Sejarah boikot dan hadis Whatsappiyyah

Pagi itu, mesej WhatsApp masuk lagi ke kantung telefon genggam saya.

Ia berisi bujukan serius agar melakukan pemulauan terhadap sejumlah produk atau barangan yang diusahakan oleh bukan Islam. Tentu sahaja mesej itu boleh ditertawakan, dan tidak dipedulikan. Lagipun saya juga boleh membalas, yang mesej itu tentu sahaja dilancarkan dari telefon jenama Huawei.

Akan tetapi saya tidak menjawab mesej tersebut. Ia liar, dan elok terbiar.

Akan tetapi utusan tersebut, rupa-rupanya utusan yang tidak mahu mati. Sudah bergulir digerak dan dipanjangkan merata-rata. Untuk mentertawakan mesej itu sebagai enteng tidak lagi mudah.

Ia – mesej agar memboikot kerja niaga selain Islam – bukan sekadar seruan pemulauan. Ia utusan yang tidak patut diberi peluang kedua.

Maksud di sebaliknya adalah mengisi penghinaan kepada kemanusiaan secara keseluruhan. Erti sebetulnya adalah mengenai perkauman.

Di permukaan utusan ia disandarkan dengan Islam dengan tujuan melacurkan kata agama yang kudus. Apabila ia dipalit dengan tujuan agamawi, seorang pedofil pun misalnya dapat menjadi sang pintar. Andai butir yang keluar itu agama, seorang wartawan sukan pun contohnya dapat menjadi sang ustaz selebriti.

Ingat ini sampai bila-bila; sebaik sahaja riwayat dikuliti agama, daging busuk bernanah sekali pun tersangka wangian syurgawi.

Setiap sesuatu yang terhidu bangsat perkauman, tujuan akhirnya bukan kebudimanan. Akan tetapi ia adalah dengan niat untuk mengalihkan perhatian kita kepada ehwal sebenar.

Apa ehwal sebenar? Saya tidak tahu, tetapi warna darah dan tona kulit bukan tujuan utama mesej-mesej bedebah sedemikian. Ia hanya satu distraksi. Supaya kita terlupa perangai koruptor laki bini. Agar kita terlupa jurus dan wawasan akhir kita yang suci.

Hadis Whatsappiyyah sebegini tidak akan dimungkiri sebaik sahaja diterima. Ia laku keras. Ia bertaraf sahih. Tidak perlu saringan.

Ibu bapa kita di kampung gemar meladeni hadis 40 begini. Tiada keperluan kajian sanad dan sebagainya.

Sekarang, kita semua sudah boleh menjadi mufti. Kalau selepas Nabi Muhammad wafat pun kita ketahui ada perusahaan hadis palsu, maka tentu di zaman serba moden dengan revolusi digital 4.0 ini, itu lebih-lebih lagi boleh berlaku.

Maka pesan agar memboikot hasil niaga atau kerajaan bukan Islam pun tidak dibendung. Ia malah disambut hangat.

Memboikot, atau memulaukan sesuatu itu boleh sahaja terisi kejahatan, keiblisan dan kejengkelan. Sebagai contoh, ketika Nabi Muhammad di kota Mekah, salah satu kaedah paling ampuh untuk menutup ruang dakwah baginda ialah dengan melakukan pemulauan, dan boikot. Kaum musyrikin menghentikan segala urus niaga dengan umat Islam yang kecil jumlahnya, menjerut mencekam dan membuatkan anak-anak hidup dalam kebuluran. Itu contoh boikot nista.

Akan tetapi kata boikot itu sebetulnya, di zaman moden, terisi maksud baik, lurus, bertujuan kemanusiaan, demi menolong dan memberi hak kepada insan.

Pernah, dalam tahun 1880, seorang ejen tuan tanah (kuasa feudal) yang perangainya iblis, abulahab sifatnya dan keji pula, bernama Kapten Charles Cunningham Boycott. Beliau merupakan orang tengah untuk Lord Erne, sang feudal yang dibenci ramai dan memiliki bidang tanah yang luas di County Mayo, Ireland.

Selaku ejen, Kapten Boycott berbuat zalim dan melanjutkan perbuatan kejam tuan tanah. Penderaan dan penindasan luar biasa membuatkan pekerja dan orang gaji Boycott berhenti berperanan. Spontan orang gaji enggan memerah susu lembu.

Boycott terkial terpaksa memakaikan ladam kuda sendiri. Pengawal melarikan diri. Pekerja dapur berhenti menghidang makanan.

Demi solidariti, penduduk County Mayo juga berhenti menjual barangan kepada Boycott dan keluarganya. Pejabat pos berhenti mengirimi surat dan barangan kepada mereka. Dunia berhenti. Utusan mati.

Kejadian itu mendapat perhatian akhbar yang tentu berpihak kepada kaum bangsawan. Maka Connaught Telegraph bertarikh 23 September 1880 memperihalkan “protes aneh” atau cara baru itu. Akhbar Times malahan merungut dan melabel insiden itu sebagai satu perbuatan anarki tidak beradab.

