Serangan AS ke atas alam Melayu pada 1832

Perang, adalah kombinasi kegagalan banyak perkara. Ia adalah gabungan kegagalan diplomasi, kepercayaan, amanah, kasih sayang, cita-cita, ketenangan hati, keperibadian mulia dan akal luhur.

Perang, adalah kombinasi kesakitan banyak perkara. Ia adalah gabungan kejayaan hasad, kejahatan, mungkir janji, kebencian, putus harap, kegelisahan jiwa, kebobrokan celaka dan kebejatan akal.

Sebuah novel saya yang bakal terbit tidak lama lagi, dengan judul “Rusuhan Koro” akan menyorot satu insiden perang yang gulana. Saya memperuntukkan satu bab untuk menceritakan apa yang berlaku pada 1832.

Apakah yang menimpa alam Melayu pada 1832? Serangan Amerika Syarikat. Ia antara lipatan sejarah rantau ini yang tiada dalam buku teks sejarah kalian.

Jauh sebelum rantau Timur Tengah menemukan minyak dan galian emas, rantau Asia Tenggara adalah rantau paling bernilai di dunia. Gulana yang menimpa Timur Tengah (atau Barat Tengah jika diukur dari jarak kita yang berada di Timur) telah lama dirasai penghuni Asia Tenggara.

Saya bukan maksudkan Asia Tenggara dengan Ryukyu (atau Okinawa), atau Kemboja, atau Vietnam; akan tetapi kita di alam Melayu ini sendiri.

Saya mengimbau insiden AS menyerang Kuala Batu pada 1832 di Aceh.

Novel terbaru saya akan memperihalkan sejarah yang perit itu. Benar, AS pernah datang ke Nusantara, dan hampir bersaing dengan Inggeris, Belanda, Perancis, Sepanyol dan Portugis untuk merebutkan entah apa.

Pada 1832, emas bukan letaknya dalam telaga minyak seperti ditemukan di Iran, Iraq atau Arab Saudi. Emas kala kurun tersebut terletak pada gugusan lada hitam yang bergantungan di pohon. Itulah punca emas, sumber wang dan muatan poket kelas saudagar di mana pun.

Di dalam novel “Rusuhan Koro” itu, saya menjejerkan 2 senario.

Naratif pertama adalah yang diperikan pihak AS, iaitu bagaimana mulanya serangan tersebut. Senario satu tersebut begini; pada Februari 1831, sebuah kapal AS berlabuh di Kuala Batu, Aceh untuk mendapatkan lada hitam. Kapal tersebut bernama – Friendship – diketuai nakhoda bernama Charles Endicott. Muluk bukan namanya?

Ketika kapten kapal ini turun membeli lada hitam bersama sekumpulan anak kapal, segerombolan lanun memanjat Friendship, membunuh pegawai pertama dan 2 lagi anak kapal. Mereka ikut menyamun barang-barang berharga. Empat anak kapal AS ini berjaya melarikan diri dengan terjun ke dalam air langsung berlindung di dalam hutan.

Memahami kegentingan tersebut, Kapten Endicott meminta bantuan seorang penghulu penuh misteri bernama Po Adam. Mereka bergabung dan meminta pertolongan 3 kapal AS yang kebetulan belayar berdekatan.

Pakatan ini cuba mendapatkan Friendship yang sudah rosak teruk. Setelah membaiki apa yang patut, Kapten Endicott belayar pulang ke Salem dan memohon tindakan daripada presiden AS waktu itu, yakni Presiden ke-7 Andrew Jackson. Presiden ini terkenal ketika Perang Creek Indian.

Presiden Jackson dalam “State of Nation” ketiganya pada Disember tahun itu memberitahu Senat dan Dewan Perwakilan AS bahawa satu hukuman “inflict chastisement” telah dikeluarkan.

Katanya begini: “Jika kejadian di Sumatera itu dengan sebuah negeri, kita harus berunding. Jika ia dengan lanun, mereka harus diajar.”

Ekoran dari itu, komander tentera laut John Downes yang mengetuai USS Potomac diarahkan belayar ke Asia Tenggara.

