Bajet agama teratas, perangai agamawan terbawah

SEPERTI biasa, bajet yang besar dimandikan dengan begitu kuyup sekali untuk pembangunan agamawi. Peruntukan yang lebih hebat daripada kerajaan Pakatan Harapan itu membuatkan saya berfikir panjang. Betapa bajet yang menggirangkan hati para lebai dan ketayap ini adalah gula-gula, atau coklat, sejenis jajan yang tidak begitu menyihatkan.

Kita semua tahu, setiap sesuatu yang diambil secara berlebihan, boleh mengakibatkan kemudaratan. Semua yang kita punya, atau yang kita kongsikan harus dilakukan dengan sederhana. Bak kata orang Melayu, buat baik berpada-pada. Akan tetapi, agamawan kita sudah terbiasa dengan yang ekstrem-ekstrem. Seperti contohnya, belanja yang ekstrem.

Lebih dua dekad yang lalu, dalam tahun 2006, sarjana yang dihormati Syed Ali Tawfik Al-Attas, memberitahu kita betapa mereka yang tersangka agamawan ini sedang membawa kita ke jalan terpesong. Syed Ali, anakanda Syed Naquib Al-Attas, menjelaskan kepada kita kumpulan yang mengakui diri ulama ini tidak mendorong kita kepada ‘faham yang bermakna’. Kumpulan agamawan ini, meminjam Syed Ali Tawfik, adalah ‘perampas’ dan ‘pengusut’.

Menurut Syed Ali mereka ini sama sekali bukan ulama, apatah lagi layak digelar guru atau ustaz:

Mereka yang ‘hijacked’ Islam ini menggelarkan diri mereka sebagai ulama dan ustaz tetapi sebenarnya mereka bukan ulama dan ustaz. Hanya orang melihat mereka sebagai ulama dan ustaz. Mereka sebaliknya membawa orang Islam kepada kekusutan, dan bukannya faham yang bermakna. Itulah masalahnya di kalangan orang yang kita gelarkan sebagai ulama besar, sheikh dan sebagainya.

Hari ini, ingatan yang sangat berbekas dan pernah dinukil dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia (yang sudah maut) itu bagai berkata-kata kepada saya kembali. Tatkala itu, Syed Ali yang sedang menjawat peranan penting di Institut Kefahaman Islam Malaysia, menyatakan sikap ‘sewenang-wenang’ segelintir umat Islam mencetuskan rasa tidak senang, rasa keliru dan kemudian mencipta satu keadaan yang mana orang bukan Islam berasa Islam ini sedang digunakan demi kepentingan sendiri. Lebih hodoh, pengabaian paling besar ialah soal akhlak:

Warganegara yang beragama Kristian, Buddha dan Hindu di negara ini tidak merendah-rendahkan agama Islam. Apa yang mereka marah ialah perbuatan orang Islam yang sewenang-wenangnya menggunakan agama sebagai dalil dan kekuatan mereka. Kita tidak boleh menyalahgunakan agama untuk kepentingan sendiri. Masalah kita sekarang, kita hanya mementingkan aspek ritual sahaja – pergi sembahyang, pakai kopiah, pakai hijab, tetapi soal-soal akhlak kita abaikan. Ini pengabaian terbesar.

Kesengitan luar biasa

Berkait soal akhlak ini, kita dapat merasakan kesengitan yang luar biasa. Kita mendengar cerita yang memualkan dari Pusat Tahfiz. Kita membaca cerita menjengkelkan di dada akhbar dan portal berita sekitar korupsi yang membabitkan ulama. Di kampus, orang luar pengajian Islam memperihalkan kisah ustazah yang bergaduhan, sehingga bertarikan rambut dan tercabut tudung.

Hal akhlak ini memang menakutkan. Pada tahun 2006, media sosial tidak begitu rancak digunakan. Hari ini pengikut agamawan tertentu menyebar kesombongan dengan menabur fitnah di Twitter atau facebook. Jari-jemari di papan kekunci lebih senang mencipta perpecahan dari perpaduan.

Mereka yang menguasai agama ini tidak melindungi Islam, tetapi memakai Islam sebagai perhiasan. Ini kerana mereka tidak ada keupayaan memahami Islam. Jika kita menyogok sumber yang benar, mereka akan berkokokan menafikan, dan mengalih-alih meminta tafsiran. Padahal kita sedang cuba menangani kejahilan mereka. Akan tetapi kerana nilai akhlak tiada, mereka menjadi kian angkuh. Kian bercempera. Mereka mendakwa mereka di atas. Yang lain bawahian.

Syed Ali melihat, Islam ditimpa fitnah oleh tindak-tanduk mereka yang patut menjaga Islam. Agama diberi kebebasan untuk berketak dalam ruang sempit. Perlahan-lahan ketidakadilan menjadi agam:

Saya boleh faham kebimbangan mereka itu. Saya sendiri pun bimbang melihatkan mereka yang diamanahkan (oleh kerajaan) untuk melindungi Islam itu tidak berkelayakan untuk berbuat demikian. Mereka berkuasa saja tetapi tidak berkemampuan untuk memahami Islam dengan sempurna dan adil.