Demi menjawab akhbar-akhbar itu, penganjur aksi berani ini, James Redpath berusaha menjelaskan yang pendekatan boikot itu berisi satu mesej demi kemanusiaan yakni utusan agar menghentikan diskriminasi terhadap para buruh. Juga untuk menghentikan layanan buruk terhadap kaum bawahan.

Pemulauan itu menurut Redpath demi mencari kebaikan di hujungnya.

Redpath menulis dalam memoirnya pada 1881, “Talks About Ireland”. Beliau meminta pandangan seorang rahib, apa yang harus dilakukan untuk meluruskan perangai Kapten Boycott.

Rahib tersebut, Father John O’Malley memberi nasihat, “Pandang ke bawah, dan kemudian ketuk dahinya dan katakan; Bagaimana kalau kita Boycott kan kamu.”

Dalam buku “Captain Boycott and the Irish”, Joyce Marlow menceritakan betapa berkesannya tindakan boikot itu.

Pada mulanya, bangsawan Inggeris demi membantu sesama feudal, menghantar sejumlah sukarelawan terdiri dari para tentera untuk membantu kerja ladang ternak Lord Erne. Lama kelamaan, tentera itu tidak lagi dapat tahan menggali tanah untuk menanam sayuran dalam cuaca dingin hujan lantas meninggalkan Boycott.

Malah apa yang terjadi adalah Boycott berpindah ke England. Dan tidak lama kemudian Ireland mencapai kemerdekaan.

Tahun yang sama, 1880, kaedah pemulauan yang serupa dilakukan apabila rakyat Iran berhenti menggunakan tembakau demi menekan Raja Nasir al-Din Shah dan Perdana Menteri Amin al-Sultan untuk menghukum hubungan mereka dengan Inggeris.

Boikot digunakan sebagai senjata golongan yang lemah, untuk mengajar kaum feudal dan imperialis. Nama ejen itu, Captain Boycott, akhirnya masuk dalam kamus bahasa Inggeris, dalam erti kata menjelaskan pendekatan protes sedemikian rupa yakni pemulauan. Kata boikot pun tersebar.

Pada tahun 1970-an, ramai melakukan – boicotear – memboikot epal dan wain dari Chile sehingga menekan Jeneral Augusto Pinochet dan junta tenteranya.

Rakyat bawah di Rusia menggunakan pendekatan boikotirovat (boikot).
Di Perancis, pendekatan boikot dilakukan untuk menuntut hak yang dinafikan.

Boikot selalu dilakukan dengan niat baik memihak kepada murbawan.
Akan tetapi seruan boikot yang kita saksikan minggu ini hanya mendorong banyak lagi pertanyaan.

Adakah ia berniat untuk membaiki taraf kehidupan buruh dan orang miskin? Siapakah yang akan mendapat manfaat akhir dari boikot ini? Adakah kita rakyat secara keseluruhan? Atau kita rakyat secara menjelata mendapat kesusahan.

Apakah boikot ini hanya meletakkan kedudukan agama kita dalam kancah kebodohan kerana perbuatan tersebut sia-sia, atau mungkinkah boikot barangan bukan Islam ini hanya akan meletakkan semua umat Islam dalam kelelahan yang binawe.

Apakah yang dapat dicapai dengan memulau kicap dan sos (dengan alasan hasil tangan kafir) sedang akhlak batang tubuh si pengutus mesej itu sepertinya Lucifer di sofa merah?

Apakah mungkin seruan pemulauan itu terdapat maksud liar lain? Maksud jalang yang menjahat. Maksud lacur yang tersembunyi.

Maksud noda riwayat Whatsappiyyah yang hanyir ini barangkali adalah untuk membakar perkauman, mengapi-apikan kebencian. Ini jauh sama sekali dari tujuan boikot yang sihat dan bermatlamat kebaikan dan kebajikan.

Seruan boikot menerusi Whatsappiyyah ini seperti juga hadis-hadis palsu dahulukala. Ia untuk memesong. Ia berniat untuk mengekalkan kebobrokan pihak tertentu. Ia adalah dusta yang disuguh dan dipaksakan sebagai kebenaran. Ia hanyalah satu lagi kehancingan sesetengah momok yang pengecut dan tidak berani mara ke depan.

Kita malah tidak tahu siapakah pihak yang akan mendapat manfaat, malah apakah manfaatnya itu tidak digariskan sebagai sasaran.

Negeri ini kecil sekali. Sudahlah kecil, miskin pula. Sudahlah miskin, pemimpinnya tuli, dan bangsawan lebih kerap terkinja.

Sudahlah demikian, rakyatnya negeri ini pula jenis tidak sedar dan jenuh terbuai melayan khayal dan selera rendah.

Rakyat terdodoi fantasi ini pula dibumbui wartawan sukan bertukar menjadi ulama. Atau seniman pintu hadapan yang perasan layak diberi gelar-gelar kayangan kerana ada sebuah buku diterjemahkan ke bahasa Tibet.

Ada memang seorang dua dalam kalangan kita yang ada gagasan. Tetapi malang tidak berada di tempatnya.

Dek sebab itu, negeri ini mengalami terus-terusan kutukan. Negeri yang tidak dapat keluar dari sumpahan.

Ingat ini sampai bila-bila; sebaik sahaja riwayat dikuliti agama, daging busuk bernanah sekali pun tersangka wangian syurgawi.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.