Pecahkan monopoli Touch ‘n Go di tol lebuh raya

Selama ini, syarikat Touch ‘n Go Sdn Bhd (TnGSB) adalah pihak tunggal yang mendapat durian runtuh daripada pelaksanaan sistem tol tanpa tunai oleh Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Kerana terpaksa menggunakan lebuh raya dan pengangkutan awam, majoriti rakyat terpaksa menjadi pelanggan TnGSB kerana mereka perlu sekurang-kurangnya memiliki 1 kad Touch n Go (TnG).

Meskipun mendapat durian runtuh sedemikian lumayan, tidak terlintas di minda pihak TnGSB untuk memberikan TnG secara percuma mahupun mengurangkan harga SmartTag. Harga penjualan TnG kekal di paras RM10.60 manakala SmartTag pada harga RM127.20, di mana kedua-dua harga termasuk 6% cukai jualan dan perkhidmatan(SST).

Sebagai pengusaha perkhidmatan pembayaran tanpa tunai terawal dan monopolinya sebagai mod pembayaran tunggal di lebuh raya, pengangkutan awam dan sistem parkir di Malaysia, sepatutnya sistem TnG sudah jauh maju ke depan berbanding pengusaha perkhidmatan tanpa tunai yang lain.

Namun kesalnya, mungkin kerana kedudukannya yang “terlalu selesa” barangkali kerana tiada persaingan selama ini, TnG terlepas peluang yang ada.

Kini, perkhidmatan dan servisnya kelihatan ketinggalan zaman dan mula dipertikaikan rakyat.

Di zaman moden ini, sepatutnya TnGSB sudah mempunyai applikasi TnG Android mahupun iOS yang canggih yang memudahkan pengguna membuat top-up ke kad TnG di mana-mana tanpa servis caj dan memindahkan keluar baki kad yang tidak digunakan.

Ini tidak.

Pengguna tetap perlu mencari kiosk dan pihak ketiga untuk memasukkan tunai ke dalam kad TnG kerana kiosk top-up tanpa caj tidak disediakan secukupnya.

Lebih teruk, TnG membiarkan pihak ketiga mengenakan bayaran servis terhadap pelanggannya yang ingin memasukkan tunai ke dalam kad TnG sedangkan semua khidmat tanpa tunai yang lain tidak mengenakan sebarang bayaran. Sepatutnya TnG perlu mengarahkan pihak ketiga mengenakan bayaran servis kepadanya dan bukan kepada pelanggan.

Meskipun kini adanya sistem PayDirect yang membolehkan baki kredit yang di applikasi TnG Android dan IOS digunakan oleh kad TnG jika baki tidak mencukupi, ia tidak membolehkan kad TnG digunakan untuk memasuki mana-mana kawasan parkir yang mewajibkan kad TnG mempunyai sejumlah nilai minimum sekiranya nilai benar di kad TnG itu tidak mencapai nilai minimum tersebut.

Oleh itu, untuk menikmati servis TnG secara efektif, pelanggan terpaksa memasukkan duit ke aplikasi TnG di telefon dan kad TnG secara berasingan. Perkara ini menyusahkan.

Bukan itu sahaja, TnG juga dilihat sangat selesa dengan bisnes menjual alat SmartTag kerana pelanggannya yang ingin menggunakan laluan SmartTag.

Meskipun adanya sistem SmartTag, seringkali masih akan terjadi insiden kegagalan membaca TnG.

Jika kad itu terus gagal dibaca, dan bantuan staf lebuh raya pula lambat datang atau tidak datang sama sekali, laluan SmartTag itu menjadi lebih lembap daripada laluan transaksi kad TnG walaupun pelaburan menggunakan laluan SmartTag adalah 13 kali ganda berbanding laluan kad TnG sahaja. Dan tiada apa-apa penambahbaikan yang dibuat untuk mengatasi masalah ini.

Mujur, kini TnGSB mula memperkenal sistem RFID. Walaupun lambat, tapi lebih baik daripada tiada. Sistem RFID ini masih di dalam proses percubaan. Setakat ini ia hanya aktif di plaza tol yang mengenakan bayaran sekali lalu dan bukannya di plaza tol yang mengenakan bayaran berdasarkan jarak.

Setakat ini, tag RFID masih diberikan percuma kepada semua pelanggannya. Sewajarnya tag RFID dikekalkan percuma.

Dan apabila sistem ini matang, TnGSB perlu menggalakkan semua pelanggan TnG dan SmartTag bertukar ke sistem RFID dengan menawarkan pembelian semua kad TnG dan alat SmartTag daripada pelanggan, dan nilai “trade-in” itu akan dimasukkan ke applikasi TnG. Selain itu, semua “reader” kad TnG perlu dinaiktaraf agar ia boleh membaca kad tersebut daripada aplikasi TnG di Android atau IOS.

Kekurangan dan kelembapan membawa pembaharuan dalam sistem TnG menyebabkan berita PLUS sedang dalam proses menawarkan pilihan mod pembayaran selain dari sistem TnG di plaza tolnya amat dialu-alukan.

Pengarah Urusan PLUS, Azman Ismail berkata membuat pembayaran terbuka menggunakan kad kredit atau kad debit bakal dapat dilakukan kelak.

Dengan menamatkan monopoli TnG di plaza tol lebuh raya, ini bakal memaksa TnGSB untuk mengkaji semua servis dan mutu perkhidmatannya yang semakin dirungut rakyat.

Diharap PLUS juga akan mempertimbangkan agar semua pihak yang menawarkan khidmat pembayaran tanpa tunai, seperti Maybank QRPay, Boost, Samsung Pay dan sebagainya akan diberikan peluang sama rata oleh PLUS sebagai mod pembayaran di lebuh raya. Ini akan mewujudkan persaingan yang sihat yang akan menguntungkan rakyat pada akhirnya.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.