Munsyi menyambut Krismas

Saya memberitahu seorang rakan, Krismas atau hari Natal ini, saya bercadang mengunjungi gereja.

Hasrat saya itu hanya disambut dengan senyuman dan gelengan. Teman itu memandang saya seolah-olah saya perlu digiring ke mesin poligraf selama 4 jam, demi menentukan kata-kata saya itu cukup asli atau satu pembohongan.

Hari ini, Abdullah Abdul Kadir Munsyi – pengarang Hikayat Abdullah – seandainya masih hidup, beliau jangan-jangan akan menjadi sasaran kehilangan paksa yang dimotivasikan oleh kaum Wahhabi. Apa saja boleh jadi. Ini memandangkan Munsyi itu seorang pendialog.

Manakala pada waktu sama, Munsyi tentu kurang senang dengan kaum Wahhabi yang terjemahan Al-Quran oleh Muhammad Muhsin Khan dan Muhammad Taqi-ud-Din al-Hilali bernada perasan benar dan syok sendiri. Padahal sewaktu Munsyi menerjemah Bible, ia melakukannya dengan sungguh-sungguh sekali, dan tidak mencari kesempatan untuk menghukum kepercayaan lain.

Mungkin pula Munsyi akan menjadi sasaran golongan kanan sehingga diteriak-teriakkan agar “balik India”.

Pun Munsyi, yang bapanya berdarah Arab manakala ibunya berdarah India tentu akan beroleh status Bumiputera. Ini kerana beliau amat fasih akan bahasa dan budaya Melayu.

Namun begitu Munsyi mungkin saja menyampah dengan hak keistimewaan sebagai Melayu, lantas memilih untuk didaftar sebagai India sahaja dalam kad pengenalannya.

Munsyi juga barangkali dipandang ringan. Apa yang pasti, Munsyi bukan ahli Umno, PAS, tidak sama sekali Isma, tetapi boleh jadi sahaja akan tetap difatwakan sesat.

Munsyi mungkin akan diusir ke luar negara. Dia akan ke Singapura, mungkin juga memilih ke Indonesia. Hikayat Abdullah diharamkan. Semua gara-gara Munsyi itu seorang pendialog.

Munsyi hari ini mungkin akan belajar bahasa Cina, dan segala macam lisan lain. Tetapi, kerana itu juga Munsyi mungkin akan dicop liberal. Menjadi pelajar dan pengajar bahasa Melayu satu masa dulu amat bermakna. Hari ini tidak lagi.

Munsyi mungkin tidak dipilih DBP menjadi Sasterawan Negara. Akan ada macam-macam alasan menidakkan kehebatan Munsyi. Yang paling utama ialah kerana Munsyi tergamak mengkritik Melayu atau Munsyi itu sebahagian dari penjajah. Salah satunya isu ialah Munsyi boleh berbahasa Inggeris.

Satu ketika lampau, terdapat tanggapan bahawa mempelajari bahasa Inggeris akan menyebabkan fikiran rosak dan terpengaruh dengan agama Kristian. Munsyi menerangkan bagaimana “jenaka’ ini mendapat tempat dan menjadi topi beban di atas kepala beliau:

“Bermula, maka adalah telah berpuluh-puluh kali aku ini disuruhkan oleh tuan-tuan itu memanggil dan mencari anak-anak Melayu supaya boleh ia belajar dan mengetahui membaca dan menulis, baik bahasa Melayu, baik bahasa Inggeris. Maka oleh sebab bodohnya dan sangka mereka itu nanti dimasukkan Inggeris, tiadalah ia mau datang, karena fikiran mereka itu dengan kekerasan nanti ditangkap dimasukkan Inggeris. Maka beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu serta memberitahu akan mereka itu bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang ke dalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka, melainkan supaya kamu boleh belajar dan mengetahui bahasa kamu dan bahasa Inggeris, kelak nanti di belakang banyak gunanya.”

Kenekadan Munsyi mempelajari bahasa Inggeris di tengah prasangka, dan pergaulannya dengan para paderi khusus dari Kolej Anglo menyebabkan Munsyi didengki orang. Bukan itu sahaja, terdapat label dan tohmahan bahawa Munsyi sudah terpengaruh dengan agama Kristian sehingga beliau dipanggil Abdullah Paderi.

