Kekalahan di Tg Piai kuatkan persepsi PH kerajaan sepenggal

Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai menyaksikan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

Calon BN, Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi mengatasi calon PH, Karmaine Sardini, yang mendapat 10,380 undi. Ya, majoriti yang diperolehi calon BN adalah 1.5 kali ganda undi yang diperolehi calon PH.

Ahli politik bergegas menyalurkan naratif sendiri terhadap kekalahan teruk PH di Tanjung Piai mengikut selera masing-masing.

Dari sebelah PH, ada menteri yang menyifatkan kekalahan teruk ini sebagai gempa politik, ada pula menteri yang memohon maaf.

Ramai pimpinan PH menyalahkan kekalahan ini kepada kepimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad. Ada pula menteri yang menyalahkan komunikasi atas kekalahan teruk ini dan ada yang menggesa kerajaan kembali melaksanakan reformasi.

Dari sebelah BN pula, ramai yang berkata keputusan PRK Tanjung Piai adalah tanda penerimaan rakyat terhadap Piagam Muafakat Nasional.

Ada pula yang berkata kekalahan teruk PH bermakna PPBM akan pendek umur, ada juga yang menyimpulkan kemenangan besar BN adalah pungutan suara rakyat serta mesej jelas mereka tidak lagi percaya kepada kerajaan PH untuk menerajui negara.

Di dalam soal menaratifkan keputusan PRK Tanjung Piai, tiada siapa yang tahu siapa betul dan silap. Kesemuanya cuma kesimpulan mengikut keuntungan politik masing-masing.

Contohnya, apakah undi Cina betul-betul beralih kepada BN?

Andaikan keputusan PRK Tanjung Piai boleh menentukan hidup mati kerajaan PH, apakah orang Cina masih akan mengundi BN ataupun MCA? Tiada siapa yang yakin perkara ini akan berlaku.

PRK Tanjung Piai sepatutnya pilihan raya kecil yang tidak akan membawa perubahan kepada politik negara, oleh itu ramai yang berani bereksperimen.

Yang marah buat undi protes merajuk, yang kecewa nak mengajar orang yang mengecewakannya. Yang tidak sabar untuk menaiki jawatan lebih tinggi melakukan sabotaj secara senyap-senyap, yang benci dengan parti Mahathir pula mengundi pihak lawan.

Asalnya, kesan paling teruk yang boleh berlaku kepada PH akibat kekalahan di Tanjung Piai hanyalah kehilangan satu kerusi Parlimen PPBM dan peningkatan tekanan dalaman terhadap Mahathir untuk melepaskan jawatan perdana menteri.

Cuma tiada siapa sangka apabila semuanya berlaku serentak, keputusannya begitu mengejutkan dan memalukan PH. Keputusan ini tidak akan tercapai tanpa bantuan secara tidak langsung daripada penyokong PH sendiri.

Sasaran asal undi protes hanyalah untuk mengajar PPBM dan Mahathir, tetapi oleh kerana majoriti kekalahan sebegitu besar, yang terkena sekarang ialah seluruh PH, bukannya PPBM dan Mahathir saja.

Percayalah, ramai di dalam PH akan tersilap jika mereka menganggap perkara ini dapat diselesaikan dengan menggantikan perdana menteri secepat mungkin, cubalah kalau tidak percaya.

Hakikatnya, keputusan PRK Tanjung Piai menguatkan persepsi awam PH hanyalah kerajaan sepenggal. Ini adalah masalah terbesar PH sekarang dan masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan hanya menukar perdana menteri.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.