Antara rasisme dan nasionalisme

Jumaat lalu adalah ulang tahun ke-75 berakhirnya Perang Dunia II. Aturcara peringatan yang dirancang secara besar-besaran oleh negara Eropah terpaksa dikecilkan kerana penularan Covid-19 belum berakhir.

Pada 8 Mei 1945, Tentera Merah Soviet Union memasuki Berlin dan Jerman untuk menandatangani perjanjian penyerahan diri.

Setiap tahun, negara Eropah mengadakan upacara untuk memperingati tanggal itu, tetapi ia tidak diperingati negara Asia kerana perang itu hanya berakhir pada 2 Sept 1945.

Pun begitu, tarikh rasmi berakhirnya Perang Dunia II ditetapkan pada 8 Mei 1945 dan negara Asia tidak mengingatinya secara besar-besaran seperti Eropah.

Apa yang penting terhadap peringatan perang ini ialah kejayaan manusia menundukkan fahaman rasisme. Jerman pimpinan Adolf Hitler adalah negara yang berasaskan fahaman perkauman, iaitu keunggulan kaum Aryan yang mana Jerman sebahagian daripadanya.

Itulah Nazisme, iaitu fahaman rasmi Jerman ketika itu yang mempunyai polisi menghapuskan kaum Yahudi di Eropah.

Perkara itu mungkin dianggap sebagai sesuatu yang hanya tinggal dalam lipatan sejarah kerana ia berlaku 75 tahun lalu, kalau tidak kerana kemunculan gelombang populis kanan yang mesra fahaman neo-Nazi di Eropah.

Akibatnya, terdapat rasisme yang berbentuk bukan saja anti-Yahudi, tetapi lebih luas lagi, iaitu anti-pendatang, anti-pelarian dan Islamofobia yang memberi kesan kepada pilihan raya di sana.

Namun, apa yang berlaku di Eropah tidaklah dirasakan negara Asia. Pendudukan Jepun di negara Asia bukannya berasaskan fahaman perkauman atau keunggulan orang Jepun.

Perang yang dilancarkan Jepun, walaupun bersekutu dengan Jerman dan Itali, adalah usaha nasional mereka untuk mendapatkan tanah jajahan. Fahaman yang dipegang mereka terungkap dalam slogan “Asia untuk orang Asia” dengan Jepun menjadi pemimpin benua ini.

Tetapi, di sini perlu huraian mengenai istilah kaum atau ras dan bangsa atau “nation” kerana ia akan memberi kesan kepada pemahaman terhadap perkauman atau rasisme, dan kebangsaan atau nasionalisme. Ditambah pula terdapat penggunaan bertindih terhadap perkataan kaum dan bangsa dalam penggunaan seharian di negara ini.

Lantaran itu, ia memberi pemahaman salah terhadap fahaman perkauman dan kebangsaan. Maka, ada yang beranggapan perkauman adalah sesuatu yang tidak salah kerana dianggapnya serupa dengan kebangsaan, sedangkan rasisme dan nasionalisme berbeza.

Di Barat, bukan saja rasisme dipandang salah, tetapi juga nasionalisme. Ini terserlah angkara rejim Nazi di Jerman.

Nazisme bersikap anti-Yahudi atas dasar kaum, dan ia merupakan rasisme. Begitu juga Nazi mengagungkan bangsa Jerman yang menganggap mereka berhak menguasai keseluruhan Eropah. Itu dianggap nasionalisme. Maka, dalam erti kata itu, Eropah memandang buruk bukan saja rasisme, tetapi juga nasionalisme.

Di Asia, ia membawa maksud berbeza. Sikap rasisme dianggap buruk. Umpamanya sikap orang Eropah memandang rendah orang Asia hingga berlaku diskriminasi, di mana orang Cina tidak dibenarkan memasuki kelab orang Inggeris.

Tetapi, berbeza dengan nasionalisme, semangat kebangsaan untuk memerdekakan negara daripada penjajahan dianggap wajar dan hak sesuatu bangsa. Kini, masalah rasisme timbul dalam kalangan negara Asia kerana ia melibatkan pembinaan bangsa yang tidak lancar.

Kaum dan bangsa adalah perkataan yang membawa maksud berbeza. Menggunakan istilah dengan betul akan menjelaskan fikiran. Perkauman merupakan sentimen yang buruk, tetapi kebangsaan adalah semangat yang mulia.

Walaupun perkataan ini telah berubah maksud, tetapi takrifannya hendaklah merujuk kepada dunia pasca Perang Dunia II serta munculnya negara-negara. Malah, perkataan negara itu juga mempunyai 2 makna, yang seringkali digunakan secara tidak betul.

Negara boleh bermaksud “state” atau “nation” mengikut konteks. Sementara “state” membawa 2 maksud, iaitu “negara” atau “negeri”.

