Ketidakmasukakalan, pandemik dan faham penjangkitan

Hampir setiap isu atau fenomena pada masa ini membangkitkan tanggapan keagamaan. Kadang-kadang, mungkin terlalu sering, tindak balas itu tidak masuk akal, dan turut mengakibatkan masalah yang harus dihadapi oleh masyarakat. Contohnya ialah fenomena Covid-19.

Pada Mac yang lalu, ribuan jemaah se-Asia berkumpul di Gowa, Sulawesi Selatan untuk acara Jemaah Tabligh, iaitu, Ijtima Dunia 2020. Wabak virus korona yang mudah menular tidak dipedulikan mereka. Salah satu pengelolanya mengatakan “kami lebih takut pada Tuhan”.

Di Malaysia, pada akhir Februari, selama hujung minggu yang panjang, seramai 16,000 jemaah berkumpul di Masjid Jamek Seri Petaling. Sebagai hasil dari peristiwa itu, Malaysia mengalami penyebaran koronavirus yang semakin meningkat dan yang akan mengakibatkan kesan buruk terhadap sistem penjagaan kesihatan sekiranya pihak berkuasa tidak melaksanakankan “lockdown” atau perintah kawalan pergerakan.

Acara keagamaan tersebut dianjurkan oleh gerakan dakwah Islam, Jemaah Tabligh, dan dihadiri oleh orang dari seluruh Asia. Dari peserta tersebut, sekitar 14,500 rakyat Malaysia, selainnya warga asing dari Brunei, Indonesia, Singapura dan negara lain.

Beberapa minggu kemudian, ramai di antara peserta ini dianggap bertanggungjawab kerana menyebarkan koronavirus ke sekurang-kurangnya 6 negara, vektor virus terbesar yang diketahui di Asia Tenggara.

Sementara itu di India, organisasi Jemaah Tabligh di wilayah Nizammuddin di New Delhi mengadakan acara pada pertengahan Mac yang mengakibatkan lonjakan koronavirus terbesar di negara itu. Ini dilakukan walaupun terdapat rayuan dari pelbagai sektor agar acara itu dibatalkan.

Yang pasti, bukan sebahagian besar anggota Jemaah Tabligh yang tidak bertanggungjawab atau tidak berfikiran. Kesalahan harus diletakkan pada pemimpin mereka.

Ini contoh perilaku yang tidak rasional, yang tidak masuk akal. Bersikap tidak rasional bermaksud tidak mendengarkan akal, logik, atau kewarasan. Akibatnya ialah orang yang tidak rasional boleh membahayakan kehidupan diri sendiri dan juga orang lain. Terkait dengan pandangan yang tidak rasional ini adalah kepercayaan bahawa pandemik ini hukuman Tuhan atau kepercayaan bahawa tidak ada alasan untuk kita takut dengan koronavirus kerana Tuhan akan memastikan umat Islam selamat.

Ketidakmasukakalan seumpama ini tidak terhad kepada kalangan umat Islam tertentu. Sebilangan pemimpin evangelis Kristian di Amerika Syarikat menganggap koronavirus sebagai ejen syaitan. Demi menolak kuasa syaitan, mereka berkeras untuk terus merayakan Paskah (Easter) secara bersemuka.

Seorang pastor dari Life Tabernacle Church di Louisiana, dilapor mengatakan dia tidak percaya jemaahnya berada dalam bahaya jangkitan kerana virus itu “bermotifkan politik”.

India juga tidak terhindar dari ketidakmasukakalan yang sering menyusuli bencana dan musibah. Setelah pecahnya Covid-19, seorang pekerja parti dari Parti Bharatiya Janata yang berkuasa di negeri Bengal Barat mendakwa pengambilan air kencing sapi dapat melindungi orang dari jangkitan. Pandangan ini disokong oleh ramai orang.

Satu kumpulan Hindu, Akhil Bharat Hindu Mahasabha (Kesatuan Hindu Seluruh India) mengadakan pesta minum air kencing lembu pada bulan Mac untuk memerangi virus tersebut. Percaya bahawa air kencing sapi mempunyai sifat perubatan, ia dikatakan juga dapat menyembuhkan penyakit seperti barah, kencing manis dan serangan jantung.

Perilaku tidak rasional sememangnya sesuatu yang sukar ditangani. Jika digabungkan dengan agama, ia berpotensi untuk menimbulkan tuduhan ketaksuban agama yang ditujukan terhadap mereka yang sebenarnya memerangi ketidakmasukakalan dan bukan agama itu sendiri.

Pemikiran tidak rasional pada dasarnya disebabkan oleh peninggalan semangat ilmiah. Mereka yang tidak rasional mungkin menganggap mereka setia kepada agama, tetapi sebenarnya terasing dari tradisi agama. Mari kita ambil contoh daripada Islam. Walaupun ada beberapa umat Islam hari ini yang mengambil sikap tidak rasional terhadap pandemik Covid-19, sebenarnya umat Islam pra-moden yang menemukan faham penjangkitan (contagion), kerana mereka tidak bersedia hanya berpandangan bahawa penyakit adalah hukuman dari Tuhan atau ejen syaitan.