“Maka pada sangka mereka itu, ia itu suatu nama keji dan aib. Dan lagi, diumpat oleh mereka itu akan daku sebab baik dengan orang putih, lagipun mengajar akan dia bahasa kita suatu dosa. Maka adalah pada fikiranku adapun amarah dan dengkinya itu sebab ia bodoh, akulah cerdik. Bolehkah orang bodoh itu menjadi guru paderi dan orang-orang putih? Dapat tiada orang yang pandai juga boleh jadi.”

Jika Munsyi masih hidup dan terpikat mempelajari bahasa Inggeris, mungkin dia dirumus denga mudah sebagai penganut Syiah. Walau Munsyi sebetulnya seorang kaki dialog. Dan tidak pernah merasakan Sunni sentiasa benar.

Apakah yang dimaksudkan dengan dialog di sini?
Menurut Azizan Baharuddin, bekas pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya, dialog adalah “suatu bicara dengan pihak yang berfikiran berbeza daripada kita”.

Apakah tujuan dialog?

Azizan berkata ia adalah “untuk kita belajar dari pihak atau orang lain itu suatu cara berfikir yang berlainan dan baru.”

Sayugia diingatkan dialog adalah satu pendekatan diplomasi, kaedah berfikir yang bernas, dan merupakan satu proses pembangunan dalam masyarakat. Dialog bukanlah debat.

Dialog sesungguhnya berlaku agar kita dapat meletakkan keadaan diri kita di dalam kasut mereka justeru membolehkan kita membuat tindakan yang munasabah, tepat, tidak menganiaya dan menegakkan keadilan.

Siapa pernah meletak diri menjadi seorang Ahmadi misalnya? Atau memikir bagaimana agaknya kalau berada di dalam sepatu Syiah? Kemudian bagaimana kalau kita ini Nasrani?

Hal ini sekali lagi dinyatakan oleh Azizan, “Di dalam sebuah dialog semua pihak mesti mendengar dengan perasaan yang berempati supaya dapat difahami kedudukan pihak yang lain dengan setepat yang mungkin.”

Tetapi jangan salah sangka, dialog bukan debat.

Azizan menggariskan 7 prinsip berdialog bagi membezakan ia dengan debat yang bertujuan kalah menang.

Peraturan dialog tersebut antara lain ialah pertamanya, mempelajari dan memahami realiti sebenar agar dapat bertindak dengan lebih matang; kedua, wujud secara intra dan inter peradaban; ketiga, pendialog itu jujur dan menganggap pihak lainnya juga sedemikian; keempat, pendialog mesti boleh, atau dapat menjelaskan pendirian masing-masing tentang isu atau definisi isu tanpa diganggu; kelima, dialog hanya dapat berjalan apabila pihak terlibat memiliki hak yang sama; keenam, dialog hanya dapat dimulai tanpa rasa curiga dan terbina rasa percaya; ketujuh, pendialog mestilah boleh berempati dengan pihak di seberang.

Munsyi dihormati oleh pihak berdialognya. Ini bermakna Munsyi memiliki cukup wibawa dan juga mematuhi semua tujuh prinsip dialog di atas.

John Turnbull Thomson, seorang “surveyor” antara tahun-tahun 1838-1841 dan penerjemah awal Hikayat Abdullah, menukilkan dalam “Glimpses into Life in Malayan Lands” (1865) betapa Munsyi adalah seorang pendialog yang terpercaya dan matang.

Beliau menyifatkan Munsyi “man of note in Malacca”. Thomson juga merujuk Munsyi sebagai boleh berbahasa Inggeris seadanya tetapi memadai untuk menguasai perbincangan atau perbualan, “spoke broken English, but understood it pretty well in general conversation”.

Thomson juga merujuk Munsyi sebagai seorang Muslim yang patuh: “He was a staunch Mahomedan, yet, notwithstanding this, it was clearly perceptible that his opinions had been much modified.”

Nah betapa melesetnya tanggapan beberapa orang bodoh, yang Munsyi sudah “masuk Kristian”. Malah, kita boleh merasa empati dengan pihak lain tanpa perlu mengorbankan kepercayaan dan keimanan kita.

Thomson malah memperihalkan siri dialog yang kerap antara beliau dan Munsyi, “We had frequent arguments, religious and metaphysical.” Perbezaan dan siri dialog Munsyi dan Thomson ini bagaimanapun bukanlah debat kering ala-ala Zakir Naik, tetapi berlaku secara matang yang mana Thomson sendiri merupakan antara penerjemah karya besar Munsyi.

