Yang khianat-khianat

Pernah terjadi ketika pemerintahan Johor Lama, selepas tahun 1515 di negeri Pagoh. Seorang pelacur memberitahu pelanggannya, mata-mata Feringgi, yang tampak alim ibaratkan seorang friar; “Seperti agama, aku juga ingin ditunggang”.

Nenek pernah memberitahu aku tentang pemimpin Melayu. “Sering yang nama pemimpin itu dengan khianat memang berpisah tiada. Jika tidak demikian, tidak kita temui 2 rangkap dalam ‘Syair Perang Siak’ (1764) yang berbunyi begini:

Kepada anakanda baginda berumanat,
Kerjakan sembahyang fardu dan sunat,
Di hamba dan sahaya hendaklah minat,
Jauhi olehmu nama khianat.

Berbuat khianat jangan sekali
Allah dan rasul tidaklah redhoi;
Kerjakan perang syahid sabili
Mengikut wal-jum’ah Baginda Ali.

Tentu yang khianat akan menjerit rasa disakiti, ”Sudah mengapa nama Ali yang kalian seru dalam syair itu?” Hanya tatkala nazak sahaja Raja Mahmud terkenang perihal supaya mengasihi hamba sahaya, dan jika tidak kerana sudah ajal sangat menjemput, raja tidak akan terkenang pun perihal khianat dan mengikut jalan dan langkah Saidina Ali.

Mengapakah nama Saidina Ali yang terpilih lantas diganding dengan redha dan syahid? Nenek memberitahu, “Kerana Ali, dalam sejarah, yang paling banyak sekali dikhianati, dan berkali-kali”.

Mengapa dengan friar yang melanggani pelacur? Bila ada ulama dalam barisan mana-mana pengkhianat, maka khianat akan lekas dilupakan rakyat jelata. “Ini kerana ulama fulan bin fulan ada bersama mereka. Tentu bukan khianat. Tentu bukan”.

Aku pun membuka buku sejarah. Perang Siak berlaku antara Sultan Siak, Raja Ismail dengan Belanda dalam tahun-tahun 1760-1762.

Sungguh menjolok rasa ialah dalam syair ini juga terakam sejarah perebutan kuasa dalam kalangan umat Melayu, melibatkan Johor dan Siak. Nenek pernah memberitahu aku tentang pemimpin Melayu. “Selalu yang nama pemimpin itu dengan khianat memang berpisah tiada”.

Bila dekat kematian, ketika itulah terbit nasihat agar menyayangi hamba sahaya dan rakyat, atau lidah menyebut-nyebut Saidina Ali. Tetapi terlalu ramai yang menyebut nama Ali, padahal mereka itu membawa nama Ali atau anak kepada Ali dan masih mendamba keji. Tanpa mengingat mati.

Pengkhianatan itu selamanya dosa dan perbuatan kafir (yakni tidak berakhlak). Jika engkau membawa masuk seribu Jalaluddin ar-Rumi ke dalam perikatan, ia tidak mengubah dosa apatah lagi mencucinya.

Ini kerana lebah tidak akan menghurung timbunan sampah. Manakala langau akan kekal langau.

Nenek pernah selalu membaca sebuah kitab di pangkin rumah. Kata nenek, “Tahun 1909, Raja Haji Ali Kelana menuliskan sebuah kitab berjudul ‘Kitab Kumpulan Ringkas Berbetulan Lekas’. Ia didakwatkan demi menjadi pesanan buat raja-raja dan menteri di Riau supaya sentiasa berlaku adil dan memerintah dengan penuh adab ketatanegaraan.

Aku menjadi musykil, “Seperti apakah kitab yang penuh panduan fikah tabayyun ini?” Nenek menggoyeh sirih dan memandangku. Kemudian bersuara, “Raja Haji Ali Kelana mencatatkan satu perenggan yang mengesankan tentang khianat. Jika engkau menjadi menteri haruslah mengingat”. Untuk apa menjadi menteri jika ia sinonim dengan khianat?

“Barangsiapa tertipu ia dengan sebab nama yang mempunyai rosak, nescaya tinggallah ia dengan ketiadaan bekal yang sentiasa sesia, dan barangsiapa khianat ia pada bekal, nescaya kembali ia dengan ketiadaan nyawa leher terpenggal, dan barangsiapa percaya akan yang mempunyai khianat, nescaya habislah harta punah ranah demikianlah halnya”, – Raja Haji Ali Kelana, dalam‘Kitab Kumpulan Ringkas Berbetulan Lekas’.

