Berkecainya harapan rakyat pada aspirasi asal PPBM

Walaupun Dr Mahathir Mohamad tidak bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN), tetapi hakikatnya adalah kerajaan itu dipimpin PPBM dengan Presidennya, Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

Ia adalah pencapaian besar bagi PPBM walaupun berganti kerajaan, iaitu daripada Pakatan Harapan (PH) kepada PN, tetapi ia tetap menjadi terajunya, iaitu walaupun PPBM terbahagi dua, satu di pihak PN, satu lagi kekal dengan PH, dengan kedua-duanya diketuai pemimpin besar negara, Muhyiddin dan Mahathir.

Namun, perbalahan dalaman PPBM tentunya mengecewakan penyokong, sama ada yang mendokong PH atau PN.

Tidak dapat dipastikan berapa peratus undi yang diterima PH dalam pilihan raya umum ke-14 lalu merupakan penyokong PPBM semata-mata, tetapi dipercayai Mahathir sendiri menarik undi besar bukan kerana PPBM atau PH.

Namun, dari awal penubuhannya pada 2016, Mahathir meletakkan harapan tinggi kepada PPBM untuk menjadi parti utama orang Melayu dan Bumiputera di negara ini bagi menggantikan Umno. Dapat difahami baginya Umno tidak dapat dibaiki dan ia harus digantikan parti baru yang segar.

Tetapi, itulah juga yang banyak diharapkan ramai orang. Mereka masih mendokong perjuangan yang dibawa Umno, tetapi kecewa dengan keadaan parti itu, baik dari segi pemimpinnya atau budayanya, iaitu dalam soal integriti, yang kedudukan buruknya sampai kemuncak disebabkan isu 1MDB.

Maknanya, orang seperti ini mahu sebuah parti yang mempunyai dasar perjuangan seperti Umno, tetapi bersih dan mempunyai integriti, iaitu seolah-olah seperti Umno “reset”.

Dalam sejarah Malaysia, terdapat beberapa usaha untuk menubuhkan parti yang perjuangannya serupa dengan Umno bagi menandingi atau menggantikannya.

Usaha pertama ialah apa yang dilakukan pengasas Umno sendiri, Onn Jaafar menjelang PRU pertama Tanah Melayu selepas merdeka, iaitu pada 1959 apabila beliau menubuhkan Parti Negara.

Ini adalah parti ke-3 yang beliau tubuhkan selepas Umno dan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP). Onn Jaafar menubuhkan Parti Negara setelah IMP gagal dalam PRU pertama Tanah Melayu pada 1955.

IMP adalah parti berbilang kaum, iaitu apa yang Onn Jaafar mahu lakukan terhadap Umno. Tetapi setelah IMP gagal, beliau menubuhkan Parti Negara yang perjuangannya serupa dengan Umno.

Tetapi, beliau kecundang lagi dan kerusi tunggal yang beliau menang di Terengganu kerana PAS memberi laluan.

Usaha kedua menubuhkan parti untuk menyaingi Umno berlaku menjelang PRU pada 1986.

Seorang pemimpin bahagian Umno keluar parti dan menubuhkan Parti Nasionalis Malaysia (Nasma). Ia menyertai pakatan yang diketuai PAS, iaitu Harakah Keadilan Rakyat (HAK) bersama parti kecil lain. Parti ini juga hilang begitu saja.

Tetapi, usaha paling besar menggantikan Umno berlaku pada 1988, selepas kejayaan besar Umno dalam PRU pada 1986 ekoran perpecahan parti itu dalam bentuk Team A dan Team B.

Setelah Umno diisytiharkan haram, Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Umno Malaysia. Usahanya gagal dan yang berjaya ialah Mahathir yang menubuhkan Umno Baru. Tengku Razaleigh hanya berjaya menubuhkan parti bernama Semangat 46.

Perjuangan kedua-duanya serupa dengan Umno dan masing-masing berazam menggantikan parti asal mereka. Tetapi, yang berjaya ialah Umno Baru yang terus memimpin Barisan Nasional (BN) dan menang besar dalam PRU pada 1990 dengan mengalahkan Semangat 46 dan pakatannya.

Akhirnya, Semangat 46 dibubarkan dan hampir semua ahlinya diserapkan ke dalam Umno Baru. Ini membolehkan Umno Baru menggugurkan perkataan “Baru” dan diisytiharkan sebagai parti yang mewarisi Umno asal.