Antara isu panas melebihi panasnya Ahmat Deedat, yang dibincangkan oleh mereka adalah poligami, dan konsep triniti. Thomson merujuk dialog panas antara beliau dan Munsyi sebagai setara dan mendorong kecerdikan dua belah pihak meskipun terkadang kedengaran mentah dan kasar, “Such were our discussions. They may be crude, but the heat of argument and zeal was not the less on either side.”

Adegan dialog antara mereka berdua tersebut ada dirakam oleh Thomson. Dalam petikan di bawah ini kedua-dua pendialog berhujah mengenai kebenaran agama masing-masing iaitu Islam dan Kristian tanpa perlu menghunus senjata dan semata-mata bertujuan untuk saling mengerti antara satu sama lain:

“‘Well,’ said [Munsyi] Abdulla, ‘you must not object to my faith either, for I have our holy Scriptures in the Koran for my guide.’
“‘Very good,’ said I, ‘Abdulla, then refrain from calling our holy mysteries absurd.’
“‘But,’ he would add, ‘you surely do not believe that Jesus could be the Son of God. He was only a man; though we admit that he was the greatest of the prophets. He could surely never be God’s equal. Our faith teaches us to call ourselves hamba Allah (God’s slaves). It would be profanation to say that even Jesus could be anything else in this world.’
“I replied: I must give much the same answer as previously. If God made the universe, if He be the Almighty, then it follows that all things must be possible with Him, even to His only-begotten Son appearing in the actual man, whose image is of God. We are taught in our holy Scriptures to call God our Father; we are, therefore, His children. You are taught to call yourselves His slaves. Thus our religion must be the better of the two, as it brings us nearer to Him.”

Saya memetik perenggan bagaimana mulanya Munsyi membaca buat pertama kali terjemahan Kitab Injil yang sebetulnya dilakukan dengan semberono. Kitab ini diberikan oleh Paderi Milne pada 1823 di Melaka ketika hari-hari awal penubuhan Anglo-Chinese College.

Dalam insiden ini, Munsyi berlapang dada untuk cuba mempelajari sesuatu yang sama sekali lain dari kepercayaannya tetapi kekal melakukannya demi menambah ilmu pengetahuan. Munsyi menulis begini;

“Hatta, apabila keesokan harinya, aku unjukkanlah kepada segala kawan-kawanku yang dekat-dekat di situ. Maka masing-masing pun membaca. Ada yang tiada dapat membaca sekali-kali; ada yang merangkak-rangkak membacakan, akan tetapi seorang pun tiada tau akan ertinya, melainkan masing-masing melarangkan aku, katanya, ‘Jangan baca kitab ini. Buangkan, karena ini kitab orang putih. Nanti rosak iman kita.’ Maka jawabku kepada mereka itu, ‘Bagaimana engkau boleh tau ini kitab orang putih? Bukankah ini bahasa Melayu? Dan bolehkah ia ini merosakkan iman kita? Apakah ertinya iman itu? Adapun ertinya iman itu yang kuketahui, percaya. Mana jikalau kiranya aku membaca seribu kitab agama lain-lain, jikalau tiada percaya aku akan dia, bolehkah rosak iman? Aku tiada mau menengar perkataan bodoh itu’.”

Hari ini watak seperti Munsyi mustahil wujud. Sistem pendidikan kita pun tidak pun mendokong watak sebegini. Silap haribulan guru sendiri tidak bersedia menjadi Munsyi.

Itulah, bayangkan Munsyi mungkin mengekor saya sekali untuk meraikan Krimas tahun ini. Jika dia masih hidup, Munsyi akan gembira melayan dialog.

Seperti hasrat saya ingin diundang ke gereja, dan berdialog.

Tetapi hari ini, kunjungan ke gereja akan dikecam, dan terlihat serong.

Hari ini, jika Abdullah Abdul Kadir Munsyi, yang mengarangkan Hikayat Abdullah, seandainya masih hidup, beliau jangan-jangan akan menjadi sasaran kehilangan paksa yang disaran oleh agamawan Wahhabi.

Munsyi akan mengkritik Wahhabi. Munsyi mungkin diejek sebagai Pastor. Munsyi akan berdepan tohmah. Semua itu mungkin.

Suatu yang pasti, kalau-kalau ada yang buruk menimpa orang seumpama Munsyi, sepertimana apa yang menimpa Amri Che Mat. Tiada inkuiri, tiada tribunal. Mana nak ada…

Itulah nasib pendialog di Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.