Bila Tony baca biografi nabi

Ada orang memperihalkan Islam yang disayanginya itu dengan pendekatan tilawah. Makanya mereka merenung fenomena alam sebagai tanda Allah. Banyaknya tafakur dan zikir adalah kata kunci untuk kumpulan ini. Mereka ini rajin sekali berwacana, mengkaji, menulis dan menerbit buku. Jadi, kerja mereka itu seputar hal-hal ilmiah dengan landasan akhlak.

Ada pula kumpulan yang kita namakan pendekatannya itu sebagai tazkiyah. Mereka berusaha mengembangkan akhlak baik. Sering menghindar diri seboleh-bolehnya daripada perbuatan tercela. Justeru, kata kunci mereka itu beratnya menjaga kesucian agama dengan amar makruf nahi mungkar. Banyaknya kerja rohaniah dapat menjadi pemberat watak kumpulan ini. Mereka ini juga rajin melakukan tabligh dan penegakan syiar Islam secara terbuka. Tidak kurang juga mengerjakan usrah keilmuan.

Setelah itu ada kumpulan yang dapat diberi nama sebagai menggunakan pendekatan ta’lim. Mereka itu sentiasa peka membaca, menekuni, memahami as-sunnah agar dapat menghuraikan misteri dan mukjizatnya al-Quran. Kitab-kitab menjadi pergelutan mereka ini. Sekali lagi kegiatan mereka itu berkisar kepada diskusi, pembacaan al-Quran dan pelbagai sumber epistemologi yang berkenaan. Pokoknya al-Quran dan as-Sunnah.

Akan tetapi ada sebuah lagi kumpulan yang kelihatannya sama sekali terkeluar daripada garis di atas. Kita boleh menamakan mereka sebagai kumpulan ishlah. Bagaimanakah ia berbeza?

Ia amat berbeza, kerana ia itu peka terhadap penderitaan orang lain. Mereka sering mengupas kepincangan sosial di dalam lingkungan. Justeru, mereka berasa terpanggil untuk membantu dan berdampingan dengan kelompok lemah dan tanpa daya. Tekad mereka tidak lain tidak bukan, menyikapi golongan tertindas dan melawan yang menindas.

Kerja-kerja mereka ini menuntut mereka berusaha memahami perbezaan dan mengecilkan jurang kelainan khusus demi memulihara solidariti orang kecil. Mereka terlihat menerusi kerja-kerja seperti mendekati orang yang terperosok dalam kalangan minoriti. Mereka banyak sekali menganjurkan projek sosial demi “melepaskan beban dan aneka belenggu” yang dialami umat manusia.

Jadi, jika kita bertanya apa yang Tony perolehi setelah membaca sebuah biografi mengenai Nabi Muhammad, ia akan sangat bergantung juga bahawa pengarang atau buku itu produk kumpulan yang mana daripada 4 di atas tadi.

Kalau biografi Nabi Muhammad itu misalnya daripada puaknya ta’lim, tentu Tony akan lemas pula dengan siri perbahasan yang akan merujuk pelbagai kitab. Ia mungkin serasa sarjana dan Tony di akhirnya boleh keluar sebagai seorang naqib kalaupun tidak sebagai seorang, katakan, ala-ala Attasian.

Namun demikian, jika biografi Rasulullah yang diikuti Tony itu mengenai Nabi Muhammad selaku pemimpin kaum mustadhafin, yakni daripada kelompok ishlah; hasil berbahagia akan kita perolehi – jika betul dikhatam buku itu dengan betul – makanya kita akan menyaksikan pemberdayaan orang susah.

Rasulullah harus kita ingat tidak pernah seorang CEO syarikat GLC Quraisy Makkah atau kapitalis syarikat korporat yang menagih bantuan saat tersepit. Umat Muhammad waktu itu adalah kumpulan proletariat dan marhaen yang perintah kawalan pergerakan untuk mereka sangat terhad di kala fasa pertama kenabian baginda di kota Makkah.

