5 projek kemakmuran sepanjang 1920-2020

Sepanjang 100 tahun, dari 1920 hingga 2020 ini terdapat 5 gagasan kemakmuran yang dikemukakan melibatkan bumi Malaysia iaitu Komanwel Negara-negara (Commonwealth of Nations), Perkesemakmuran Asia Timur Raya (Great East Asian Co-Prosperity Sphere), Wawasan 2020 (Vision 2020), Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (One Belt One Road Initiative) dan Kemakmuran Bersama 2030 (Shared Prosperity 2030).

Apakah yang menyebabkan 2020 dirasakan istimewa adalah angkanya. Perubahan tahun hanyalah peredaran bumi mengelilingi matahari dan angka tahun berupa kiraan sejak kelahiran Masihi.

Maka orang meletakkan kiraan istimewa pada 10, 100 dan 1,000 tahun yang dipanggil sebagai dekad atau dasawarsa, kurun atau abad dan akhirnya alaf atau milenium.

Manusia di bumi menyambut alaf baru pada 2000. Pada masa ia juga sambutan bagi abad ke-21 dan juga dekad baru. Maka 2020 adalah dekad kedua dalam abad ke-21 bagi alaf kedua.

Bagi Malaysia, keistimewaan 2020 terletak pada Wawasan 2020 yang tidak dapat tercapai.

Sebenarnya bukan saja Malaysia yang meletakkan 2020 sebagai suatu sasaran pembangunan, ada juga negara lain yang melakukannya. Tetapi apa yang Dr Mahathir Mohamad kemukakan adalah meluas dan menyeluruh.

Wawasan 2020 tidak tercapai kerana ia tidak dilaksanakan sepenuhnya oleh penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak, masing-masing turut mengemukakan program sendiri yang tidak menjadi kesinambungan pada Wawasan 2020.

Kini Mahathir menggantikan Wawasan 2020 dengan Kemakmuran Bersama yang disasarkan pada tahun 2030, 10 tahun dari sekarang, Sama ada penggantinya akan menyempurnakannya tentulah tidak dapat diramalkan.

Menjelang 2020 iaitu penghujung 2019, perdana menteri bercuti di Jepun, suatu kebiasaan yang beliau lakukan. Hubungan beliau dengan Jepun sudah terkenal.

Pada 1980-an dahulu, beliau bukan saja mempelopori Dasar Pandang ke Timur, tetapi juga mengemukakan gagasan Kerjasama Ekonomi Asia Timur (EAEC) yang kini sudah tidak kedengaran.

Tetapi 2 negara tonggak EAEC adalah Jepun dan China, dalam sejarah moden kedua-duanya adalah kuasa serantau yang bersaing sengit.

Buat masa ini China mendahului Jepun dan projek besarnya adalah Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan atau One Belt One Road (OBOR) yang turut merangkumi Malaysia.

Tetapi ada satu masa dalam sejarah, Jepun pernah mempunyai gagasan Perkesemakmuran Bersama Asia Timur Raya ketika ia menduduki Malaya dari tahun 1941 hingga 1945. Tetapi ketika itu, Malaya yang dinamakan Marai oleh Jepun hanya terdiri daripada 7 negeri.

Kedah yang dinamakan sebagai Saiburi diserahkan pada Siam. Mahathir yang membesar di Kedah menyaksikan negerinya ditadbir oleh Siam.

Tetapi pada 1920, iaitu 100 tahun lalu, Mahathir belum lahir dan Jepun adalah sekutu Britain dalam Perang Dunia Pertama.

Perang itu berakhir pada 1918 dengan kemenangan pihak Berikat yang terdiri daripada Britain, Perancis, Itali dan Jepun. Mereka mengalahkan Jerman, Austria-Hungary dan Turki.

Amerika Syarikat membantu pihak Berikat tetapi ketika itu ia bukan kuasa besar. Rusia yang juga sekutu Berikat tumbang dari dalam kerana Revolusi tahun 1917.

Ketika pemenang-pemenang perang itu mencorakkan tata baru dunia dengan menubuhkan Liga Bangsa-bangsa atau League of Nations pada 1920, anggota-anggota tetapnya adalah Britain, Perancis, Itali dan Jepun.

Pada 1920, Britain berazam untuk kekal unggul sebagai peneraju empayar terbesar dunia. Suatu empayar “yang matahari tidak pernah tenggelam” kerana tanah-tanah jajahan Brtitish berada di semua zon masa bumi.

