Semua parti adalah sebahagian daripada sejarah negara

Bulan Disember mengakhiri tahun 2019 dengan menyaksikan empat parti penting negara mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka.

Pada 1 Disember, MCA mengadakan perhimpunannya. Pada 6 Disember, PKR dan Amanah juga mengadakan kongres dan konvensyennya. Sementara Umno turut mengadakan perhimpunan agung tahunannya pada 4 Disember.

Tetapi seminggu sebelum bermulanya bulan Disember, negara digegarkan dengan pengumuman bahawa debu mayat bekas pemimpin PKM, Chin Peng telah ditabur di laut lepas Lumut dan banjaran Titiwangsa pada 16 September lalu, tarikh beliau meninggal dunia pada tahun 2013.

Tarikh 2 Disember pula adalah ulang tahun Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand pada 1989, iaitu 30 tahun lalu.

MCA, PKR, Amanah dan Umno adalah parti penting dalam politik masa kini negara.

MCA sedang gembira kerana memenangi pilihan raya kecil Tanjung Piai dengan majoriti amat besar. PKR adalah parti yang diketuai oleh bakal perdana menteri yang bila-bila masa akan menyandang jawatan itu.

Amanah adalah parti kunci bagi mengekalkan kestabilan kerajaan Pakatan Harapan(PH). Umno yang mengetuai Barisan Nasional(BN) yakin dapat memenangi pilihan raya umum akan datang ekoran kemenangan di Tanjung Piai.

Tetapi seminggu lalu ini, media maya tidak bercakap tentang parti-parti yang aktif itu. Mereka bercakap mengenai PKM dan Chin Peng, kedua-duanya sudah tiada. PKM hanya tinggal dalam sejarah, baik dalam bentuk memoir ataupun kajian ahli. Chin Peng tinggal debu.

Pun begitu, perbahasan mengenainya menunjukkan polarisasi dalam dua segi. Satu dari segi perkauman yang begitu emosional antara Melayu dan Cina.

Sisi satu lagi ialah ideologikal, kiri dan kanan yang merentas kaum. Di tengah-tengahnya ialah pendirian perdana menteri dan kerajaan, termasuk polis dan tentera. Siasatan polis turut dijalankan.

Chin Peng lahir di Lumut pada tahun 1924. PKM ditubuhkan pada tahun 1930. Beliau menjadi komunis pada tahun 1939 dan diterima masuk PKM pada tahun 1940.

Pada tahun 1945, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan. Tahun berikutnya, 1946, Umno ditubuhkan.

Chin Peng dilantik sebagai ketua PKM dengan jawatan setiausaha agung pada tahun 1947. PKM diharamkan pada tahun 1948. PKMM turut terbubar pada tahun yang sama. Pada tahun 1949, MCA ditubuhkan.

Pada tahun 1951, PAS ditubuhkan. Tahun berikutnya, 1952, Parti Buruh Malaya ditubuhkan. Bekas aktivis PKMM pula tubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM) pada tahun 1955.

Sehingga tahun 1960, medan operasi Chin Peng adalah di banjaran Titiwangsa yang ketika itu bernama Main Range atau Banjaran Besar. Pada masa itu Taman Negara bernama King George V Park. Bersebelahannya ialah Gua Musang, satu-satunya daerah yang pernah dikuasai oleh PKM. Selepas 1960, PKM berpindah ke Thailand Selatan.

Pada tahun 1969, Parti Buruh terbubar. Antara aktivisnya kemudian menubuhkan Parti Pekerja-pekerja Malaysia pada tahun 1978.

PKM pula dibubarkan pada tahun 1989 ekoran perjanjian damai dengan kerajaan Malaysoa dan Thailand. Perjanjian itu juga membenarkan bekas anggota PKM yang berasal dari Malaya pulang ke kampung halaman mereka.

Chin Peng mahu pulang ke Lumut, tetapi tidak mempunyai dokumen untuk dijadikan bukti beliau adalah warganegara Malaysia.

Pada tahun 2003, PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional untuk menjadi PKR. Pada tahun 2013, Chin Peng meninggal dunia dan mayat beliau dibakar menurut upacara agama Buddha di Bangkok, Thailand.

Pada tahun 2015, PAS alami perpecahan. Pecahannya mahu menubuhkan Parti Progresif Islam tetapi gagal. Mereka mengambil alih Parti Pekerja-pekerja Malaysia untuk dijadikan Parti Amanah Negara.

