Malaysia Baru belum terlaksana tapi sudah terancam

Tarikh bersejarah bagi penubuhan Malaysia ialah pada 27 Mei 1961 apabila Tunku Abdul Rahman mengumumkan cadangannya supaya ditubuhkan sebuah negara meliputi Malaya, Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara.

Pengumuman itu mengejutkan pemimpin Singapura kerana sebelum itu, beliau keberatan untuk menerima penggabungan antara pulau itu dan Malaya kerana faktor demografi iaitu bilangan kaum Cina akan mengatasi Melayu.

Sedangkan pemimpin Singapura sejak 1955 memperjuangkan penggabungan pulau itu dengan Malaya atas tujuan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi.

Malah Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang ditubuhkan pada 1954 dari awal lagi memperjuangkan penggabungan Singapura-Malaya. PAP mula meletakkan calon dalam pilihan raya 1955 dan berjaya menjadi kerajaan pada pilihan raya 1959 atas platform penggabungan Singapura-Malaya.

Dengan gagasan Malaysia, penggabungan Malaya-Singapura itu dapat direalisasi dengan penyertaan Sarawak, Brunei dan Sabah kerana bilangan penduduk Bumiputera di sana boleh menghalang kaum Cina daripada menjadi majoriti di negara ini.

Tetapi sepanjang sejarahnya, Malaysia menghadap cabaran eksistensial iaitu kewujudannya digugat. Brunei memilih untuk tidak menyertai Malaysia. Indonesia dan Filipina membantah penubuhan Malaysia.

Walaupun gagal diisytiharkan pada 31 Ogos 1963 tetapi Malaysia berjaya ditubuhkan pada 16 September 1963. Dalam pilihan raya umum 1964, jelas rakyat Malaya menyokong penubuhan Malaysia apabila Perikatan menang besar.

Namun, pilihan raya umum 1964 itu menyemai perpecahan Malaysia. PAP yang mengutarakan gagasan Malaysian Malaysia turut bertanding.

Tetapi tuntutan Lee Kuan Yew supaya PAP dibawa masuk ke dalam kerajaan persekutuan membawa kepada tindakan Tunku mengeluarkan Singapura daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Tarikh 9 Ogos 1965 itu bukan saja bersejarah bagi Singapura kerana ia merupakan Hari Kebangsaan republik itu. Tetapi lebih penting ia menetapkan bentuk Malaysia yang terus ada hingga ke hari ini. Dengan ketiadaan Singapura, hala tuju dan jati diri Malaysia ditentukan oleh Kuala Lumpur tanpa sebarang pengaruh dari pulau itu. Maka ia bukan saja kemerdekaan bagi Singapura, tetapi juga kebebasan bagi Kuala Lumpur.

Ekoran terkeluarnya Singapura dari Malaysia, PAP tidak lagi dapat bergerak di negara ini. Maka bekas ahli-ahli PAP pada 11 Oktober 1965 menubuhkan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Parti itu meneruskan perjuangan PAP dengan gagasan Malaysian Malaysia. Pertama kali DAP menyertai pilihan raya pada 1969, Malaysia menyaksikan suatu lagi peristiwa bersejarah. Perikatan hampir kehilangan kuasa dan kemenangan mengejut ini pula membawa kepada Peristiwa 13 Mei yang menuntut negara untuk menilai semula kedudukannya.

Tun Razak Hussein yang menggantikan Tunku menubuhkan Barisan Nasional dan mengajak semua parti pembangkang menyertai kerajaan persekutuan menjelang pilihan raya umum 1974. Tetapi DAP menolak.

DAP terus memperjuangkan Malaysian Malaysia. Tetapi berbeza dengan PAP, parti itu turut memperjuangkan kebebasan awam. Mereka menuntut penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan dan lain-lain undang-undang yang menyekat kebebasan dan nilai-nilai demokratik. Selain itu, DAP turut menekankan soal pembanterasan rasuah dan urus tadbir baik. Iaitu di samping memperjuangkan kepentingan kaum Cina.

Malaysia ditubuhkan dalam suasana konflik iaitu konfrontasi seperti mana Malaya merdeka sewaktu darurat. Maka tidak hairanlah, penggunaan ISA dan sekatan kebebasan bersuara dan politik dikenakan pada detik-detik itu.

Banyak pemimpin pembangkang khususnya dari PAS, Parti Buruh dan Parti Rakyat ditangkap. Begitu juga di Singapura, pemimpin Barisan Sosialis dan Parti Rakyat Singapura ditahan dengan amat lamanya.

