Pesta Sastera George Town bincang tajuk besar, dunia dan manusia

Pesta Sastera George Town atau nama rasminya “George Town Literary Festival” berakhir Ahad lalu dengan nada serius membawa harapan untuk mencari arah baik bagi negara dan dunia.

Walaupun ia menghimpunkan penulis, sasterawan, wartawan, pengamal media, penggiat seni, penerbit buku, ahli sejarah, tetapi tema yang dibawakan kali ini mengenai sejarah dan masa depan dengan tajuk “Forewords/Afterwords” (Prakata/Akhir kata).

Oleh kerana ia merupakan pesta dan bukannya persidangan atau seminar, tiadalah resolusi yang dikemukakan. Namun begitu, salah satu sesi diskusi akhir yang diadakan petang Ahad itu boleh dianggap pengungkapan rumusan semangat pesta itu.

Diskusi bertajuk “Through A Glass, Darkly” (Melalui suatu kaca, dengan gelap), panel yang terdiri daripada Jomo Kwame Sundram, Hanna Alkaf dan Ho Sok Fong dengan dimudahcara oleh Melissa Idrus membincangkan peristiwa 13 Mei, mengambil kira 2019 adalah ulang tahun ke-50 dengan berketetapan pada tema pesta itu.

Hana adalah penulis sebuah novel dewasa muda “The Weight of the Sky (2019)”, edisi bahasa Melayunya bertajuk “Di Situ Langit Dijunjung”.

Novelnya adalah penceritaan berlatarbelakangkan peristiwa itu. Buku itu yang berjaya diterbitkan di peringkat antarabangsa melalui imprint Simon & Schuster adalah pencapaian besar bagi penulis Malaysia.

Ho juga menulis mengenai masyarakat Malaysia melalui antologi cerpennya “Lake Like a Mirror (2014)”. Ia juga diterbitkan di peringkat antarabangsa oleh Granta.

Tetapi, bintang dalam sesi diskusi itu adalah Jomo. Ahli ekonomi tersohor yang muncul juga sebagai intelektual sejarah menarik perhatian pendengar dengan penerangannya mengenai konteks peristiwa 13 Mei.

Beliau menyebut bagaimana perihal kaum yang mencorakkan politik negara ini adalah hasil rentetan daripada kolonialisme Barat.

Jomo memperincikan bagaimana konsep kaum itu merupakan konstruk, iaitu suatu penciptaan. Dengan menelusuri sejarah di mana gerakan kiri ditekan sejak British mentadbir dan berlanjutan selepas merdeka.

Akibatnya, apabila rakyat tidak berpuas hati, ia disalurkan melalui sentimen perkauman dan populisme. Ini kerana tiada gerakan kiri untuk menampung suara bagi menangani isu-isu dan masalah rakyat.

Ekoran itu, naratif yang dibawa kerajaan dan pembangkang akan berkisar kepada pasak perkauman yang akhirnya tidak mengenali akar sebenar masalah.

Beliau mencadangkan pemahaman terhadap sejarah sebenar wajar dilakukan dan untuk mengetengahkan isu-isu, cara terbaik melalui kegiatan aktif masyarakat sivil.

Dewan di mana diskusi itu diadakan sesak dengan hadirin. Melalui kiraan angkat tangan, anggarannya 3/4 daripada hadirin adalah mereka yang lahir selepas 13 Mei 1969.

Tarikh itu merupakan titik tanda perubahan perjalanan sejarah negara dan ia memberikan perbezaan kepada 2 generasi berbeza. Acara utama pesta itu diadakan di Bangunan UOB yang terletak dalam kawasan Tapak Warisan Dunia Unesco.

Minat besar terhadap tajuk itu mendorong penganjur menambah masuk untuk sesi, sementara pemudahcara mencadangkan satu lagi syarahan diadakan untuk Jomo pada waktu lain.

Dalam pesta itu, ada 4 sesi syarahan yang disampaikan wartawan Goenawan Mohamad, penterjemah Harry Aveling, ahli sejarah Rebecca E Karl dan penulis esei Eliot Weinberger.

Karl yang bidangnya adalah sejarah China abad ke-20 menyampaikan syarahan bertajuk “What is to be Done?” (Apakah yang perlu dilakukan). Beliau mencadangkan jalinan persoalan sejarah berdepan pelbagai saingan dengan kesusasteraan sebagai kaedah pemaparan estetika.