Apakah maksud Raja Haji Ali Kelana itu nenek? “Jika usia sudah lanjut dan menanti maut, sudah tentu melakukan khianat akan terbawa-bawa ke liang lahad.” Itu sungguh menakutkan kerana Malaikat Maut sedang bergayut di dagu.

Apakah pesan Raja Hali Ali Kelana agar jangan mengkhianat itu dipatuhi Sultan Abdul Rahman Muazzam Syah? Tidak. Baginda mengkhianati perjanjian Riau dengan Belanda.

Maka aku bertempik di sisi nenek, “Itu perjanjian dengan Belanda! Kita tidak mematuhi perjanjian dengan kafir”.

Nenek hanya memandang polos dan berbisik, “Bukankah kamu pernah mendengar Perjanjian Hudaibiyyah. Setiap janji adalah janji tanpa dikhianati. Meski ia dilakukan dengan Majusi dari Shiraz, hendaklah tetap dipenuhi”.

Ini kerana demikianlah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad dalam perjanjian baginda dengan musuh-musuh kaum Musyrikin Mekah mahupun Yahudi.

Khianat perjanjian mendorong Belanda melancarkan kepungan terhadap Pulau Penyengat pada 1911. Sultan Abdul Rahman dilucutkan jawatannya oleh pemerintah Belanda di Betawi. Mereka mengutus sepucuk surat yang berbunyi:

“Maka tuan sultan diberhentikan dari pangkatnya itu sebab banyak kali melanggar politik kontrak: beberapa kali juga diberi nasihat oleh Seri Paduka ‘Governor General’ Betawi dan Seri Paduka Tuan Besar Residen Tanjung Pinang”.

Seorang penjual nangka, punya nangka dan menjualnya di pasar. Apakah yang terbaik untuk seorang menteri muda? Menjual janji di pasar, mengkhianati kawan.

Apakah yang terbaik untuk seorang menteri tua? Menjual diri di kasur, lantas terus mengkhianat. Malaikat Maut sedang bergayut di cuping telinga. Mereka tidak sedar siapa yang mengintai.

Akan selalu ada paling tidak, seketul berserban, yang akan menjadi wajah pengampunan dosa dan noda untuk duduk dalam perikatan atau kumpulan khianat.

Akan selalu ada paling kurang seorang agamawan; sejak dahulu, sekarang dan masa mendatang yang merestui khianat dalam diam. Dengan menjual seuntai ayat, dosa dapat menyamar bagai pahala.

Seorang kawar bermesyuarat dengan seorang mufti. Di hadapan mereka ada sebakul manggis dengan pisau tertusuk di antaranya. Sang kawar cuba bermadah, “Ada banyak bentuk, tetapi satu tujuan”.

Mufti itu membalas, “Bentuk mesti ada pada angka. Berapakah angka yang tuan punya?” Sang kawar pun mengambil bekas berisi manggis, dan mulai mengira. Setelah angka 70 dia kesasar hitungan.

Sang mufti menolong tetapi juga hilang tumpuan setelah melangkau 70. Di ketika itu bibik si kawar keluar membawa hidangan, dan menjelaskan, “Majikanku, jika semua manggis ini dipicit dikeluar dan dituang dalam satu periuk, dimasak dengan air gula bersama-sama, akan adakah lagi angka untuk dikira?”

Kawar dan mufti saling berpandangan, dan mereka nyaris serentak berteriak, “Kita punya angka untuk apa tujuan sekalipun”.

Seorang pelacur memberitahu pelanggannya, mata-mata Feringgi, yang tampak alim seperti seorang friar; “Seperti agama, aku juga ingin ditunggang”.

“Kemurahan” Tuhan tidak dijangka, kadang dosa umpama pahala datang tanpa dibangkang. Yang penting ialah menjadi bacul dan menikam dari belakang.

Maka ketika Perang Siak meletus, pengkhianat terbesar itu memberikan siapa pun apa yang dikehendaki. 70 orang datang menadah tempurung. Mungkin lebih. Setiap seorang dari 70 orang itu memuja dan menyembah sesuatu – kuasa, kuasa, kuasa.

Mereka mengatakan, “Inikah Tuhanku?” (6:76). Namun mereka tercegah dari mengatakan; “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang‘ (6:76).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.