Struktur politik pakatan stabilkan negara

Hujung minggu lalu, 3 parti utama negara mengadakan persidangan tahunan mereka, Umno, PKR dan Amanah. Terdapat bukan saja perkelahian dalam Kongres Nasional PKR tetapi berlaku perpecahan jelas antara 2 kelompok iaitu penyokong Anwar Ibrahim dan Azmin Ali. Jika tiada tolak ansur, maka kelompok boleh membawa kepada pecahan atau serpihan.

Umno adalah parti pembangkang sementara PKR dan Amanah adalah parti kerajaan. Tetapi selama 60 tahun, Umno berjaya memimpin kerajaan. Antara sebabnya ialah mereka dapat berbuat demikian adalah kerana politik pakatan. Perkelahian dalaman PKR juga tidak menjejaskan keutuhan kerajaan sedia ada kerana parti itu juga mengamalkan politik pakatan bersama PPBM, DAP dan Amanah dalam wadah Pakatan Harapan (PH).

Namun jika perkelahian itu melimpah keluar parti dan masuk ke dalam PH, umpamanya mengheret sekali PPBM, maka ia boleh menjejaskan kerajaan. Tetapi selagi ia hanya berlaku di dalam PKR, struktur pakatan tetap dapat memberikan kestabilan pada kerajaan.

Dalam sejarah Perikatan dan Barisan Nasional sendiri, perkelahian dalaman parti komponen tidak melimpah kepada pakatan itu. MCA pernah melalui 3 kali perpecahan. Yang pertama pada 1960-an hingga melahirkan parti Gerakan. Perpecahan ke-2 pada 1970-an juga menyaksikan sebahagian ahlinya keluar untuk menyertai Gerakan. Sementara perpecahan ke-3 mendorong sebahagian ahlinya menyertai Parti Progresif Rakyat (PPP).

Umno juga berulangkali mengalami perpecahan. Pada 1980-an, ia menyaksikan perpecahan yang membawa kepada penubuhan Umno baru dan Parti Semangat 46. Kemudian perpecahan pada 1990-an pula yang menyaksikan kelahiran PKR.

MIC juga mengalami perpecahan yang pernah melahirkan Parti India Malaysia Demokratik (DMIP) dan Barisan Progresif India (IPF). Parti-parti lain dalam BN juga pernah mengalami perpecahan, sama ada PPP atau parti-parti komponennya di Sarawak dan Sabah.

Namun, semuanya tidak menjejaskan kerajaan BN. Antara sebabnya ialah sifat politik pakatan. Malah ada satu ketika seorang pemimpin Umno pernah dilantik untuk mendamaikan 2 kelompok MCA.

Politik pakatan atau “coalition politics” dahulunya mempunyai pelbagai nama. Asalnya “coalition” diterjemahkan sebagai kerajaan campuran. tetapi istilah itu merujuk pada kerajaan yang ditubuhkan oleh parti-parti politik selepas pilihan raya. Dalam Bahasa Indonesia, mereka menggunakan istilah koalisi. Tetapi di Malaysia, amalan Umno ialah menubuhkan pakatan parti politik sebelum pilihan raya. Pada awalnya mereka tidak menggunakan istilah pakatan. Mereka menggunakan istilah Perikatan yang merupakan terjemahan daripada Alliance. Pada pilihan raya pertama Malaya iaitu untuk kerusi “munisipal” atau majlis bandaran, ia disebut sebagai Umno-MCA Alliance. Perkataan Alliance juga merupakan variasi kepada perkataan Allies, iaitu istilah yang digunakan oleh negara-negara yang menentang Jerman. Allies diterjemahkan sebagai Berikat. Sementara musuhnya dipanggil Axis Powers atau Kuasa Paksi yang terdiri daripada Jerman, Jepun dan Itali.

Kuasa Berikat adalah pakatan yang asasnya merupakan kerjasama antara Amerika Syarikat dan Soviet Union. Ia turut disertai oleh Britain, Perancis dan Republik China, ketika itu ditadbir oleh Parti Kebangsaan iaitu Kuomintang. Oleh kerana asasnya adalah kerjasama antara kuasa Demokrasi dan Komunis, maka di China juga, pakatan diwujudkan antara Kuomintang dan Parti Komunis China.

Di Britain sendiri ditubuhkan National Government atau Kerajaan Kebangsaan antara Parti Konservatif dan Parti Buruh bagi menghadapi perang.