Potomac berangkat pada 28 Ogos 1831, beberapa bulan sebelum ucapan “State of Nation” itu. Apabila ia tiba di Kuala Batu pada 5 Feb 1832, Potomac menyamar sebagai kapal dagang Denmark, tentu dengan hasrat mendapatkan lada hitam.

Pasukan perisik dari Potomac turun ke darat dan meninjau. Mereka mendapati 5 kubu melindungi pelabuhan Kuala Batu, dengan 3 prau besar berlabuh di pelabuhan.

Sayugia diingatkan Potomac bukanlah sebarang kapal perang. Ia frigat kelas pertama dengan teknologi persenjataan tercanggih waktu itu.

Potomac membawa 42 meriam pendek carronade 32 paun dan 8 senapang Paixhan 8 inci yang menyamai 72 meriam. Terdapat anggota marin dan anak kapal sejumlah 300 orang.

Pada 6 Feb, Downes mengelompokkan 282 anggota marin dalam 3 kumpulan, lantas menempatkan mereka ke dalam perahu kecil. Setiap perahu dibekalkan senapang. Arahan yang diberikan adalah membakar kubu kayu di Kuala Batu dan menenggelamkan ketiga-tiga prau di pelabuhan.

Setiap perahu ditugas untuk mengalahkan sebuah kubu. Terdapat laporan menyatakan orang Melayu melawan dengan bersungguh-sungguh dan penuh berani.

Potomac juga mengebom dengan kelengkapan meriam. Selepas pertempuran sengit selama 5 jam, 4 kubu tumpas dan hangus, sementara ketiga-tiga prau ditenggelamkan. Mangsa yang terselamat melarikan diri ke kubu terakhir.

Akan tetapi, perang, seperti yang saya nyatakan di awal adalah satu kegagalan hati nurani. Pertempuran terakhir bukanlah menyasarkan kubu terakhir itu.

Akan tetapi, AS atau Potomac memilih untuk membedil bangunan, rumah serta menyerang bandar Kuala Batu dan membunuh lebih 100 wanita dan kanak-kanak selama 3 hari berturut-turut. Hanya kemudian Komander Downes membakar kubu terakhir, sehinggalah ketua orang Melayu mengaku kalah.

Ia adalah campur tangan AS yang pertama terhadap negara luar dengan alasan menjaga kepentingan dagang dan keselamatan rakyatnya. Berlaku sangat hampir dengan kita, atau berlaku ke atas kita.

Apakah nasib mereka yang tidak bersalah? Seramai 150 orang awam diledak meriam dan peluru, termasuk perempuan dan kanak-kanak.

Di kubu terakhir, lebih 300 lagi pahlawan Melayu terkorban. Manakala AS, mereka hanya kehilangan 2 tentera, dengan 11 yang cedera. Seorang daripada mereka itu yang agak parah, meninggal dunia kemudian.

Akan tetapi, apa yang terlihat di atas adalah naratif dari pihak AS. Seperti biasa di dalam perang, akan terdapat pelbagai jalur kisah keperwiraan atau ketumpasan.

Senario kedua yang perlu dipertimbangkan adalah; pertama, siapakah orang Melayu yang bersekongkol dengan AS memakai nama Po Adam ini? Apakah benar dakwaannya yang ketua lanun di Kuala Batu bernama Muhammad enggan berunding, lantas mendorong kepada peperangan.

Kedua, apakah benar apa yang terjadi di atas kapal Friendship benar-benar satu kejadian rompakan dan pelanunan; atau sebetulnya hanyalah wayang kuasa kolonial, yang mana Belanda, Perancis dan Inggeris dengan sengaja menakut-nakutkan AS agar kuasa itu tidak masuk berniaga di wilayah yang sedia macet ini.

Harus diingat terdapat banyak konspirasi, penciptaan peristiwa dan komplot di Asia Tenggara pada waktu itu, persis berlaku di Teluk Parsi hari ini. Alam Melayu saat itu (hari ini dengan nama Indonesia dan Malaysia) umpama Iran dan Iraq detik ini.

