Kongres Maruah Melayu divisif, memecah belah politik Malaysia

Ketika mula diumumkan akan diadakan Kongres Maruah Melayu, timbul banyak tanda tanya mengenai tujuan penganjurannya. Pengumuman mengenainya tidak menambah maklumat kerana apa yang mahu dilihat oleh pemerhati politik ialah simbolisme dan makna di sebaliknya. Kongres itu berlogokan Tanahku dengan slogan, Berani, Tegas dan Takwa yang jelas bernada retorik Melayu-Islam yang sering diungkapkan sejak Umno dan Barisan Nasional hilang kuasa tahun lalu.

Tetapi hanya setelah kongres itu berlangsung Ahad lalu, maka tersingkap makna yang tersirat untuk dispekulasikan dari segi tafsiran politik. Segala acara politik tidak dapat difahami dengan melihat apa yang tersurat, tetapi lebih pada apa yang tersirat seperti wayang kulit.

Politik adalah seperti apa yang dipaparkan dalam wayang kulit, bangsawan dan filem P Ramlee. Ia sarat dengan simbolisme dan makna politik yang tersirat. Begitulah juga dengan Kongres Maruah Melayu.

Watak utama kongres itu adalah Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri, pengerusi Pakatan Harapan dan pengerusi PPBM. Menjelang kongres itu, PH diasak dengan retorik Melayu Islam oleh pakatan Umno dan PAS.

Kedua-dua parti utama tradisi Melayu dan Islam itu mengadakan perhimpunan besar di PWTC untuk membawa gagasan penyatuan ummah. Dari segi politiknya ia bermaksud kerjasama Umno dan PAS untuk satu lawan satu apabila berdepan dengan PH dalam pilihan raya umum ke-15. Sementara untuk pengundi bukan Melayu, BN yang masih terdiri daripada Umno, MCA dan MIC menawarkan muafakat nasional bersama PAS. Jika dikira undi majoriti Melayu, muafakat nasional ini yakin dapat menumbangkan kerajaan PH.

Jadi apabila berdepan dengan suasana ini, timbul pula pengumuman akan diadakan Kongres Maruah Melayu dengan Mahathir sebagai watak utama, maka andaian yang dibuat ialah program ini merupakan serangan balas PPBM dan PH terhadap BN-PAS.

Tetapi program ini bukannya dianjurkan oleh PPBM, jauh sekali PH. Ia dianjur bersama empat universiti awam iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bagaimana empat universiti awam ini boleh terlibat dengan satu program yang ketara bernada naratif konservatif pemikiran sayap kanan Melayu-Islam. Ia juga bersifat politikal yang menunjukkan kemungkinan inilah antara program “deep state” (negara terpendam) yang berada di universiti awam.

Sememangnya universiti awam berada di bawah Kementerian Pendidikan. Walaupun ada pihak yang boleh mengaitkan universiti penganjur itu dengan Menteri Pendidikan Maszlee Malik, seorang ahli politik PPBM. Tetapi mungkin tidak begitu kerana di bawah kerajaan PH, universiti awam mempunyai autonomi. Maka tidakkah ada kemungkinan autonomi ini diambil kesempatan oleh golongan kanan dalam “deep state” universiti itu? Lebih-lebih lagi Ketua Eksekutif kongres, Zainal Kling dikenali sebagai tokoh yang sentiasa mendokong apa yang disebut sebagai agenda Melayu sejak BN berkuasa lagi.

Mahasiswa universiti berkenaan turut dikerah menghadiri kongres itu, suatu amalan yang biasa berlaku pada ketika BN menjadi kerajaan dahulu. Universiti awam dapat dilihat ketika itu digunakan untuk tujuan politik. Pemimpin utama DAP Lim Kit Siang dengan segera mempersoalkan perkara ini.

Apa yang tersurat adalah ucapan ketua eksekutif kongres, amanat Mahathir dan resolusi yang disampaikan oleh penganjur kongres kepada perdana menteri. Mahathir dengan segera menyatakan kerajaan tidak akan dapat melaksanakan semua perkara dalam resolusi itu.

