Siapa tamak, siapa rugi

Di Perikatan Nasional mahupun Pakatan Harapan dan pembangkang lain, kini wujudnya sekumpulan ahli politik yang tamak dan tergesa-gesa yang boleh merugikan gabungan masing-masing.

Di sebelah PN, segelintir ahli Umno mula bersikap keras terhadap PPBM dan mendesak pilihan raya umum diadakan segera. Mengikut sifir politik mereka, PPBM tidak berhak mendapat kerusi pilihan raya kerana semuanya kerusi tradisi Umno.

Jika begitu, apakah Umno yakin menang jika PN berpecah dan pertandingan 3 penjuru berlaku serentak di semua kerusi Umno? Apa faedahnya untuk Umno jika PN berpecah? Sesungguhnya, tanpa PPBM, Umno masih akan berada di kerusi pembangkang. Hakikatnya, PPBM ada jasanya kepada Umno, meskipun ia lahir daripada pemecatan ketika zaman Najib Razak.

Pengalaman perit menjadi pembangkang selama 22 bulan sepatutnya menginsafkan Umno. Formula kalah pilihan raya ini banyak – antaranya ialah sikap tamak, angkuh, enggan berkompromi, menganggap diri kuat serta mengharapkan rakyat lebih membenci lawan daripada menguatkan diri sendiri.

Keengganan bekerjasama dengan PPBM yang mempunyai perdana menteri yang amat disukai rakyat adalah jalan mencari nahas.

Bagaimana pula keadaannya di PH Plus dan rakan-rakannya? Perebutan jawatan perdana menteri yang menjadi punca utama kejatuhan kerajaan PH kembali menjadi punca retaknya kerjasama pembangkang.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim kini tidak lagi boleh menerima Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM. Sikap yang sama turut dipamerkan Mahathir terhadap Anwar, di mana sebaliknya Mahathir bersetuju untuk menyokong Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon PM berbanding Anwar.

Kenyataan bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng yang mengesahkan kenyataan Mahathir bahawa idea mencalonkan Shafie sebagai calon PM datangnya daripada Lim adalah tamparan hebat kepada Anwar sebagai ketua Pakatan Harapan.

Ini bererti 2 komponen parti PH tidak yakin Anwar mampu mendapat majoriti di Parlimen berbanding Shafie. Peliknya bagaimana pula Amanah dan DAP dapat yakin Shafie mampu mendapat majoriti di Parlimen tanpa sokongan Anwar dan PKR.

Sifirnya mudah bagi PKR dan Anwar. Sebagai parti yang memenangi paling banyak kerusi Parlimen, sepatutnya jawatan PM datangnya daripada individu daripada parti itu.

Tapi, masalahnya ialah ketaksuban terhadap jawatan calon PM menyebabkan ia seolah-olah milik hak peribadi seorang individu dan parti selepas jatuhnya Mahathir. Inilah menjadi titik kebuntuan untuk menyelesaikan masalah tamak dan ego berlebihan dalam kalangan pembangkang untuk mencapai satu kata sepakat.

Kedua-dua gabungan politik nampaknya tidak stabil kerana sikap kedua-dua parti terbesar dalam gabungan itu. Siapa yang tidak dapat mengawal tamak di hati akan menyebabkan gabungan politik itu terlerai lalu merugikan diri sendiri pada pilihan raya umum ke 15 nanti.

Apakah Umno ataupun PKR yang akan rugi besar pada akhirnya?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.