Maruah di Malawati

Ahad ini ini Maruah akan diseru lagi. Sejak akhir-akhir ini Maruah sering dipujuk, dirayu dan ditagihi. Maruah tidak kesah. Maruah tidak berbahagi-belah. Maruah sedia melayani semua. Malah Maruah adalah untuk semua.

Sebagai balasan yang layak, permintaan Maruah tidak banyak. Maruah hanya ingin dilayani dengan bermaruah.

Ahad ini Maruah berjalan iseng ke Shah Alam. Maruah melihat pelbagai tingkah seraya merenung dengan dalam.

Di Shah Alam terdapat bermacam-macam. Sekian tarikan meruntun hati. Masjid Biru nan berseri. I-City dan Taman Botani. Juga singgah menekuni grafiti dan instalasi 3D di Laman Seni. Maruah akan hadir di Stadium Malawati.

Maruah adalah ciptaan Tuhan. Anggaplah Maruah seorang kawan. Sebagai apa dinamakan kawan, Maruah tentu memerlukan teman. Justeru, Maruah tidak rela menjadi mainan. Kita akan bersama-sama Maruah sebagai bahagian dari insan.

Kerana Maruah itu belahan manusia, seperti kita, maka tidak dapat tidak, kita harus ikut memahami jiwa.

Maruah terkandung dalam perasaan dan nyawa. Meskipun Maruah akan melayani semua, tetapi Maruah tidak pula mudah tergoda. Harga diri buat seorang Maruah sangat bermakna.

India, atau Cina, Serani atau Benggali, Iban atau Kadazan, Orang Asli mahupun Penan adalah bangsa manusia yang diraikan. Maruah adalah makhluk Tuhan.

Maruah benci kepada rasisme atau perkauman. Maruah untuk makluman, bukan seorang Melayu. Bukan pula seorang yang “bukan Melayu”.

Pada borang kelahiran untuk diisi, Maruah tidak perlu memilih kotak pilihan. Maruah enggan. Maruah bukan satu keistimewaan. Maruah bukan satu langganan. Maruah bukan satu hadiah tawaran.

Maruah juga bukan pemberian. Maruah bukan pula satu peluang atau kesempatan. Maruah adalah kewarasan dan kemanusiaan. Maruah punya kehormatan.

Maruah itu hadir pada setiap bayi, pada setiap kelahiran. Kerana Maruah itu alamiah. Maruah hadir secara fitrah.

Kita harus mengerti, Maruah tidak percaya kepada warna kulit. Maruah akan melepaskan siapa sahaja yang tertindas dan tersepit.

Di dalam kamus hidup Maruah, tiada putih, kelabu atau hitam.

Di mata Maruah, manusia adalah setiap seorangnya anak Hawa dan Adam. Justeru Maruah menganggap setiap yang ditemuinya beroleh keselamatan dan dilindungi kata salam.

Maruah tiada jantina, Maruah bukan mesti lelaki atau perempuan. Maruah bukan pula trans atau manusia dalam ruang pertengahan. Maruah tidak ada orientasi seksual.

Maruah tidak boleh dilacur apatah dijual.

Tatkala Maruah di ranjang, ia boleh jadi lurus, bengkok-bengkok mengerekot, lantas boleh jadi songsang, atau boleh jadi Maruah menggemari gaya misionari, bahkan boleh jadi Maruah nakal seraya kadang-kala sedikit “sial”.

Tetapi Maruah sentiasa seksi, juga rasional.

Maruah mengerti semua bahasa. Maruah boleh bertamil, bermandarin, berurdu, beringgeris, berjawa dan macam-macam lagi bahasa.

Maruah tidak hanya ada pada satu lidah semata. Tidak ada mana-mana bahasa dapat melindas Maruah dengan alasan tidak mengerti berbahasa.

Ini kerana menurut Maruah setiap bahasa itu setara. Semua adalah fikiran dan cetusan hebat akal manusia. Mungkin ada bahasa yang kita namakan sebagai ibunda, tetapi ia tidak memadam hak yang lainnya.

Maruah juga tiada agama. Maruah tidak mahu terperangkap membela sesiapa. Maruah adalah untuk semua yang punya agama, atau yang memilih non beragama.

Tidak boleh dihujahkan Maruah hanya untuk Buddha sami di Myanmar lebih utama, dan Islam Arakan jatuh jadi nista.

Tidak pula boleh dipaksa yang Hindutva di India itu tempat pertama, manakala Islam tersungkur jadi celaka.

Demikian juga tidak dapat Maruah itu hanya melayani kehendak satu-satu penganut sahaja. Pagan dan ateis juga berhak mendapat nikmat cinta.

Maruah tidak mahu terjerat dalam kecah konflik yang membawa malapetaka. Kerana Maruah bukan mengenai kepercayaan atau agama. Maruah juga tidak ada mazhab, dan fikiran tunggal.

Dalam Nasrani, Maruah meladeni aneka kesungguhan seperti misalkan Katolik, Avengelis dan Protestan.

Dalam Islam, Maruah juga memberi cahaya kepada semua, umpama contohkan Hanafi, Hanbali, Syafie dan Maliki yakni Sunni. Maruah juga membahagiakan Ahmadi, Sufi, Salafi, mahupun Syiah-Ja’fari.

Maruah tidak mendiskriminasi. Maruah di atas mufti. Maruah tidak mengekang dan berlagak benar untuk sendiri. Maruah di atas, lebih atas, teratas dari fatwa Syarie.

