Nasihat Munshi Abdullah untuk pengarang

Terdapat beberapa nasihat yang amat berguna ditemukan pada Munshi Abdullah untuk sasterawan dan bakal pengarang yang boleh dikutip dan diamalkan.

Munshi seperti mana yang kita semua ketahui adalah pengarang sastera Melayu, tetapi bukan berbangsa Melayu yang amat hebat dan berwibawa. Beliau lahir di Melaka, mendewasa secara intelektual dan menemui kematangan berfikir di situ sebelum berhijrah ke tempat lain.

Kebanyakan nasihat Munshi itu terserlah di dalam kanun Hikayat Abdullah yang menggambarkan detik-detik beliau di Melaka; belajar dan bertatih membaca, mempelajari pelbagai bahasa, seraya mencipta nama sebagai seorang “tukang surat”.

Saya mendapati Munshi banyak juga menurunkan nasihat kepada mereka yang berhasrat menjadi pengarang.

Pertamanya, seorang yang berhasrat menjadi pengarang atau memang sudah menjadi sasterawan, tidak dapat tidak dia haruslah berterusan membaca. Ini hanya melalui pembacaan sahaja kepengarangan seseorang itu akan terbina dan dengan segera memupuk keterampilannya.

Kata Munshi, membaca, khususnya teks Melayu akan ditemukan “faedah” juga “rahsia” dan kemahiran lenggok bahasa:

“… aku terlalu suka membaca surat hikayat sebab terlalu banyak faedah yang kuperoleh dalam hikayat-hikayat. Maka di situlah aku bertemu dengan beberapa rahsia bahasa Melayu. Maka barang di mana sekalipun, kalau ada orang menaruh hikayat yang belum kudengar, maka seboleh-bolehan, jikalau dapat, kupinjam atau kusewa.

“Maka sampai habis kubaca, kemudian barulah kupulangkan. Maka di situlah tempat aku biasa membaca surat dan aku mendapat faham akan tempat perhentian dan kuat perlahan dan sebagainya.”

Perenggan di atas bukan sahaja mendedahkan satu prasyarat sebagai seorang pengarang, ia juga menganjurkan seni persuratan Melayu itu mengandungi satu identiti khas, tidak lain tidak bukan adalah “faedah”.

Ia menjelaskan didaktisme dalam karya-karya Melayu terdahulu, termasuklah karangan-karangan Munshi itu sendiri. Hal ini akan saya panjangkan lanjut kemudian.

Nasihat kedua Munshi tetap berkait dengan pembacaan. Menurut Munshi pembacaan hikayat atau teks tradisional Melayu seakan memiliki magis tersendiri.

Membaca karya-karya tersebut menyediakan fondasi yang utuh untuk seseorang sasterawan kerana ada kekuatan tersembunyi; yang mana, sekali lagi faedah ditekankan.

Secara misterius faedah pembacaan itu hanya akan turun mengalir dalam tulisan-tulisan kita apabila proses mengarang itu bermula. Dalam erti kata lain, membaca dan mengarang saling bertali-talian.

“Insya-Allah, akan kusebutkan juga di bawah ini darihal segala perkara itu. Maka sebab itulah aku berpesan kepada segala sahabatku yang membaca hikayatku ini, maka jikalau hendak menjadi pandai dalam bahasa Melayu ini, maka hendaklah kiranya tuan berjinak-jinak dengan segala hikayat-hikayat bahasa Melayu karena ada dalamnya itu tersembunyi beberapa benda yang mulia yang tiada engkau ketahui faedahnya pada masa itu serta-merta; akan tetapi nanti kemudian kelak, ia itu berguna besar pada masa engkau hendak mengarang barang suatu, atau pada ketika orang bertanya apa ertinya perkataan ini dan bagaimana memakai dia.”

Ini bermakna secara ringkasnya masalah kekontangan kosa kata yang sering ditemukan dalam satu-satu karya menjadi indikasi betapa seseorang pengarang itu rajin atau malas membaca.

