Lagu raya Saloma haram

Rupa-rupanya pada 1972, lagu “Selamat Hari Raya” nyanyian Saloma pernah diharamkan di Republik Singapura. Semua gara-gara dalam lirik lagu tersebut ada baris; “Dam dam dum bunyi mercun; Kanak-kanak segera datang berduyun/Dam dam dum mercun berdentum; Semaraklah hari raya ini tahun.”

Akan tetapi sepatutnya, lagu ikonik tersebut tidak pun mendatangkan masalah. Semua gara-gara seorang pendengar yang patuh kepada pemerintah. Kerana dia seorang taat, maka raya semua orang menjadi rosak.

Pendengar seorang itu menulis sepucuk surat rungutan kepada Berita Harian pada 3 Nov 1971. Judul surat musibat tersebut “Hairan Lagu Yang Tentang Dasar Pemerintah Disiarkan”. Isinya antara lain penuh kebisingan:

“Salah satu lagu Selamat Hari Raya yang kini sering diperdengarkan oleh pihak Radio Singapura ialah lagu yang dinyanyikan oleh Saloma dan yang lebih aneh lagi ialah salah satu senikata dalam lagu itu memperkatakan tentang ‘dam dam dum, bunyi mercun’ dan ‘dam dam dum mercun berbunyi’.

“Setahu saya, pemerintah Singapura telah pun mengharamkan permainan merchun. Orang-orang yang bermain mercun, membakar, atau pun yang didapati memilikinya boleh dihukum denda dan penjara ataupun kedua-duanya sekali.

“Tetapi mengapakah pihak Radio Singapura (Bahagian Melayu) seolah-olah tidak menghiraukan langsung arahan pemerintah yang telah dimaktub itu?

“Adakah pegawai-pegawai dalam Bahagian Melayu di Radio Singapura itu bagitu jahil atau ‘naive’ sekali hingga tidak mengetahui dasar atau polisi pemerintah?”

Surat di atas ditandatangani tanpa nama; hanya oleh “Pendengar Tetap” dari “Teachers Garden”. Rupa-rupanya surat sepucuk itu – tanpa nama – telah membuatkan pengarah Jabatan Siaran kepanasan.

Hashim Yusof bagi pihak Jabatan tersebut terpaksa membalas; “Lagu tersebut lagu Hari Raya yang paling popular sebab ia dapat menggambarkan suasana Hari Raya dengan baik. Soal mercun hanya disebut dalam 2 baris dari senikata lagu itu dan perkara itu tidak nyata.

“Bagaimanapun, pendapat Pendengar Tetap itu mungkin munasabah, jika difikirkan kesannya kepada pendengar-pendengar muda kita dan oleh sebab itu, kami akan berhenti menyiarkannya”.

Jawapan itu diterbitkan di akhbar yang sama pada 20 Nov 1972.

Maka lagu Saloma yang begitu ikonik itu perlahan-lahan meluput dari pendengaran dan corong radio.

Perhatikan sepucuk surat tanpa nama dengan hujah 1 hala, guna untuk mengangkat satu-satu dasar pemerintah mengalahkan seluruh kewarasan, emosi, kegembiraan Hari Raya dan ekspresi puncak anak seni. Ia malangnya masih boleh berlaku kepada semua produk seni.

Aneh, debat mengenai lagu Selamat Hari Raya ini berpanjangan sehingga pada 1975.

Lagu “Selamat Hari Raya” nyanyian Saloma tersebut dianggap oleh Berita Harian pada 1975 sebagai semacam “lambang rasmi Hari Raya Puasa”. Bukan itu sahaja, akhbar ini menyatakan, “suasana perayaan Aidilfitri pastilah tidak meriah, malah seakan tidak lengkap seandainya lagu itu tidak kedengaran”.

Malah akhbar itu pergi setapak jauh di ruangan “Sudut Kopi” dengan menjolokinya sebagai lagu “Christmas Carols” untuk orang Islam ketika perayaan Aidilfitri.

Sebetulnya lagu “Selamat Hari Raya” tersebut adalah ciptaan Ahmad Jaafar dan pertama kali didendangkan oleh Nona Asiah. Akan tetapi versi Saloma ternyata lebih masyhur dan mendapat sambutan.