Maruah paling penting tidak mahu berpolitik. Bukan bermakna Maruah memandang ada parti yang senonoh, ada pula yang retik. Maruah berkawan tanpa memilih geng atau klik. Maruah tidak lekas emosi atau panik.

Dalam politik, Maruah itu bahagian kita yang cerdik. Apa sahaja yang sihat dan sejahtera, Maruah terima. Kanan atau kiri manifesto dirai, selagi baik untuk masyarakat dan warga.

Akan tetapi Maruah sangat jelas menuntut demokrasi. Ini kerana dalam demokrasi, Maruah adalah salah satunya tunjang hakiki. Tidak ada parti atau ideologi yang boleh dipinggir sipi-sipi.

Maruah suka semua, melainkan ganas seperti Taliban, dan sekian macam pecahan jalur Wahabi. Maruah ada pada nasionalis, Islamis, sekularis, sosialis, asalkan bukan teroris.

Pokoknya, Maruah mahu mereka sama-sama bertanding dalam pilihan raya. Maruah membenarkan rakyat jelata untuk bersuara.

Namun, Maruah menolak koruptor dan kleptokrat. Korupsi-korupsi itu jahat. Semua koruptor itu lahanat. Maruah mencerca penyewengan yang gamat. Maruah menolak pilihan yang membuat warga jadi melarat. Maruah tidak bersama-sama pemimpin zalim dan regim keparat.

Jika ada sebarang pandangan, Maruah tidak akan melihat serong walaupun berbeza. Maruah bersama suara minor, mahupun arus perdana.

Maruah tidak ada pada satu-satu kelas atau darjat. Maruah ada pada rakyat dan non-kerabat. Maruah terkalung pada leher si kaya. Maruah juga tersisip di pinggang yang berhutang, dan tidak berharta.

Maruah tidak hanya ada pada mereka yang panjang akaun banknya. Maruah juga ada pada mereka yang nipis sekali dompetnya. Maruah juga ada pada gelandangan. Maruah ikut tidur bersama-sama mereka di jalanan.

Maruah mahu semua Tengku tahu bahawa Maruah juga ada di kampung, ataupun di pekan. Maruah adalah untuk semua tamadun dan peradaban. Maruah ada pada Cina Bukit, India Estet, atau Melayu Felda.

Maruah ada pada Melayu Taman Tun, Cina Bangsar dan India Damansara. Maruah ada di Chow Kit, dan ada di Publika.

Maruah ada pada setiap kewarganegaraan. Maruah menghormati warna dan cop pasport dari perundangan. Maruah akur dengan batas dan peraturan.

Namun Maruah ingin menjelaskan, Maruah sentiasa ada pada yang kalian namakan dengan penuh sinis dan xenofobis sebagai Mamak, atau Indon, Bangla atau Nepali dan juga yang kalian cemuh sebagai Negro acap kali.

Seperti mana Maruah untuk Arab juga Yahudi, Maruah juga untuk Yemeni, Xinjiang, Rohingya, Kashmiri, Gipsi, Papua, mahupun Orang Natif kerana Maruah tidak wujud dengan alasan atau motif.

Di Shah Alam, setelah lelah meronda. Bersama-sama Maruah kita duduk lepak melepas dahaga. Kita minum teh kurang gula, kita cebis roti canai sekeping dua. Kita putuskan, Maruah bukan milik satu puak semata. Maruah milik anak semua bangsa. Kita tidak berhimpun untuk menuntut Maruah hanya milik kita. Itu bodoh bebal namanya.

Sejak bila kita jadi Tuhan untuk menentu-nentukan nasib Maruah? Bahawa ada yang lebih bermaruah daripada Maruah?

Maruah adalah harga diri. Maruah independen dan berdikari.

Di Shah Alam, kita mesti laungkan M untuk Maruah. Laung dan serukan ke semua penjuru dan arah.

Betul, hujung minggu ini Maruah akan dipanggil-panggil lagi. Maruah akan menyahut pergi. Tetapi, beringatlah Maruah bukan balaci. Maruah harus bebas tak boleh dipasung, dikurung atau digari.

Maruah tidak boleh khusus. Yang mengkhusus Maruah itu selalunya demi usus. Maruah sedia melayani semua. Memang Maruah pun adalah untuk semua. Maruah memang begitu sejak azali.

Cuma kadang, dalam sejarah, rakus sekali Maruah ingin dimiliki. Maruah tak rela lagi dinoda Nazi. Maruah tidak mahu diboloti. Ada banyak episod dalam sejarah jangan diulang elok dihindari.

Pinta Maruah tidak banyak. Maruah, hanya ingin dilayani dengan bermaruah. Maruah tidak akan pasrah. Maruah belum mahu mengalah. Maruah tak akan tunduk pada serakah. Maruah berjanji berdiri gagah.

Ahad ini Maruah berjalan libur ke Shah Alam. Bermula siang membawa ke malam. Di Malawati Maruah sungguh berhati-hati. Maruah akan halus memerhati. Maruah akan memikir dan merenung dengan akal dan kalbu paling seni.

Maruah akan melihat pelbagai perangai seraya merenung dengan bimbang. Di Shah Alam ada bermacam-macam tipu dan sembang. Sekian pekik dan retorika harus ditimbang.

Sedikit yang tulen, banyak sekali gebang. Maruah tahu, di Shah Alam, sedikit yang asli, banyak sekali temberang.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.