Bahkan hanya dengan membaca karya lama, kita akan memahami bagaimana menuliskan atau cara menggunakan kata yang sesuai dan cocok:

“Nescaya kelak pada ketika itulah engkau teringat bahawa ada aku bertemu dengan perkataan ini dalam kitab anu dan hikayat anu, demikian-demikian gunanya dan ertinya.”

Dalam nasihat ketiganya, Munshi memperakukan nilai-nilai fiksi sesebuah karya fiksyen. Beliau melihatnya sebagai satu “kebohongan” yang menurutnya jangan sampai dipercaya. Ini berkait dengan istilah “faedah” yang disebutnya berkali-kali.

Sebuah karangan atau hikayat itu, dalam konteks hari ini cerpen atau novel, tentu sahaja muncul dari satu yang diada-adakan. Pun, jauh terselindung dari kebohongan itu terdapat faedah yang tersembunyi:

“Maka bahawasanya dalam hal ini, janganlah engkau salah faham. Maka sesungguhnya kuketahui dengan sebenar-benarnya adapun hikayat-hikayat itu kebanyakannya bohong daripada yang benar, adanya. Akan tetapi, sungguhpun demikian itu bahawa sekali-kali tiada aku suruh engkau percaya akan ceritera-ceritera hikayat itu.

“Adapun jikalau bagaimanapun sekalipun bohongnya ada di dalamnya itu, maka biarlah dia tinggal di tempatnya. Maka janganlah engkau endahkan dia, tetapi hendaklah engkau ketahui adapun pengarangnya itu orang yang pandai juga, adanya, bukannya si engkau si aku. Maka sebab itu kita ambil kepandaian ilmunya itu.”

Munshi dengan itu mendorong pengarang mengambil yang baik-baik dari satu pembacaan. Mungkin sahaja Munshi di kala menulis Hikayat Abdullah, dan perenggan di atas mempertahankan tuduhan sesetengah orang yang mengejek betapa karya Melayu lama dipenuhi kebohongan atau khayalan.

Munshi juga menganjurkan kekurangan atau kelemahan sesebuah karya itu diambil perhatian, “biarlah dia tinggal di tempatnya”, namun kebaikan yang terdapat dalam karya tersebut eloklah diperkirakan, memandangkan “pengarangnya itu orang yang pandai juga, adanya, bukannya si engkau si aku”.

Dapat dihujahkan juga di sini, Munshi menyediakan asas menulis sesebuah kritikan, iaitu memberi tumpuan kepada “kepandaian ilmunya” tanpa perlu membesar-besarkan kekurangan sedia ada yang dirujuk oleh beliau sebagai kebohongan pada “ceritera-ceritera hikayat itu”.

Sebagai seorang pengarang yang telah diakui terkehadapan dalam zamannya, nasihat Munshi ini jangan dipandang enteng. Ini kerana Munshi menegaskan betapa membaca, meneliti dan menekuni faedah, seraya menyaring kebohongan itu sebagai satu latihan untuk mengarang karya yang “molek-molek”:

“Syahadan, apabila kita sudah mengetahui akan segala rahsianya itu maka kemudian kelak bolehlah kita mengarangkan pula barang yang kita kehendaki daripada hikayat yang benar-benar dan rencana yang molek-molek. Dan lagi, istimewa pula kita telah mengetahui akan segala ertinya itu maka makinlah bertambah-tambah elok karangan itu.”

Dalam nasihat keempatnya, Munshi menyatakan seseorang pengarang itu mestilah mengerti dan menguasai apa yang dikarangnya. Ini kerana fenomena pengarang tidak memahami apa yang diungkapkan dalam karyanya itu sudah menjadi satu kebiasaan, dahulu mahupun sekarang.

