Surat untuk mufti Pulau Pinang

Saya ingin memberitahu Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor bahawa beliau tidak keseorangan. Nama beliau akan harum dalam sejarah kewarasan (setidak-tidaknya dalam isu mazhab).

Kepada Mufti Pulau Pinang, Yang Berbahagia Ustaz tidak keseorangan; begini, pada 26 dan 27 Disember 1992, berlangsung sebuah seminar yang bertajuk “Seminar Ahli Sunnah dan Syiah Imamiyah: Aspek-Aspek Persamaan dan Perbezaan”. Ia dianjurkan oleh Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia bertempat di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur.

Dalam seminar tersebut, seorang pembentang, Ustaz Ismail Abdul Halim menerusi kertas beliau yang berjudul “Asal-Usul Syi’ah Imamiah Daripada Perspektif Sejarah dan Budaya Awal Islam Hingga Tahun 40H/660M” berusaha untuk mencari titik pertemuan atau sekurang-kurangnya persamaan antara mazhab kita, Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Syiah. Antara persamaan tersebut, menurut beliau, adalah keimanan kepada Imam Mahdi.
Ismail mencadangkan agar hal-hal ranting tidak dibincangkan oleh orang awam yang tohor maklumatnya. Saya membayangkan tambah-tambah hari ini, dengan kewujudan media sosial yang membolehkan siapa pun terangkat menjadi dai pilihan, pencetus ummah atau ustazah kasihan.

Ismail dalam seminar itu berani menongkah arus. Di kala pembentang lain mengecam Syiah dan menabur penipuan dan mitos, Ismail dengan nekad menyarankan, saya petik: “umat Islam hari ini harus mencari titik-titik pertemuan dalam aliran pemikiran mazhab-mazhab dalam Islam dan cuba menyelesaikan masalah yang hanya perlu kepada penyelesaian. Masalah-masalah khilafiah hendaklah diserahkan ke peringkat ulama dan cendekiawan sahaja”.

Bukan itu sahaja, Wan Salim; ketahuilah Ustaz Ismail menegaskan agar mana-mana buku atau bahan bacaan yang menabur sektarianisme dihentikan. Ini kerana mazhab Sunnah mahupun Syiah, saya petik kata beliau; “telah diakui oleh ulama-ulama Islam yang muktabarah dari dulu hingga kini sebagai mazhab-mazhab di dalam Islam”.

Sudah tentu nama Ustaz Ismail ini tenggelam dalam tahun 1992, bahkan saya fikir sifat objektif beliau tentu mendatangkan masalah tatkala itu. Malah 17 tahun setelah seminar itu, satu inisiatif menerbitkan semula kertas-kertas yang dibentangkan dalam “Seminar Ahli Sunnah dan Syiah Imamiyah: Aspek-Aspek Persamaan dan Perbezaan” tersebut secara misterius menghilangkan nama beliau. Penerbitan terkutuk tersebut dengan tajuk “Prosiding Seminar: Syiah Imamiyyah Mazhab ke 5?” pada 2009 dengan sengaja memadam kertas pembentangan Ismail.

Akan tetapi Wan Salim, ketahuilah Yang Berbahagia Ustaz tidak keseorangan. Ini kerana pada 3-4 Julai 1993, satu lagi seminar iaitu “Seminar Antarabangsa Pendekatan Mazhab Sunni-Syiah Dalam Konteks Kebangkitan Islam Pendekatan Mazhab Sunni-Syiah (Syarat-Syaratnya)” dilangsungkan, yang bertempat di Hotel Federal, Kuala Lumpur. Ia dianjurkan oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dengan kerjasama MAKKISW & GAMIS dan turut dihadiri oleh Presiden PAS hari ini, Abdul Hadi Awang. Bukan itu sahaja, Harakah lidah rasmi PAS ikut membuat liputan besar untuk seminar ini. Saya percaya ustaz masih ingat akan seminar ini. Ada mufti hari ini pada 1993 itu masih di bangku sekolah.

Dalam seminar yang jelas sekali tujuannya untuk menjawab “Seminar Ahli Sunnah dan Syiah Imamiyah: Aspek-Aspek Persamaan dan Perbezaan” anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia beberapa bulan sebelumnya, seorang ulama tersohor Indonesia yang sangat terkenal di Malaysia, khususnya Pulau Pinang membentangkan sebuah kertas berjudul “Pendekatan Mazhab Sunni-Syiah (Syarat-syaratnya)”.