Ekoran pengharaman lagu tersebut pada 1972, hanya muziknya tanpa lirik sahaja yang ke udara.

Berita Harian melaporkan “sejak tahun-tahun kebelakangan ini pula lagu itu dipersembahkan secara instrumental saja oleh kedua-dua orkes di stesen-stesen radio tempatan dan di seberang koswe (tambak) sebagai lagu selingan”.

Menyelongkar arkib untuk melihat perkembangan lagu Raya di Malaysia dan Singapura, saya meniti kembali kenangan, dan juga tanpa sedar meniti juga pergerakan politik dan agama di kedua-dua negara.

Lagu Hari Raya lama yang biasa kita dengar setahun sekali itu asalnya hanya ada beberapa buah, paling-paling 15 hingga 20 judul termasuk yang dicipta di Indonesia kemudian tersebar ke Tanah Melayu.

Antara lagu lain yang menjadi halwa telinga masyarakat Melayu tatkala itu adalah lagu lain dengan judul sama, “Selamat Hari Raya” nyanyian Fazidah Joned dan merupakan ciptaan Kassim Masdor serta lirik oleh Jins Shamsuddin.

Lagu “Aidilfitri” ciptaan Zubir Said dan dinyanyikan oleh Sanisah Huri dengan senikata Yusnor Ef turut digemari ramai dan tidak dinafikan liriknya yang puitis, dengan iringan “orkes biola dan suara latar” membantu kemasyhuran lagu tersebut.

Tidak lengkap tahun-tahun 1950-an dan 1960-an tanpa menyebutkan lagu dendangan dan ciptaan P Ramlee. Antaranya lagu-lagu yang tersohor “Manusia Miskin Kaya”, “Dendang Perantau” dan “Suara Takbir”.

Berita Harian pada 1975 itu, dalam laporan yang sama menyatakan lagu ini mendapat sambutan hangat kaum murbawan kerana “senikata yang lebih simpati kepada masyarakat golongan bawahan”. Inilah salah satu puncanya legasi P Ramlee begitu utuh sehingga ke hari ini.

Pada 1967, penyanyi S Jibeng menjadi artis paling besar dengan lagu “Musafir di Aidilfitri” dan populariti lagu ini tidak dapat disangkal lagi memandangkan terdapat lebih 2,000 permintaan oleh pendengar Radio Singapura selama 4 hari berturut-turut.

Jurucakap Radio Singapura mengesahkan, “ini merupakan jumlah yang terbanyak sekali dibandingkan dengan lagu baru yang telah diminta oleh pendengar-pendengar tadi selama masa tersebut”.

Salah satu faktor kejayaan lagu tersebut, menurut laporan Berita Harian pada 21 Jan 1967 kerana ia “benar-benar memikat orang ramai yang menyambut Hari Raya dengan sedih”; dan kerana “bersimpati dengan senikata lagu itu ialah kerana kasihan kapada nasib penyanyinya yang buta itu”.

S Jibeng pada waktu itu berusia 25 tahun.

Pada 1972, syarikat piring hitam Hoover disaingi oleh “Pertubuhan Perakaman EMI” yang mengedarkan rekod jenis LP (12 lagu setiap sebuah) dan dalam bentuk EP (4 lagu setiap sebuah) dengan lagu-lagu raya yang dilontarkan oleh Sharifah Aini dengan “Hari Yang Mulia”, “Bila Takbir Bergema” oleh Rafeah Buang, “Suasana Riang Di Hari Raya” oleh Junainah Amin dan “Bersabarlah Sayang” oleh Sanisah Huri.

Pada hujung 1970-an, Malaysia dan Singapura dilanda kebangkitan Islam seperti mana dunia Islam yang lain. Makanya lagu-lagu raya berunsur keagamaan mulai diterima dengan menggalakkan.

Kumpulan nasyid Al-Jawaher meledak mendadak dengan lagu seperti “Malam 17 Ramadan”, dan “Minal Aidil Wal Faizin”. Anggota Al-Jawaher, kumpulan nasyid perempuan ini terdiri dari Jumilah Jaafar, Roshidah Ibrahim, Azizah Firus, Siti Rosminah Jaafar, Nurhayati Yusuf dan Jawanah Jamil sambil diiringi oleh kugiran The Connection pimpinan Jemain Sapari.

