‘Psywar’ sokongan majoriti di Parlimen berakhir 13 Julai

Parlimen akan bersidang selama 15 hari bermula 13 Julai ini.

Dalam sidang Parlimen pada Mei lalu, Dr Mahathir Mohamad selaku ahli Parlimen Langkawi bersama anaknya yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz menulis kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan untuk menyatakan hasrat mereka duduk di blok tidak menyokong kerajaan.

Jika apa yang dilakukan Mahathir adalah sesuatu yang lazim sebelum Parlimen bersidang, maka ini bermakna setiap ahli Parlimen perlu menyatakan pendirian sama ada mahu duduk di sebelah kerajaan ataupun pembangkang sebelum 13 Julai ini.

Oleh itu, 13 Julai itulah akan menjadi hari tamat permainan psikologi siapa mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.

Menentukan majoriti di Parlimen secara pembahagian kerusi antara blok kerajaan dan pembangkang ini jauh lebih berkesan daripada usul undi tidak percaya kerana ia boleh diketahui di saat pertama Parlimen mula bersidang.

Contohnya, apakah Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh yang meletak jawatan sebagai timbalan menteri kerja raya baru-baru ini betul-betul menyokong kem Mahathir? Ini akan terjawab melalui kedudukan kerusi beliau di Parlimen.

Begitu juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed dan Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat @Jugah anak Muyang yang baru-baru mengisytiharkan mereka menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Sama ada sokongan mereka akan kekal pada 13 Julai nanti juga bergantung kepada kedudukan kerusi mereka di Parlimen ketika itu.

Pengagihan kerusi Parlimen di dalam blok pembangkang dan kerajaan juga akan menjawab satu persoalan terpenting yang sedang ditiup kencang sekarang – apakah betul kem Mahathir dan Anwar Ibrahim sudah mempunyai sokongan 129 ahli Parlimen?

Pendek kata, apabila Parlimen dibuka nanti, siapa yang memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen dapat dikenal pasti dengan mudah berdasarkan jumlah pembahagian kerusi di blok kerajaan dan pembangkang.

Berlatarbelakangkan ini, semua pihak hanya perlu bersabar menunggu datangnya 13 Julai. Situasi politik negara bakal terjawab dengan sendirinya.

Memandangkan negara akan memasuki fasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang bakal berlangsung sehingga 31 Ogos ini, semestinya tiada halangan untuk pilihan raya umum ke-15 diadakan jika Parlimen terbubar bulan depan.

Dengan itu, hanya ada 3 kesudahan yang mungkin – iaitu sama ada kerajaan PN kekal, kerajaan PH berkuasa semula atau Parlimen akan dibubarkan lalu PRU15 terpaksa diadakan.

Oleh itu, rakyat tidak perlu mengambil kisah dengan “psywar” politik yang melemaskan pada waktu ini. Semuanya tidak relevan. Yang relevan hanyalah apa yang bakal berlaku pada 13 Julai nanti.

Sabar dan tunggu.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.