Pembentang tersebut almarhum Syed Hussin Habsyi menyatakan yang usaha mendekatkan mazhab Sunnah dan Syiah, atau dalam erti kata lain usaha meleraikan sektarianisme berjalan sekian lama. Ia bahkan disambut oleh ulama Ikhwanul Muslimin, saya petik tulisan almarhum yang berbunyi; pemupukan kemesraan mazhab “telah diusahakan oleh beberapa orang ulama sebelumnya termasuklah Imam Hassan Al-Banna bersama Ayatullah Kashani dan beberapa ulama yang lain ke arah perpaduan mazhab di dalam Islam.”

Yang maha penting tuan Mufti Pulau Pinang adalah betapa almarhum Syed Hussin menggariskan 8 kaedah atau pendekatan untuk meleraikan sektarianisme. Sukacita saya membincangkan kaedah itu di sini.

Pertama, almarhum menyatakan dialog mazhab boleh dilaksanakan dengan syarat tiada “dicampuri oleh kepentingan peribadi atau golongan”. Apatah lagi tiada “dihubungkan dengan politik samada yang bersifat nasional atau internasional” agar “perbicaraan kita akhirnya akan mengarah kepada satu arah iaitu ke arah mendaulat Al-Quran/Sunnah”.

Kedua, almarhum menyatakan hanya ulama yang kenal mazhab 4 dan mazhab Ja’fari sahaja yang boleh berdialog. Ini agar perbincangan itu setara, adil, berada di atas jalan dan akademis sifatnya; “yang membahaskan ini adalah ulama-ulama yang pernah mempelajari paling sedikit mazhab yang ada sekarang iaitu 4 mazhab yang terkenal dan 4 mazhab lainnya iaitu Ja’fari, Zaidi, Ibadi dan Mazhab Dzohiri’.

Dalam erti kata lain mana-mana lebai yang hanya terkongkong oleh 1 mazhab (homosektual atau gejala satu sekte) meskipun konon-konon dihormat secara olok-olokan di Oxford tidak terpakai.

Ketiga, almarhum Ustaz Syed Hussin mengatakan dialog itu mestilah terlebih dahulu “menghilangkan sifat fanatisme mazhab kerana dengan fanatisme mazhab kita tidak akan dapat mencapai sesuatu”. Beliau membawa contoh bagaimana Imam Syafi’e dan Imam Ahmad Hanbal berbincang mengenai “perihal kafirnya seorang Muslim yang tidak solat”. Menurut beliau diskusi mereka “tidak berbelit-belit kerana masing-masing mencari kebenaran”. Diskusi kedua-dua pendiri mazhab fikah dalam Sunnah itu berakhir dengan “dua hari setelah itu Imam Ahmad memperbetulkan fatwanya dengan menambahkan catatan yang mustahak setelah disepakati oleh 2 orang tokoh tersebut”.

Jadi seruan Mufti Pulau Pinang untuk memperbaharui fatwa berkenaan Syiah baru-baru ini memang menurut jalan para ulama tersohor sebelumnya. Syabas.

Keempat, yang menurut saya paling mustahak adalah, almarhum Syed Hussin menyatakan kita tidak boleh menggunakan kerangka kita untuk menghujahkan orang. Saya petik; “tidak boleh kita putuskan benar atau salahnya qaul dari sesuatu mazhab dengan fatwa ulama-ulama mazhab kita. Misalnya kita tidak boleh menyalahkan Imam Malik yang memfatwakan bahawa daging anjing itu makruh dimakan dengan mazhab Syafi’e yang menajiskan daging anjing tersebut. Justeru masing-masing mempunyai dalil yang menurut Imam yang mujtahid itu kuat. Juga terhadap mazhab Ja’fari yang membolehkan solat dengan menjama’kan antara sembahyang Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak.

Ayat di atas sudah sangat terang dan tiada selok-belok. Akan tetapi di tangan pengguna media sosial yang terpengaruh dengan IS ia akan menjadi sesuatu yang dimanipulasikan.

Almarhum ikut menggesa agar kita “harus mempelajari dalil mereka dan membandingkan dengan dalil kita, mana dia antaranya yang paling hampir dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah”.

Kelima, yang tidak kurang pentingnya adalah gesaan betapa kita mengetahui “bahawa setiap mazhab mempunyai lawan atau musuh yang cuba menjatuhkan mazhab tersebut”. Beliau mengecam tindak-tanduk berat sebelah di mana ada maulana atau mufti yang “mengutip qaul-qaul yang dhaif dari mazhab yang ia tidak suka itu atau memungut huraian-huraian dalil dari berbagai-bagai sumber yang tidak ada hubungan dengan mazhab yang dimusuhinya”.

Dalam konteks ini, mazhab Syiah sudah termaklum amat dimusuhi oleh agamawan Wahabi. Maka tentulah tidak adil kita merujuk dan memakai hujah serta argumen yang berat sebelah. Ini kerana hanya Wahabi sahaja yang akan memetik hujah tokoh Wahabi untuk menghentam musuh Wahabi.

