Covid-19 sudah terkawal, bagaimana pula dengan politik?

Harga minyak sedunia yang rendah, GST yang dihapuskan, serangan Barat terhadap minyak sawit, pengangguran yang bertambah, kutipan cukai pelbagai jenis yang berkurangan kerana Covid-19, dan sektor pelancongan yang hancur adalah 6 fenomena utama yang mengugat pendapatan negara secara teruk pada tahun ini.

Pada masa yang sama, kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan tambahan kepada sektor kesihatan untuk menangani Covid-19 dan juga dalam bentuk pakej rangsangan ekonomi demi menampung kehidupan rakyat dan memastikan sektor ekonomi tidak runtuh dengan teruk akibat wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia.

Kini, angka Covid-19 nampaknya sudah stabil hasil kecemerlangan semua kakitangan di Kementerian Kesihatan. Persoalannya, apakah rakyat dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dalam mematuhi tatacara operasi standard (SOP) tatkala semua sektor ekonomi dibuka agar angka jangkitan itu kekal rendah dan stabil?

Usaha kerajaan membangunkan ekonomi negara hanya boleh berkesan jika angka jangkitan Covid-19 dapat dikekalkan pada aras yang tidak membimbangkan. Sekiranya jangkitan Covid-19 meningkat semula secara mendadak, maka kerajaan terpaksa mengutamakan kesihatan rakyat terdahulu dan mengorbankan ekonomi sekali lagi dengan melaksanakan perintah kawalan pergerakan yang ketat.

Oleh itu, kerajaan perlu memokuskan tenaga kepada 2 agenda penting. Pertama ialah penguatkuasaan SOP dalam kalangan rakyat dan pemilik perniagaan. Bertegaslah kepada mereka yang ingkar arahan kerana mereka berkemungkinan menyebabkan jangkitan Covid-19 meningkat semula. Ini secara langsung akan meletakkan nyawa orang lain dan ekonomi negara dalam bahaya.

Kedua ialah kerajaan perlu memokuskan tenaga untuk mencari sumber dana yang baru. Wabak Covid-19 menyebabkan perubahan struktur kepada kehidupan manusia yang memaksa semua perniagaan untuk bertukar strategi ke arah pemasaran dalam talian dan juga menjadikan sektor logistik sebagai sektor ekonomi yang lumayan.

Idea baru diperlukan bagi membolehkan kerajaan meraih pendapatan daripada bisnes dalam talian ini sebagai sumber dana baru kerajaan tanpa membebankan pengguna.

Ketika PKP, dilaporkan Bursa Malaysia menjadi sangat aktif. Ini bermakna ramai rakyat yang menjadi aktif bermain saham. Ini juga bererti ramai yang kini memegang saham syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia sebagai pelaburan untuk menjana pendapatan sampingan.

Fenomena ini mungkin ialah satu peluang untuk menambah saluran dana kerajaan. Barangkali kerajaan boleh menimbangkan agar cukai dapat dikenakan ke atas pegangan saham seperti model yang tertera di laman web Zakat Selangor yang mewajibkan jumlah zakat yang perlu dibayar bersamaan dengan 2.5% nilai pelaburan di hujung Haul dan kadar keuntungan yang ditunaikan daripada pelaburan saham.

Wabak Covid-19 dijangka akan berlarutan selama 2 tahun. Selama itulah pendapatan daripada sektor pelancongan akan terjejas tanpa pelancong luar negara. Kerugian daripada sektor ini besar kerana ia turut menjejaskan industri penghotelan, penerbangan dan membeli-belah. Kerajaan perlu mencari ganti kepada sumber pendapatan daripada industri pelancongan ini.

Oleh itu, kerajaan perlu mengenal pasti industri-industri yang bakal berkembang pesat bawah norma baru pasca Covid-19. Antara yang perlu dibangunkan segera ialah industri perkhidmatan kesihatan dan pembekalan kepada sektor kesihatan yang berasaskan getah seperti sarung tangan perubatan, pelapik katil hospital dan sebagainya. Sektor lain yang terbukti kalis wabak dan kemelesetan ekonomi seperti industri pertanian dan penghasilan makanan perlu diberikan perhatian khusus.

Semua ini memerlukan kerajaan yang stabil. Kerajaan yang stabil memerlukan iklim politik yang stabil. Iklim politik yang stabil memerlukan para ahli politik yang matang yang mendahulukan negara daripada agenda politik peribadi.

Sekarang wabak Covid-19 nampaknya sudah terkawal, apakah Malaysia juga akan diberi nikmat keadaan politik yang terkawal dan matang, yang membolehkan usaha membangunkan ekonomi dapat digerakkan dengan lancar dan berterusan tanpa gangguan?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.