kepada siasatan polis.

Dengan jawapan sedemikian, bilangan orang yang meragui kebolehan Anwar akan bertambah sebagaimana mereka yang ingin Mahathir terus mentadbir negara sehingga pilihan raya umum ke-15.

Walaupun tiada tokoh penyatu rakyat dari kalangan ahli politik Malaysia, tetapi kini muncul tokoh penyatu rakyat Malaysia dari kalangan diraja.

Tokoh ini tidak lain tidak bukan ialah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sifat keprihatinan Agong terhadap rakyatnya jelas terpancar melalui beberapa insiden keluar daripada kenderaan rasmi untuk memeriksa mangsa kemalangan yang kebetulan berlaku dalam perjalanannya.

Kehandalan memasak, kemesraan rendah diri dan watak sebagai wanita moden serta isteri mithali pula menjadi “trademark” Raja Permaisuri Agong.

Setiap gelagat dan cara pasangan diraja ini membawa diri di ruangan awam mencuri tumpuan rakyat. Sifat sempoi dan tawaduk mereka amat menambat hati rakyat.

Agong dan Raja Permaisuri Agong kini adalah selebriti baru yang dekat di sanubari rakyat. Mereka adalah “role model” baru kepada rakyat.

Lihatlah ruangan komen pada setiap berita yang memaparkan Agong mahupun Raja Permaisuri Agong – yang ada hanyalah pujian semua lapisan kaum dan bangsa, luahan rasa bangga dan syukur terhadap Malaysia mempunyai Agong yang begitu baik.

Rata-rata netizen menyifatkan Agong menunjukkan teladan melalui keprihatinannya dan berharap ia dapat menjadi pemangkin kepada semua rakyat untuk kembali bersatu padu. Malah, ada yang berharap Sultan Abdullah menjadi Agong selama-lamanya.

Di saat rakyat semakin putus harapan terhadap ahli politik dan dibuai emosi yang menyebabkan jurang antara kaum semakin melebar, Agong ibarat sinar mentari yang rakyat boleh bergantung harap, memberikan tenaga positif dan menjadi titik fokus yang dapat menyatupadukan rakyat.

Sebagai seorang warga Pahang, saya berasa sungguh bertuah negeri saya dikurniakan sultan dan permaisuri begitu baik.

Terima kasih Agong dan Raja Permaisuri Agong atas segalanya. Jika ada peluang, penulis berharap dapat mengucapkan terima kasih secara bersemuka dengan penuh tabik hormat.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.