Dari PPSMI ke PPSMI

Pada 2 Januari, negara dikejutkan dengan peletakan jawatan Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan. Pada 31 Januari, negara dikejutkan lagi dengan pengumuman penggantinya, Mahathir Mohamad bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan diperkenalkan.

Sebahagian para penyokong Mahathir yang menyambut baik pelantikan dirinya memangku jawatan menteri itu tiba-tiba mendapati diri mereka perlu defensif terhadap kenyataan beliau itu sementara banyak yang lain berasa kesal. Ini kerana PPSMI tidak popular dalam kalangan orang Melayu. Ia bukan saja soal kesukaran pelaksanaannya tetapi mencabar emosi jati diri orang Melayu. Lebih-lebih lagi isu ini menjadi bahan tawa dan jenaka dari sebahagian dalam kalangan bukan Melayu.

Selain mengulangi retorik kepentingan bahasa Inggeris dan Mandarin, mereka menyentuh sensitiviti orang Melayu dengan gambaran seolah-olah bahasa kebangsaan ini tidak relevan pada zaman ini, dan ia hanya wajar dipelajari sebagai warisan budaya.

Lebih-lebih lagi pada zaman ini, yang perbualan nasional bebas melampiaskan emosi sensitif orang ramai melalui media sosial. Sesuatu yang tidak berlaku pada 2003 apabila Mahathir mula mengutarakan idea PPSMI ini.

Apabila berlaku keadaan ini, mungkin timbul persoalan bahawa kemungkinannya dari awal lagi ketika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14 pada 2018, Mahathir berhasrat untuk melaksanakan PPSMI. Baginya PPSMI merupakan kunci pada pemulihan sistem pendidikan negara.

Sebab itu apabila menyusun Kabinet beliau berhasrat untuk menjadi menteri pendidikan. Dengan memegang portfolio itu beliau boleh secara langsung melaksanakan PPSMI. Hasratnya mungkin terbantut apabila beliau akur kepada tekanan rakan-rakan seperjuangannya dalam PH untuk tidak menyandang sebarang portfolio.

Tidak diketahui sama ada beliau pernah mencadangkan atau mengarahkan Maszlee supaya melaksanakan PPSMI. Tidak ada laporan langsung mengenainya. Tetapi andai kata itu berlaku, mengenali Maszlee, rasanya beliau akan turut menolak PPSMI.

PPSMI ini memecah-belahkan orang Melayu. Dipercayai sebahagian besar menolak PPSMI. Penyokong PPSMI umumnya terdiri daripada golongan bandar yang berbahasa Inggeris, seringkali dalam kalangan elit dan terpelajar, serta kalangan penyokong Mahathir yang percaya terhadap kepimpinannya apa pun hujahnya.

Di pihak bukan Melayu, umumnya sebahagian besar menyokong PPSMI dari sudut ia merupakan langkah mengutamakan bahasa Inggeris di atas bahasa Melayu. Tetapi hujah bagi mereka menyokong PPSMI adalah dari segi meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris bagi melebarkan peluang seseorang siswazah untuk memperoleh pekerjaan. Kalau ikut golongan ini, sudah tentu mereka mendokong sebarang usaha memperkenalkan semula sekolah kebangsaan berperantaraan bahasa Inggeris. Pada asasnya, mereka tidak memandang tinggi terhadap bahasa kebangsaan.

Namun begitu, umumnya orang bukan Melayu menolak pelaksanaan PPSMI di sekolah jenis kebangsaan Cina. Penolakan ini sudah berlaku ketika PPSMI mula dikemukakan pada Kabinet pada 2002. Maka, isu PPSMI ini menampakkan hipokrasi dalam soal bahasa.

PPSMI menjadi kontroversi sejak dari awal lagi dan ia merupakan bahan pembangkang untuk mengkritik kerajaan Barisan Nasional pimpinan Mahathir. Ketika itu pembangkang terdiri daripada Barisan Alternatif yang dianggotai Parti Keadilan Nasional, PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Tetapi sebelum PPSMI dicadangkan pun, Mahathir sudah dikenali sebagai seseorang yang tidak bersependapat dengan pendokong-pendokong bahasa kebangsaan. Beliau mahukan anak-anak Malaysia terutamanya anak-anak Melayu fasih bahasa Inggeris.