PKR dan Amanah adalah sebahagian daripada Pakatan Harapan, sementara Umno dan MCA adalah sebahagian daripada Barisan Nasional. PH menggantikan BN sebagai kerajaan pada tahun 2018. Pada tahun 2019, abu Chin Peng dibawa ke Malaysia.

Walaupun saling bertentangan di antara satu sama lain, semua parti politik adalah sebahagian daripada sejarah negara, baik parti yang ditubuhkan sebelum merdeka, mahupun selepas merdeka dan juga selepas tertubuhnya Malaysia.

Negara ini bukan saja berbentuk pelbagai kaum dan agama, tetapi juga pelbagai fahaman politik dan ideologi.

Antara mereka ada yang kalah dalam persaingan di kalangan parti politik. Itu lumrah dalam persaingan. Tetapi kesemuanya adalah sebahagian daripada perjalanan sejarah negara.

Wilayah operasi PKM adalah Malaya, yang menurut mereka termasuk Singapura. Mereka tidak bergerak di Sarawak dan Sabah. Di Sarawak, pernah ada Parti Komunis Kalimantan Utara yang tidak pernah didaftar dan ia diharamkan.

Umno juga pada mulanya bergerak di Malaya, termasuk Singapura. Selepas Singapura keluar daripada Malaysia, Umno Singapura menjadi Parti Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS). Hanya pada tahun 1980-an, Umno masuk ke Sabah, tetapi tidak Sarawak.

MCA juga bermula sebagai Persatuan Cina Malaya. Apabila Malaysia ditubuhkan ia menjadi Persatuan Cina Malaysia. Tetapi ia tidak beroperasi di Sarawak dan Sabah. Pada awal penubuhan Malaysia terdapat Persatuan Cina Sarawak dan Persatuan Cina Sabah (SCA).

Parti Rakyat Malaya juga beroperasi di Malaya, tidak termasuk Singapura. Sebelum penubuhan Malaysia, parti seideologi PRM ada di Singapura, Sarawak dan Brunei yang bernama Parti Rakyat Singapura pimpinan Said Zahari.

Parti Rakyat Brunei yang menang pilihan raya dan Parti Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) yang diharamkan.

Pada tahun 1980-an, Parti Rakyat Malaya bertukar menjadi Parti Rakyat Malaysia selepas memindanya daripada Parti Sosialis Rakyat Malaya. PRM hanya beroperasi di semenanjung. Tetapi sebagai PKR, ia beroperasi ke Sarawak dan Sabah juga.

PAS bermula sebagai Pan-Malayan Islamic Party (PMIP) yang beroperasi di Malaya termasuk Singapura. Dengan penubuhan Malaysia, ia menjadi Parti Islam Se-Malaysia.

Apabila keluarnya Singapura dari Malaysia, parti di sana menjadi Angkatan Islam Singapura (AIS). PAS kemudian masuk ke Sarawak dan Sabah. Amanah selepas penubuhannya terus beroperasi di Sarawak dan Sabah.

Sebelum pembubarannya, PKM pernah berpecah tiga iaitu Parti Komunis Malaya (Marxis-Leninis) dan Parti Komunis Malaysia. Mereka kesemua menolak kepimpinan Chin Peng.

Keganasan yang berlaku pada tahun 1980-an turut dilakukan oleh kumpulan pecahan ini dan berada di luar kawalan Chin Peng. Mereka kesemua juga terbubar.

Dalam kalangan negara-negara Asean, parti komunis yang memerintah ialah di Vietnam dan Laos, iaitu Parti Komunis Vietnam dan Parti Revolusioner Rakyat Lao.

Kemboja pernah diperintah oleh parti komunis yang amat kejam, Khmer Rouge.

Parti Komunis Indonesia sudah dimusnahkan pada tahun 1965. Kini masih juga berlaku perdebatan tentang apakah yang sebenarnya berlaku pada tahun 1965.

Parti Komunis Thailand dan Parti Komunis Burma sudah lumpuh tanpa berita. Tetapi Parti Komunis Filipina masih aktif dengan Tentera Rakyat Baharu (NPA) yang melakukan keganasan.

Parti politik yang mengambil jalan senjata hanya menimbulkan penderitaan kepada rakyat dan melukakan negara yang memerlukan banyak generasi baru boleh sembuh.

Tidak kira sesiapa yang memerintah, sistem demokrasi wajar memberi tempat untuk semua parti. Ini kerana sifat demokrasi pelbagai parti adalah keragaman fahaman politik atau ideologi.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.