Munshi Abdullah tika Tahun Baru Cina 1830

Pada 1830, sejumlah populasi orang Cina sudah mulai mendiami Singapura. Seperti yang dijangkakan, Tahun Baru Cina sudah pun diraikan dengan meriah dalam tahun tersebut. Terlalu meriah sehinggakan mengakibatkan kebakaran besar yang menghanguskan sebahagian besar bahagian yang dihuni di pulau tersebut.

Salah seorang saksi mata kepada kejadian ini tidak lain tidak bukan adalah Munshi Abdullah. Sempena Tahun Baru Cina yang bakal tiba hujung minggu ini, saya membongkar semula Syair Singapura Terbakar untuk meninjau kembali apa yang menarik ketika sambutan Tahun Baru Cina pada 1830 di Singapura.

Munshi Abdullah ada mencatatkan sedikit bagaimana kebakaran bermula dalam magnum opus beliau, Hikayat Abdullah:

“Adapun pada waktu itu aku tinggal dalam negeri Singapura menumpang di rumah saudagar. Maka pada bulan itu Tahun Baru Cina, maka kepada 13 hari bulan itu, maka ramailah budak-budak bermain kuda api dan setengah orang Cina bermain singa dan kuntau serta bunyi-bunyian terlalu riuh. Ada pukul tengah delapan malam; maka sekonyong-konyong orang berlari-lari sambil berteriak-teriak mengatakan, ‘Api!’.”

Ketika kejadian tersebut, Munshi sedang sakit demam dan kejadian kebakaran itu mendorong beliau menggunakan sepenuh tenaganya untuk merakam apa yang berlaku:

“Maka berlarilah aku ke tengah simpang itu, maka ku dapatlah kertas Cina membungkus daun teh. Maka ku ambillah kertas itu ku pegang maka itulah bekalku berjalan ke sana ke mari. Dengan tolong Allah, demam dan penyakitku itu pun hilanglah. Adapun ubatnya itulah terkejut, dengan tiada sesuatu ubat yang lain.

“Adapun barang yang ku lihat dan yang ku dengar dan yang ku dapati dan yang ku rasai dalam huru-hara api itu sekaliannya ku tuliskan dalam kertas itu. Maka sekalian itu ku karangkanlah suatu syair daripada permulaan Tahun Baru Cina sehingga penghabisan api itu dan sampailah kesudahannya tatkala membahagi barang-barang rumah terbakar itu dalam penjara atau jel.

“Maka termasyhurlah sudah syair itu kucapkan dengan huruf Melayu; ada dengan huruf Inggeris, bahasanya Melayu. Maka diketahuilah oleh segala orang dalam negeri Singapura dan Melaka, maka ku namai akan dia Syair Singapura Terbakar.”

Menurut C Skiner, seorang pengamat Sastera Tradisional Melayu dalam tulisannya bertajuk “Shaer Kampong Gelam Terbakar oleh Abdullah b Abdul-Kadir” pada 1847, Singapura dihuni kira-kira 50,000 orang dengan jumlah orang Cina 15,337 orang, diikuti 4,169 India, 4,099 Melayu, 288 penduduk berbangsa Eropah dan 270 orang lagi Indo-Britons. Kepadatan penduduk tertumpu di sekitar Richie, Telok Ayer dan Kampung Gelam. Oleh sebab itu, kita juga dapat sedikit sebanyak membayangkan kepadatan penduduk Singapura pada 1830 dan mengapa terdapat nama bangsa Cina yang agak ramai disebutkan oleh Munshi.

Syair Singapura Terbakar yang disentuh oleh Munshi dalam perenggan awal di atas, ditulis oleh Munshi kesan mengalami dan melihat kebakaran besar di Singapura pada hari Ahad 7 Feb 1830. Kejadian itu berlaku dalam tempoh Tahun Baru Cina masih diraikan. Peristiwa ini turut dilaporkan pada 11 Feb 1830 dalam akhbar Singapore Chronicle. Ketika itu hanya terdapat sebuah sahaja akhbar di Singapura, dan halamannya adalah terhad. Maka Munshi berusaha merakam kejadian itu secara terperinci dalam bentuk syair. Ia diterbitkan atas cap batu pada 30 Sep 1843.

Munshi menceritakan bagaimana masyarakat Cina menghias rumah, menyediakan makanan manis, dan memasak makanan yang lazat:

Mulanya cerita dari Tahun Baru Cina
Gemparnya negeri terlalulah bahana
Dihiasinya rumah terlalulah sempurna
Masing-masing orang dengan kadarnya.

Meja dan minuman segenap rumah
Kuih-kuih dan manisan pun ada bersama
Ditukarnya pula surat-surat yang lama
Dan menyembelih ayam itik segenap rumah.

Tahun Baru Cina tidak lengkap jika tidak cukup bising dan tanpa mercun. Sudah tentu pada 1830 kita menggambarkan keriuhan tatkala itu jauh lebih menggemparkan berbanding hari ini:

Dibakarnya beberapa banyak kertas
Dan dipasangnya pula beberapa petas
Bunyinya riuh terlalulah keras
Belanjanya pun terlalulah deras.

Sukalah sangat masing-masing
Memalu bunyi-bunyian terlalulah bising
Ada yang setengah pula duduk merunsing
Tiada berduit ia menggerising.

