Kejayaan tukar speaker bukti Agong betul

Ketika Agong membuat keputusan bahawa Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti lalu diangkat menjadi perdana menteri susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan ekoran perletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai PM, ada yang mempertikaikannya.

Kejayaan usul Muhyiddin untuk menukar Speaker Dewan Rakyat, Ariff Yusof dengan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun semalam dengan undian 111 ke 109 membuktikan Agong bertindak secara tepat.

Ini kerana sememangnya Muhyiddin mempunyai majoriti di parlimen, walaupun majoriti itu sangat tipis. Ini juga membuktikan dakwaan PH mempunyai sokongan 129 atau 114 ahli Parlimen adalah tidak benar.

Persoalannya sekarang, berapa lamakah majoriti 2 ke 4 ahli parlimen ini mampu bertahan bagi kerajaan Perikatan Nasional dan Muhyiddin?

Peperangan terbuka antara pimpinan Umno di luar kerajaan dan pimpinan PPBM di dalam kerajaan semakin panas. Pertikaian mereka berkisar kepada siapa yang mahu menjadi abang besar dan pembahagian kerusi menjelang pilihan raya umum ke-15 nanti.

Ada pimpinan Umno yang mahu parti bertanding di semua kerusi tradisinya tanpa perlu berunding dengan PPBM, bahkan ada yang mahu Umno mencalonkan calon PM sendiri.

Pertikaian sebegini pada waktu ini sebenarnya tidak menguntungkan sesiapa. Jikalau ada pertikaian pun, lebih elok ia dibuat secara dalaman agar tidak menimbulkan persepsi yang buruk terhadap kerjasama antara parti dalam PN.

Hakikatnya, untuk meningkatkan peluang kemenangan di PRU15, PN seeloknya mengekalkan Muhyiddin sebagai PM. Ini kerana imej Muhyiddin yang dibina melalui kejayaan mengawal penularan Covid-19 sebati di jiwa rakyat.

Menggantikan Muhyiddin dengan mana-mana calon lain adalah tindakan yang kurang bijak.

Bagaimana pula dengan pembangkang? Kesatuan pembangkang dapat dilihat semasa menolak usul menggantikan speaker di mana pembangkang berjaya mencatatkan 109 undi.

Ini bermakna jika pembangkang dapat bersatu, mereka blok yang hampir sama kuat dengan blok kerajaan.

Apa yang menjadi pertikaian dalam pembangkang hanyalah calon PM. PH berkeras mengekalkan Anwar Ibrahim sebagai calon PM manakala blok bebas yang diketuai Mahathir dan Warisan pula mencalonkan Presiden Warisan, Shafie Apdal sebagai calon PM. Jika PH dapat menyelesaikan masalah calon PM, yakni PH Plus akan menjadi cabaran terbesar buat PN menjelang PRU-15 nanti.

Hidup atas majoriti nipis ini sangat mengerikan dan mengehadkan opsyen yang boleh dilakukan oleh Muhyiddin. Oleh itu, kelebihan majoriti sebanyak 4 ahli Parlimen akan memaksa Muhyiddin mengambil keputusan mengadakan [email protected] selepas pembentangan belanjawan.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.