Konteksnya adalah Black Death, atau Bubonic Plague, wabak sejagat yang melanda Eropah dan sebahagian Afrika Utara dan Asia pada pertengahan tahun 1300-an, dikatakan tiba di Eropah pada Oktober 1347. Dua belas kapal dari Laut Hitam berlabuh di pelabuhan Sicilia, Messina. Apa yang menemui orang ketika mereka berkumpul untuk menerima penumpang adalah sesuatu yang mengerikan. Sebahagian besar pelaut di atas kapal mati, dan selebihnya sakit parah. Salah satu gejala wabak adalah kemunculan bubo (bengkak) celah kangkang, demam dan meracau. Oleh itu, penyakit ini dinamakan Wabak Bubonik.

Hidup pada masa itu adalah sarjana Andalusia yang termasyhur, Lisan ad-Din ibn al-Khatib. Seorang penyair, penulis, sejarawan, ahli falsafah, ahli perubatan dan ahli politik Arab. Ibn al-Khatib hidup sezaman dengan ahli ilmu masyarakat Arab, Abd al-Rahman Ibn Khaldun (1332-1406) dan merupakan rakan dan mentornya.

Kedua-dua mereka mengalami musibah wabak. Ketika Ibnu Khaldun berumur 17 tahun, Kematian Hitam sampai di kotanya, Tunis. Ibu bapanya dan ramai gurunya meninggal dunia. Ibn Khaldun mencatat kesan trauma dari wabak tersebut dalam Al-Muqaddimah, tulisannya yang terkenal. Dia berkata:

“Peradaban, baik di barat maupun di timur disambangi wabak menghancurkan bangsa-bangsa dan memangkas populasinya. Ia melahap dan menyapu bersih banyak kemewahan peradaban. Wabak itu menggulingkan kerajaan di penghujung umur, saat mereka mencapai batas waktu mereka. Ia mengurangi daya dan membatasi pengaruh mereka. Ia mengurangi kewibawaan mereka. Keadaan mereka mendekati titik kemusnahan dan kehancuran total.

“Peradaban pun merosot seiring dengan ambang kemusnahan manusia. Kota-kota besar dan bangunan-bangunan ditinggalkan begitu sahaja; jalan-jalan besar dan kecil hancur berantakan; permukiman dan rumah-rumah menjadi kosong; dinasti-dinasti dan kabilah-kabilah merosot.”

Ketika Ibnu Khaldun merenungkan akibat buruk dari pandemik itu, Ibn al-Khatib mengembangkan konsep penjangkitan, iaitu pandangan bahawa penyakit menyebar dari satu orang ke orang lain melalui kontak rapat. Ini dilakukannya berabad-abad sebelum faham itu ditemui dan diajarkan di Eropah.

Menurut Ibn al-Khatib, “Keberadaan penjangkitan dibuktikan melalui pengalaman dan oleh laporan yang dapat dipercayai mengenai pengiriman melalui pakaian, kapal, anting-anting; oleh penyebarannya oleh orang-orang dari satu rumah, oleh jangkitan pelabuhan laut yang sihat dengan kedatangan dari tanah yang dijangkiti, dan oleh kemanglian individu yang berada dalam pengasingan”.

Menurut Ibn al-Khatib, adalah jelas sebahagian besar orang yang pernah kontak dengan korban wabak akan mati, sedangkan orang yang tidak terdedah akan tetap sihat. Pakaian atau kapal boleh membawa jangkitan ke rumah; malah anting-anting boleh membunuhkan seorang yang meletakkannya di telinganya. Penyakit ini boleh muncul pertama kali di satu rumah di sebuah bandar tertentu, kemudian menyebar dari sana kepada orang lain, seperti jiran dan saudara.

Ramai orang yang mengasingkan diri dari dunia luar tetap berada dalam keadaan sihat, misalnya seorang alim yang bernama Ibn Abi-Madyan di Sale. Dia percaya kepada penjangkitan. Oleh itu dia mengasingkan diri dan keluarganya di rumah. Bandar dimana mereka tinggal teruk dilanda wabak, tetapi tidak ada seorang pun di rumahnya yang jatuh sakit.

Ibn al-Khatib juga mencatat terdapat banyak cerita komuniti yang tinggal jauh dari lebuh raya dan perdagangan yang tidak dijangkiti wabak.

Di sini, Ibn al-Khatib menggunakan bukti empirikal, daripada hanya bergantung pada pembacaan teks agama secara literal dan sempit. Pendapatnya sejajar dengan tradisi Islam yang menganggap pergantungan pada akal dan pancaindera bukan hanya sah tetapi merupakan sebahagian dari kepercayaan agama.

Pandangan sempit adalah bahawa wabak itu musibah atau hukuman yang dijatuhkan oleh Tuhan. Hasil pandangan penjangkitan Ibn al-Khatib menyebabkan dia menyampaikan pelajaran penting kepada kita mengenai bagaimana kita harus mendekati tradisi.

Menurut Ibn al-Khatib, sesuatu yang diambil dari tradisi harus menjalani pengubahsuaian ketika nyata bertentangan dengan bukti pancaindera. Ini pelajaran yang harus kita perhatikan dengan baik semasa kita menangani masalah semasa tetapi ingin berpegang teguh pada kepercayaan agama pada waktu yang sama.

 

Syed Farid Alatas adalah profesor sosiologi di Universiti Nasional Singapura.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.