Tanggungjawab kita hadapi wabak koronavirus

Rakyat serata dunia bimbang penularan wabak koronavirus. Di Malaysia, dunia media sosial dan WhatsApp rancak berdenyut dengan pelbagai berita, sama ada palsu dan tulen, yang mencemaskan lagi keadaan sedia ada.

Di pihak warganet, ramai merasakan wabak ini sangat mencemaskan berdasarkan laporan kematian yang meningkat secara mendadak, virus terbaru ini boleh menghuni di dalam badan manusia selama 1 ke 14 hari dan berjangkit sebelum dapat dikesan, tindakan China menutup beberapa bandar besar, membatalkan segala program sambutan Tahun Baru Cina serta memanjangkan cuti awam sehingga 3 Feb 2020.

Dalam keadaan sebegini, rakyat mengharapkan kerajaan dan pimpinan Pakatan Harapan melakukan dan bercakap sesuatu yang “make sense” untuk menenangkan keadaan seperti menghalang kemasukan pelancong China buat sementara waktu.

Namun bagi pihak kerajaan PH pula, pakar-pakar yang menasihati kerajaan mendapati situasi belum kritikal untuk mengambil tindakan drastik walaupun banyak negara sudah mengambil tindakan untuk menutup pintu laluan kepada pelancong China.

Perbezaan pendapat menyebabkan warganet dan kerajaan PH dalam keadaan tertekan, dan perasaan tidak yakin terhadap kerajaan PH menyebabkan situasi ini bertambah buruk.

Meskipun demikian, semua pihak perlu diingatkan kita mempunyai musuh yang sama – bukannya orang China – tapi koronavirus yang tidak mengerti bangsa, agama dan tempat.

Jangan sesekali kita melabel mereka yang paranoid dan memberi reaksi berlebihan terhadap virus itu kerana risau sebagai orang bodoh.

Jangan juga kita melabel mereka yang kelihatan tenang dalam menghadapi penularan wabak ini sebagai tidak cekap atau tidak serius. Kedua-dua ada kelebihan masing-masing dalam menghadapi penularan wabak ini.

Oleh itu, di tengah kemelut perbezaan pendapat ini, daripada kita menyimbah minyak ke api, marilah kita bersama-sama fokus kepada tanggungjawab masing-masing untuk mengelakkan wabak ini daripada merebak.

Antara perkara terpenting yang kita boleh lakukan ialah memastikan amalan kebersihan diri kita pada tahap optimum. Pastikan kita membasuh tangan dengan air dan sabun untuk sekurang-kurangnya 20 saat sebelum dan selepas makan. Ketika membasuh tangan, pastikan kita gosok semua bahagian tangan termasuk tapak dan belakang tapak tangan.

Selain mencuci tangan, terdapat satu aktiviti yang perlu diamalkan semua orang untuk mengurangkan risiko berjangkitnya wabak, iaitu mengelakkan tangan kita yang belum dibersihkan menyentuh muka.

Difahamkan virus pernafasan tidak akan berjangkit melalui kulit tetapi melalui mukus di mata, hidung dan juga mulut. Oleh itu, penting untuk elak tangan yang belum dibersihkan menyentuh muka.

Untuk mengurangkan risiko jangkitan, kita juga memastikan semua ahli keluarga memakai topeng pernafasan ketika berada di luar. Antara tips memastikan keberkesanan topeng pernafasan ialah mengelakkan aktiviti memasukkan jari bawah topeng pernafasan untuk menggaru muka atau mengorek lubang hidung, dan juga jangan menanggalkan topeng pernafasan ketika menjawab panggilan telefon.

Untuk tempoh sementara ini sehingga situasi reda, kita juga boleh perbanyakkan aktiviti memasak di rumah untuk mengurangkan makan di luar dan menjauhi kawasan yang ramai pelancong.

Perbezaan pendapat terhadap cara yang patut digunakan untuk menangani wabak koronavirus ini akan sentiasa berterusan. Biarpun demikian, setiap rakyat mempunyai tanggungjawab tersendiri untuk mengurangkan risiko virus ini daripada berjangkit.

Ayuh, mari kita lindungi diri terlebih dahulu dengan memastikan tanggungjawab kita dan keluarga terlaksana, daripada meletakkan keselamatan kita atas harapan tindakan akan diambil oleh orang lain.

Kesihatan kita, tanggungjawab kita. Keselamatan negara, tanggungjawab kerajaan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.