Rakyat ‘manja’ undang tindakan lebih drastik bila tak mahu kerjasama

Apa yang berlaku semalam lebih besar daripada apa yang tersurat.

Ia mendedahkan jurang kekayaan dalam lapisan sosial negara terutama di kawasan bandar.

Yang golongan kaya bandar – yang ada duit lebih – berkumpul di pasar raya untuk mengaut bekalan sebanyak mungkin. Mereka tidak risau pasal duit. Mereka tumpu pada keselesaan.

Yang golongan miskin bandar pula berpusu-pusu ke stesen bas dan balai polis untuk pulang ke tempat yang diyakini kos sara hidup lebih rendah berbanding Lembah Klang.

Jika mereka ada duit, mereka akan pandu ke destinasi daripada terpaksa mengambil risiko beratur tempat sesak untuk mendapatkan tiket bas.

Di pihak kerajaan, situasi ini sesuatu yang baru. Tiada siapa pernah mengalaminya. Kesilapan akan berlaku bila-bila, tapi mesti ada rancangan pemulihan.

Antara keputusan yang sukar ialah antara membiarkan pelajar terus berada di kampus tanpa jagaan (kerana universiti tutup) dan tanpa kemudahan kehidupan, atau membiarkan mereka pulang untuk bersama keluarga dalam situasi menghadapi Covid-19? Langkah mana yang betul susah dipastikan. Sudah pasti ramai yang mempunyai pendapat masing-masing.

Tangkap layar video memaparkan kemeriahan di sebuah pasar terbuka ketika perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa.

Selain itu, apakah patut pergerakan manusia masih dibenarkan antara negeri? Sudah tentu lebih baik tidak jika matlamatnya untuk mengawal Covid-19…tapi kerana memahami rakyat, polis tidak bertegas dalam hal ini.

Setakat ini, jelas kerajaan meletakkan penggunaan tentera untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan sebagai langkah terakhir, kerana ia akan lagi menyusahkan rakyat. Semua tahu rakyat “manja” (mengaku sahajalah), oleh itu segala perintah dimulakan dalam bentuk saranan dan nasihat, tapi masalahnya Covid-19 tidak akan berhenti “bekerja”.

Yang pernah jadi kerajaan sudah tentu faham betapa susahnya jadi kerajaan. Jadi tak perlulah berlagak pandai atau pakar kritik tiba-tiba kerana sewaktu anda jadi kerajaan pun pelbagai kesilapan berlaku walaupun tiada krisis.

Berilah pandangan dan teguran sebagai negarawan dan bukannya dengan niat berpolitik.

Tiada cara lain selain rakyat bekerjasama dan kerja sama-sama dengan kerajaan atau mengundang tindakan lebih drastik untuk mendisiplinkan rakyat demi kesejahteraan semua yang masih sihat.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.