Mengimpikan masyarakat ilmiah dari universiti hebat di Malaysia
Apa yang berlaku ialah masyarakat termasuk universitinya terperangkap dengan isu politik perkauman dan rebutan memiliki harta sebanyak mungkin.
Pada Sabtu lalu, penulis menghadiri satu seminar awam percuma anjuran Islamic Rennaissance Front (IRF) dalam Siri Pemikiran Reformis Ke-17, kali ini mengenai pemikiran Rashid Ridha di Hotel Concorde. Seminar itu membariskan Timbalan Penasihat Amanah dan juga Ahli Majlis Agama Islam Melaka, Ghani Shamsuddin, Pensyarah Universiti Islam Negeri (UIN) Malang Indonesia, Dr Faisol Fatawi, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Dr Sohirin Muhammad Solihin, Pensyarah Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Dr Farouk Musa, Pengerusi IRF yang juga seorang pensyarah di Universiti Monash Malaysia.
Seminar yang diadakan untuk orang awam secara percuma merupakan permata yang menjadikan kehidupan di Lembah Klang lebih bererti berbanding hanya kegiatan masyarakat hujung minggu yang berlegar senaman di pagi hari di taman bunga, berjalan-jalan di pusat membeli-belah yang begitu banyak di negara ini atau memenuhi undangan majlis perkahwinan sanak saudara dan sahabat handai yang tidak berkesudahan.
Seminar Pemikiran Reformis itu merupakan suatu wadah perbicaraan dari sudut pengetahuan sejarah agama. Tetapi bagi memyemarakkan kehidupan ilmiah awam di Lembah Klang, apa yang turut dianjurkan ialah perbincangan bukan saja hanya mengenai sejarah agama tetapi juga di bidang lain seperti politik, sains, perubatan, kesenian, sejarah, falsafah dan apa saja yang boleh menarik minat orang ramai supaya warga Lembah Klang tidak hanya berfikiran mengenai makanan, pakaian dan hiburan.
Tetapi agama sememangnya paling kuat menarik minat orang ramai kerama kaitannya dengan mencari makna kewujudan dan kehidupan. Tetapi bukan saja agama yang wajar menjadi perhatian tetapi juga falsafah, psikologi, atau bidang lain yang sebenarnya tetap boleh dikaitkan dengan keinginan manusia untuk mencari makna hidup.
IRF mempunyai kecenderungan tersendiri dalam melihat isu dunia. Tetapi di Lembah Klang terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang juga aktif. Kegiatan hujung minggu mereka bukan saja perlu cergas tetapi didokong bagi membolehkan rakyat lahir sebagai warga negara dinamik. Iaitu selaras dengan suasana yang cuba diwujudkan oleh konsep Malaysia Baru ekoran kemenangan Pakatan Harapan mengalahkan Barisan Nasional. Tetapi jika suasana baru ini tidak dapat diwujudkan, maka sentimen yang ada di bawah PH adalah sama saja ketika berada di bawah BN, Rakyat hanya memikirkan usaha untuk mencari makan dan didapati kesenangan hidup masih tidak dapat dikecapi. Masalah bernegara tetap ada, usaha penyelesaian tetap dilakukan. Tetapi kehidupan intelektual tentulah dikehendaki lebih baik pada zaman PH berbanding BN.
Siri reformis yang dibawa oleh IRF itu mengenengahkan pemikir dan aktivis Islam sepanjang sejarah yang berusaha untuk menyedarkan ummah mengubah mental supaya menanggapi agama yang selaras dengan ajarannya dan selanjutnya bersesuaian pada zamannya.
Jadi sejak seminar siri reformis ini diadakan, sudah tujuh reformis diketengahkan. Penulis tidak dapat menghadiri semua perbincangan tokoh itu. Tetapi tokoh yang dapat penulis ikuti ialah Ali Shariati pada 2015 dan HOS Tjokroaminoto. Kedua-duanya dianggap sebagai tokoh kiri. Antara ahli politik yang dahulunya sering hadir ialah Saari Sungib dan Maszlee Malik, iaitu ketika PH belum memerintah.
Seminar seumpama ini seharus diadakan di universiti walaupun ia bersifat untuk orang awam secara percuma. Dengan mengadakan seminar awam pada orang ramai ia mendekatkan universiti pada rakyat. Universiti tidak wajar menjadi menara gading yang terpisah daripada orang ramai. Lebih-lebih lagi jika universiti awam yang dananya ditanggung oleh perbendaharaan awam.