Bagaimanapun, pada 1998, apabila Umno sekali lagi dilanda krisis, parti yang muncul tidak berbentuk perjuangan Melayu. Walaupun ia mahu menarik undi Umno, tetapi tidak pula berhasrat menggantikannya sebagai wadah perjuangan Melayu.

Parti Keadilan Nasional yang memperjuangkan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri adalah parti berbilang kaum, iaitu seperti IMP dahulu.

Maka, walaupun ia sedikit sebanyak dapat menarik undi orang muda Melayu, tetapi Keadilan tidak dapat mencabar Umno bagi memperoleh undi penentu.

Orang Melayu masih tidak bersedia menerima parti berbilang kaum, sebab itu bekas pemimpin Umno yang tidak berpuas hati tidak menyertai PKR atau menubuhkan parti berbilang kaum.

Pada 2011, bekas pemimpin Umno, Abdul Kadir Sheikh Fadzir menubuhkan Parti Ikatan Bangsa Malaysia. Dengan meletakkan Tunku Abdul Rahman sebagai sebahagian daripada lambang parti, ia seolah-olahnya mahu mengajukan Umno dan Parti Perikatan zaman Tunku.

Ikatan tidak mahu menyokong PH yang mempunyai DAP di dalamnya, sebaliknya ia menyertai Gagasan Sejahtera yang diketuai PAS.

Tetapi, PPBM muncul parti utama bagi mencabar Umno. Bukan saja ia dipimpin Mahathir, tetapi turut disertai Muhyiddin yang pada asalnya bakal menjadi pengganti presiden Umno.

Dengan menamakannya PPBM dan keahliannya hanya terbuka kepada Bumiputera, ia adalah parti alternatif bagi Umno.

Warna parti itu juga merah seperti Umno. Cabarannya itu diambil serius kerajaan BN. Kesukarannya didaftarkan dapat difahami kerana kemunculannya dipandang serius menjelang PRU14.

Tetapi, dalam kempennya, Mahathir sememangnya mengharapkan ahli Umno berhijrah ke PPBM. Walaupun beliau sendiri mendapat sambutan rakyat, tetapi ia tidak cukup berjaya membuatkan ahli Umno berhijrah.

Dipercayai penyokong PH dari kalangan bukan Umno mengharapkan PPBM dapat muncul sebagai parti bersih untuk orang Melayu.

Ramai yang dapat terima parti tonggak Melayu diperlukan oleh mana-mana kerajaan di Malaysia. Tetapi, apa yang didambakan rakyat ialah parti Melayu yang bersih dan berintegriti, bukannya seperti Umno sekarang.

Walaupun Mahathir, Muhyiddin dan PH berjaya dalam PRU14, prestasi PPBM kurang berbanding PKR dalam gabungan parti itu. Ini mengecewakan pendokong PPBM.

Nampaknya seruan Mahathir kepada ahli Umno supaya menyertai PPBM tidak diendahkan. Malah, penyokong Umno yang beralih kepada PH semasa PRU14 dikesan kembali kepada BN dalam deretan pilihan raya kecil yang menyusul PRU14. Mereka dirasakan tidak senang dengan kerjasama PPBM dengan DAP.

Maka, tidak menghairankan apabila ada bekas ahli Umno yang menolak Najib Razak, tetapi mereka tidak menyertai PPBM, walaupun parti itu menjadi kerajaan.

Ibrahim Ali yang sudah lama keluar Umno menubuhkan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, sebuah parti yang tidak banyak beza dengan PPBM. Jadi, apabila ada bekas ahli Umno menolak PPBM kerana bekerjasama dengan DAP, maka mereka boleh menyertai Perkasa.

Jadi, apabila sebahagian pemimpin PPBM membawa parti itu keluar PH hingga ia menumbangkan kerajaan, alasannya mereka tidak senang bekerjasama dengan DAP.

Tetapi, apabila PPBM dapat bekerjasama dengan Umno dalam PN, maka sebab ia terus wujud boleh dipersoalkan. Ekoran itu, ada ahli politik Umno yang mengajak pemimpin PPBM menyertai parti lama mereka semula.

Pergolakan dalam PPBM bukan saja melemahkan lagi parti itu, tetapi ia mengecewakan ramai pendokong PH. Harapan mereka supaya PPBM muncul sebagai sebuah parti Melayu berintegriti dan menggantikan Umno sudah berkecai.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.