Tsunami kemelesetan ekonomi bakal melanda pada Oktober?

Berapa ramaikah yang mengambil moratorium 6 bulan ditawarkan semua bank April lalu demi membantu mengharungi kesusahan yang dicetuskan pandemik Covid-19?

Tatkala ini, banyak perniagaan yang tumbang, semakin ramai yang hilang sumber pendapatan kerana dibuang kerja dan ramai mengalami penyusutan pendapatan secara mendadak meskipun negara masih di bawah tempoh moratorium.

Banyak syarikat yang kini nyawa-nyawa ikan. Pendapatan dijana dan bantuan kerajaan hanya cukup-cukup untuk membayar gaji serta kos operasi syarikat yang diringankan moratorium.

Begitu juga rakyat yang rata-ratanya sedang diringankan bebannya kerana mendapat bantuan kerajaan dan mengambil moratorium ditawarkan pelbagai bank.

Tidak dapat dibayangkan apakah yang bakal berlaku apabila moratorium berakhir September ini, di mana bayaran balik pinjaman bank kembali seperti biasa pada Oktober ini?

Bagaimanakah mereka yang hilang pekerjaan dan pengurangan pendapatan dapat meneruskan pembayaran balik pinjaman bank mereka? Apakah syarikat yang nyawa-nyawa ikan masih dapat menampung kos operasi, jika mereka perlu memulakan semula bayaran pinjaman bank?

Yang tidak dapat dibayangkan, berapa ramaikah lagi yang akan kehilangan pekerjaan? Berapa banyak syarikat dan kedai yang akan ditutup? Ini secara langsung akan menjejaskan kuasa membeli rakyat dan negara, lalu menjejaskan semua jenis perniagaan lain kerana kekurangan pelanggan.

Jika situasi bertambah buruk sehinggakan ramai yang mengambil moratorium tetap tidak dapat membayar pinjaman mereka selepas Oktober ini, apakah kesannya pula terhadap prestasi bank?

Oleh itu, semua rakyat perlu bekerjasama tidak memburukkan lagi keadaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan agar pandemik Covid-19 tidak terus menular.

Kerajaan juga dinasihatkan tidak terlalu gopoh, walaupun keadaan ekonomi terdesak untuk membuka balik sempadan negara kerana Covid-19 masih rancak berjangkit di peringkat antarabangsa.

Untuk ekonomi pulih dengan cepat, syarat pertama ialah mengelakkan kadar pengangguran berleluasa.

Jika kebanyakan rakyat masih ada pekerjaan, maka secara umumnya jumlah pelanggan untuk semua jenis perniagaan akan kekal di paras sihat. Dengan adanya pelanggan, maka peluang lebih cerah bagi perniagaan untuk pulih ke sedia kala.

Apabila perniagaan pulih, maka majikan akan tambah pekerja untuk menampung perkembangan perniagaan masing-masing. Ini secara langsung akan mengurangkan kadar pengangguran.

Oleh itu, kerajaan perlu tangkas memikirkan idea untuk terus membantu sektor swasta menampung pekerja mereka. Ini kerana rantaian ini akan berulang-ulang sehingga ekonomi pulih dan melonjak kembali dengan kadar cepat.

Jika kita gagal mengelakkan kadar pengangguran berleluasa Oktober ini, maka rantaian kuasa membeli rakyat akan berkurangan dan menyebabkan pendapatan perniagaan merosot. Lebih ramai yang akan dibuang kerja dan keadaan ini akan berulang-ulang sehingga ekonomi meleset dengan teruk.

Oleh itu, mereka yang masih giat berpolitik dinasihatkan jangan sibuk berpolitik sehingga tidak dapat melihat ombak tsunami kemelesetan ekonomi sedang menghala ke negara kita.

Oktober ini, apabila moratorium berakhir, impak Covid-19 terhadap ekonomi negara dan rakyat akan betul-betul terasa.

Ia bagaikan tsunami yang akhirnya tiba di pesisiran pantai negara. Doakan kita semua selamat.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.