Jangan jual konsesi PLUS kepada syarikat asing

Janji menghapuskan tol antara janji utama dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) yang menyebabkan ramai mengundinya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Di dalam manifestonya, PH berjanji mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat sebagai matlamat terakhir.

Hari ini, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) masih dimiliki kerajaan Malaysia melalui 51 peratus saham dipegang UEM Group, anak syarikat Khazanah Nasional Berhad, dan bakinya dimiliki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ini bermakna tol yang dibayar rakyat Malaysia kepada PLUS hari ini memberi keuntungan kepada PLUS, dan keuntungan yang dijana PLUS akan kembali kepada kerajaan Malaysia melalui Khazanah dan juga rakyat melalui KWSP.

Meskipun rakyat benci membayar tol, tetapi selagi PLUS dimiliki kerajaan, duit rakyat tetap diputar dalam Malaysia dan akan digunakan untuk kebaikan negara serta rakyat, melainkan ia diseleweng.

Ini berbeza jika PLUS dijual kepada pihak asing.

Pertama, duit rakyat yang digunakan untuk membayar tol akan menjadi keuntungan syarikat luar negara, meskipun syarikat itu dimiliki rakyat Malaysia.

Kedua, syarikat luar negara tidak akan berkompromi apabila tiba masa untuk menaikkan kadar tol demi menampung kos yang meningkat saban tahun, ekoran kenaikan kos sumber manusia seperti kenaikan gaji tahunan dan bonus. Keuntungan perniagaan akan menjadi keutamaan mereka, bukannya rakyat Malaysia.

Ketiga, jika PLUS dijual kepada pihak asing, ini bermakna secara tidak langsung kita menjual kuasa mengawal pintu masuk ke infrastruktur lebuh raya terpanjang negara kepada pihak asing.

Baru-baru ini, PLUS Malaysia Bhd yang menguruskan lebuh raya PLUS menjadi perhatian media.

Difahamkan, sebuah syarikat swasta berpangkalan di Hong Kong menawarkan RM3 bilion untuk membeli syarikat tersebut bagi membolehkan mereka mengambil 100% kepentingan syarikat konsesi lebuh raya itu.

Syabas kepada Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Redzuan yang bertegas PLUS tidak akan dijual kepada mana-mana pihak.

Sewajibnya, mana-mana cadangan untuk menjual PLUS kepada pihak asing tidak perlu dilayan.

Dan barang siapa di kalangan menteri yang cuba memujuk kerajaan mahupun Khazanah menjual PLUS kepada pihak asing sebenarnya adalah pengkhianat rakyat dan negara.

Sebenarnya, apa yang perlu difikirkan kerajaan PH sejajar manifestonya ialah cara mengurangkan kadar tol PLUS, bukannya menjual konsesi tol lebuh raya itu.

Apa kata kita mula dengan diskaun 20 peratus setiap tiga tahun dan tiada tol akan dikenakan pada musim perayaan?