Meskipun kita tidak nafikan Nabi Muhammad pernah berniaga dengan bapa saudaranya, Abu Thalib dan juga menolong Saidatina Khadijah, isterinya yang paling unggul – tetapi Nabi Muhammad bukan figur bermain golf di siang hari, bersujud syukur di malamnya. Baginda juga tatkala menguruskan orang susah tidak merakamnya untuk perhatian saluran YouTube. Bukan. Sama sekali bukan.

Jika nabi itu tokoh niaga yang mencari peluang menghimpit patinggi Makkah, sudah tentu apa ditawarkan Abu Lahab diterimanya. Baginda bahkan nekad jika ada bulan dan matahari diletak di bahu baginda, pun baginda nabi tidak akan meninggalkan kerja dakwahnya. Dalam bahasa halus di sini, Rasulullah tidak. Tidak. Akan. Khianat. Perjuangan. Reformasi. Masyarakat Jahiliah. Maksud ishlah ialah reformasi.

Kita juga ingat bagaimana Rasulullah dan pengikutnya nyaris kebulur dan nestapa apabila musyrikin Makkah melakukan sekatan ekonomi. Ada umat Islam tatkala itu terpaksa menjadi pelarian, mencari perlindungan di Habsyah, di bawah pemerintahan Raja Najasyi.

Saya harap biografi nabi yang dibaca Tony itu ada tentang semua ini. Jika ada, cara ia dipersembahkan juga akan penting, kerana seperti kata saya di awal, ada cara tilawah, tazkiyah, ta’lim dan ada pula cara ishlah atau bahasa masyhurnya hari ini – reformasi.

Kita menunggu apa hasilnya daripada Tony, oleh buku yang dibacanya itu. Orang kata buku yang baik dan mengesankan akan mencorakkan pembacanya dalam tempoh 3 tahun mendatang. Yakni kita akan menengok hasilnya jadi apa pada 2023.

Tetapi, itu juga bukan jaminan. Ini kerana ada juga pembaca yang tampak karismatik, tetapi bacaannya rendah sekali seperti buku “Playboy Complete Guide to Cigars”. Hatta majalah Kuntum tidak seremeh itu.

Ada juga menteri yang membaca buku A C Grayling sekali khatam dalam pesawat. Akan tetapi kalau DNA khianat ada dalam sendinya, maka buku apa pun yang dibaca, ia akan tetap berkhianat juga.

Malah, kita pun tahu Ibnu Muljam yang membunuh Saidina Ali dalam bulan Ramadan ketika baginda sedang memimpin solat subuh di Masjid Kufah itu adalah pembaca, malah penghafal al-Quran yang tegar.

Jadi, apa bahan bacaan kita tidak mesti juga dapat menjadi petunjuk. Akan tetapi ia lebih baik daripada tidak membaca langsung dan berpura-pura membaca, ibarat tidak ada ijazah sarjana muda tetapi berpura-pura ada. Itu pun berat juga.

Oleh itu, pada bulan Ramadan ini, dengan menyaksikan Tony membaca sebuah biografi Rasulullah, ketika ada dalam kalangan kita dengan zalimnya menyorakkan agar Rohingya diusir daripada memasuki sempadan pesisir pantai; maka kita menjadi hairan tidakkah pernah mereka ini membaca perihal seorang Badwi yang menegur Nabi Muhammad kerana menciumi cucu-cucunya, Hassan dan Hussein; kerana konon itu bukan sikap orang lelaki. Apa balasnya nabi kepada Badwi itu; “Barang siapa tak menyayangi, dia tak akan disayangi.”

Satu kata yang sering muncul di bulan Ramadan ialah kata fidyah atau menebus. Akar katanya fada. Untuk orang yang tidak berkuasa untuk berpuasa seperti orang yang tersangat tua, orang sakit dan seterusnya untuk menggantikan ketidakupayaan berpuasa itu, mereka diminta menebus atau membayar fidyah kepada orang miskin.

