Apabila 2 beruk bercumbu

Sekiranya kita memberi perhatian kepada budaya emosi orang Melayu, kita dapati bangsa ini mempunyai kecenderungan yang besar untuk terbawa-bawa terhadap sesuatu secara emosional sehingga melampaui paras logik.

Kita misalkan dua ekor haiwan, katakan beruk, kedua-duanya jantan yang tanpa segan silu menyatakan kesejenisan mereka untuk hidup sebumbung. Itu satu contoh atau kes yang paling hampir untuk kita renungi, dan kupas bersama. Ia tergelincir dari kebiasaan orang Melayu.

Orang Melayu apabila telah terlalu berkehendak kepada sesuatu, dan belum tentu beroleh, kebiasaannya akan menjurus kepada dua keadaan; kalau tidak gila, dia akan mati.

Ada pantun yang banyak membayangkan Melayu suka kepada gila ini. Sebagai contoh pantun di bawah ini:

Rumah kecil pintu ke laut,
Tempat orang menggesek biola,
Tubuh kecil bagai diraut
Di situ tempat hatiku gila.

Selain itu pantun yang mengisyaratkan kehilangan kewarasan sehingga sanggup mati sia-sia turut tergambar pada pantun di bawah ini:

Sakit menebang kayu berlubang
Kayu hidup dimakan api
Sakit menumpang kasih orang
Daripada hidup baiklah mati.

Keadaan gila dan rasa gian untuk mati di atas sebetulnya memang membingungkan, kerana mereka yang mengalaminya, dalam hal ini beruk jantan berkopiah, tidak dapat melihat apa yang orang lain lihat iaitu kehodohan, keburukan, kebobrokan, kebejatan, kehinaan, kesampahan, ketahian, kehanyiran, kehancingan, kebangsatan pasangan yang didambainya itu.

Bahkan ada pantun Melayu untuk menerangkan perihal kesasauan Melayu yang dilamun perasaan sehingga tidak pun ternampak kudis buta yang digaru kiri, kanan gatal; digaru kanan, naik kiri gatal mengakibatkan satu badan terbakar.

Pantun yang menunjukkan kesewelan sehingga tidak dapat melihat sesuatu yang buruk itu berbunyi begini:

Anak berok di kayu rendang
Turun mandi di dalam paya
Odah buruk di mata orang
Cantik manis di mata saya.

Selalunya, beruk yang tidak lawa dan buruk ini, untuk rekod, melakukan sesuatu yang menyalahi agama Islam iaitu mengamalkan ilmu kena yang orang Melayu rujuk sebagai pertama, “tangkal penunduk” iaitu dicipta untuk membodohkan dan membuatkan seseorang menyerah tubuh badan secara seksual.
Ia biasa dibuat orang yang buruk dan tidak guna dalam masyarakat untuk menjerat orang yang diidam-idamkan.

Setelah melenjan dan meniduri sasaran, biasanya ilmu itu kian tawar.

Kedua, “tangkal penian”, yakni usaha membuatkan sasaran agar kasihan dengan orang yang bedebah dan buruk-ngeri perangainya itu. Itulah sebabnya di kampung Melayu kita akan melihat ramai pasangan yang tidak sejoli, tidak sekupu. Seorang perangainya cendayam; yang seorang lagi perangainya hantu dan kita akan tertanya-tanya apa gerangan setan berkumpul dengan manusia melainkan manusia itu sudah tercalit “ilmu kena” sehingga menjadi nanar dan kemaruk.

Sebagai orang luar, kita tukang tengok akan kasihan dengan orang yang terkena ilmu ini.

Terdapat banyak pendapat orang Melayu mengenai orang yang sudah kena bodoh ini. Kita sebutkan sebagai contoh “gila kena buat orang”, atau “gila menurun” yang mana tahap kedua-dua gila ini hanyalah secara tersembunyi.

Namun demikian untuk jenis gila yang sudah publik, Wazir Jahan Karim dalam “Prelude to Madness: The Language of Emotion in Courtship and Early Marriage” menyatakan, gila ini dirujuk orang sebagai “gila meroyan”. Di tahap akhirnya saat mengalami kemusnahan atau fatal, ia dipanggil tahap “mengamuk”. Orang awam biasanya sudah “tidak dan” (atau tidak lagi berkesempatan) untuk menyelamatkan mereka yang mengalami kegilaan di dua tahap ini.

Biasanya orang Melayu membiarkan sahaja si pencinta dan si pengena melakukan apa sahaja. Sikap membiarkan ini ada bahayanya untuk kita yang menjadi tukang tengok.

Apabila jenis gila yang melarat ini mencapai tahap amuk yang memudaratkan masyarakat, orang kampung tidak akan lagi sempat membetulkan keadaan. Tukang tengok akan turut ditimpa bencana.

Apa yang menarik ialah tahap amuk yang menurut kita gila dan berisiko bahaya ini selalunya dipunca dan disandarkan kepada agama (selain cinta gila).

Melayu memang begitu, untuk betul-betul gila, untuk terus menjadi bebal, malah untuk mati secara bodoh, mereka akan mendalilkan agama.

Pada tahun 1676, ada beberapa lebai melarat di Jawa yang baru pulang dari Mekah, mengaku ingin melakukan sesuatu yang besar untuk agama. Mereka menyerang secara histerikal seisi kampung yang dilihat tidak Islam, berkeris membunuh orang yang menolak Islam, dan anehnya terdapat pengikut yang serupa tiada otak, memuja dan kemudian membinakan makam besar untuknya.