Munshi menegur pengarang yang meraban, yang mana boleh kita tafsirkan satu kritikan supaya seseorang pengarang itu menulis sesuatu yang jelas dan difahami:

“Sudah terang lagi bersuluh, karena [kecuali sepuluh] kecuali kulihat banyaklah orang-orang yang pandai membaca surat-surat Melayu dan hikayat-hikayat Melayu, jikalau kita tanya apa ertinya perkataan ini yang engkau baca, maka tercengang-cengang ia, tiada boleh ia memberi jawab sebab tiada ia belajar dan tiada diketahuinya apa asalnya dan bagaimana kuasanya perkataan ini, melainkan meniru-niru sahaja.

“Maka itulah orang yang tau membaca surat sahaja, tetapi tiada berguna akan dia dan tiada boleh ia mengarang barang sesuatu oleh sebab ia tiada mengerti, seperti umpama seorang ada menaruh perkakas lengkap genap semuanya, tetapi tiada diketahuinya apa-apa gunanya dan bagaimana memakai dia.”

Munshi seperti terlihat di atas, tidak menekankan peri bentuk atau cerita pada karya semata-mata, yang dirujuk beliau sebagai “kebohongan” itu tadi.

Akan tetapi yang menjadi keutamaan beliau adalah agar pengarang “tidak meniru-niru”, benar-benar tahu, mengerti gunanya sesuatu kalimat dan tidak memandai.

Pengarang yang gagal menguasai bahasa itu menurut Munshi adalah tukang yang kasar. Seseorang pengarang yang berhalus kraf penulisannya, hanya terjelma dari pembacaan yang kritis dan sangat berhati-hati:

“Maka bolehkah ia menjadi tukang? Maka kalau dengan keras ia menjadi tukang juga, dapat tiada perkakasan itu pun rosak dan benda yang hendak dibuatnya itu pun binasalah. Maka lama-kelamaannya segala perkakasan itu habis dimakan oleh karat.

“Demikianlah keadaannya ilmu mengarang itu pun. Maka jikalau barang suatu perkataan itu dipakaikan berpatutan dengan tempatnya, nescaya sedaplah bunyinya dan setujulah dengan ertinya. Maka jikalau dengan bukan-bukan tempatnya dipakaikan dia, canggunglah ia: Seperti antan dicungkilkan duri, adanya.”

Penggunaan peribahasa dalam perenggan di atas “seperti antan dicungkilkan duri, adanya” merupakan satu pendekatan sastera tradisional, khusus sastera Melayu demi meluruskan generasi muda. Atau dalam pengertian lain, dijadikan satu alat pengajaran.

Dalam konteks ilmu persuratan, nasihat dan pengajaran seumpama ini adalah didaktisme. Formula didaktik dengan tujuan menggurui ini dapat ditemui dalam banyak peribahasa, dan simpulan bahasa.

Terdapat banyak peribahasa, dan simpulan bahasa yang diturunkan oleh Munshi dalam karya-karyanya. Malahan dalam setiap bab atau darihal yang beliau turunkan dalam karya-karyanya, termasuk Hikayat Abdullah, Munshi memanfaatkan elemen didaktisme ini sepuas-puasnya untuk menasihat, mengkritik dan menegur bangsa Melayu.

Nasihat kelima Munshi yang sangat baik dijadikan panduan dan petua penulisan tentulah berkait dengan bahasa itu sendiri. Munshi mengkritik anak-anak Melayu yang enggan belajar bahasa sendiri, atau dalam maksud lain tidak berasa bangga dengan bahasa dan persuratan Melayu:

“Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihatkan dan memikirkan hal orang Melayu ini, belum sedarkan akan dirinya, ia tinggal dalam bodohnya itu, oleh sebab ia tiada mau belajar bahasanya sendiri dan tiada mau menaruh tempat belajar bahasanya itu. Maka mustahil pada akal: Adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai sendirinya?