Pesta Sastera tahunan itu yang berlangsung sejak 2011 adalah inisiatif kerajaan Pulau Pinang. Ia menjadi satu acara percuma terbuka untuk umum yang bersifat antarabangsa dan turut menyumbang kepada citra budaya bandar raya George Town.

Dengan arahan bersama aktivis budaya Pauline Fan dan jurubicarawara Sharaad Kutan, pesta ini mengandungi bengkel, syarahan, diskusi, pelancaran buku, pembacaan, bicarawara, acara khusus, tayangan, naratif makanan dan penceritaan.

Pembicara luarnya datang dari Amerika Syarikat, Sri Lanka, Filipina, Belgium, Kanada, India, Singapura, Indonesia, Britain, Jepun, Oman, Australia, China, Korea Selatan, Jerman dan Brunei.

Pesta ini mengungkap kesusasteraan dan persuratan lebih luas. Dari tulisan, sama ada puisi atau prosa, seni sastera itu berkembang menjadi teater, filem dan akhirnya merupakan titik inspirasi untuk aktivisme.

Sungguhpun begitu, sebagai pesta sastera, pusatnya tetap pada buku bercetak, terdapat ruangan menjual karya tulisan pembicara.

Apa yang dikatakan sastera adalah apa yang disebut oleh penulis Faisal Tehrani dalam satu sesi diskusi. Beliau menyebut tentang Sastera dengan huruf besar S.

Apa yang difahamkan dengan Sastera huruf besar S ini ialah sastera bukan saja merupakan penulisan dan penceritaan, tetapi nilai-nilai yang dibawa seperti kebebasan berfikir, bersuara, menulis dalam konteks kemanusiaan dan alam sekitar. Inilah yang terkandung dalam gagasan demokrasi.

Dalam pesta itu, ada 2 sesi membicarakan kebebasan berkarya dan cabaran penulis berdepan pihak berkuasa dan masyarakat yang tidak dapat menerima nilai demokrasi.

Sesi berupa diskusi bertajuk “Let us speak freely” (Biarlah kami bebas berkata sekarang) dan “Wise Crowds, Terrifying Mobs” (Khalayak Arif, Gerombolan Ngeri). Kesimpulannya, semua karyawan mendambakan kebebasan dan keselamatan, tetapi masyarakat tetap mahu mengawal dan menekan mereka.

Perspektif karya menurut pesta ini berupa kesusasteraan dunia, yang mana semua bahasa dihargai dan lalu lintas antaranya dilakukan melalui terjemahan. Beberapa sesi turut membincangkan terjemahan karya sastera pelbagai bahasa.

Namun begitu, pesta ini menyediakan beberapa sesi yang dibicarakan dalam bahasa Melayu. Sesi itu ialah Kata Tanpa Aksara yang turut disertai sasterawan Muhammad Haji Salleh, Tubuh dan Puisi yang melibatkan Goenawan Mohamad dan Menterjemah Nusantara kepada dunia yang turut disertai penyair Indonesia Sapardi Djoko Damono.

Tajuk lain ialah Wartawan Melayu Terakhir, Apa Ada Pada Kisah, Mencari Chairil? serta Loghat dan Karya yang mengetengahkan Sabri Yunus dan Nam Ron.

Seperti mana banyak perjumpaan berkaitan penulisan sejak 20 tahun lalu, tentunya ia tidak terlepas daripada perbincangan mengenai teknologi. Antaranya, persoalan bahan cetak akan pupus sama sekali untuk digantikan skrin sepenuhnya, juga bagaimana kesan skrin terhadap pengkaryaan.

Walaupun disepakati zaman akhbar sudah berlalu, tetapi masih ada yang menaruh harapan majalah boleh kekal. Bagi buku, umumnya masih optimis terhadapnya.

Tapi lebih penting daripada soal mediumnya adalah isi. Apa yang kini disebut sebagai “content”. Perbincangan mengenai sejarah: dan masa depan menuntut cara fikir yang lebih terbuka. Cara melahirkan dan mengurus idea dalam suasana lambakan maklumat merupakan kemahiran baru yang perlu diteroka generasi akan datang.

Daripada pemerhatian terhadap generasi baru dalam perbincangan itu, ruang pandang luar terhadap dunia bersikap optimis, walaupun semuanya sedar perubahan iklim tidak mudah ditangani, begitu juga populisme berasaskan kaum yang merupakan cabaran pelbagai hala.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.