Menjadi bertambah keliru, negeri boleh membawa maksud “state” atau “country” mengikut konteks. Begitu pula “nation” boleh bermaksud “negara” atau “bangsa”, iaitu ikut konteks. Walaupun banyak kalanya orang menggunakan perkataan bangsa untuk kaum.

Bangsa secara khususnya bermaksud orang yang menjadi warga kepada sesebuah negara. “Nation” itu bermaksud bangsa, bukan saja negara.

Dengan adanya negara Malaysia, tentunya ada bangsa Malaysia. Itu sepatutnya apa yang dimaksudkan, tetapi ada rakyat Malaysia tidak mahu menerima konsep bangsa Malaysia.

Mereka hanya mahukan konsep bangsa Melayu, bangsa Cina dan bangsa India. Itu tidak tepat. Ini kerana tidak ada “Malay nation”.

Kalau “Chinese nation” bermaksud warga Republik Rakyat China di tanah besar dan Republik China di Taiwan. “Indian nation” pula tentunya adalah warga Republik India.

Maka orang Melayu, Cina dan India di Malaysia adalah satu bangsa, iaitu Bangsa Malaysia, walaupun mereka terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Konsep ini mudah diterima di Indonesia. Rakyat mereka sebelum merdeka lagi mengisytiharkan diri Bangsa Indonesia dan bukannya bangsa Jawa, Melayu, Aceh, Minang, Cina dan lain-lain.

Dalam Bangsa Indonesia, wujudlah pelbagai kaum dan suku kaum. Dengan mudah mereka mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa Indonesia. Tidak ada masalah. Bangsa bagi mereka adalah “nation”, bukannya ras.

Jadi, apabila ditubuhkan United Nations Organisation, dalam Bahasa Indonesia ia disebut Perserikatan Bangsa-bangsa (PBB). “Nations” disebut sebagai bangsa-bangsa, bukannya negara.

Apabila diterjemah kepada bahasa Melayu, ia menjadi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Bangsa di situ juga bermaksud “nation”, ia tidak pula menjadi Pertubuhan Negara-negara Bersatu.

Di Malaysia, gagasan bangsa yang dikaitkan negara tidak mantap. Apabila disebut “Demi bangsa, agama dan negara,” seringkali apa yang digambarkan adalah bangsa Melayu, agama Islam dan negara Malaysia. Ia seringkali tidak merujuk kepada Bangsa Malaysia.

Kalau Bangsa Indonesia bertutur bahasa Indonesia, maka sudah tentu Bangsa Malaysia juga bercakap dalam bahasa Malaysia.

Tetapi, ramai tidak suka menggunakan perkataan bahasa Malaysia, mereka lebih suka memanggilnya bahasa Melayu, sedangkan bahasa Melayu itu luas merangkumi bahasa Indonesia dan bahasa Melayu di Singapura, Brunei dan selatan Thailand. Tetapi, apa yang nyata, bahasa Malaysia berbeza daripada bahasa Indonesia.

Bangsa Malaysia ini hanya mula wujud pada 1963 apabila negara ini ditubuhkan. Sebelum itu, identiti bangsa di negara ini lagi keliru.

Dalam bangsa Inggeris, negara ini dikenali sebagai Malaya. Dalam bahasa Melayu, ia disebut Tanah Melayu. Tidak ada penggunaan istilah Bangsa Malaya atau “Malayan Nation”.

Maka, apa yang terus digunakan adalah Bangsa Melayu. Sebab itu parti-parti Melayu yang ditubuhkan bernama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno). Kedua-duanya berkebangsaan Melayu dan bukannya Malaya.

PKMM pernah mencadangkan istilah Bangsa Melayu turut merangkumi semua rakyat Tanah Melayu. Pengasas Umno, Onn Jaafar mencadangkan Umno menjadi Pertubuhan Kebangsaan Malaya Bersatu. Kedudukan gagasan itu ditolak ramai orang Melayu.

Ketika Hitler bercakap mengenai Bangsa Jerman, ia mengetepikan orang Yahudi, walaupun mereka sudah menjadi rakyat Jerman bergenerasi. Hitler menyebut mengenai konsep kaum Aryan yang juga terdiri daripada orang Parsi dan Scandinavia, sedangkan mereka bukan rakyat Jerman.

Kini di China pula, walaupun orang Uighur sebahagian daripada bangsa China, tetapi mereka dipaksa untuk hidup menurut gaya budaya orang Han.

Seperti juga di India, umat Islam di sana juga Bangsa India, tetapi mereka dipaksa menurut gaya budaya Hindu yang merupakan hanya salah satu juzuk dalam Bangsa India.

Kebangsaan adalah seperti terungkap pada jata negara Indonesia, iaitu Bhineka Tunggal Ika yang bermaksud kepelbagaian (kaum), tetapi satu (bangsa).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.