Terima kasih Agong yang sabar, adil

Perangai anak-anaknya sungguh nakal sepanjang minggu yang lalu. Nasib baik, Malaysia mempunyai seorang bapa yang sebegitu sabar melayan kerenah anak-anaknya sehingga kemelut berjaya diselesaikan.

Bapa Malaysia yang sabar ini ialah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Di dalam krisis politik terburuk zaman moden ini, Agong menunjukkan usahanya untuk menjadi insan yang berlaku adil kepada semua.

Peranan Agong bermula apabila menerima surat peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad pada Isnin minggu lalu. Memandangkan Mahathir tidak lagi mahu menjadi perdana menteri ke-7, maka Sultan Abdullah terpaksa mencari penggantinya.

Lalu, pada petang Isnin juga, Agong memberi peluang kepada Anwar Ibrahim yang selalu disebut-sebut sebagai pengganti Mahathir dalam kerajaan Pakatan Harapan untuk berjumpa dengannya.

Jika Anwar mempunyai sokongan yang cukup, sudah pasti Sultan Abdullah akan mengarahkan beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keesokannya.

Selepas berjumpa Anwar, Agong mengambil masa pula bertemu Mahathir. Ketika itu, dipercayai Mahathir tidak menarik balik surat peletakan jawatannya.

Oleh itu, Mahathir dilantik sebagai perdana menteri interim untuk meneruskan pentadbiran kerajaan sementara Sultan Abdullah berusaha mencari calon perdana menteri yang baru secepat mungkin.

Selepas itu, selama 2 hari berturut-turut, Agong memanggil setiap ahli Parlimen satu persatu untuk mengetahui sokongan mereka kepada calon perdana menteri yang dikehendaki.

Di dalam kesibukan melayan kerenah ahli Parlimen, Sultan Abdullah tidak lupa kesusahan yang dialami wartawan di depan pintu Istana Negara yang bertungkus lumus membuat liputan muktahir kepada krisis politik yang dicipta ahli politik.

Di atas keprihatinan itu, Agong membelikan makanan dan menyediakan kemudahan supaya mereka dapat membuat liputan dalam keadaan lebih selesa.

Ketika Agong menemui ahli Parlimen satu persatu, Mahathir juga memanggil semua ketua parti politik berjumpa dengannya.

Ketika inilah idea kerajaan perpaduan dicanang Mahathir dan idea inilah yang menyebabkan sokongan teguh kepada Mahathir berubah sekelip mata.

PH tiba-tiba mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri dan mengisytiharkan Mahathir sudah keluar daripada PH, manakala Muafakat Nasional menarik balik sokongan mereka kepada Mahathir lalu mendesak Parlimen dibubarkan.

PH juga mula menyerang Mahathir, manakala Muafakat Nasional menjauhi Mahathir.

Barangkali disebabkan itu, Agong masih tidak dapat mencari calon perdana menteri yang dipercayai mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat selepas menghabiskan 2 hari untuk bertemu setiap ahli Parlimen. Sultan Abdullah memaklumkan keputusan itu kepada Mahathir.

Sebelum istana mengeluarkan kenyataan, Mahathir pula mengumumkan apa yang dimaklumkan Agong kepada umum ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi bagi menghadapi wabak Covid-19.

Malah, Mahathir menyebut sidang khas Parlimen perlu diadakan untuk menyelesaikan kemelut politik pada 2 Mac, namun cadangan itu ditolak speaker Dewan Rakyat.

Meskipun Mahathir mengumumkan keputusan carian lebih awal, Sultan Abdullah nampaknya tidak terkilan. Atas nasihat speaker, Agong terpaksa menolak cadangan Mahathir untuk mengadakan sidang khas Parlimen bagi memilih perdana menteri.

Memandangkan krisis politik ini tidak boleh dibiarkan berpanjangan, Agong mengumumkan akan menemui ketua parti politik untuk memberi peluang ke-2 bagi menyuarakan calon perdana menteri masing-masing.

Hari yang dipilih ialah Sabtu lalu, di mana keputusan akan dibuat pada sebelah petang apabila Sultan Abdullah yakin ada orang yang mungkin mendapat sokongan majoriti di Parlimen. Proses ini bagaikan tender, semua parti perlu menyatakan sokongan sebelum Agong membuat keputusan.

Sebelum itu, anak-anak buah Agong melakukan langkah politik mengejut lagi. Muhyiddin Yassin tiba-tiba menjadi calon perdana menteri, manakala Anwar pula memberi peluang kepada Mahathir menjadi perdana menteri semula setelah merayu beliau kembali ke pangkuan PH.

Kedua-dua pihak yang mencalonkan Muhyiddin dan Mahathir menghadap Sultan Abdullah. Pada sebelah petangnya, istana mengumumkan keputusan Agong yang Muhyiddin diyakini mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat, tetapi ada yang mempertikaikan keputusan tersebut.

Malah, pihak Mahathir terus mencari sokongan dan beberapa ahli Parlimen mengubah pendirian menyebabkan Mahathir mendakwa dirinya mempunyai sokongan 114 ahli Parlimen.

Namun, Agong perlu berlaku adil, dalam setiap pertandingan, tarikh tutup pertandingan wajib dipatuhi.

Apabila tiba tarikh tutup pertandingan, siapa di depan, dialah pemenangnya. Apatah lagi, rakyat boleh melihat bagaimana permainan mencari akuan bersumpah menjadikan semua SD tidak bernilai kerana boleh ditukar sesuka hati.

Contohnya boleh dilihat daripada 2 ahli Parlimen yang menafikan mereka menyokong Mahathir sejurus beliau mengumumkan mempunyai sokongan 114 ahli Parlimen.

Oleh itu, Mahathir tidak dapat menghadap Sultan Abdullah untuk mempersembahkan sokongan diperolehinya. Ini seperti jawapan yang telah ditukar. Atas apa jawapan itu ditukar, tiada siapa yang tahu.

Agong perlu berlaku adil dan berpegang pada keputusan yang diumumkan. Akhirnya, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 semalam.

Ini petanda tugas Sultan Abdullah sudah selesai untuk meredakan kemelut politik ini. Jika anak-anak buah masih tidak berpuas hati, mereka boleh terus bergasak di Parlimen selepas ini.

Percayalah, Agong tidak akan masuk campur sehinggalah perdana menteri menemuinya untuk meletak jawatan atau menasihatinya membubarkan Parlimen. Malaysia sungguh bertuah memiliki Agong yang sabar dan adil.

Jutaan terima kasih kepada Sultan Abdullah yang telah memandu proses mencari perdana menteri baru dengan seadil-adilnya mengikut proses Perlembagaan.

Daulat Tuanku.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.