Melayu menghambakan Melayu

Terdapat satu pertanyaan daripada seorang pelajar saya: “mengapakah terdapat segelintir orang Melayu berasa diri mereka tuan kepada orang lain?”

Saya pernah menerangkan dalam kolum saya di sini “M for Malaun” bahawa konsep tuan atau Bumiputera tidak ada dalam teks Melayu lama, klasik dan tradisional, dan konsep bertuan-tuan ini berasal dari cara fikir Inggeris, Frank Swettenham seperti dinukilkan oleh beliau dalam “British Malaya”.

Swettenham mungkin sengaja mengajarnya kepada orang Melayu kerana licik, atau mungkin kerana dia banyak bergaul dengan sepuak Melayu yang berdarjat dan kelas-kelasan.

Akan tetapi, suka atau tidak, seperkara yang perlu kita letak dalam ingatan ialah memang terdapat selapis orang Melayu yang memang berasa dirinya tuan, yakni lebih berdarjat daripada yang lain. Kalau kita bercakap dengan mereka, cara mereka mendabik dada bukan main lagi. Seakan-akan kita tidak layak berkincah dengan mereka.

Saya berpandangan, hal ini terjadi kerana terdapat kerangka berfikir yang mana masyarakat Melayu ini memiliki aneka kelas.
Dalam hal ini, sistem feudal Melayu inilah yang menjadi punca sesetengah dari kalangan kita berasa hanya mereka sahaja yang benar. Kelas-kelas ini menjadi petaka dan diwarisi dalam minda, atau kepala otak, sesetengah orang Melayu.

Salah satu kelas yang dikenal orang Melayu ialah kelas hamba abdi. Hal ini pernah diungkapkan oleh seorang antropologis tempatan, Mohd Aris Haji Othman, pada tahun 1985 dalam “Identiti Etnik Melayu”.

Beliau menyatakan kelas hamba ini kadang-kala datang dari kelompok mereka yang gagal melangsaikan hutang. Selalunya mereka ini berhutang daripada kaum bangsawan.

Meskipun demikian, hamba orang berhutang ini masih sedikit “lebih kelas” daripada kelas hamba abdi. Kelas abdi ini pula, malangnya, dalam banyak keadaan hanya menimpa mereka yang bukan Islam:

“Satu lagi kelas atau golongan yang perlu disentuh di sini berkaitan dengan sistem ekonomi masyarakat Melayu pada waktu itu ialah hamba abdi.

“Seorang hamba dianggap mempunyai status yang lebih rendah daripada seorang yang berhutang. Orang berhutang adalah orang merdeka.

“Namun begitu dalam hal-hal lainnya, seorang hamba mempunyai banyak persamaan dengan seorang yang berhutang. Tidak seperti hamba, orang berhutang adalah dianggap sebagai anggota dalam masyarakat yang sama.

“Pembesar atau sultan tidak boleh menghambabdikan seorang Islam. Sementara seorang yang bukan Islam boleh dihambaabdikan, seorang Islam hanya boleh dijadikan orang berhutang. Jadi dalam institusi orang berhutang pun ada hierarki statusnya” .

Bukan itu sahaja, kelompok berhutang dan hamba abdi ini akan menjadi mangsa sistem kerah, yakni kerja-paksa, khususnya dilakukan oleh golongan bangsawan.

Namun demikian, di Kedah, oleh sebab sistem birokrasi yang lebih rumit, terdapat kumpulan masyarakat yang dikecualikan daripada dikerah atau boleh diabdikan. Mereka ini antara lain adalah ahli keluarga dengan gelar Syed, orang-orang masjid, dan mereka yang pernah naik haji, termasuk juga pekerja istana:

“Dalam kalangan orang Melayu pada waktu itu, status tidak sahaja dikaitkan dengan kelas pemerintah, tetapi juga dimanifestasikan dalam institusi kerah.

“Hanya orang biasa, dari kalangan rakyat jelata sahaja yang perlu melakukan kerja-kerja di bawah sistem kerah. Selain daripada golongan aristokrat, beberapa golongan yang bukan dari kelas aristokrat juga dikecualikan daripada melakukan kerja-kerja kerah.

“Negeri Kedah yang mempunyai sistem birokrasi yang rapi menyenaraikan golongan-golongan orang yang dikecualikan daripada kerja-kerja kerah ini. Mereka ialah Raja (sultan bagi negeri-negeri lain), mereka yang mempunyai gelaran Syed (menandakan mereka berketurunan Arab), orang yang baik-baik, haji, lebai, pegawai, penghulu, pegawai masjid, pekerja-pekerja istana dan lain-lain orang yang dikecualikan.