Sehingga hari ini, Singapura tetap tidak memberikan kebebasan politik pada pihak pembangkang selayaknya sebagai negara aman, stabil dan makmur. Di Malaysia, Peristiwa 13 Mei membawa kepada peningkatan sekatan terhadap kebebasan politik di negara ini.

Perjuangan DAP terhadap kebebasan awam dan urus tadbir baik turut dikongsi oleh parti-parti pembangkang lain pada 1990 dan 1999. Pada 1990 DAP mengadakan pakatan dengan Parti Semangat 46, PAS dan PRM. Bagi tahun 1999, DAP bekerjasama dengan PKR, PAS dan PRM. Semuanya bersetuju memperjuangkan kebebasan awam dan urus tadbir baik. Ketika itu, retorik DAP berhubung Malaysian Malaysia dikurangkan, seperti mana PAS turut memperkecilkan gagasan Negara Islam.

Tetapi DAP tetap tidak berjaya dalam pilihan raya umum 1990, 1995 dan 1999. Hanya dalam pilihan raya umum 2008, DAP mencapai kejayaan besar melalui kerjasama dengan PAS dan PKR yang membawa kepada penubuhan Pakatan Rakyat (PR).

Bagi menghalang kemaraan PR, dari sejak 2008, Umno berusaha memancing keluar PAS. Mereka berjaya. PR runtuh ekoran konflik PAS-DAP. Tetapi ia membawa kepada penubuhan Amanah yang diisytiharkan pada Hari Malaysia, 16 September 2015.

Amanah menggantikan PAS dalam PH. Tetapi Amanah adalah jauh lebih kecil daripada PAS, menyebabkan PH tidak sekuat PR.

Apa yang membolehkan PH kuat hingga memenangi pilihan raya 2018 ialah kehadiran PPBM yang ditubuhkan pada 8 September 2016 bersama ketokohan Dr Mahathir Mohamad ekoran rasa tidak puas hati ahli-ahli Umno atas isu 1MDB.

Kemenangan PH itu membolehkan DAP menyertai kerajaan Persekutuan. Sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh PAP semasa Singapura dalam Malaysia. Tetapi DAP sudah berbeza dari PAP. DAP sudah tidak menyebut lagi retorik Malaysian Malaysia, sekurang-kurangnya secara terbuka.

Dengan kemenangannya itu, PH mengisytiharkan konsep Malaysia Baru terhadap kerajaannya. Apa yang dimaksudkan dengan Malaysia Baru adalah polisi negara yang di dalamnya berlaku kedaulatan undang-undang, pembanterasan rasuah, kebebasan awam, kejujuran pilihan raya dan nilai-nilai demokratik yang lain.

Tetapi setelah lebih setahun mentadbir, banyak lagi soal kebebasan awam masih belum dapat dilaksanakan termasuk pemansuhan Akta Hasutan. Usaha itu tentunya makan masa. Halangan untuk pelaksananaan bukanlah datang dari kerajaan tetapi banyak perkara adalah kerana masyarakat Malaysia belum boleh atau sedia menerima. Ini kerana implikasi Malaysia Baru melangkau soal isu 1MDB. Malah ahli politik PH sendiri ada kalanya tidak dapat menghayati idealisme Malaysia Baru.

Maka hujung minggu lalu menjelang Hari Malaysia, beberapa peristiwa politik bersejarah berlaku. Amanah menyambut ulang tahunnya yang ke-4 pada 16 September. PPBM mengadakan majlis ulang tahunnya yang ke-3 pada 13 September.

Tetapi peristiwa lebih besar pada 13 dan 14 September adalah Perhimpunan Penyatuan Ummah antara Umno dan PAS. Mereka mengisytiharkan Piagam Penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional yang membawa sama MCA dan MIC.

Adalah jelas dengan sokongan PAS, Umno berharap untuk memperoleh semula kuasa mereka melalui pilihan raya umum ke-15. Seperti apa yang disebut Presiden Umno, Zahid Hamidi sebagai “hak Melayu” platform yang digunakan adalah Melayu-Islam.

Dengan adanya Najib Razak dan Zahid, Umno berharap tata politik lama akan dapat dikembalikan. Mereka melihat kemenangan PH ini hanyalah suatu “correction” sementara untuk sepenggal.

Pelancaran kempen Umno-PAS ini merupakan ancaman besar pada Malaysia Baru. Tidak seperti apa yang didakwa sebilangan pemimpin PAS bahawa Islam terancam, apa yang sebenar berlaku adalah Malaysia Baru sedang terancam.