Negeri 46 kali aman

Beberapa lama dahulu, saya perasan khutbah Jumaat di sebuah masjid ada memetik sebuah karya Raja Ali Haji. Tidaklah jarang khatib menaburkan beberapa nama untuk mencipta kesan “wow” agar harapannya dapat mengatasi rasa kantuk hadirin.

Raja Ali Haji ada menulis seuntai syair dalam karya politik beliau yang terkenal berjudul “Thamarat al-Muhimmah Diyafat li’l-Umara’i wa’l-Kubara’i li-Ahli al-Mahkamah” (Buah-buahan yang Dicita-cita Hal Keadaan Jadi Jamuan bagi Raja-raja dan bagi orang Besar-besar yang Mempunyai Pekerjaan di dalam Tempat Berhukum).

Di kesempatan ini saya tidak akan menulis mengenai kandungan kitab ini. Ada seorang pensyarah Syariah dalam senarai 115 pensyarah yang sensasi baru-baru ini ada menjadikan kitab ini sebagai tesis PhD beliau. Akan tetapi gamaknya senang untuk terlupa sesuatu subjek yang kita jadikan bahan doktorat.

Ada ramai ahli politik misalnya bergelar “Dr”, kalau kita minta mereka menerangkan abstrak tesis doktorat mereka yang dikerjakan 5-6 tahun itu, belum tentu mereka dapat menyebutkannya kembali. Padahal orang tulis PhD biasa akan ingat apa yang digelumanginya sampai mati.

Jadi rasanya hanya memadai saya memetik beberapa rangkap syair dalam kitab itu untuk dijadikan renungan.

Begini, oleh sebab diuar-uarkan dengan penuh aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman (46 kali) yang kuasa politik itu sampai bila-bila pun harus Melayu dan Islam, eloklah kita menyiasat syair tulisan Raja Ali Haji ini. Misalnya apa yang boleh menjadikan sebuah negeri itu aman. Katakan, adakah memadai sahaja dengan Melayu dan Islam?

Ini sebab dari awal lagi Raja Ali Haji ada mengancam raja dan orang besar agar tidak membinasakan diri;

“Maka inilah bahayanya jahil di dalam dunia didapatinya celaka dan di dalam akhirat didapatinya ‘adhab na’udhu bi’llahi minha, dan tiada boleh lepas daripada segala yang tersebut itu melainkan dengan menuntut ilmu serta diamalkan adab, khususan pula segala raja-raja dan orang-orang besar jika tiada dengan ilmu dengan apa hendak menghukumkan segala manusia dan bagaimana boleh mengetahui benar salahnya orang yang berdakwa itu.”

Peri penting dalam syair yang termuat dalam kitab politik beliau itu, Raja Ali Haji mengingatkan menteri agar tidak mengkhianati rakyat dan raja yang diwakilinya. Bunyi rangkap itu, yang dipetik dari syair adalah:

Kehidupan rakyat fikirkan benar
Supaya jangan berbuat onar
Jangan diikutkan fikir yang nanar
Tiada lain memenuhkan lesnar

Hendaklah sabar lelah dan penat
Mengerjakan raja walaupun tenat
Jangan bersifat menteri khianat
Mengukir setia kurang amanat.

Maka memang terkutuklah perbuatan khianat. Sejak dulu-dulu. Memang rupanya menteri khianat dan kurang amanat sudah lama dilaknat. Ia menjadi petunjuk kepada negeri yang tidak aman.

Raja pula dituntut supaya mengawasi para menteri dan pegawainya agar tidak menerima rasuah:

Hendaklah mesyuarat dengan ulama
Supaya hukuman tiada cuma
Rasuah dan sorong jangan diterima
Supaya tuan beroleh nama.

Selain dari itu raja dan menteri juga diminta mengawasi agar aset negara tidak sampai disamun, dirompak, dicuri manakala rakyat terabai:

Ayuhai segala raja menteri
Serta pegawai kanan dan kiri
Hendaklah jaga ingatkan negeri
Perompak penyamun, kapak pencuri.

Kehidupan rakyat janganlah lupa
Fakir miskin hina dan papa
Jangan sekali tuan nan alpa
Akhirnya bala datang menerpa.

Semua pesan Raja Ali Haji di atas tidak akan diutarakan jika memang para pemimpin itu senonoh, adil, berwibawa, berilmu, dan memang tidak menzalimi rakyat.

Nasihat sedemikian memang disebabkan ada banyak contoh dalam kehidupan bahawa para raja dan menteri di zaman lampau itu mengabaikan rakyat ekoran menteri dan rajanya nanar, tidak amanah, menjadi seperti haiwan (baca: katak), dan lebih dahsyat khianat. Kita juga tahu bahawa sejak zaman itu, Raja Ali Haji sudah memesan agar budaya rasuah dan sorong itu jangan dibiarkan membiak.

Kalau Raja Ali Haji hidup zaman ini dia akan terlongo melihat pelbagai salah termasuk menggubah wang haram. Apatah lagi jika ia dilakukan orang yang mengaku alim, atau taqi’ kepada din atau agama.

