Parasite Korea, parasit Malaya & kewuhanan

Minggu ini Balai Seni Negara menurunkan 4 karya Ahmad Fuad Osman ekoran keputusan mesyuarat Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara. Empat karya Ahmad Fuad yang menempa nasib “turun” itu berjudul “Untitled 2012”, “Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody”, “Imitating The Mountain 2004”, dan “Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik”.

Karya-karya tersebut sebahagian pameran kerja beliau bertajuk “At The End Of The Day, Even Art Is Not Important” yang berlangsung sejak akhir tahun lalu. Karya-karya terbabit dikatakan menggambarkan tokoh berpengaruh dalam politik masa ini, iaitu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad; Presiden PKR, Anwar Ibrahim; dan timbalannya, Azmin Ali.

Pada hari yang sama keputusan Balai Seni Negara tersebut dilakukan, vokalis kumpulan Drama Band, Aepul Roza terdesak memohon maaf, “atas keterlanjuran dalam persembahan di malam” Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 . Drama Band seterusnya mendalih, “jika ada yang meneka watak dibawa ke pentas ditujukan kepada mana-mana individu, kami tidak mampu menghalang”.

Permohonan maaf yang amat tidak rebel itu lantaran terdapat segelintir pemandul seni di media sosial yang gagal menghayati “kritikan sosial yang disampaikan dalam bentuk satira” ketika persembahan mereka.

Dalam persembahan untuk lagu ciptaan Aepul, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir dan Nik Adib, kugiran Drama Band yang diiringi sejumlah penari, mengetengahkan beberapa karakter yang diteka sebagai watak “selebriti, pendakwah bebas, ahli politik dan pemimpin” tertentu. Rentetan itu, saluran TV3 membuat keputusan tidak masyhur dengan tidak menyiarkan klip video persembahan band itu di akaun YouTube, sejak malam tadi1.

Dua insiden di atas, satu; dalam industri muzik; kedua; dalam industri catan-visual memaksakan karyawan seni akur dengan kepandiran seni, kelebaimalangan dan ketenggangan birokrat dan patinggi budaya.

Jauh di Hollywood, hari yang sama – filem Parasite, sebuah produk Korea Selatan – mencipta sejarah tersendiri, dengan menjadi filem pertama bukan bahasa Inggeris meraih anugerah Filem Terbaik di Majlis Oscar yang ke-92. Filem tersebut dari genre satira yang mengisahkan pertembungan kelas yang tajam dalam masyarakat Korea.

Senario kejayaan yang menjadi kebanggaan Korea Selatan, dan senario kecabulan yang menjadi kekesalan pengamal seni di tanahair ini berlaku kerana hanya satu – di Korea Selatan seni itu bebas – dan pencipta serta karyawan merdeka mengkritik dan melakukan observasi mengenai kehidupan dan nilai masyarakat. Manakala di sini, pencipta serta karyawan terancam dan dikasi agar bungkam dari melakukan pemerhatian mengenai pilihan dan tindak-tanduk pemerintah.

Penyebab seni kita diwuhan itu bukan sukar untuk kita tebak. Satu kata – sensor – yang menjadi wabak korona, mengakibatkan birokrat seni negara ini bila dijangkiti mereka akan batuk kering, semput dada dan kerana disorokkan gejalanya, lama-kelamaan ia merebak; dan akhirnya menyebabkan kepada kematian segera.

Di Korea Selatan, Parasite dialu-alukan kepulangannya; di Malaysia – kelas penentu dalam masyarakat kita yang bertukar menjadi parasit. Sewaktu karya-karya sastera saya diharamkan; tiada seekor pun pengekor seni yang berani bersuara. Saya melawan seorang diri.

Hari ini, secara pahitnya saya boleh mengucapkan – padan muka kalian – untuk semua pengamal seni; bahawa wabak kewuhananseni itu sudah melampaui pelbagai bidang seni. Padan muka. Padan.

Siapakah yang meratah tenggiling, musang, dan ular yang menyebabkan karya seni bisu, dan apabila cuba dimerdekakan, dengan segera dipecat dan dipacat? Siapakah kelas penentu dalam masyarakat kita yang bertukar menjadi parasit? Ramai.

Seperti digambarkan dalam persembahan Drama Band mereka adalah “selebriti, pendakwah bebas, ahli politik dan pemimpin”. Dalam kes saya; agamawan. Ini kelas penentu yang merasakan mereka berkuasa dengan fatwa. Bila mereka rasa terancam, maka “kilang hadis” akan beroperasi. Dalam kes Drama Band, mereka yang sakit teruk dari kumpulan paling rendah – pemuja korupsi, geng pasar basah Wuhan – yang berteriak-teriak supaya satira dan parodi, yang merupakan satu tanda kemajuan ekspresi cepat-cepat ditindas.

Dalam kes Ahmad Fuad Osman, yang menjadi punca virus adalah birokrat. Kelas penentu seni ini sungguh korona sekali.

Barisan Nasional jatuh kerana salah satu sebabnya kebangkitan masyarakat yang semakin celik seni. Pakatan Harapan akan tersungkur, juga kerana kebangkitan masyarakat yang semakin celik seni. Jangan main-main orang seni. Jangan main. Jangan.

