Malaysia ‘dibakar’ isu tulisan Jawi, hiasan tanglung

Tatkala Australia sedang menghadapi kebakaran hutan yang berleluasa, negara kita Malaysia juga sedang terbakar dengan isunya tersendiri.

Ketegangan dan kontroversi yang ditimbulkan kerana 3 muka surat tulisan Jawi dan hiasan tanglung sempena sambutan Tahun Baru Cina di sebuah sekolah mencerminkan Malaysia sedang dibakar kemarahan.

Api kemarahan ini sedang merebak merata-rata dan ianya menjadi lebih rancak apabila dikaitkan dengan kaum dan agama. Api ini dimarakkan lagi oleh reaksi bodoh orang politik dan juga komen-komen yang merenggangkan kaum di media sosial.

Jika hutan menjadi medan paling rancak kebakaran di Australia, kebakaran di Malaysia berlaku dengan ganas di media sosial, aplikasi WhatsApp dan juga komen-komen di portal berita tempatan.

Ada orang yang menganggap tulisan Jawi itu tulisan agama, walhal Jawi hanya alat komunikasi sejak zaman dulu sehingga awal 1970-an.

Apabila tulisan rumi menjadi tulisan komunikasi secara meluas, tulisan Jawi semakin pupus, bahkan wang kertas negara China mempunyai tulisan Jawi.

Ada orang menganggap tanglung dan Tahun Baru Cina sebagai perayaan agama, walhal ia perayaan kebudayaan.

Hakikatnya, tulisan Jawi dan tanglung langsung tidak melibatkan sebarang unsur agama, namun sedihnya, di dalam kebakaran yang sedang melanda Malaysia, kedua-duanya dikaitkan dengan agama.

Pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular dikatakan menimbulkan kekhuatiran Islamisasi. Kekhuatiran ini sememangnya tidak masuk akal.

Bolehkah seseorang dipujuk untuk mendekati Islam dengan hanya belajar 3 muka surat pengenalan kepada tulisan Jawi yang ada pada logo polis dan wang kertas? Sudah tentu ia mustahil!

Jika pengenalan kepada tulisan Jawi bertujuan menyebarkan Islam, bukankah tujuan dakwah lebih senang dicapai jika kitab al-Quran diterbitkan dalam bahasa ibunda orang bukan Islam seperti bahasa Cina dan Tamil yang dikatakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang?

Apa yang menyayat hati ialah meskipun kekhuatiran yang ditimbulkan terhadap pengenalan tulisan Jawi tidak masuk akal, ada juga pimpinan Pakatan Harapan sendiri yang tetap memberi dorongan kepada Dong Zong untuk mengadakan kongres bagi membantah isu pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Apabila polis berjaya mendapatkan perintah mahkamah di saat akhir untuk menghentikan kongres tersebut demi mengekalkan ketenteraman dan keharmonian di dalam negara ini, pimpinan PH yang sama itu pula mengecam polis.

Apakah mereka ini tidak sedar persidangan Dong Zong akan menyebabkan api kemarahan rakyat Malaysia merebak dengan lebih serius? Di mana keutamaan mereka? Hak berhimpun Dong Zong atau meraih mata politik di kalangan penyokong sendiri lebih penting daripada mengekalkan keharmonian negara?

Bagaimana pula dengan isu tanglung? Isu ini timbul apabila peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang juga naib presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendakwa beliau menerima aduan ibu bapa yang merasakan hiasan Tahun Baru Cina di SMK Pusat Bandar Puchong I ialah satu cubaan menyebarkan kepercayaan agama lain kepada murid Islam.

Beliau turut mendakwa hiasan itu melanggar Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan (berkenaan Islam sebagai agama persekutuan).

Sebagaimana pengenalan kepada tulisan Jawi, mana mungkin tanglung menjadi alat menyebarkan agama, sedangkan tanglung bukan lambang keagamaan, tetapi kebudayaan.

Perayaan Tahun Baru Cina juga tiada kena-mengena dengan agama, ia cuma satu perayaan kebudayaan. Jika sekolah dihiasi lilin merah atau colok sembahyang, mungkin dakwaan Khairul berasas.

Isu tanglung ini berakhir apabila 7 menteri hadir memasang semula tanglung yang diturunkan.

Namun, kehadiran 7 menteri ini menimbulkan kemarahan yang lain. Di manakah mereka ini ketika Dong Zong ingin mengadakan kongres membantah isu pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular?

Sepatutnya, perlu ada sekurang-kurangnya 7 menteri ke pejabat Dong Zong untuk menyeru mereka membatalkan kongres tersebut, sebagaimana 7 menteri yang sanggup pergi ke sekolah untuk memasang semula tanglung yang diturunkan.

Itu barulah dikatakan kesamarataan yang baik.

Apabila 7 menteri hanya hadir memasang semula tanglung yang diturunkan, manakala di kalangan pimpinan kerajaan sendiri ada yang menyokong tindakan Dong Zong, ia menjadi kesamarataan bangang di mata rakyat dan menambah kebencian kepada kerajaan secara tidak langsung.

Kepada ahli politik, berhentilah cuba menjadi juara mana-mana kaum. Jadilah juara penyelesaian, juara penerangan dan juara berkorban.

Isu tulisan Jawi dan tanglung sebenarnya boleh diredakan dengan penerangan menyeluruh melalui media milik kerajaan. Penerangan perlu dilakukan dengan cepat, sebelum si jahil dan politikus menjadikannya isu perkauman demi kepentingan politik.

Pendek kata, komunikasi amat penting. Rakyat Malaysia sudah tahu bagaimana untuk hidup bersama, apa yang perlu sekarang ialah rakyat berkomunikasi semula.

Percayalah, hanya rakyat Malaysia dapat menyelamatkan rakyat Malaysia. Jadilah rakyat Malaysia yang mengutamakan negara dan keharmonian, nescaya negara dapat diselamatkan.

Jika anda masih marah, berpuasalah daripada media sosial selama sebulan atau selama-lamanya. Sesungguhnya media sosial menjadi sumber segala kebencian, negatif, fitnah dan medan memecah belah kepada pengguna jahil dan mudah beremosi.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.