Gagasan parti Azmin meriahkan politik Malaysia

Minggu lalu salah seorang pemimpin utama Perikatan Nasional, Saifuddin Abdullah nafi terlibat dengan penubuhan sebuah parti baru bernama Parti Keadilan Negara yang keanggotaannya dikatakan terdiri daripada bekas ahli PKR dan Umno.

Maklumat mengenai Parti Keadilan Negara yang tertular dalam media sosial itu memaparkan ia sebagai parti yang bakal ditubuhkan bagi menampung pengikut Azmin Ali dari PKR dan Hishammuddin Hussein dari Umno.

Melihat maklumat yang tertular dalam bentuk carta struktur organisasi itu, dapat dinilaikan ia besar kemungkinannya merupakan suatu berita palsu yang dicipta dan diedar musuh Perikatan Nasional khususnya pihak penentang kumpulan Azmin.

Dalam carta itu dipaparkan ketua umum parti itu Azmin, presidennya Hishammuddin, dan setiausaha agungnya Saifuddin. Apa yang menarik ialah nama Parti Keadilan Negara ini merupakan gabungan nama Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara. Sementara lambang parti itu mirip pada lambang bukan saja pada Perikatan Nasional dan MCA, tetapi juga Parti Amanat Nasional Indonesia.

Walaupun maklumat itu dianggap sebagai berita palsu yang direka pihak tertentu untuk tujuan yang hanya boleh dispekulasi tetapi gagasan yang digambarkan Parti Keadilan Negara itu mempunyai tarikan tersendiri.

Ini kerana selama ini fraksi atau ahli PKR yang menyokong Azmin tidak mempunyai wadah jelas walaupun organisasi dan gerak kerja mereka tersusun, malah boleh dikatakan lebih teratur dan berkesan daripada arus rasmi parti yang berada bawah pimpinan Anwar Ibrahim.

Dalam media sosial, sudah banyak tahun kumpulan Azmin ini digelar dengan sinis sebagai “kartel” yang diketahui umum sebagai “parti dalam parti” yang hampir menguasai keseluruhan PKR melalui proses pemilihan dalam parti.

Kelebihan kumpulan Azmin ini bukan saja pada bilangannya yang banyak hingga dapat menumbangkan kerajaan PH tetapi juga dapat menarik ahli politik utama PKR, daripada Kamaruddin Jaafar, Khalid Jaafar, Tian Chua, Baru Bian, hinggalah kepada Saifuddin Abdullah.

Selain Azmin yang dilihat sebagai dalang utama Langkah Sheraton, kumpulan ini mempunyai cukup pengaruh hingga mampu meyakinkan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin, pemimpin Umno, PAS, dan Gabungan Parti Sarawak untuk menyokong penubuhan kerajaan Perikatan Nasional.

Mestilah ada sesuatu yang hebat pada Azmin hinggakan banyak ahli politik bersedia menyokong beliau, dan menolak bukan saja Anwar tetapi juga Dr Mahathir Mohamad.

Lebih-lebih lagi apabila didapati para penyokong Azmin pada waktu dulu merupakan bukan saja pengikut Anwar tetapi juga rakan seperjuangannya semasa zaman remaja. Kamaruddin Jaafar dan Khalid Jaafar rakan seperjuangan Anwar pada zaman Abim lagi, berterusan semasa beliau menyertai Umno, dan juga ketika gerakan Reformasi dilancarkan. Mesti ada sesuatu pada Anwar yang mengakibatkan rakan seperjuangan asal beliau untuk memilih bersama Azmin.

Sememangnya jika dilihat cara Azmin bergerak dalam PKR, beliau pada mulanya mahu mengambil alih parti itu secara proses pemilihan yang mengikut peraturan perlembagaan.

Tetapi setelah gagal mencapai kompromi dengan Anwar, mereka kelihatannya mahu mewujudkan wadah politik sendiri. Maka ada khabar yang menyebut kemungkinan mereka akan menggunakan Parti Gerakan Rakyat Malaysia sebagai platform mereka.

Sebagai parti berbilang kaum, dengan dasar lebih terbuka daripada parti pra-merdeka seperti Umno, MCA, dan MIC, maka Gerakan tidak mempunyai banyak perbezaan dengan PKR, maka ia sesuai untuk menjadi wadah bagi menampung bekas ahli PKR itu, yang juga terdiri daripada berbilang kaum.