Parasite yang memecah pelbagai tembok di Barat itu tidak bermula dalam 1 hari. Ia bermula dengan Miky Lee (yang memang suka mengenakan busana aneh ala-ala makcik-makcik Korea Ampang, tinggal lagi tiada tiara di kepala) membina rangkaian pawagam, meletak duit dalam DreamWorks (ohhh patutlah Hollywood bagi menang) dan empayar hiburan yang diasaskannya itu memuncak sebanyak AS$4.1 bilion.

Pun, Miky Lee tidak peduli. Dia menabur dana untuk siapa sahaja. Dia tidak melakukan sensor. Maka dia boleh menerima idea gila-gila Bong Joon Ho, pengarah Parasite dan membawanya ke Hollywood. Kita? Kahkahkah.

Maka Parasite melanggar Grand Theatre Lumière di Cannes (standing ovation selama 8 minit) lantas merebut Palme d’Or, melanggar SAG Awards, melanggar anugerah Oscar dengan 6 pencalonan dan menang 4. Parasite juga sudah meraih $162 juta dan terus meningkat harganya. Hei, kamu suka duitkan, ini cara buat duit – berhenti melakukan sensor.

Miky Lee lah yang bertanggungjawab di sebalik industri filem, di sebalik soap opera Korea pujaan makcik-makcik sebelum turun ke surau bermaghriban, juga berada di belakang BTS yang digilai anak-anak kita.

Namun, Miky bukan sekadar makcik yang aneh-aneh, sekadar di sebalik-sebalik. Miky belajar ilmu kemanusiaan (maka dia tahu seni) bertutur dalam bahasa Korea, Jepun, Mandarin, dan Inggeris; serta pernah mengaji di Harvard melakukan sarjana dalam Pengajian Asia, yang mana membuka mata beliau bahawa dia perlu melabur untuk budaya Korea di Barat.

Kita? Perdana menteri kita ingin memaksakan anak-anak belajar dalam Bahasa Inggeris untuk subjek sains dan matematik. Tujuan perdana menteri kita ialah membunuh bahasa. Dia ingin jadi juara membunuh bahasa. Kerana bahasa apabila tidak lagi berfungsi ia akan mati.

Apabila bahasa mati, budaya juga mati. Kerana semangat dan roh budaya ada pada bahasa. Kalau tidak masakan anak-anak kita tergila-gila belajar bahasa Korea, menjolok tekak dengan ramen dan menggelek dada melihat Blackpink.

Apabila Miky menjadi kaya, dan dengan bantuan Samsung (dia kerabat Samsung), Miky melabur pula di Hollywood. Bukan senang bermata sepet dan berwarna jingga untuk membuat Hollywood percaya. Ia bermula 1987. Selepas 3 dekad barulah ia berhasil. Itu pun setelah Miky boleh bergesel dan bersulang gelas berisi bira dengan Steven Spielberg, David Geffen and Jeffrey Katzenberg untuk membina studio.

Jadi, untuk berjaya secara sejagat pertamanya kita harus ubah kerangka minda kita. Kita harus bebas. Bukan terperuk dan terkurung. Berontaklah terhadap penentu seni kita. Jangan biar mereka mencengkam kita.

Kedua, kita memerlukan orang yang betul untuk menjaga seni kita. Orang seperti Miky Lee. Dia tidak membuntut menteri macam belakang gerabak keretapi. Dia kenal budaya dia. Menteri tak kenal budaya. Miky ada sarjana dan dia ada kehendak kuat.

Ketiga, selepas itu kita minta pemerintah melayan seniman dan karyawan dengan baik. Bukan dengan menurunkan karya mereka bila tersindir. Malah, urusan agama juga tiada campur dalam karya seni. Ini kerana seni itu ruang sendiri. Bawa fatwa kamu ke pasar basah. Sila mujahat di sana. Seniman punya hak munajat dalam karya mereka. Fatwa kamu agamawan bukan di berus catan, bait puisi, imejan filem, atau nota taugeh muzik.

Keempat, silalah memulai dengan budaya dan budaya itu jiwanya terkandung pada bahasa. Kelima, bila kita dapat mencipta M-pop (Malaya-pop) maka barulah kita ada kuasa melabur, kerana bahasa sejagat bahasa wang. Seperti yang ditunjukkan Miky Lee.

Nasib orang seni kita jauh dari Korea. Ia dihuraikan dengan tepat oleh Ahmad Fuad dengan tajuk pameran seni visualnya; “At The End Of The Day, Even Art Is Not Important” (baca ala-ala PPSMI). Hujungnya seni yang jadi alas duli. Nah, bak kata Kakak Maya kita, “think about it”. Orang yang belajar PPSMI dulu-dulu akan cepat melatah menjawab; “how true”.

Sehingga semua di atas terjadi, kita hanya seketul daging yang mewuhan di pasar basah. Kita menyerakkan virus. Kita terkorona dengan teruk sekali. Sebab korona itu seni kita merana. Orang kita punyalah lemah seni, satira pun mereka tidak faham. Baca saja komentar apabila saya menulis artikel begini. Kefahaman orang kita di bawah takah lemah. Kalau ada takah jahanam, kita di bawah takah itu.

Tolonglah jangan jadi parasit wahai kelas penentu seni. Masyarakat, tolonglah jangan jadi tikus. Jangan kereta api saja. M-pop ada potensi besar. Kita, orang Malaya mesti berjiwa agung. Kita mesti lebih dari perbahasan Diva AA, Vida, Sajat dan Pencetus Ommah.

Bak kata Kakak Maya kita, “think about it”.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.