Imbangan sokongan politik Cina

Pada perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, perdana menteri dilaporkan memenuhi undangan Gerakan bagi menghadiri majlis sambutan dianjurkannya. Juga dilaporkan DAP tidak senang dengan kehadiran beliau itu.

Ini kerana Dr Mahathir Mohamad ialah pengerusi Pakatan Harapan yang mana DAP anggotanya, sementara Gerakan bukan parti anggota PH.

Di pihak perdana menteri, kehadiran beliau dalam majlis itu disifatkan hanya memenuhi undangan sosial dan tiada kaitan politik. Pihak Gerakan pula menyatakan mereka juga mengundang perdana menteri setiap tahun, termasuk tahun lalu, tetapi perdana menteri tidak hadir masa itu.

Bagi pemerhati politik, semua tindak-tanduk ahli politik sentiasa disyaki mempunyai motif politik. Tetapi, mungkin juga benarnya kehadiran perdana menteri dalam majlis Gerakan itu kegiatan sosial semata-mata.

Namun, baru-baru ini tersebar laporan spekulasi penyokong Mahathir dan PPBM tidak senang terhadap pendirian DAP yang memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi pengganti Mahathir sebagai perdana menteri.

Keadaan ini harus dilihat dalam konteks PH kini ada 2 kumpulan politik, iaitu kumpulan penyokong Mahathir yang dimaksudkan sebagai mereka yang menolak Anwar sebagai pengganti dan kumpulan penyokong Anwar yang mahu Mahathir melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepada presiden PKR itu.

Maka dalam perkiraan ini, dinyatakan DAP dan Amanah penyokong Anwar, PPBM menyokong Mahathir sementara PKR terbahagi dua, iaitu pro-Mahathir dan pro-Anwar.

Malah, timbul saranan DAP menyusahkan PH, bukan saja soal persaingan Mahathir-Anwar, tetapi juga kenyataan pemimpin parti itu sejak menang pilihan raya umum ke-14 pada 2018. Apa yang dimaksudkan ialah kenyataan sebahagian pemimpin DAP membuatkan sokongan orang Melayu terhadap PH semakin terhakis.

Sementara Gerakan pula cepat keluar daripada Barisan Nasional sebaik saja gabungan parti itu kalah. Ia berusaha menampilkan diri sebagai kuasa politik ke-3 dalam politik. Ia menolak kedua-dua BN dan PH. Maka, parti ini menancapkan kedudukannya sebagai wadah bagi mereka yang menolak BN, tetapi kecewa dengan PH, khususnya dalam kalangan bukan Melayu.

Maka, senario politik Semenanjung Malaysia menunjukkan apa yang disebut sebagai kuasa ke-3 adalah parti kecil yang tidak berpengaruh. Selain Gerakan ialah Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang pada PRU lalu memperlihatkan ia dicergaskan sebahagian bekas ahli politik DAP.

Gerakan cuba menampilkan diri sebagai parti di tengah-tengah spektrum politik yang di hujungnya MCA di sebelah kanan dan DAP di sebelah kiri. Parti itu mencuba nasib dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai tidak lama dahulu.

Pada masa itu, jika BN meletakkan calon Melayu dari Umno untuk berdepan PH, yang juga meletakkan calon Melayu dari PPBM, maka Gerakan meletakkan calon campuran Cina-India mengharapkan ia dapat menarik undi bukan Melayu yang ketika itu dipercayai menolak BN dan kecewa pada PH. Namun apabila BN meletakkan calon MCA, Gerakan tidak berupaya menyainginya.

Tetapi dalam sejarahnya sejak penubuhan pada 1968 hasil perpecahan MCA dan penutupan Parti Buruh, Gerakan sentiasa berada di tengah-tengah spektrum politik kaum Cina, iaitu antara MCA dan DAP.

Maknanya, Gerakan merupakan gabungan sisi kiri MCA dan sisi kanan Parti Buruh. Sisi kiri Parti Buruh ketika itu menyertai Parti Rakyat Malaya yang mengubah namanya kepada Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM).