Ucapan ketua eksekutif kongres dan resolusi itu semuanya bersifat dan bernada konservatif sayap kanan Melayu-Islam. Sementara inti ucapan Mahathir tetap dalam lingkungan hujah yang berulangkali-kali beliau kemukakan, iaitu orang Melayu mesti mengubah sikap.

Sementara sebahagian kandungan resolusi itu adalah suatu yang bertentangan dengan konsep Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi dengan gagasan bangsa Malaysia berbilang kaum. Dalam konsep demokrasi negara bangsa, Malaysia adalah hak milik semua warga negaranya dan bukan semata-mata untuk orang Melayu.

Tetapi apa yang tersirat adalah sosok-sosok para pemimpin parti Melayu yang hadir. Semua parti itu diwakili iaitu Umno, PAS, PPBM, PKR dan Amanah. Malah Ikatan juga hadir. Hanya Putra tidak hadir.

Maka dari satu segi, kongres itu bukan saja platform perpaduan parti Melayu, malah ia lebih besar daripada penyatuan ummah Umno-PAS. Maka dalam perhimpunan itu dapat disaksikan orang PPBM bertemu dengan bekas rakan-rakan seperti mereka dari Umno. Begitu juga dengan orang Amanah bertemu dengan bekas rakan-rakan seperti mereka dari PAS. Malah antara gambar popular yang ditularkan ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu bersalaman dengan bekas ketua beliau semasa dalam PAS, Abdul Hadi Awang.

Maka yang tersurat adalah wajah-wajah gembira perpaduan orang Melayu. Tetapi apa yang tersirat ialah kongres ini adalah divisif dan memecah perpaduan dari dua sudut. Ia boleh menyumbang pada pemecahan PH dan juga rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Kongres itu dapat difahami tidak akan diterima oleh orang bukan Melayu. Sementara orang Melayu yang menyokong PH dan menolak naratif konservatif Melayu-Islam juga tidak menerima kongres itu.

Intinya ialah ketiadaan Anwar Ibrahim. Sebagai Presiden PKR, Anwar wajar ada. Tetapi yang hadir pula ialah Timbalan Presidennya Azmin Ali. Dalam keadaan biasa, perkara ini bukanlah suatu yang perlu ditarik perhatian. Tetapi suasana politik PKR yang mana wujudnya konflik antara Anwar dan Azmin melihatkan kongres itu boleh menyumbang pada perpecahan.

Hubungan rapat antara Mahathir dan Azmin bukan lagi rahsia. Azmin hadir dalam acara ulang tahun PPBM. Azmin mengikut rombongan Mahathir ke New York. Sehari sebelum kongres ini, Azmin turut berdiri bersama Mahathir dalam majlis pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Walaupun ketika itu Wan Azizah Wan Ismail turut berada di situ sebagai timbalan perdana menteri.

Dalam PKR, jelas wujud dua faksi iaitu Anwar dan Azmin. PAS menyatakan antara Mahathir dengan Anwar, mereka memilih Mahathir. Itu juga bermakna mereka boleh menerima Azmin.

Umno pula tentunya menolak Mahathir. Dari awal lagi, sebahagian mereka mengharapkan hubungan baik dengan Anwar akan dapat diwujudkan apabila presiden PKR itu menjadi perdana menteri kelak. Presiden Umno, Zahid Hamidi atau timbalannya, Mohamad Hassan tidak hadir dalam kongres ini. Sebalikmya yang hadir ialah Setiausaha Agungnya Annuar Musa. Tetapi naratif konservatif Melayu-Islam ini senada dengan apa yang dibawa oleh Umno sekarang.

Tetapi naratif ini tidak sesuai dengan prinsip perjuangan asal PKR dan Amanah. Walaupun antara Mahathir dan Anwar, Mohamad Sabu dilihat lebih hampir dengan Mahathir. Presiden Amanah itu turut menerima kritikan kerana menghadiri kongres itu. Tetapi Amanah perlu sokongan segar orang Melayu-Islam.

Akhirnya kongres itu menjadi divisif pada politik Malaysia. Pihak Anwar tentunya tidak berdiam diri. Satu seminar mengenai bangsa Malaysia yang akan dihadiri oleh Anwar telah pun diumumkan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.