Baginya, yang kelihatan dalam ucapan-ucapannya, fasih berbahasa Inggeris tidak mengurangkan patriotisme atau nasionalisme seseorang. Pandangan beliau ialah jika sesuatu kaum, seperti Melayu mempunyai kedudukan ekonomi yang baik, sudah tentu bahasanya akan dihormati. Kalau pejuang bahasa mempunyai slogan “Bahasa Jiwa Bangsa”, tetapi penulis menganggap Mahathir berpegang pada “Kuat Bangsa, Kuat Bahasa”. Kekuatan di sini bermaksud kekuatan ekonomi. Dalam erti kata lain “Ekonomi Jiwa Bahasa”. Maknanya kalau bahasa Melayu itu bernilai ekonomi tinggi, maka dengan sendirinya ia dihormati, dipandang tinggi dan orang lain mahu mempelajarinya.

Mahathir juga mempunyai reputasi negatif dalam kalangan pejuang dan ahli bahasa. Tidak seperti Razak Hussein, beliau kelihatan tidak menunjukkan minat besar terhadap bahasa dan sastera. Ia seolah-olah melihat bahasa sebagai alat dan bukannya jiwa bangsa.

Maka tidak hairanlah ahli-ahli bahasa dan sasterawan baik di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau di universiti-universiti memandang dingin terhadap pendirian beliau terhadap bahasa. Umumnya sasterawan dan ahli bahasa negara ini pada ketika itu menentang Mahathir.

Mereka lebih cenderung untuk menyokong Keadilan, lebih-lebih pemimpinnya, Anwar Ibrahim yang merupakan lepasan pengajian Melayu berpegang kuat pada perjuangan bahasa kebangsaan. Ketua PRM, Syed Husin Ali pendokong kuat bahasa kebangsaan dan partinya pada 1940-an berperanan besar memperjuangkan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ternyata universiti itu menjadi pelopor utama dalam pengembangan kajian sains dan matematik dalam bahasa kebangsaan.

Pada 1970-an, Razak dengan Hussein Onn sebagai timbalan perdana nenteri dan menteri pelajaran melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menyaksikan terhapusnya Sekolah Jenis Kebangsaan Inggeris (SJKI) peringkat demi peringkat dengan matematik dan sains menjadi mata pelajaran terakhir bertukar dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Oleh kerana kekurangan guru sains untuk mengajar dalam bahasa Melayu, kerajaan membawa masuk guru dan pensyarah dari Indonesia.

Bukan itu saja, malah Razak mempelopori usaha merapatkan Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia dengan menyeragamkan ejaan. Lebih penting ialah penyeragaman istilah sains dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia dengan ditubuhkan majlis rundingan melalui usaha DBP. Wawasan Razak ialah bahasa Melayu boleh menjadi besar dengan gabungan penggunaannya dalam ilmu pengetahun khususnya sains dan teknologi. Jika Indonesia ketika itu berjaya menjadi ekonomi maju, maka dengan sendiri Bahasa Indonesia, dan juga bahasa Melayu mempunyai nilai tinggi ekonomi.

Mahathir pernah menjadi menteri pelajaran di bawah Razak. Tentunya beliau melihat proses penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran sains. Selain UKM, 2 universiti ditubuhkan yang turut mempelopori pengajaran sains dalam bahasa Melayu. Melalui program sains dan pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) melahirkan guru-guru sains untuk mengajar dalam bahasa Melayu. Sebahagian guru itu lepasan SJKI yang belajar dalam bahasa Inggeris termasuk sains dan matematik. Di UKM, UPM dan UTM, mereka melalui latihan mengubah perantara bahasa dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

Tetapi ketika itu, sehingga hari ini, satu institusi di medan depan pendidikan orang Melayu mengekalkan bahasa pengantarnya dalam bahasa Inggeris walaupun dalam kursus-kursus yang ada kaitan dengan sains dan matematik. Institusi itu ialah Intistitut Teknologi Mara (ITM) yang kini menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sepanjang 1980-an dan 1990-an, DBP aktif menterjemahkan banyak buku bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Buku-buku sains, sama ada akademik dan popular turut diterjemahkan seperti buku A Brief History of Time oleh Stephen Hawking. Malah penubuhan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) antara tujuannya untuk perkara ini.

Tetapi bagi Mahathir seperti apa yang dinyatakan dalam ucapan dan sidang akhbar sepanjang 1990-an, usaha-usaha terjemahan ini tidak mencukupi. Ini kerana kerja penterjemahan tidak boleh mengejar penulisan dan penerbitan buku sains dalam bahasa Inggeris yang pesat.

Beliau percaya, hanya penguasaan bahasa Inggeris sahaja membolehkan orang Melalui akses pada karya-karya sains dan teknologi. Maka bagi beliau, caranya ialah dengan melaksanakan PPSMI.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.