Makanya, Ramadan dan puasa itu sangat identik dengan fidyah, iaitu tebusan dan bantuan untuk orang miskin, fakir, papa kedana, gelandangan dan tidak punya apa.

Makanya, tidakkah mengejutkan ada umat Islam di Malaysia yang bersungguh-sungguh menghalau Rohingya dari sempadan negara, malah sambil meneriakkan “Rohingya diberi betis, hendakkan paha”. Tidakkah mengejutkan Ramadan yang identik dengan fidyah dan orang miskin ini menjadi bulan atau ketikanya Melayu mempamerkan belangnya yang sangat hodoh itu.

Dalam kalangan Rohingya itu ada seorang yang bernama Siti Hasiner. Kisahnya sangatlah lara dan syahdu. Saya dagangkan di sini. Moga-moga menyentuh hati yang Islam.

Ini syair kisahnya Hasiner
seorang sunti kelahiran September
hendak didakwat supayalah geger
hendak diperi meskipun leper.

Aduhai apa nasibnya sahaya
segala bergelap tak nampak cahaya
segenap hidup rasa tak daya
nasib celaka bertimpa-timpa.

Di satu hari bulan Muharram
di malam hari langitnya kelam
rembulan muncul bermalam-malam
bayang lembaga taram-temaram.

Pertama ayahanda mereka belasah
sehabis muka bermandi darah
kemudian bonda disepak disesah
giliran kanda ditokak dikerkah.

Sahaya sembunyi di dalam telaga
tiada berbunyi tak keluar suara
walau derik sahaya tak kuasa
tubuh geletar memang tak daya.

Datang seorang lelaki yang bengis
sahaya terketar menahan tangis
di dalam hati berdoa habis
semoga askar tak lepas garis.

Sahaya berpaut mulut telaga
walau sepicing debar tak reda
umpama buaya besar menganga
nasib malang askar dah jumpa.

Askar berpesta sehabis mahu
ayah tak henti merayu-rayu
ibu sakarat mati dah tentu
abang dah tiada dihempuk batu.

Sahaya digilir sampaikan pengsan
inikan hidup seamat hairan
sudah berhari sahaya berjalan
pasang tekad nak tiba sempadan.

Di dalam khemah harapkan ihsan
sesama pelarian berbahagi kasihan
malu dan sedih tak dan simpan
masih sahaya tak salahkan Tuhan.

Aduh nasib ayuhai Tuan
bekerja sedikit dapat menyimpan
habis duit sahaya hamburkan
menurutkan kawan ada di Seremban.

Di tempat orang rezeki pun murah
selalu juga membayarkan rasuah
nasib malang cepatlah sudah
semua gundah sahaya nak ubah.

Rakan taulan dan sahabat handai
ada macam dan aneka pandai
boleh sedikit pakat bergerai
kuih-muih dan roti canai.

Hidup sahaya bersederhana
hidup tagih simpati manusia
kala kadang teringat juga
hati gulana dilanda duka.

Sahaya bukan hidupnya senang
sahaya banyak lukanya perang
ayah dan bonda sahaya terkenang
bertangis pilu bukan kepalang.

Sahaya bukan mintanya banyak
sahaya pun sedar diri tak layak
bukannya palsu bukannya lagak
bukan tamak menuntut hak.

Sementara sahaya binasa perlahan
menimbang tiap tingkah kelakuan
di kampung jadi mangsa habuan
mengungsi jadi mangsa kecaman.

Ini syair kisah nan rawan
lagu derita adu keberanian
sahaya bersyair aduhai kawan
agar didengar suara kemanusiaan.

Walhasil akhir sekali, baguslah Tony membaca biografi nabi. Moga-moga pada 2023, apa yang kita baca hari ini akan menjujurkan kita.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.