Lagu dakwah raya lain yang mengganasi pasaran adalah keluaran syarikat rakaman Senada dengan lagu-lagu seperti “Lebaran”, dan “Rukun Islam”.

Pesaing kumpulan Al-Jawaher adalah kumpulan nasyid Mizan yang hadir dengan lagu “Bersyukur”, “Seruan Suci”, “Kesedaran Hati”, “Dunia dan Akhirat” dan “Pedoman”.

Manakala Faridah Mohd Amin menjadi taruhan syarikat rakaman dakwah yang menurut Kamali Hudi pemiliknya muncul “tepat pada masanya” memandangkan “umat Islam bermaafan antara satu dengan lain, jadi kami telah mendapat ilham darinya”.

Panas lagu raya tahun-tahun 1960-an itu merebak masuk ke dekad 1980-an di mana di sinilah munculnya lagu-lagu berhantu oleh artis syarikat rakaman Polygram pada 1981 dengan judul “Suatu Hari Di Hari Raya” oleh M Nasir; “Hari Raya Hari Bahagia” oleh Ideal Sisters; “Mari Berdendang” oleh Alleycats; “Kalau Rindu Katakan Rindu” oleh Normah Johari; Yunizar menyanyikan “Suasana Pilu Di Saat Ini”, sementara biduanita Noor Kumalasari membawa “Pulang Di Hari Raya”; Rosemaria dengan “Di Pagi Idul Fitri”, Aman Shah pula hadir dengan “Kepulangan Yang Dinanti”; tidak ketinggalan oleh Sudirman dengan “Dari Jauh Ku Pohon Maaf”, Black Dog Bone dengan “Cahaya idul Fitri”, DJ Dave dengan mekar “Kasih Di Kuntum Melati” dan Zaleha Hamid ratu dangdut dengan “Nikmat Hari Mulia”.

Tentu sahaja dekad unggul 1980-an itu tidak terkecuali dengan nama seperti Ramli Sarip membawakan “Riang Ria Hari Raya”; Jamal Abdillah pula dengan “Sampaikan Salamku Di Aidilfitri”; dan “Gema Takbir” oleh Uji Rashid iaitu artis-artis di bawah syarikat Warner Elektra Atlantic atau WEA. Penyanyi dari syarikat Life Records pula menggema dengan Malek Redzuan menyanyikan “Joget Kesyukuran”; Lina Kamsan dengan “Saat Suka dan Duka”; dan Aziz Ahmad dengan lagu “Hari Raya Di Rantau”.

Hari ini, lagu-lagu raya ini tidak semua kedengaran lagi di corong radio kita, tetapi mujurlah sudah ada teknologi internet yang mengarkib lagu-lagu ini di Youtube, Spotify dan pelbagai lagi.

Masing-masing mempunyai lagu raya pilihan tersendiri. Ada yang bermati-matian mengatakan lagu-lagu Siti Nurhaliza yang unggul.

Tidak mengapa.

Saya secara peribadi menggemari “Pulanglah” oleh Aisyah. Meskipun tentu, tidak dapat pulang menemui orang tua di kampung halaman, dan menziarahi pusara orang yang telah tiada. Selain suara mersik Aisyah, juga saya menyukai lagu haram “Selamat Hari Raya” oleh Saloma.

Antara bait mudah “Selamat Hari Raya” oleh Saloma adalah; “Miskin kaya memakai baju baru warna-warni/Mengunjungi sanak kaum famili/Sungguh hebat pemandangan di hari raya ini/Tua muda wajah berseri-seri”.

Meskipun kita tidak akan ziarah-menziarahi pada Hari Raya ini ekoran bencana pandemik Covid-19, pun jangan padam kemeriahan Hari Raya kita tahun ini. Perdengarkan judul-judul lagu yang dinyatakan di atas, dan tidak ada salahnya bergembira di hari mulia.

Jangan kita menjadi seperti “Pendengar Tetap” dari Teachers Garden dari 1972.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.