Kerjasama Umno-PAS jadikan isu Azmin terpencil bagi Anwar

Kehadiran Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dengan baju Melayu berwarna perang muda di lautan merah majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena sambutan ulang tahun ke-3 penubuhan PPBM sememangnya menjolok mata.

Apa tidaknya, Azmin yang dikatakan tidak mempunyai masa untuk menghadiri mesyuarat partinya sendiri tiba-tiba mempunyai masa untuk menghadiri acara parti lain – yang tidak wajib dihadirinya.

Sudah tentu kehadiran ini bertujuan memberikan mesej politik tertentu. Kadangkala tuan punya badan tidak perlu menyebarkan mesej politik yang nyata melalui mulutnya kerana ada agen yang bakal menyebarkannya.

Ini yang berlaku dalam kes Azmin menghadiri majlis ulang tahun PPBM.

Kehadirannya menyebabkan ada wartawan yang bertanya kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad, apakah Azmin mahu menyertai partinya?

Mahathir menjawab beliau akan mempertimbangkan permohonan Azmin sekiranya ada, sambil menyatakan kehadiran Azmin tidak wajar dipertikai kerana pemimpin lain turut dijemput.

Apabila media melaporkan “Mahathir sedia pertimbang Azmin sertai PPBM” berdasarkan jawapan Mahathir – mesej politik kehadiran Azmin menjadi terang-benderang.

Andaikan betul Azmin menyertai PPBM, apakah reaksi Presiden PKR Anwar Ibrahim?

Mungkinkah PKR berpaling muka terhadap PPBM?

Bagaimana Anwar nak menjawab Mahathir andai perdana menteri berhujah secara strategik politik seperti “Lebih elok Azmin berhijrah ke PPBM daripada pergi menguatkan Umno-PAS – sekurang-kurangnya beliau masih kekal di dalam Pakatan Harapan (PH). Memandangkan kamu ada masalah menguruskan parti dan kem Azmin, biar saya yang uruskan.”

Payah juga Anwar nak jawab. Hakikatnya, tidak akan timbul niat Azmin sebagai timbalan presiden untuk lari daripada PKR jika beliau tiada masalah dengan bosnya. Namun, serangan dalaman terhadap Azmin terlalu tidak berperikemanusiaan. Oleh itu jika Azmin berniat sedemikian, ia adalah tindak balas seorang manusia yang lumrah.

Jika Azmin terus kekal sebagai timbalan presiden Anwar, berkemungkinan besar peperangan dalam PKR tidak akan henti malah ia akan membarah sekiranya skandal dan dalang penyebaran video seks yang didakwa melibatkan Azmin dibiarkan tergantung tanpa sebarang penyelesaian.

Oleh yang demikian, penghijrahan Azmin ke PPBM perlu dilihat secara pragmatik. Penghijrahan ini sebenarnya menguntungkan Anwar. PKR akhirnya akan jadi miliknya dan tidak berpecah meskipun jumlah ahli parlimen PKR akan berkurang.

Yang ‘best’nya, PPBM juga akan terpalit dengan skandal seks tidak mengenal jantina seperti PKR. Skandal seks yang melibatkan Azmin akan menjadi skandal seks antara PPBM dan bekas ahli PKR dan bukannya PKR.

Anwar juga tidak perlu risau Azmin akan menjadi calon bakal PM melalui PPBM kerana skandal seks yang melibat Azmin mematikan langkah politik tersebut.

Cuma perkara yang dipeningkan ialah bagaimana Anwar mahu menjawab persepsi bahawa DAP akhirnya menjadi parti komponen PH yang mempunyai kerusi Parlimen terbesar di Parlimen.

Situasi itu bakal menjadi liabiliti terutamanya selepas wujudnya kerjasama politik Umno-PAS minggu lalu yang kini dilihat sebagai ancaman terbesar kepada cita-cita Anwar menjadi perdana menteri dan cita-cita PH untuk kekal sebagai kerajaan di penggal depan.

Maka tidak hairanlah kerjasama Umno-PAS akan diserang bertubi-tubi oleh PH seperti yang berlaku hari ini. Serangan ini dijangka akan berlarutan sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ini kerana nyawa PH kini bergantung kepada sejauh mana mereka boleh meretakkan hubungan Umno-PAS dan Umno-PAS dengan pelbagai parti pembangkang yang lain seperti MCA, MIC dan Gabungan Parti Sarawak sebelum PRU15.

Oleh itu, jika Azmin membuat keputusan berhijrah ke PPBM dan bukannya Umno-PAS, yakni ini masa yang paling sesuai kerana PKR dan Anwar berkemungkinan besar tidak akan membuat sebarang protes.

Ini kerana apabila Umno-PAS menandatangani piagam bersejarah untuk berkerjasama, isu Azmin menjadi isu yang terpencil kepada Anwar dan cita-citanya menjadi PM, sementara Mahathir terus senyum bersama hobinya menunggang kuda.