Dalam PRU 1969, iaitu hanya setahun selepas penubuhannya, Gerakan berjaya meraih sokongan pengundi Cina hingga mampu mengalahkan MCA dan DAP di Pulau Pinang. Sementara perpecahan undi pembangkang Cina di antara Gerakan dan DAP membolehkan Perikatan terus kekal berkuasa di Selangor.

Apabila BN ditubuhkan pada 1974, Gerakan menerima baik undangan Abdul Razak Hussein untuk menyertainya sementara DAP menolak.

Kerajaan campuran Perikatan-Gerakan di Pulau Pinang dan Perikatan-PAS di Kelantan menjadikan Gerakan dan PAS sebagai tonggak penting kerajaan BN.

Tetapi menjelang 2008, bermulalah penghijrahan pengundi Cina dari BN yang bermakna mereka meninggalkan MCA dan Gerakan serta menyokong DAP. Hasil sokongan itu, DAP memberi sumbangan besar kepada tumbangnya BN dan naiknya PH pada 2018.

Tetapi, kepentingan imbangan politik kaum Cina sentiasa berlaku sejak dulu, malah sebelum mencapai kemerdekaan lagi. Menjelang penubuhan Malaysia, perkembangan politik kaum Cina, malah sebenarnya untuk semua kaum besar kaitannya dengan Singapura.

Apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963, ada cadangan dari pihak pemimpin Singapura supaya Parti Tindakan Rakyat (PAP) menggantikan MCA sebagai wakil kaum Cina dalam Perikatan, ini kerana kedudukan PAP lebih kuat daripada MCA di negara ini.

PAP mentadbir Singapura dengan jumlah penduduk kaum Cina yang besar berbanding MCA yang hanya mentadbir Pulau Pinang.

Tunku Abdul Rahman menolak cadangan itu dan menegaskan kesetiaan Umno kepada MCA dalam konteks Perikatan.

Lanjutan daripada itu, PAP menyertai PRU Semenanjung Malaysia pada 1964 bagi menunjukkan kaum Cina menyebelahi mereka lebih daripada MCA. Tetapi orang Cina di Semenanjung Malaysia lebih menyokong MCA, akhirnya Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965.

Ahli PAP di Malaysia kehilangan parti mereka. Maka, mereka menubuhkan DAP dan penyertaan pertama mereka pada PRU 1969, kerusi di Melaka, Selangor, Perak dan Pulau Pinang berjaya diraih, ternyata pengundi Cina kecewa dengan MCA.

Tetapi pada 1974, ramai pengundi Cina menyokong BN. Ada yang kembali kepada MCA, tetapi Gerakan juga berperanan besar sebagai peraih undi Cina untuk BN. Namun, DAP muncul penyambung lidah kaum Cina terhadap isu yang tidak dapat disuarakan MCA dan Gerakan kerana mereka berada dalam BN.

Keadaan ini berterusan sehingga PRU 2008 ramai pengundi Cina menyokong DAP. Sejak itu, umumnya orang Cina-India berada di pihak pembangkang dan kerajaan BN didominasi dari segi sokongan orang Melayu.

Keadaan ini tidak seimbang. Sebahagian daripada Cina-India wajar berada di pihak kerajaan. Ternyata keseimbangan akhirnya tercapai apabila PH menang dengan sebahagian orang Melayu menolak BN.

Pun begitu, ia tidak benar-benar stabil kerana sebahagian Melayu yang lebih ramai berada di pihak pembangkang. Ini kerana walaupun mereka boleh menerima MCA dan Gerakan, mereka tidak dapat menerima DAP.

Tetapi, DAP sendiri sudah banyak berubah. Dari 1965 hinggalah sekarang, parti itu banyak berbeza dengan ada orang Melayu yang menyertai mereka. Proses ini akan terus berlaku untuk keseimbangan, lebih-lebih lagi ada 2 realiti yang akan berlaku pada masa akan datang.

Pertama, dari segi demografi, peratusan orang Cina akan terus merosot. Kedua, orang Melayu walaupun semakin ramai, mereka bukanlah kaum monolitik.

Orang Melayu itu pula bukanlah berpecah, tetapi sebenarnya pelbagai. Ini kerana bukan semua orang Melayu hanya menyokong Umno, PPBM, PAS dan Amanah. Mereka akan turut bersifat plural dengan menyokong PKR dan malah DAP.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.