Konsep asal Bumiputera dan perjuangan kemerdekaan Indonesia

Isnin lalu, 17 Ogos hari kebangsaan Indonesia bagi memperingati ulang tahun perisytiharan kemerdekaan Republik Indonesia yang berlaku pada 1945. Kemerdekaan republik itu diperjuangkan dengan darah, air mata, keringat, dan akal sihat. Usaha itu dinamakan Revolusi Indonesia.

Gagasan Republik indonesia bersifat kesaksamaan warga negara pelbagai suku kaum. Bhineka Tunggal Ika (italic), kepelbagaian dalam kesatuan. Semua warga negara setaraf. Tiada ketuanan Jawa walaupun mereka majoriti, tiada ketuanan Melayu walaupun nama kaum dan suku kaum di situ Rumpun Melayu dan rantau di situ Gugusan Pulau-pulau Melayu. Yang ada hanyalah Bangsa Indonesia. Suatu negara revolusioner dan progresif di mana tiada bangsawan, yang ada sebagai ganti ialah pejuang kebangsaan atau nasionalis.

Juga tidak timbul ketuanan Bumiputera atau istilah awalnya ialah Pribumi. Kedua-dua istilah itu dicipta penjajah Belanda sebagai terjemahan kepada perkataan natives (italic) atau indigenious (italic). Belanda sampai dahulu daripada British ke Asia Tenggara. Maka British kemudiannya juga menggunakan istilah Bumiputera di Malaya dan Borneo.

Natives (italic) dalam konteks penjajah bermaksud kaum yang ditemui para penjelajah dan penjajah ketika mereka mula menjejak kaki ke sesuatu tempat baharu. Indigenious (italic) bermaksud kaum yang dari segi bakanya turun-temurun berada di sesuatu tempat sejak zaman pra-sejarah.

Pribumi istilah bahasa Melayu dengan perkataan Bumi berasal dari Sanskrit. “Pri” menunjukkan amat, tinggi atau mendalam, umpamanya dalam perkataan perikemanusiaan dan prihatin. Kemudian istilah Bumiputera digunakan untuk menggantikan Pribumi. Sebabnya perkataan Bumiputera lebih cantik kerana adanya perkataan “putera”. Kedua-dua perkataan itu istilah asal Sanskrit. Perkataan Putera bermaksud Anak, tetapi bukan sebarang anak. Asalnya ia bermaksud anak raja atau anak orang terhormat. Maka Belanda menaikkan kaum Pribumi menjadi putera raja, dengan bumi sebagai raja.

Tetapi tujuan Belanda menampilkan konsep Bumiputera ini dalam kerangka memperdalamkan kekuasaannya ke atas Hindia Timur Belanda. Ia sebahagian daripada dasar dan strategi yang datang dari ideologi imperialisme dan kolonialisme pada zaman itu.

Belanda kuasa imperialisme dan kolonialisme. Ini kerana ketika itu Belanda negara beraja yang mempunyai empayar, dan empayar terbesar mereka adalah Hindia Timur. Mereka juga kuasa kolonial. Maksud kolonial adalah penjajah bukan saja menjajah kerana ekonomi tetapi rakyat mereka turut digalakkan berhijrah dan menetap di tanah jajahan. Ia juga bermakna mereka mahu menguasai tanah jajahan itu selama-lamanya. Itulah apa yang berlaku di Hindia Timur menjelang Perang Dunia II. Malah kota Jakarta yang dipanggil sebagai Batavia hendak dijadikan oleh pentadbir Belanda sebagai New Amsterdam.

Istilah Bumiputera, walaupun bunyinya indah tetapi dicipta Belanda sebagai suatu penghinaan. Ini kerana Bumiputera bangsa terjajah, dan kedudukan mereka adalah menjadi tenaga buruh kepada bangsa Belanda yang bukan saja merupakan kuasa politik tetapi juga pemilik modal utama di Hindia Timur. Walaupun dalam kalangan Bumiputera ada bangsawan yang merupakan golongan tertinggi dan diberikan kedudukan dalam pentadbiran daerah, tetapi mereka tetap dipandang sebagai tenaga kerja untuk pentadbir Belanda.

Berbeza dengan golongan pendatang dari China. Mereka bukan Bumiputera dan tidak dilantik Belanda sebagai kaki tangan pentadbir penjajah. Pun begitu mereka tidak dijadikan tenaga kerja untuk Belanda. Di Hindia Timur, sudah terdapat banyak Bumiputera yang boleh dijadikan tenaga kerja dan Belanda tidak memerlukan orang dari wilayah lain.

Tetapi Belanda tidak menghalang kedatangan orang Cina, atau istilah di sana ialah Tionghoa. China pula disebut sebagai Tiongkok. Ini kerana ketika Belanda sampai di Hindia Timur, komuniti Cina sudah ada dan mereka merupakan pemilik modal utama dan berniaga hingga menjadi kaya tanpa kuasa politik. Apabila Belanda menjadi penjajah, mereka pula menjadi pemilik modal utama melalui kuasa politik.