Apa yang baik mengenai demokrasi dan governan di AS adalah, meskipun pemimpin negara tersebut mempunyai wewenang untuk mengisytiharkan sesuatu yang buruk seperti perang, presidennya tidak akan terlepas daripada kritikan dan pertanggungjawaban.

Tindak-tanduk Potomac di Sumatera dikritik hebat sepulangnya ke AS sehingga Presiden Jackson terpaksa menjelaskan dalam “State of Nation” yang keempat mengenai pilihan yang beliau lakukan.

Tambahan pula media AS waktu itu melaporkan pertempuran yang terjadi di Aceh ini bukan antara soldadu dengan lanun, akan tetapi berhentam antara askar AS dengan orang awam.

Pertempuran tidak seimbang ini dilaporkan dalam laporan rasmi frigat AS yang masih disimpan di Perpustakaan Kongres khusus melibatkan Leftenan Alvin Edson dan George Terrett di Kampung Tuko de Lima.

Pihak yang mengkritik pilihan Presiden Jackson dan Potomac misalnya mempertikaikan mengapa tiada rundingan dilakukan sebelum serangan dilancarkan.

Tambah-tambah serangan itu berjaya dilancarkan pada saat tengah malam dalam keadaan menyamar sebagai kapal dagang. Lebih tragis, serangan itu mengorbankan banyak nyawa yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Saya memperihalkan pertempuran di Kuala Batu itu secara lanjut dalam novel saya yang akan datang ini, “Rusuhan Koro” yang saya kira akan terbit sebelum April. Moga-moga ia membuka banyak pengetahuan dan wacana segar.

Hari ini, perang dan suhu tempur yang hangat di Barat Tengah khusus menimpa Iran dan Iraq (malah boleh merebak ke seluruh wilayah tersebut) berlaku kerana pilihan yang gagal antara mereka yang terbabit.

Juga, sejarah serangan AS terhadap alam Melayu pada 1832 itu boleh berlaku lagi di rantau ini. Akan tetapi, kita mestilah membuka mata dengan lebih luas. Perang panas di Barat Tengah itu jauh dari kita, yang lebih hampir adalah Natuna, yang nyaris lebih panas adalah minggu lalu.

Berapa ramai antara kita sedar dan awas bahawa Tentera Nasional Indonesia dari Angkatan Udara mengirim 4 pesawat tempur jenis F-16 dari skuadron Udara 16 Pangkalan Udara Roesmin Nurjadin ke wilayah Natuna, di perairan Riau?

Sedarkah kita ketegangan ini ekoran intaian kuasa besar China? Jika terjadi Perang Dunia Ketiga, di manakah duduknya China, di mana pula duduknya AS? Kemudian di manakah pula duduknya alam Melayu, Indonesia dan Malaysia; ini kerana lanskap geo-politik telah berubah sejak 1832.

Segala mungkin sudah berubah sejak kurun lalu. Tidak akan ada lagi Kuala Batu, akan tetapi risiko kecelakaan perang masih ada.

Ia menggerunkan generasi mendatang. Perang sentiasa tidak memihak orang awam, manusia kecil dan golongan lemah seperti wanita serta kanak-kanak.

Perang tidak lagi dapat dielakkan jika yang mengelilingi Presiden Jackson pada 1832 itu adalah tukang tiup tempur dan tukang seru perang.

Perang tidak lagi dapat dihindari jika yang mengelilingi presiden AS hari ini adalah pedagang dan pembuat senjata. Jika terjadi perang, ia akan amat kacau sekali.

Saya telah menegaskan perang adalah kombinasi kegagalan sejumlah perkara baik. Ia adalah himpunan kegagalan manusia untuk bersemuka, saling bertukar rasa, dek kekontangan amanah, gara-gara kemelesetan kasih-sayang, akibat ketohoran cita-cita dan kesuntukan akal.

Eloklah kita berdoa agar perang dapat dijauhi. Moga-moga kita tak perlu bermusuh. Manusia mempunyai kekuatan dialog.

Kita semua mesti yakin masih ada cara untuk menjayakan kepercayaan, amanah, kasih sayang, cita-cita, ketenangan hati, keperibadian mulia dan akal luhur. Kita mesti mengelakkan perang.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.