Walaupun senarai ini berlainan antara satu negeri dengan negeri yang lain, kerap terdapat golongan-golongan yang dikecualikan daripada kerja-kerja kerah yang mencerminkan status mereka dalam masyarakat.”

Petikan dari buku Mohd Aris Haji Othman ini memberi gambaran terdapatnya kelas tuan dan kelas buruh dalam kalangan orang Melayu. Hal ini amatlah malang kerana ia diturunkan ke bawah, merata dalam anggota masyarakat.

Jadi, saya menjawab kepada pelajar saya itu, betapa Islam yang kononnya hadir di alam Melayu membawa revolusi pemikiran yang besar itu hanyalah sekepul angan-angan dalam kuliah malam Sabtu untuk sesetengah manusia perasan filsuf.

Ini menjelaskan kepada kita mengapa golongan masjid-surau, Pak Haji, puak Syed, dan penjawat awam (walaupun grednya 12) berasa diri mereka “lebih kelas” daripada sesetengah orang lain, khususnya, kadang-kala berasa lebih hebat daripada mereka yang bukan Islam.

Sebab itu ada tanggapan yang rendah terhadap sesetengah penganut selain Islam. Seolah-olah Islam memang menyatakan “yang kelas” hanyalah yang Islam. Padahal penentuan bertaqwa itu bukan mesti keimanan sahaja, tetapi juga diiring akhlak yang mulia.

Sebab itu hari ini, mungkin mereka yang melekatkan diri dengan jemaah berhalaqah berusrah tertentu atau pengikut filsuf teratas terbawah tertentu, atau NGO berteras agama Islam tertentu, akan berasa mereka lebih pandai.

Mereka juga akan berasa orang lain “penumpang”, “bongok’, “kurang kelas”, tak berapa mempunyai hak dan kerana itu, mereka yang tidak terkait akan dilihat sebagai tak ada kelas.

Cara mereka bertutur dengan kita kadang-kala terasa cengeng, dan penuh penghinaan. Tidak payah lagi bicara soal adab. Anak-anak dari kumpulan di atas berasa diri mereka lebih kelas, lebih tuan dan kita dipandang sebelah mata.

Pun begitu, kadang-kala kita juga berasa musykil mereka yang bukan Syed-Sharifah, atau bukan golongan masjid pun, kadang kala serasa diri mereka adalah ‘tuan’ atau Bumiputera yang lebih dari orang lain.

Baru-baru ini saya membaca kembali Hikayat Abdullah, kita kembali ke latar masa di Singapura pada tahun 1824. Munshi Abdullah merakam satu bahagian sejarah Melayu yang amat menyedihkan dan menurut saya begitu malang sekali.

Ceritanya, pada satu hari, Munshi merayap ke pasar di Singapura tatkala sebuah pinisi Bugis baru tiba. Apa yang Munshi lihat sangatlah menyayat hati. Munshi melihat sekitar 50 hingga 60 orang hamba lelaki dan perempuan diherdik dan ditala oleh seorang lelaki Bugis.

Hamba-hamba ini ada yang tua, ada pula yang sangat muda. Bahkan ada yang mendukung anak dan ada yang kelihatan uzur.

Munshi segera bertanya siapakah mereka? Lelaki Bugis itu menjawab, “ini dari keluarga Mangarai, yang ini seorang lelaki Mandar, jika kamu ke pelabuhan sekarang akan ada sebuah kapal memuatkan tiga empat ratus hamba.”

Harga hamba-hamba ini terdapat yang 40 dolar, ada pula 30 dolar seorang.

Rasa cuak Munshi ini tidak terhenti, beliau telah ke pelabuhan Singapura keesokkan harinya dan mencari pinisi yang termuat 300 orang hamba, kebanyakannya wanita dan anak-anak.

Menurut Munshi, terdapat mereka yang mengendong anak kecil.
Apa yang disebutkan oleh Munshi kemudiannya amatlah menyedihkan.

Munshi melihat terdapat hamba perempuan yang sedang sarat mengandung. Salah seorangnya merenung kembali Munshi dengan wajah mendung memohon belas dan terdapat genangan air mata.
Munshi malah menangis melihat keadaan itu. Ini mendorong pertanyaan, siapakah suami atau bapa kandungan tersebut. Entah-entah hamba ini diperkosa dalam pelayaran.

Kebanyakan yang datang mencari hamba untuk dibeli ini adalah saudagar atau pedagang Cina yang kaya-raya. Hamba-hamba ini terlihat makan dalam tempurung kelapa dan meminum dari ruas buluh.

Munshi menyatakan makanan yang diberi itu adalah ibarat memberi makanan kepada anjing. Hamba-hamba yang sedang diperdagangkan itu terdapat pelbagai warna kulit, malah tidak memahami bahasa Melayu. Perut mereka kelihatan kempis dan berbibir tebal.