Apabila pihak berkuasa Belanda merobohkan makam lantaran pemujaan terhadap penjenayah adalah sesuatu yang hina, mereka tanpa segan silu membinakannya kembali.

Wazir Jahan Karim menceritakan perihal tersebut begini:
“The belief that Islam was responsible for amok attacks extends at least to the seventeenth century. At this time the sea captain Tavernier asserted in his discussion of Batavia that men who ran amok were ‘Mussalmans of the lower class’ who had returned from Mecca and were trying to do a service to God.

“Such men would run through the streets killing all who were not of the Mussalman faith. He went on to note that after an amok-runner had been slain everyone would contribute to build him a splendid tomb, which then became a shrine. Tavernier provided a specific example of such a Mussalman who was revered as a saint, whose tomb was regularly destroyed by the Dutch but rebuilt by his followers.”

Petikan di atas menunjukkan perangai gila meroyan Melayu ini boleh menjangkitkan kepada orang lain – kepada sekumpulan pengikut yang atas nama agama akan menjadikan upacara pemujaan itu sesuatu yang kudus dan diberi nama-nama seperti taawun, jihad, takbir untuk mencapai ke akhirat.

Apa sahaja percubaan kita menyedarkan mereka seperti memberi nasihat dan menegur dengan keras adalah sia-sia. Maklumlah mereka sedang mabuk nazi cinta, atau maklum juga yang seekor lagi itu sudah terkena ilmu nazi, maka memang dalam ketika ini sudah pun dibangangkan demikian teruk. Maka yang kena penangan ilmu nazi seperti ini memang biasa tidak melihat apa yang orang awam lihat.

Sekiranya gila merana dan meroyan sama jenis yang dipamer cumbu-cumbuannya itu di khalayak ramai bertukar menjadi tahap gila kenazian paling parah dan kritikal iaitu amuk, orang yang melakukannya, yakni pengamuk, biasa akan merasakan ia merupakan sesuatu yang positif.

Hitler, sebagai contoh, percaya dia melakukan kebaikan untuk kemanusiaan, padahal dia itu syaitan nazi.

Pun demikian, jurnal perubatan semuanya mengatakan amuk adalah sesuatu yang malang, dan menjahanamkan kita yang menjadi tukang tengok. Jika tiada usaha mencegahnya, lebih ramai yang akan mengalami korban, dan boleh jahanam seisi kampung.

Amuk lantaran terbodoh dek cinta (kemudian dibisik-bisikkan iblis bahawa ini semua atas nama agama) sebetulnya mempunyai beberapa sindrom yang boleh dikenalpasti. Sindrom ini jika cepat kita kesani hendaklah lekas pula dirawat.

Mereka yang akan mengamuk ini pertamanya telah mengalami kehilangan kawalan diri. Biasanya akan meracau-racau. Mereka akan memetik nama atau menyandarkan perbuatan mereka kepada orang yang telah meninggal dunia demi mengesahkan perbuatan sumbang bercumbu senggama di khalayak. Orang yang telah meninggal dunia tidak boleh bersuara, tetapi orang gila boleh tolong mencipta-cipta.

Kedua, mereka terlihat mengalami kemurungan kerana terhempuk kecewa oleh sesuatu sebab yang membuatkan mereka sangat nanar. Petunjuknya kita boleh melihat kelakuan cara mereka berpakaian (mengenakan busana yang tidak pernah dikenakan selama ini) atau cara mereka bercakap yang penuh ambiguiti dan tenggelam punca.

Ketiga, terdapat penyataan idea nazi untuk memusnahkan mereka yang enggan bersama-sama atau kecenderungan mencipta dalam imaginasi, musuh, yang menurut mereka yang gila ini sebagai sumber semua masalah.

Dalam hal ini beruk yang sedang bercinta menunjal-nunjalkan keris kemurungan mereka kepada satu pihak seraya menyerukan, contohnya, teriakan boikot dan macam-macam lagi.

Terakhir, si pencinta gila yang mencapai tahap bahaya ini mengalami kehilangan memori. Meskipun kita selaku tukang tengok bersungguh-sungguh mengingatkan mereka perihal kenangan lalu yang mungkin pahit dan pernah terkena, atau kenangan manis betapa orang-orang tersayang pernah mencegah agar jangan bercinta dengan beruk yang hodoh ini, yang terkena ilmu tidak akan mengendahkan kepada kenangan lalu kerana seperti sindrom amuk yang disebut The Journal of Mental Science, mereka telah mengalami kehilangan memori oleh ilmu guna-guna tadi.

Menurut saya, sementara yang bercumbu-rayu di awam itu tidak sampai menyebabkan kita ditimpa bahaya, kita wajar menjadi tukang tengok.

Akan tetapi, memandangkan gila meroyan itu sudah publik, dan berpotensi menjadi amuk nazi yang fatal, maka tiada sebab kita tidak bersegera menanganinya.

Apakah yang patut kita lakukan, masakan kita tengok sahaja perihal seumpama Hitler begini, sementara kita ini sebagai orang awam belum diamuknazikan?

Apakah kita memang menunggu ada yang menjadi korban?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.