Pusara Karayuki-san di Singapura

Hujung 1990-an, teman saya dari Jepun; Ryo Suzuki namanya, menelefon dari Tokyo. Dia terbang ke Kuala Lumpur, kemudian langsung mengajak saya ke Singapura. Dia ingin mencari, demikian katanya.

Saya tidak diberitahu mencari apa. Akan tetapi, tahu-tahu kami sudah dalam perut kereta api menuju ke pulau selatan. Hanya sehari setelah itu, usai berehat di sebuah hotel murah di Bugis, saya mengetahui yang Ryo ingin ke Little Japan.

Berdasarkan risalah pelancongan dan maklumat yang diperolehi Ryo dari yayasan yang mengatur hal ehwal mangsa peperangan, kami ke Lebuh Chuan Hoe, hujung Jalan Yio Chu Kang kira-kira 9km dari Jalan Tengah (Middle Road) dan pusat daerah perniagaan Singapura (CBD).

Little Japan itu, seingat saya bukanlah daerah kecil yang menempatkan toko atau kafe Jepun. Sebaliknya yang dimaksudkan tanah perkuburan.

Bangsa Jepun yang pertama, mungkin, dikesani di Singapura pada 1871. Menurut Japanese Association of Singapore, dalam akhbar dalaman untuk komuniti tersebut, angka itu menjadi 1,409 orang pada 1911. Pada 1939 ia berganda kepada 4,000 orang dan pada 1945 sekitar 6,000 orang. Angka ini bukanlah mereka yang terlibat dengan Perang Dunia II. Dalam erti kata lain, mereka bukan tentera Jepun, tetapi orang awam.

Apakah yang orang awam Jepun lakukan di Singapura sepanjang 1930-an dan 1940-an? Inilah misteri yang Ryo tidak beritahukan ketika itu. Dia hanya bilang, dia ingin mencari. Saya belum diceritakan, mencari apa.

Pada 2018, apabila saya ke Tokyo memenuhi undangan Yayasan Keamanan Sasakawa untuk memberikan kuliah mengenai Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14, saya sempat menemui kembali Ryo. Peluang menemui kawan lama itu tidak saya lepaskan untuk melerai misteri atau rahsia kunjungannya ke Singapura pada 1998.

Saya masih ingat Ryo menangis di sisi sebuah pusara teresak-esak. Akan tetapi, sebagai menghormati seorang lelaki yang seingat saya jarang terlihat menangis; maka saya diamkan sahaja. Hanya 2 dekad kemudian saya berani bertanya.

“Karayuki-san”, balas Ryo lambat-lambat. Untuk seketika saya bingung juga memandangkan saya bukanlah pakar bidang Pengajian Jepun.

Apabila saya mengimbau kembali pemergian ke Singapura tersebut, saya masih ingat kami berada di kawasan perkuburan Jepun, saat matahari tegang membakar dengan terik kulit wajah Ryo yang terlihat ibarat udang dipanggang.

Tanah perkuburan itu diasaskan Tagajiro Futaki pada 1891, seorang pengusaha rumah pelacuran. Saya akan menggunakan istilah pekerja seks selepas ini, kerana apa yang Ryo ceritakan kepada saya kemudiannya sangat menikam hati, mengakibatkan saya ikut menangis.

Futaki, seorang pemilik kebun getah dan 2 rumah untuk kegiatan seks, memohon kepada kerajaan Singapura waktu itu untuk mendapatkan 6 ekar tanah persendirian dan 2 ekar lagi tanah yang menyambung kepada kawasan lebih terbuka kepada orang ramai. Tanah itu untuk menjadi tempat persemadian pekerja seks berbangsa Jepun di Singapura. Mereka diberi gelaran karayuki-san.

“Namanya Niko. Beliau kakak tengah nenek saya”. Mata Ryo kosong bagai tiada destinasi.

Pada 1917, Osada Shuto seorang pengembara berbangsa Jepun dan pengurus ladang getah di Tanah Melayu mencatatkan pengalamannya dalam buku bertajuk Zunanroku (Sebuah Rekod Pemetaan Negeri Selatan). Dalam banyak-banyak nukilan beliau, salah satunya mengenai pengalaman melawat tanah perkuburan karayuki-san di Singapura ketika itu. Shuto menulis lebih kurang terjemahannya begini:

“Kebanyakan pusara yang saya temui, bertindanan antara satu sama lain, milik karayuki-san berusia 17 dan 18 tahun. Sisa pusara yang kusam itu tidak dapat diredam melainkan menerbit perasaan pahit yang bersulam. Mereka wajar diberi kasih sayang. Mereka tidak punya keturunan yang akan datang mengunjungi pusara ini, untuk memberikan penghormatan. Untuk meletakkan bunga dan ranting dari pohon kudus jintan manis. Takziah mendalam untuk tulang-temulang ini, terdedah disapa angin dan embun di sebuah tanah yang jauh dan begitu asing buat mereka.”