Munshi menjelaskan pemilik hamba ini mensesah, menghambat dan memukul mereka. Hamba yang ingin dibeli ini akan ditelanjangkan, diaib dan rotan akan dihalaan ke bahagian tubuh tertentu. Anak-anak kecil keluarga hamba ini kerap ditendang di kepala.

Hamba-hamba perempuan yang muda bernilai tinggi. Jika para ibu diambil dan direbut, anak-anak ini akan meraung kerana ketakutan.

Munshi seterusnya mengisahkan hamba lelaki diikat di pinggang antara satu sama lain. Sebahagian besar hamba ini dipercayai berbangsa Bugis, Bali dan Melayu Siak, manakala kapal yang turut membawa hamba untuk dijual ini datangnya dari Minangkabau dan Pekan Baharu. Pembeli para abdi ini adalah tidak terhad berbangsa Cina, tetapi juga dari kalangan bangsa India dan malahan, Melayu (yang kelasan).

Munshi yang tidak tahan melihat keadaan tidak berperikemanusiaan ini telah menemui Stamford Raffles dan merayu agar kegiatan pemerdagangan manusia ini dihentikan. Raffles dengan segera membalas permintaan Munshi tersebut dan memberitahu, bahawa sudah terdapat banyak aduan.

Raffles menekankan yang Parlimen Inggeris akan campur tangan agar perniagaan manusia ini dihentikan.

Pemerdagangan manusia ini malangnya berterusan selama hampir dua dekad lagi. Hanya pada tahun 1833, sebuah akta, iaitu “Slavery Abolition Act of the Parliament of the United Kingdom” diluluskan untuk menamatkan penjualan-pembelian manusia dan perhambaan kecuali di dua tempat iaitu Sri Lanka dan Kepulauan Saint Helena (pengecualian ini juga dimansuhkan pada tahun 1843).

Meskipun Inggeris menghentikan perhambaan di Singapura dan Negeri-negeri Selat (Melaka dan Pulau Pinang), kegiatan perhambaan ini tetap berterusan di negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu dan hanya benar-benar dapat ditamatkan pada pertengahan 1870-an.

Dalam erti kata lain, masyarakat Melayu yang terhindar daripada kompleksiti kosmopolitanisme seperti di Kedah, Kelantan dan Trengganu serta masih utuh dan tepu kepercayaan feudalisme, perhambaan masih diraikan, dan sudah mendarah daging.

Dalam dunia moden, perhambaan di negara umat Islam masih berlaku sehingga mutakhir ini. Arab Saudi, yang dipuja dijulang oleh ramai mufti dan golongan agama (yang kedudukan kelasnya lebih tinggi daripada mereka yang tidak cukup darjat) hanya memansuhkan perhambaan pada 1962. Perhambaan ini bagaimanapun masih berterusan secara senyap-senyap di kawasan terpencil dan masih ditemukan pada tahun 1969.

Saya bimbang, jika perangai berasa tuan, memandang orang lain sebagai tiada kelas dan niat menghamba pekerja atau buruh asing adalah sebati dek cara fikir kelasan kita.

Pertama, ia terdapat dengan kental sekali dalam sistem feudalisme yang menjadi teras budaya dan sistem politik orang Melayu.

Kedua, masyarakat agamawan terlepas daripada sistem kerah dan sistem paksaan orang berhutang yang mendorong sesetengah Melayu mencari “perlindungan” dengan memburu status lebai, haji, Imam, ustaz dan akhir-akhir ini dengan menjadi ahli jemaah tertentu.
Dengan menjadi ahli halaqah, status baik mereka akan terangkat, “kalau diikram tentu susah karam”. Juga membolehkan mereka yang menjadi lebai ini lebih berkuku bila perlu.

Ketiga, perhambaan sering menimpa mereka yang bukan beragama Islam dan kerangka berfikir ini kadang-kala, hari ini, mungkin masih kekal karatnya.

Jadi ada sesetengah orang Islam, malangnya, memandang apek jual belacan, aci pembersih sampah, si Nepali pengawal, Pinoy pengambil pesan makan sebagai “hamba”.

Keempat, perhambaan pernah menjadi bahagian yang begitu dominan di alam Melayu, kecuali lebih cepat dihapuskan di negeri-negeri yang lebih kuat pengaruh Inggeris.

Maka saya berpendapat cara berfikir bagai tuan, memandang bangsa atau penganut agama selain Islam (Melayu) itu di bawah, xenophobia dan rasa kelas kerana lebih tahu agama ini, ada dasarnya. Dasar yang bobrok.

Malang sekali jika kita merenung dan melacak dasar itu dari sejarah, ia bukan sejarah yang indah atau yang boleh kita banggakan. Ia adalah episod sejarah kita yang mengecewa dan memalukan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.