Maka pada 1921, kerajaan British melalui Perisytiharan Balfour merintis untuk penubuhan Komanwel yang terdiri daripada wilayah-wilayah empayar dan pengaruh-pengaruhnya. Komanwel iaitu Commonwealth bermaksud “Kekayaan Bersama”.

Pada tahun itu, apa yang kini merupakan Putrajaya adalah satu kawasan hutan luas dipanggil Ayer Hitam yang menyentuh Serdang, Kajang, Bangi, Puchong, Dengkil dan Sepang.

Hanya pada 1921, sebahagian kawasan ini dijadikan ladang getah daripada tanah yang diberikan kepada pegawai-pegawai tentera British veteran Perang Dunia Pertama. Sebab itu ladang-ladang ini dinamakan Prang Besar.

Dari kalangan orang Malaya sendiri, banyak yang turut menyumbang kepada Perang Dunia Pertama. Maka bagi menghargai sumbangan tentera-tentera dari Malaya, yang berbilang kaum, maka didirikan sebuah tugu memorial dinamakan “cenotaph” iaitu dalam bentuk batu tinggi.

Batu ini diletakkan di tengah-tengah dataran berhampiran stesen keretapi. Jalan antara stesen keretapi dan bangunan ibu pejabat FMS Railway itu dinamakan Victory Avenue, atau Lebuh Kemenangan bagi meraikan kejayaan British dan sekutunya dalam Perang Dunia Pertama.

Kini jalan itu bernama Jalan Sultan Hishamuddin mengambil sempena Sultan Hisamuddin Alam Shah, Sultan Selangor keenam dan Yang di-Pertuan Agong Kedua. Cenotaph itu kini berada di Tugu Negara.

Tidak ada kuasa lain boleh mencabar Britain ketika itu. Amerika kembali ke benuanya selepas perang itu. Perancis tidak sekuat Britain. China sedang huru-hara yang mana banyak rakyatnya kebuluran. Jepun sedang naik dengan menguasai sebahagian wilayah China dan Korea. Bagaimanapun belum sampai peringkat dapat mencabar Britain.

Di Malaya, kedudukan Britain juga kuat dan tiada sesiapa berani mencabarnya, termasuk Siam yang terpaksa melepaskan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Tidak ada sesiapa di Malaya yang berfikir hendak memperjuangkan kemerdekaan daripada British. Parti Komunis Malaya (PKM) pun belum ditubuhkan.

Apa yang ada hanyalah bibit-bibitnya berbentuk golongan berfahaman Anarko-komunisme pada sekitar 1919-1920 yang datang dari China. Tetapi Lenin di Rusia telah mengeluarkan gagasan bahawa imperialisme adalah puncak kapitalisme.

Tetapi polis dapat menghapuskan sebarang anasir politik yang mahu mencabar kekuasaan Britain.

Malaya bukan saja merupakan wilayah strategik dari segi geopolitik penguasaan global Britain. Tetapi negara ini adalah penyumbang besar kepada ekonomi Britain, tidak padan dengan saiznya.

Maka pada 1920, kelihatannya Britain mahu terus menguasai Malaya kalau tidak selama-lamanya pun, sekurang-kurangnya 100 tahun lagi. Tanah ini adalah pasak penting bagi gagasan Komanwelnya.

Maka tidak hairanlah Britain membina infrastruktur kolonialnya. Pelabuhan utamanya adalah Singapura yang menjadi pusat 3 cabang bagi empayar.

Laluan laut utamanya ialah dari Southampton melalui Gibraltar, Malta, Port Said, Aden, Colombo, Penang, Port Swettenham dan Singapura.

Dari situ, ia bercabang 2. Ke utara ialah ke Hong Kong. Ke selatan pergi ke Sydney, Melbourne dan Auckland. Kesemuanya milik Britain.

Dalam Malaya, laluan keretapi menghubungkan Port Swettenham dengan Kuala Lumpur, yang turut mempunyai aliran terus ke Singapura dan Butterworth. Bangunan-bangunan gah didirikan di Singapura, Kuala Lumpur dan Georgetown. Semuanya menunjukkan Britain mahu berada lama di Malaya.

Pastinya ketika itu tidak ada sesiapa dapat meramalkan bahawa pada tahun 2020, Britain kehilangan empayarnya. Malaysia merupakan negara berdaulat. Kuasa unggul dunia terletak pada Amerika dengan dicabar oleh Rusia dan China. Konsep empayar sudah pupus.

Begitu juga 100 tahun akan datang iaitu pada 2120, tidak dapat diramalkan apa akan jadi pada Britain dan Malaysia. Mungkin konsep negara bangsa juga akan pupus.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.