Tetapi khabar angin itu berlalu begitu saja apabila Langkah Sheraton berlangsung dengan kumpulan penyokong Azmin ini diisytihar menyertai PPBM sebagai parti komponen Perikatan Nasional.

Walaupun dalam sidang Parlimen, bekas wakil rakyat yang menyokong Azmin itu disebut sebagai mewakili PPBM tetapi tidak kedengaran proses penghijrahan besar-besaran pengikut Azmin dari PKR ke PPBM. Lebih-lebih lagi PPBM sendiri mengalami krisis dalam parti.

Kemudian timbul pula istilah “wadah” yang akan disertai penyokong Azmin. Apa yang disebut ialah penubuhan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) sebagai wadah “orang Azmin” yang dilantik untuk menjadi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketua kampung. Pun begitu setakat rencana ini ditulis, NGO itu belum bernama.

Maka timbullah persoalan fraksi PKR yang menyokong Azmin tidak menyertai PPBM. Mereka mahukan wadah sendiri. Jadi apabila tertular maklumat berkaitan Parti Keadilan Negara ini, maka ia menarik perhatian pemerhati politik.

Akhirnya muncul juga cadangan sebuah parti politik untuk kumpulan Azmin ini. Tetapi apabila melihat struktur organisasinya, kelihatan pula ia bukan saja menampung bekas ahli PKR, tetapi turut serta orang Umno. Maka timbul persoalan sama ada Umno juga berpecah dengan munculnya fraksi Hishammuddin Hussein.

Sememangnya Hishammudin mata rantai yang selama ini menghubungkan kumpulan Azmin dengan Umno bagi membolehkan Langkah Sheraton. Selepas kekalahan pilihan raya umum ke-14, kelihatan adanya fraksi dalam Umno. Antaranya kumpulan yang menolak Najib Razak dan Zahid Hamidi. Tetapi munculnya fraksi itu tidaklah sampai kepada Umno berpecah seperti mana yang berlaku pada PKR dan PPBM.

Maka Umno secara keseluruhan menerima kepimpinan Muhyiddin dan Azmin untuk berada dalam kerajaan Perikatan Nasional. Tetapi selepas penubuhan kerajaan itu, timbul pernyataan Umno tidak menyertai PN. Ia hanya menjadi penyokong kerajaan PN. Lagipun PN bukanlah badan politik berdaftar. Sebaliknya ditegaskan kekuatan kerjasamanya dengan PAS melalui gagasan Muafakat Nasional. Sementara itu Barisan Nasional bertambah utuh dengan MCA dan MIC memperoleh tempat dalam Kabinet PN dan lantikan politik jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tanpa BN dan GPS pula menyatakan ia bukan anggota PN, maka adakah anggota perikatan itu hanyalah PPBM dan PAS? Maka oleh itu, kumpulan Azmin perlu memiliki parti sendiri bagi menjadikan PN itu bermakna.

Walaupun Saifuddin menyatakan beliau tidak terlibat dengan Parti Keadilan Negara, tetapi ia tidak bermakna gagasan itu tidak wujud. Tetapi sebarang penubuhan parti berkaitan kumpulan Azmin ini, ia dipercayai perlu penglibatan Saifuddin.

Beliau bekas pemimpin Umno yang beralih arah ke PKR menjelang PRU-14. Tidak seperti ahli politik UMNO lain yang menyertai PPBM, Saifuddin mempunyai jalan politik yang dilihat lebih serasi dengan fahaman PKR.

Bukan saja beliau menang dalam PRU ke-14, tetapi lebih penting lagi, Saifuddin dilantik sebagai menteri luar dalam kerajaan PH, dan selanjutnya merupakan setiausaha agung, yang menyelaras komunikasi antara parti komponen PH. Ia merupakan jawatan strategik.

Dalam PKR, beliau sememangnya berada dalam kumpulan penyokong Azmin. Menurut Liew Chin Tong, partinya, DAP dan Amanah tidak dapat menjangkakan Langkah Sheraton kerana saluran komunikasi antara komponen berada pada Saifuddin, yang turut bersama Azmin dalam penubuhan kerajaan PN.

Masih tidak jelas apa yang hendak dilakukan oleh Azmin terhadap masa depan PN dan kerajaannya. Tetapi apa yang pasti, kumpulannya dalam PN akan menambah meriah politik negara pada waktu terdekat ini.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.