Orang Cina di Hindia Timur menganggap diri mereka penduduk tetap Hindia Timur dan tidak berhasrat untuk kembali ke tanah leluhur mereka. Tidak semua orang Cina yang kaya dan berjaya. Kebanyakan yang datang hanya sehelai sepinggang. Bagi mereka yang ada modal, walaupun sedikit, akan berniaga. Yang tiada modal, bekerja dengan kalangan mereka. Mereka tidaklah menjadi tenaga buruh bagi Belanda. Tetapi sebagai golongan perniagaan, pentadbir Belanda tentunya bergantung pada bekalan dari mereka.

Apabila sudah berharta, tentulah golongan terpelajar lebih banyak muncul dalam kalangan kaum Cina. Dengan pendidikan, datang kesedaran. Maka dari mereka, muncul aktivis dan nasionalis, tentu kebanyakannya aliran kiri. Selalunya para intelektual dan orang terpelajar tertarik dengan aliran kiri. Ini mungkin kerana pemikiran kiri perlu aktiviti mental yang cerdas.

Jadi, ada sebahagian mereka yang turut menyertai gerakan nasionalis kiri yang memperjuangkan bukan saja kemerdekaan negara tetapi juga kemerdekaan warga negara yang berkedudukan setaraf.

Tetapi pihak Belanda bukan saja tidak suka dengan gerakan kemerdekaan ini. Mereka juga tidak suka dengan kerjasama antara kaum Bumiputera dan Cina. Ini kerana perpaduan mereka boleh menjadi kuasa bagi mencabar kedudukan penjajah Belanda, lebih-lebih lagi orang Cina mempunyai dana dan kemahiran mengurus.

Langkah pertama bagi memisahkan kedua-dua kaum ini adalah dengan memberikan mereka nama. Kaum Cina sememangnya sudah ada nama iaitu Tionghoa. Apa yang perlu dilakukan adalah sering menyebutnya supaya identiti mereka sentiasa terserlah. Jangan sebut kedai runcit saja, sebutlah “kedai runcit Tionghoa”.

Tetapi penduduk asal Hindia Timur tidak bernama. Maka Belanda menemui istilah pribumi. Pada asalnya pribumi adalah orang yang berasal turun-temurun di sesuatu kampung. Hidupnya bergantung pada tanah melalui kerja pertanian di kampung, orang luar yang datang ke kampung itu adalah pendatang. Pribumi tidak ada konotasi kaum tetapi hanya deskripsi sesuatu fenomena.

Belanda mengambil istilah ini untuk menamakan satu himpunan suku kaum di seluruh Hindia Timur. Ia kemudian ditukar kepada Bumiputera. Antara tujuannya untuk memisahkan mereka daripada kaum Tionghoa. Selanjutnya untuk menegaskan mereka berbeza dan berkedudukan rendah pada pentadbir Belanda.

Maka Belanda juga menggalakkan orang Tionghoa mengekalkan identiti mereka supaya kaum itu terpisah daripada Bumiputera dan juga dari pihak dirinya. Apabila berlaku krisis ekonomi, kemarahan dari kaum Bumiputera akan dilepaskan pada kaum Tionghoa dan bukannya terhadap penjajah Belanda, sedangkan mereka penggubal dan pelaksana dasar ekonomi.

Dasar mencipta dan mentajamkan identiti kaum ini apa yang disebut sebagai Divide and Rule (Pecah dan Perintah) dan didapati berkesan bagi pentadbiran tanah jajahan.

Istilah seperti pribumi dan bumiputera bersifat eksklusif, reaksioner dan konservatif sedangkan konsep kewarganegaraan bersifat inklusif, revolusioner dan progresif.

Penjajah British juga membawa konsep Bumiputera ke Borneo British. Mereka sudah melaksanakan dasar Pecah dan Perintah di India. Identiti yang diwujudkan berbentuk agama: Hindu, Islam, Sikh, Jain, Buddha, dan Kristian.

Di Malaya, British mencipta istilah Orang Asli sebagai terjemahan pada perkataan Aborigines untuk memisahkan mereka daripada orang Melayu. Sedangkan sebelum itu orang memanggil mereka menurut nama kaum masing-masing: Temuan, Senoi, Jakun, Orang Laut, dan lain-lain.

Kemudiannya, identiti kaum ditetapkan hanya 3 iaitu Melayu, Cina dan India. Yang lain-lain dinamakan “Lain-lain”.

Di Borneo, terdapat banyak suku kaum, dan mereka bukannya orang Melayu, maka dinamakan semuanya dalam istilah Bumiputera yang diambil dari Hindia Timur.

Apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963, maka istilah Bumiputera ini menggantikan perkataan Melayu sebagai kaum utama negara. Orang Asli, orang Melayu dan semua suku kaum Sarawak dan Sabah adalah Bumiputera. Sungguhpun begitu, orang Siam di Kedah dan orang Portugis di Melaka juga Bumiputera.

Sebab itulah Bank Melayu yang pada mulanya dirancang sebelum penubuhan Malaysia menjadi Bank Bumiputra. Sementara Amanah Saham Melayu menjadi Amanah Saham Bumiputera.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.