“Bukankah segala bangsa-bangsa yang lain dalam dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya, melainkan orang Melayu? Dan lagi pula, katanya, ‘Apakah gunanya dipelajari karena ia itu bahasa kita? Lagipun, dalam dunia sahaja berguna, terlebih baik bahasa Arab, berguna dunia akhirat’. Itu pun benar juga, tetapi hairan aku bagaimana boleh diketahui bahasa orang lain, jikalau sebelum mengetahui bahasa kita sendiri dahulu?”

Oleh yang demikian, Munshi menegaskan kepentingan orang Melayu menguasai bahasa sendiri, kerana dalam banyak keadaan Munshi menegaskan bahasa Melayu itu kaya kerana terdapat rahsia “barang tauladan atau petua atau tiruan” selain banyak perkataan yang “indah-indah dan yang manis-manis” di mana boleh ditemui dalam “simpulan perkataan dan ikatan perkataan dan tangkai perkataan dan ringkasan perkataan dan lanjutkan perkataan dan kuasa perkataan dan memaniskan perkataan dan tumbuh perkataan dan campuran perkataan dan tuju perkataan dan tajamkan perkataan dan sindiran perkataan dan rahsia perkataan dan sebagainya”.

Sekali lagi Munshi menegaskan “faedah”, “tauladan”, dan “petua” tersebut diungkap dengan indah. Kepakaran Munshi dalam hal ini wajar disandarkan kepada beberapa guru beliau.

Kebanyakan guru beliau itu adalah bijak pandai yang sebenar seperti contohnya Datuk Sulaiman dari Kampung Hulu yang sudah berusia 80 ke 90 semasa beliau menjadi muridnya. Selain Datuk Astur yang menguasai adat dan juga petua Melayu, termasuklah hikayat-hikayat lama.

Munshi berkali-kali menegaskan, menolak hujah bahawa bahasa Melayu itu mudah dan merayu agar generasi muda benar-benar berhati-hati dan mendalami bahasa ini sebelum berpindah mempelajari bahasa lain:

“Sebermula maka mereka itulah sekalian guruku yang menyatakan kepadaku akan segala rahsia bahasa Melayu, maka ialah yang mengatakan kepadaku bahawa bahasa Melayu itu ada nahunya dan sarafnya dan ‘urufnya.

“Dan lagi ada pula beberapa perhentiannya dan permulaan bahasa, dan baris di atas dan di bawah dan di hadapan dan tanda mati. Dan lagi ada pula perkataan jikalau dikeraskan suara menjadi lain ertinya dan jikalau diperlahankan, jadi lain ertinya.

“Dan lagi, ada pula berbagai-bagai perhiasan bahasa itu masing-masing dengan tempatnya. Sekaliannya ada lengkap genap belaka dalam bahasa Melayu. Lagipun, dengan manis bunyinya.”

Untuk rekod, Munshi menguasai banyak bahasa termasuklah bahasa Hindustan yang beliau pelajari selama 3, 4 tahun daripada askar-askar dan pedagang-pedagang Hindustan seraya mengajar pula mereka bahasa Melayu.

Mereka inilah kemudian memberikan beliau gelar Munshi ekoran penguasaan bahasa Melayu beliau. Munshi juga menguasai bahasa Tamil, Cina dan Inggeris.

Nasihat-nasihat dan pengajaran oleh Munshi di atas adalah satu panduan untuk pengarang, baik muda mahupun tua.

Hari ini, karya atau karangan sastera Melayu yang indah dan manis, penuh faedah dan kepandaian di sebalik kebohongan tidak akan dapat digubah dan ditukangi dengan halus, melainkan dengan satu prasyarat paling besar. Ia adalah kesungguhan membaca dengan kritis, dan kepintaran menyaring.

Benarlah, saya pernah memikirkan; tanpa kebolehan membaca yang rapi dan mendalam, bakat mengarang seseorang itu akan tumpul.

Jika bakat itu tumpul, lantas dipaksakan menulis, yang terkesan kelak bukan rapi dan dalam; sebaliknya hanyalah sipi dan mengkelam.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.