Keenam, almarhum Syed Hussin memesan supaya masyarakat umum yang tiada ilmu tidak dibawa serta. Ini kerana, saya petik, “dalam mengadakan majlis-majlis perbandingan di antara mazhab, saya kira tidak perlu masyarakat umum ikut serta demi menjaga tidak terjadinya salah faham yang merugikan seluruh umat Islam”.

Menurut almarhum tambah-tambah “jika yang berbicara di dalam majlis tersebut adalah orang yang bertujuan untuk menjatuhkan Syiah. Ia akan berbicara hanya bagi satu pihak dan masyarakat awam menerimanya bulat-bulat.”

Perangai buruk di atas banyak terdapat di Youtube. Malahan ia dilakukan mereka yang bertaraf tok peti dan datuk nikah kahwin.

Ketujuh, Syed Hussin meminta supaya doktrin atau konsep yang sukar dalam sesuatu mazhab tidak ditafsir sewenang-wenang menurut isi perut kita sendiri. Kata beliau, saya turunkan di sini; “dalam menghadapi masalah-masalah yang ditimbulkan daripada golongan mutasyabih atau yang musykil, pihak mazhab yang lainnya tidak boleh semuanya dengan sendiri mentafsir dhazirnya kalimat-kalimat. Misalnya qaul salah satu Imam Mazhab Imamiyyah ada mengatakan bahawa ‘Kita Ahlul Bait adalah Asmaul Husna dan kita wajah Allah di dunia’ yang tersebut di dalam Ushul Kaafi oleh Al-Kulaini”.

Terakhir, yang juga mustahak adalah apabila almarhum menghujahkan betapa ada banyak pecahan dalam mazhab Syiah yang tidak benar, tentulah tidak adil kita menghujahkan semua seperti itu. Kita misalnya tidak dapat mengandaikan semua Sunnah bedebah hanya kerana perbuatan segelintir ekstremis yang membunuh orang tidak bersalah sehingga mencacatkan imej Islam di mata orang bukan Islam.

Almarhum mengatakan; “perlu kita ketahui bahawa puak Syiah terbahagi dalam puluhan sekte, maka kita harus menyebut sekte itu apabila kita hendak membahaskan tentangnya. Misal Syiah Imamiyyah, Syiah Zaidiah, Syiah Dawudiyah dan Duruz. Justeru di antara Syiah ini ada yang ghulat dan termasuk lingkungan kufur, seperti Syiah yang mendewakan Imam ‘Ali Amirul Mukminin’.

Tuan Guru Syed Hussin ikut menegur perbuatan mengkafir; kata beliau; “saya sebutkan hal ini kerana banyak saya mendengar bahawa para ulama kita hanya menyebut Syiah sahaja kemudian dia memutuskan kafir atau paling tidak telah sesat.”

Arwah Ustaz Syed Hussin dalam seminar itu turut mengecam fatwa, pandangan atau majlis anjuran agamawan yang membakar sektarianisme. Kata beliau, “Khadhorotul fadhil, kita akan pasti sepakat bahawa majlis-majlis yang akan diadakan seperti ini jauh lebih afdhal daripada majlis memaki hamun, buruk sangka atau tuduhan kafir mengkafir dan sebagainya terhadap sesama ummat Islam yang dijalankan dengan kos perbelanjaan yang besar.”

Perenggan di atas memang untuk agamawan rasis dan homosektual. Memang patut mereka berasa terbakar jika mereka itu semua “kaki takfiri”.

Maka, Wan Salim, Yang Berbahagia Ustaz hari ini berada di jalan yang betul. Jangan khuatir.

Segala seruan untuk memadam api kejahatan memang betul lagi benar jalannya. Segala tingkah untuk menyerukan penculikan paksa dan pembunuhan memang laknat dan syaitani jalannya. Terlepas di dunia tidak bermakna selamat di akhirat.

Yang berada di jalan salah ialah agamawan yang menerbitkan status sektarianisme di media sosial dan laman rasmi pejabatnya.

Ulama seperti Ustaz Ismail dan Syed Hussin memang tidak ramai, hari ini saya memasukkan nama Yang Berbahagia Mufti Pulau Pinang dalam senarai harum dan gemilang yang serupa.

Saya difahamkan, ramai minoriti agama dalam kalangan penganut Syiah (yang sekian lama tertindas) mengenang nama kalian dengan ummul kitab, sedangkan nama penindas mereka itu semua disebut-sebut oleh iblis dan malaikat pencabut nyawa, Naudzubillah.

Semoga kita, apa kepercayaan pun, tergolong dalam kelompok mereka yang berjaya “di sana” kelak. Hanya Allah sebaik-baik hakim, kerana Allah itu Maha Adil.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.