Pada awal-awal aktivisme, IRF juga mengadakan seminarnya di sebuah universiti awam. Antara tujuannya adalah supaya ia memudahkan kehadiran kalangan mahasiswa. Ketika itu BN yang mentadbir negara dan pihak pentadbir universiti menghadap sekatan secara langsung atau tidak langsung untuk membenar masuk tokoh tertentu.
Maka kemudian IRF menganjurkan seminarnya di sebuah kelab golf yang dari segi tempat letak keretanya mudah. Ia dapat berbuat demikian kerana atas ehsan seorang ahli kelab itu. Kemudian berlaku peristiwa di mana salah seorang tokoh apabila membentang kertas kerja menimbulkan tidak rasa senang pihak berkuasa agama. Dalam hal ini, ia adalah Jabatan Agama islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana kelab itu berada di Kuala Lumpur. Ada dua tokoh yang mengundang kontroversi. Seorang dari Indonesia dan seorang dari Turki. Malah ada yang ditahan dan dipenjara. Isunya ialah sesiapa yang berbicara mengenai agama perlu memperoleh tauliah. Kalau seseorang wartawan mahu berbicara mengenai Islam, ia juga perlukan tauliah. Kalau sekadar tulisan, soal tauliah tidak timbul.
Selepas PH menang dengan suasana Malaysia Baru, IRF dapat mengadakan seminarnya di UIAM, Institut Kajian Tamadun Islam dan Melayu Antarabangsa (Istac). Pentadbiran PH dirasakan memberi angin segar bagi kegiatan ilmu. Tetapi penulis tidak hadir seminar di kedua-dua institusinya. Sebabnya ialah kedudukan kampus di Malaysia tidak mesra orang ramai yang tidak berkenderaan persendirian.
Maksud di sini kebanyakan universiti awam terletak terpencil daripada laluan orang ramai. Umpamanya apabila IRF mengadakan seminar di Hotel Concorde Jalan Sultan Ismail, dengan mudah penulis menghadiri apabila dapat menggunakan tansit aliran ringan (LRT) dengan turun di stesten Dang Wangi. Begitu juga apabila seminar itu diadakan di kelab golf yang berada di Jalan Tun Razak. Maka seseorang boleh menaiki Transit Alirab Massa (MRT) dengan turun di stesen Traxx.
Tetapi untuk ke kampus UIAM Gombak dan Istac seseorang hanya boleh menggunakan pengangkutan awam dalam bentuk bas, kalau ada atau kenderaan e-hailing.
Tetapi lihatlah universiti awam di Lembah Klang. Kampusnya semua di atas bukit terpencil yang menyendiri daripada orang ramai iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara. Ini ialah sebahagian daripada cerminan mentaliti elitis pemerintahan BN dahulu.
Bukan saja universiti, institusi ilmu seperti Perpustakaan Negara tidak juga dapat diakses dengan pengangkutan awam kecuali pada satu masa ia pernah berada di Wisma Sachdev di Jalan Raja Laut pada 1980-an. Sementara kerja pengubahsuaian Perpustakaan Kuala Lumpur yang sedang dilakukan mengambil masa yang amat lama sehingga orang banyak lupa tentang kehadirannya. Dengan adanya media sosial peranan perpustakaan awam semakin dilupakan sedangkan maklumat di dalamnya tidak akan dapat diganti.
Dalam kalangan pembicara seminar itu pada Sabtu lalu ialah Dr Faisal Fatowi, seorang ahli akademik muda dari tradisi Nahdlatul Ulama yang pembentangannya mengenai Rashid Ridha mengujakan penulis. Oleh kerana teruja dengan pembentangannya, penulis turut hadir untuk mendengar beliau lagi di Gerakbudaya keesokannya apabila beliau membentangkan mengenai pemikiran Hassan Hanafi. Turut berbicara di majlis itu ialah seorang pensyarah dari Universiti Muhammadiyah Malang, Dr Pradana Boy Zulian dalam majlis yang dikenali sebagai Nusantara Bergerak, kali ini merupakan siri kelima. Majlis itu tidak mengecewakan penulis.
Kegiatan ilmu seperti ini wajar lebih rancak di sekitar Lembah Klang, tidak kiralah apapun bidang, sesiapapun penganjurnya dan oleh semua kaum. Selain daripada menggalakkan pembacaan buku serius, majlis merancakkan pemikiran berbeza untuk orang wajar mewarnai suasana Malaysia Baru.
Jika tidak, apa yang berlaku ialah masyarakat negara ini termasuk universitinya terperangkap dengan isu politik perkauman dan rebutan untuk memiliki harta sebanyak mungkin. Pembangunan ekonomi adalah penting bagi generasi akan datang tetapi ia bukanlah segalanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.