Apakah yang gadis remaja berbangsa Jepun ini lakukan di Singapura, jauh dari tanah air, terhumban di negeri yang tiada saudara-mara dan pergi ke negeri abadi tanpa belas dan rindu?

Nenek saudara Ryo misalnya menjadi mangsa kemiskinan. Ketika dunia mengalami krisis dan penghormatan untuk wanita di hujung kaki, mangsa yang paling mudah adalah perempuan. Ini kerana perempuan hanya boleh menangis. Di sebalik esakan itu mereka akan menurut sahaja.

Pada hujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, Jepun mengalami kemelaratan yang mencengangkan. Keluarga yang terlalu miskin, tidak dibantu; terpaksa melakukan satu tindakan nekad – menjual anak-anak gadis mereka – dan nasib anak-anak remaja ini sangat buruk. Mereka paling ramai dihantar ke China justeru diberi jolokan karayuki-san (tempahan untuk ke China) walaupun sebetulnya “pasaran” mereka untuk seluruh rantau Asia-Pasifik. Nenek saudara Ryo salah seorangnya.

Karayuki-san dijual bukan untuk langganan lelaki Jepun tetapi sebaliknya untuk bangsa lain, mengakibatkan mereka akhirnya diniagakan sehingga ke kota pelabuhan yang jauh dari kampung halaman. Kebanyakan gadis ini dari Amakusa dan Shimabara di Nagasaki. Setiap malam mereka akan melayani sehingga 30 orang lelaki, bergantung kepada kota pelabuhan yang sibuk. Dan Singapura salah satunya.

Meskipun terdapat angka rasmi yang rendah, dipercayai kira-kira 19,000 karayuki-san dipaksa menjadi pekerja seks pada 1910 di seluruh dunia. Pada 1878 misalnya sudah ada 2 rumah pelacuran di Jalan Melayu, hujung Jalan Tengah. Menjelang 1905, karayuki-san menjadi masyhur dan terdapat 633 orang pekerja seks berbangsa Jepun di 109 rumah pelacuran seluruh Singapura. Pada 1903 pula, 70% bangsa Jepun di Singapura adalah mereka yang terlibat dalam perniagaan seks ini.

Tanpa keluarga, gadis-gadis mentah ini dibawa dengan kapal dari Jepun, dan terpaksa hidup bersendirian di negeri asing. Siangnya mereka menangis nasib. Malamnya mereka ditindih derita. Tanpa kebajikan yang sempurna, pekerja seks ini cepat sekali jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia. Di kawasan perkuburan inilah karayuki-san disemadikan. Nisan pusara mereka selalunya dengan kayu, dan dimamah usia dengan segera. Lama-kelamaan pusara itu tiada bernama dan tidak diketahui milik siapa.

Tidak banyak yang Ryo tahu tentang nenek saudaranya. Kali akhir neneknya beroleh sepucuk surat yang menyatakan kakaknya itu di Singapura. Itu lama sekali sebelum perang. Kemudian hubungan mereka adik beradik terputus. Nenek saudara Ryo tersebut berusaha memadam keaiban sebagai karayuki-san dengan berbohong; “Aku kini perempuan hartawan yang bahagia”. Tentu, yang tidak diperikan adalah nasibnya buruk sekali dihayak kelasi.

Tanah perkuburan itu sunyi metah. Seakan-akan ada roh nestapa mengintai kami di celah pohon.

Pusara-pusara ini selalunya dipelihara oleh teman-teman karayuki-san yang masih hidup. Tanpa ahli keluarga, pekerja seks ini belajar untuk saling melindungi dan berkongsi kasih sayang, meskipun apa yang terbentang kelam di hadapan. Gadis-gadis tersebut berdoa selalu mengharapkan seorang penyelamat yang akan dapat menebus nasib malang mereka. Akan tetapi penyelamat tidak kunjung tiba. Mereka antara golongan tertindas yang tenggelam begitu sahaja dalam sejarah. Padahal mereka punya nama. Mereka punya harapan. Mereka punya doa.

“Namanya Niko, ia bermakna Gadis Merah. Salah sebuah makam itu punya nama,” kata Ryo dalam jujuh tangis. Saya menahan sebak.

Saya masih ingat kami berkitar di tanah perkuburan tersebut. Ada rasa pedih meramas hati Ryo. Ketika itu saya belum tahu perihal karayuki-san. Ryo menunjukkan sebuah pusara yang kelihatan bernasib baik kerana punya nama. Milik Satou yang meninggal dunia di usia 22 tahun pada 13 Okt 1889, dengan alamat 15 Jalan Melayu. Terdapat sedikit maklumat yang tidak berpada, dia diberitakan di nisannya sebagai kelahiran Nagasaki.

Saya masih ingat setelah pulang dari pusara tersebut, senja begitu menyala. Kami menyeberangi tambak untuk ke Johor Bharu meninggalkan senja nan merah di belakang.

Setelah 2 dekad, ceritera duka yang dibabadkan Ryo itu kekal mencakar jiwa raga.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.