Pemimpin Soviet Union dan ketua komunis dunia ketika itu, Stalin mengarahkan penubuhan United Front atau Barisan Bersatu. Maka di Malaya, Perang Dunia Kedua menyaksikan Parti Komunis Malaya bekerjasama dengan Britain.

Selepas perang, pakatan politik yang pertama dilakukan antara Pusat Tenaga Rakyat (Putera) pimpinan Burhanuddin Al-Helmy dan Majlis Tindakan Bersama Seluruh Malaya (AMCJA) pimpinan Tan Cheng Lock. Parti utama dalam Putera ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). AMCJA turut disertai MIC. Kemudiannya selepas kegagalan AMCJA barulah Cheng Lock menubuhkan MCA.

Ketika Darurat diisytiharkan pada 1948, banyak pemimpin Putera-AMCJA ditangkap walaupun mereka bukan komunis. Ini kerana penjajah British melihat berlakunya Barisan Bersatu antara parti-parti Putera-AMCJA dengan PKM.

Dalam pilihan raya pertama Malaya pada 1955, Perikatan menang ketika mana pesaingnya gagal menubuhkan sebarang pakatan.

Pesaing Perikatan hanya menubuhkan pakatan ketika menghadapi pilihan raya 1959. Mereka menubuhkan Socialist Front (SF) yang terdiri daripada Parti Rakyat, Parti Buruh dan Parti Konvensyen. Dalam bahasa Melayu, ia dinamakan sebagai Fron Sosialis. Front bermaksud Barisan. Tetapi istilah Barisan belum digunakan di Malaya walaupun ia sudah dipakai di Indonesia.

Hanya apabila pecahan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang sefahaman dengan SF mendaftar parti mereka sebagai Barisan Sosialis. Tetapi barisan itu adalah terjemahan pada front yang merujuk kepada banyak parti. Di Malaysia, istilah barisan hanya digunakan apabila Barisan Nasional ditubuhkan pada tahun 1974. BN merupakan gabungan banyak parti. Tetapi apabila sebuah parti pecahan PAS ditubuhkan pada 1978, ia menamakan diri mereka sebagai Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa). Begitu juga dengan All-Malaysian Indian Progressive Front (AMIPF).

Kedua-dua parti itu menyertai pakatan yang diketuai oleh Parti Semangat 46. Pemimpinnya,Tengku Razaleigh Hamzah menamakannya Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat dan tidak menggunakan istilah perikatan atau barisan.

Ketika itu, parti pembangkang sedar bahawa hanya ada pakatan, barulah mereka berpeluang mengalahkan Umno. Mereka tidak berpakat dalam pilihan raya umum 1969. Walaupun banyak pengundi menolak Perikatan tetapi Gerakan dan DAP bertanding di antara satu sama lain mengakibatkan pecah undi.

Apabila muncul gerakan Reformasi, parti pembangkang berjaya disatukan dengan nama Barisan Alternatif. Mereka menggunakan istilah barisan untuk menjadi cermin kepada BN. Tetapi ia tidak padu kerana kemudiannya DAP keluar.

Istilah pakatan muncul selepas pilihan raya 2008. Dengan meraih 5 negeri, Barisan Alternatif dengan DAP diisytihar oleh Anwar sebagai Pakatan Rakyat. Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan pendokong BN berseloroh mengenai istilah pakatan yang dianggapnya sebagai perkataan untuk merujuk pada kerja jahat. Umpamanya ungkapan “pakatan sulit”.

Namun pakatan adalah daripada perkataan pakat, yang boleh menjadi variasi kepada istilah muafakat. Apabila PH ditubuhkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat, istilah pakatan sudah diterima sebagai sama maksud dengan perikatan dan barisan. Kini apabila disebut politik pakatan, maka ia menjadi terjemahan kepada “coalition politics”. Sementara PAS yang mahu kerjasama dengan BN menamakan pakatan mereka sebagai Muafakat Nasional.

Realiti politik di negara ini ialah tidak ada parti yang boleh meraih kuasa bersendirian. PAS yang menolak DAP dengan mengakibatkan pembubaran Pakatan Rakyat kini telah bekerjasama dengan MCA melalui Muafakat Nasional. Mereka memerlukan pakatan politik kerana hanya cara itu, kestabilan dapat diwujudkan baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Dalam politik pakatan, rundingan dan tolak ansur perlu dilakukan. Selain itu, perkara yang tidak kurang penting adalah dilarang sama sekali mana-mana parti mencampuri urusan ehwal dalaman sesama komponen. Maka Bersatu, DAP dan Amanah wajar tutup mulut terhadap apa yang berlaku dalam PKR.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.