Ini yang membimbangkan golongan bukan Islam, dan kebimbangan itu ada kewajarannya. Ini kerana tindakan-tindakan yang dilakukan sekarang tidak menunjukkan semangat Islam sebaliknya lebih kepada penyempitan fahaman Islam yang sebenar, salah guna kuasa dan ketidakadilan.

Sayugia diingatkan keluhan dan rintihan Syed Ali di atas, yang dilakukan pada tahun 2006, adalah cerminan dekad-dekad yang kononnya ditandai kebangkitan Islam. Malangnya dari tempoh 2006 itu, sehingga hari ini, tidak ada perubahan ketara terjadi. Ada kelompok yang sepatutnya berfikir, kerana berasa hebat dengan falsafah, sepatutnya berada di atas.

Tetapi mereka memilih untuk duduk dalam lanskap nista al bawah. Dalam masa yang sama, masyarakat bukan Islam yang dulu bingung makin nanar melihat umat Islam kusut, dan kemudian menarik mereka sama ke dalam kekusutan tersebut. Mereka berkumpul di perut galeri berbicara tentang macam-macam. Tetapi macam-macam semakin kusut.

Perbezaan lebih jelas

Hari ini, dengan perbezaan yang lebih jelas, dengan bajet teratas, umat Islam berperangai terbawah. Kita membaca keliwatan guru madrasah.

Orang yang berceramah di mimbar melakukan fitnah tanpa rasa segan. Pengikutnya pula sedap mulut memanjangkan lagi penipuan. Kaum agamawan paling bersungguh mempertahankan hak mereka untuk menindas minoriti. Gila. Di celah kegilaan akhlak yang sasau itu rasio dihindari dan pengalaman intelektual disudutkan ke penjuru paling gelap.

Pokoknya, bajet yang teratas selama berdekad-dekad untuk pembangunan agama Islam itu masih gagal.

Hari ini setelah sedekad lebih ratapan Syed Ali di atas, bajet yang lumayan masih membasah umat Islam dengan kuyupnya. Sesuatu yang kita tidak dapat hubungkan adalah generasi hari ini, terdapat umat Islam, yang tidak menempuh pengalaman relijius secara pragmatis seperti yang ingin disogokkan oleh Sayyid Qutb ataupun Khomeini. Juga, jumlah umat Islam yang mengalami agama secara gnostik seperti Maulana Rumi, dan Fansuri semakin terbatas. Kita boleh berhimpun tiap malam sabtu berbincangkan mistik. Tetapi kita hanya beradab untuk dua jam saat pertemuan itu. Kelompok ini memang atas-atas tingkah lakunya, terlupakan saat di atas, sedang menghinjak-hinjak orang lain.

Sedekad setelah rungutan Syed Ali tersebut, umat Islam makin tidak faham Islam. Ini kerana ada satu bentuk relijius yang sedang mendapat sambutan pesat. Jenis relijius, yang dinamakan oleh Abdul Karim Soroush sebagai pengalaman agama yang eksperiensial. Yang mana ia memerlukan pengalaman dan observasi. Mereka yang beragama seperti ini mencari bukti, dan juga manifestasi.

Mereka tidak semberono menerima. Mereka tidak cepat terkesan dengan halaqah dan sapaan hati yang suri. Sinar mereka, pengamal agama secara eksperiensial ini adalah penghayatan peribadi. Agama itu sangat personal. Yakni ini agamaku, kerana ini pengalamanku, lantaran ini kefahamanku dan moralku.

Untuk generasi Islam terbanyak yang akan membesar lebih sedekad lagi, mereka akan menjauhi institusi agama dan agamawan. Kerana untuk apa berhubung dengan mereka, meminjam Syed Ali, mereka yang merampas dan memalsukan agama. Misalnya untuk apa mempercayai mufti yang berbuih mulutnya meyakini menindas minoriti agama adalah benar kerana mereka paling benar. Atau untuk apa menjadikan dhaei yang menulis surat terbuka kepada artis sebagai panduan.

Kumpulan umat Islam yang sifat relijiusnya adalah eksperiensial ini lain sekali. Mereka tidak perlu lencun dengan bajet teratas. Dalam keterkejutan jiwa dan roh Islami yang aman damai itu mereka punya rahsia dan merakam rahsia agama itu dengan penuh privasi.

Agama adalah rahsia. Ia akan kekal rahsia. Kerana agama adalah pengalaman dan berfikir yang matang untuk setiap seorang. Peribadi-peribadi yang mengalami dan berfikir ini akan mencipta umat sendiri. Mereka akan kelihatan aneh di mata institusi mufti. Dan mereka akan dicop liberal, atau apa-apa sahaja. Ada fatwa sesat misalnya untuk kelompok yang ingin merasai keberagaman agama menerusi observasi dan wacana terbuka.

Sebab itulah menyimbah wang untuk pembangunan agama adalah kerja kelakar. Ia hanya mencipta akar kesia-siaan, seperti yang pernah ditangisi Syed Ali. Kesia-siaan yang akan kita rintihi entah untuk berapa lama lagi.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.