Paling utama, Raja Ali Haji menuntut dalam karya pentingnya itu agar jangan sampai negeri rugi dijahanamkan penyamun yang mungkin istilah modennya adalah pelacur politik.

Suka untuk saya kongsikan di bahagian khatimah atau penutup “Thamarat al-Muhimmah Diyafat li’l-Umara’i wa’l-Kubara’i li-Ahli al-Mahkamah” ini, Raja Ali Haji mengingatkan pertama-tama sekali supaya pemimpin tidak takbur.

Apa yang Raja Ali Haji maksudkan dengan takbur?

Jika kita menggunakan bahasa moden hari ini, Raja Ali Haji meminta supaya kita tidak rasis, atau xenofobis. Raja Ali Haji meminta kita tidak mengamalkan perkauman. Raja Ali Haji memesan agar tidak mendewakan, atau merasakan diri menjadi tuan. Tiada dalam kitab ini, perintah ketuanan kaum. Ini kerana ketuanan kaum itu benda takbur dan tidak diizinkan dalam Islam. Sebab dinukilkan begini oleh Raja Ali Haji:

“Takbur, yakni membesarkan diri pada yang tiada dan diizinkan syarak. Adapun makna membesarkan diri itu iaitu memandang seseorang makhluk dengan tilik yang kurang daripadanya dan memandang dirinya lebih semata-mata, sama ada kepada ilmu dan amal; atau kepada rupa dan bangsa; atau kepada kuat dan gagah; atau kepada harta benda. Maka dinamailah orang yang takbur.

“Bermula, kebinasaannnya itu ada kalanya zahir, ada kalanya batin seperti sabda nabi, ‘man takabbara, wada’ahu Allah. Wa man tawdi’a, rafa’ahu Allah’. Yakni, barang siapa takbur yakni membesarkan diri, nanti direndahkan Allah dan barang siapa merendahkan dirinya nanti diangkatkan Allah.”

Perenggan di atas mustahak untuk dibaca berkali-kali. Jika kita menggunakan bahasa hari ini, Raja Ali Haji meminta supaya kita tidak rasis, atau xenofobis. Kalau dibaca dengan konteks Amerika, dia akan bersetuju dengan Black Lives Matter.

Sudah tentu karya seperti “Thamarat al-Muhimmah Diyafat li’l-Umara’i wa’l-Kubara’i li-Ahli al-Mahkamah” dan mesej-mesej berguna seumpama ini akan digelapkan oleh kumpulan dan srikandi yang kerjanya menenot atau menainot sejarah.

Untuk sesetengah orang, lebih baik negeri duduk di bawah lindungan Iblis dari duduk bawah lindungan Kaabah. Malah Kaabah pun ditafsirkan dengan kerendahan, seperti dihujahkan – makan rasuah banyak pun dia dapat masuk Kaabah – ini kerana orang itu tidak membaca sejarah untuk betul jadi aman, sampai Kaabah pun jadi parameter mengesahkan penjenayah.

Ada orang memang begitu, suka “menenot” sejarah ikut kepentingan diri, asal hariannya bersinar hari-hari. Dek sebab nak pertahankan menteri dan pegawai korup, rasuah, nanar, penyamun, dan hina dina maka yang menerima nasib ialah raja dan rakyat yang merupakan asas sesebuah negeri. Ekoran itu perlahan-lahan negeri mengalami kemerosotan, seperti diungkapkan Raja Ali Haji dalam utusannya:

Raja pun sudah hilang hebatnya
Kepada segala rakyat tenteranya
Sebab kerana lalai dan alpanya
Serta dengan fasiq dan zalimnya.

Akan tetapi hendaklah ingat
Akan segala tentera dan rakyat
Hendaklah jagakan segala yang jahat
Supaya kerajaan jangan mudarat.

Banyaklah raja sudah terkena
Duduk di dalam gundah gulana
Menghukum yang jahat ke sini sana
Kurangnya tidak mungkin merana

Raja Ali Haji berpandangan sesebuah pemerintahan boleh berpura-pura. Rakyat pun tertipu. Inilah pesan Raja Ali Haji kepada orang dungu, orang dulu-dulu. Orang yang tidak belajar dari sejarah.

Sayugia, sejarah tidak dibaca hanya untuk mengangkat keunggulan bangsa, tetapi paling utama untuk memeriksa kegagalan dan kecuaian umat. Itulah sebabnya di sekolah, disebutkan sejarah adalah batas kelakuan kemanusiaan.

Sejarah adalah sempadan. Kita tidak ingat dalam teks sejarah, ada dinyatakan yang sejarah itu matlamatnya untuk memupuk patriot jahat. Sejarah bukan bertujuan mengangkat nazi. Jangan biarkan negeri jatuh ke dalam jurang celaka dan bahana.

Beberapa negeri terkena bala
Sebab perbuatan kepala-kepala
Kerana perbuatan banyak yang cela
Datanglah murka Allah Ta’ala.

Marilah kita berdoa agar negeri ini aman. Ya Tuhan, amankan negeri ini seaman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman aman amannya (baca 46 kali).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.