Apakah yang dilakukan selain makan-minum? Munshi memperlihatkan aktiviti bermain judi, mabuk-mabukan, yang kemudian mendorong banyak perkelahian di jalanan dan kawasan kejiranan:

Pergilah meminta izin hendak main judi
Katanya setahun sekali bersuka hati
Dapatlah perintah orang besar beri
Boleh bermain sampai lima belas hari

Sukalah orang Cina tiada terperi
Mukanya putih berseri-seri
Ada yang berjalan ke sana ke mari
Ada yang bermain keluar negeri

Ada yang mabuk sepanjang jalan
Ada berkelahi samanya kawan
Ada barang-barangnya habis berciciran
Ada yang bernyanyi sahaja sambil berjalan.

Jenis-jenis judi ada segenap tempat
Orang pun berkerumunlah terlalu rapat
Orang yang menang pun berlarilah cepat
Orang yang alah pun duduklah mengumpat

Tiadalah sahaya panjangkan khabarnya
Maklumlah segala tuan-tuan menengarnya
Masing-masing bangsa dengan adatnya
Ia menurutkan hawa nafsunya

Pada 1830 itu, masyarakat Cina menyambut Tahun Harimau, dan kita dapat mengkhayalkan bagaimana tarian singa ikut diketengahkan sebagai satu upacara wajib Tahun Baru:

Sampailah 8 hari bulan Cina
Terangnya terlalulah amat sempurna
Permainan pun banyaklah serba warna
Segala bunyi-bunyian pun adalah di sana

Dua pasukan orang bermain singa
Masing-masing menunjukkan kepandaiannya
Ada pula yang bermain kuntau namanya
Kemudian pula berkelahi keduanya.

Selain menukilkan keadaan Tahun Baru Cina dengan penuh semangat, Munshi juga menonjolkan satu lagi fakta yang penting iaitu Tahun Baru Cina pada tahun tersebut turut digerhanai oleh pergaduhan 2 kumpulan samseng Cina, “orang Thian Tai Huey suatu pasukan” bertembung dengan kumpulan atau kongsi “Kuan Tek Ya Hue suatu pasukan”.

Bertemulah keduanya di simpang empat
Sama berani terlompat-lompat
Orang pun berkerumunlah hendak melihat
Kemudian berlarianlah pada segenap tempat

Berkelahi itu bukannya barang-barang
Kelakuannya seperti orang berperang
Anak Melaka terlalu amat garang
Dipukulnya Cho Ho larilah ke seberang

Datanglah mata-mata Keling dan Inggeris
Ditangkapnya Cina dibawanya ke polis
Sekalian senjata dirampasnya habis
Kepada 9 hari bulan malamnya Khamis

Sebagai pelapor yang baik, Munshi tidak cenderung menghukum apa yang tidak diketahuinya. Akan tetapi Munshi kekal mencatat apa yang menurut beliau sebagai kepelikan, iaitu darihal sembahyang orang Cina:

Ada pula lagi suatu hairan
Orang-orang Cina sembahyang di tengah jalan
Dipasangnya petas beribu-ribu papan
Bunyinya riuh bukan buatan

Nama sembahyangnya itu “Ti-Kongsi”
Makanan semuanya dibubuhnya persih
Diaturnya meja dibubuhnya langsih
Dituangkannya pula air daun teh

Sampailah 14 hari bulan Cina
Terangnya pun terlalu amat sempurna
Permainan pun banyaklah serba warna
Tiba-tiba pula datanglah bencana.

Dengarkanlah kisah yang saya dapati
Tatkala Singapura dimakan api
Asalnya dari rumah tukang besi
Dimakannya berkeliling habislah bersi

Harus dinyatakan di sini Munshi mengalami kebakaran besar di Singapura sebanyak 3 kali. Yang pertama berlaku kebakaran dalam 1830 manakala yang kedua dalam 1847. Jika dalam insiden yang pertama, Munshi menulis Syair Singapura Terbakar, kali keduanya beliau merakamkan sekali lagi dalam bentuk syair dengan judul Syair Kampong Gelam Terbakar. Terdapat satu lagi kebakaran yang beliau alami, dalam 1849 yang mana banyak harta benda milik beliau termasuklah sejumlah manuskrip Melayu yang penting hangus musnah.

Dalam kejadian kebakaran pertama, pada 1830 itu, Abdullah merakam nama 34 orang berbangsa Cina, masyarakat pedagang dan peniaga di pulau tersebut yang mempunyai harta benda dan aset termasuk di Melaka. Beliau menyebut mereka sebagai “baba” dan bahagian pertama syair ini, seperti kata Amin Sweeney (seorang pengkaji Munshi yang terhormat) dalam satu kajian beliau, “berusaha mengisahkan segala yang berlaku, termasuk suasana Tahun Baru Cina.”

Munshi seorang perakam atau tukang rekod sosio-budaya dan politik yang hebat pada zamannya. Oleh sebab ketika itu tiada media sosial seperti Twitter, atau Facebook, apatah lagi Instagram, Munshi hanya memiliki kekuatan penceritaan dan kebolehannya mengarang syair. Hasil seni beliau, 2 syair mengenai kebakaran berhasil menjelaskan bencana menimpa Singapura ketika itu.

Apa yang lebih menarik 2 syair karya Munshi, khusus Syair Singapura Terbakar – yang ditulis dalam skrip Jawi – turut mendokumentasikan keadaan sambutan Tahun Baru Cina pada 1830. Sungguh mujur Munshi sempat dan rajin mencatat apa yang beliau alami pada Tahun Harimau tersebut.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.