Rasuah yang membunuh cucu nabi di Karbala

Baru-baru ini saya membaca sebuah buku karya Ebit Lew berjudul “Isteriku Bidadariku” (2016). Beliau menyebutkan bagaimana di malam Asyura, Husayn Ali, cucu Nabi Muhammad, yang dibunuh dengan kejam sekali oleh musuhnya tidak takut.

Tulis Ebit Lew: “Allah adalah pemilik semuanya dan kita hanya terkesan dengan Allah. Semua kuasa dan orang boleh buat apa sahaja terhadap kita namun semua itu tidak boleh beri kesan kepada kita. Kami ada Allah. Kami ada Allah. Di padang Karbala, Husayn berkata, ‘Kamu hendak takutkan aku dengan kematian, sedangkan dengan kematian inilah aku boleh berjumpa Tuhanku Allah’.”

Sayang sekali, Ebit Lew tidak sedikit pun menghuraikan apa punca Husayn berada di Karbala, atau siapa yang mengancamnya dengan kematian, atau mengapakah dia sedia untuk syahid. Ebit hanya berhujah sebarang usaha menakutkan orang beriman dengan kematian, mungkin besar menemui kegagalan.

Takut adalah satu kaedah untuk berkuasa. Takut adalah terror. Takut adalah satu alat yang digunakan oleh penguasa tirani dan juak-juak penyangak mereka. Apabila rakyat ditakut-takutkan, selalunya mereka akan mengalah, diam seribu bahasa, dan lebih dahsyat ialah menyertai penjahat.

Ada banyak bukti Yazid Mu’awiya menakut-nakutkan umat Islam ketika memerintah. Selain kejadian di Karbala, terdapat kejadian Harrat Waqim yang mana tentera Yazid diketuai Muslim Uqba dan Marwan al-Hakam menyerang kota suci Madinah. Pertempuran dahsyat ini berlaku akhir Dzulhijjah tahun 63 H. Tentera Yazid diberi kebebasan untuk memperkosa wanita, membunuh, menyamun, dan memusnahkan sewenang-wenangnya selama 3 hari. Seramai 80 orang dari para sahabat nabi dan 700 orang penghafal Al-Quran terkorban.

Jadi, takut adalah senjata. Terror atau takut adalah peluru.

Syed Farid Alatas merakamkan senjata ketakutan ini dengan baiknya dalam sebuah komentar beliau, “Antara Iktibar Pilu Hari Asyura” (2015):

“Yazid bergembira, berpesta, dan memancangkan kepala Husayn di atas tombak dan memperagakannya di seluruh kota Kufah dan Damsyik supaya memberi amaran pada umat agar tidak melawan dan memberontak pada kerajaan.”

Sudah ramai menulis mengenai peristiwa Karbala dan bagaimana Husayn serta ahli keluarga dan sahabatnya terkorban dibunuh oleh tentera Umaiyyah yang ketika itu ditakhtai Yazid. Seperti terlihat, ramai yang menulis mengenai kekerasan, dan pembunuhan demi pembunuhan yang dilakukan oleh rejim Yazid ini pada 10 Muharram, tahun 61 H.

Untuk beroleh sokongan, tentera Yazid dan juga pelaku-pelaku kunci pembunuhan ini seperti Ubayd Allah Ziyad dan Umar Sa’ad menakut-nakutkan rakyat Kufah dan penyokong Husayn dengan kezaliman yang tiada belas kasihan.

Sebelum peristiwa pembunuhan di Karbala, wakil dan penyokong Husayn seperti Muslim Aqil dan Hani Urwah ikut dibunuh dengan kejam. Muslim misalnya dibuang dari tempat tinggi dan mayatnya sengaja dibuang di tempat sampah.

Namun demikian, kekerasan atau terror yang gunanya menakut-nakutkan orang bukanlah satu-satu cara untuk melemahkan penyokong kebenaran. Adalah mudah untuk tidak takut. Untuk orang seperti Husayn, takut tiada dalam kamusnya. Ini kerana kecintaan beliau hanya kepada Allah dan mengatasi rasa takut. Demikian juga pengikut-pengikutnya.

Aksi gempur dan gempar tidak menakutkan sama sekali. Persis apa yang disebutkan oleh Ebit Lew. Malah mereka yang bersama dalam rombongan Husayn ke Karbala itu adalah veteran pelbagai perang sejak zaman Badr, Uhud, Ahzab dan sekian banyak lagi perang saudara seperti perang Jamal dan Siffin. Takut tidak mematahkan kenekadan ramai orang.

Kita melihat keganasan, pembunuhan dan terror tidak mematahkan semangat orang seperti Nelson Mandela. Dia malah berjuang dari dalam penjara. Jose Rizal, pejuang kemerdekaan Filipina digentarkan tetapi tidak patah walau pun sekali kecuali akhirnya terkorban oleh muntahan peluru Sepanyol.

Pendek kata, ada orang berani mati kerana kematian itu memang didambakan.

Konsep kematian begini misalnya ada dalam budaya Jepun iaitu seppuku dan harakiri. Ia juga ada dalam budaya Islam yang mana ia dinamai syahid. Ini kerana kematian untuk sesuatu yang benar dan suci akan sentiasa menyiram pohon keimanan dan kebenaran.

Akan tetapi ada satu lagi senjata selain ketakutan yang kurang dibincangkan orang. Husayn tidak sahaja terbunuh kerana mereka yang berada di Karbala itu takut dihukum oleh Yazid ataupun Ubayd. Dalam banyak keadaan, mereka yang menyertai pasukan tentera berjumlah 20,000 orang untuk membantai 72 orang pengikut Husayn itu melakukannya bukan kerana percaya menakut-nakutkan itu akan membuatkan keluarga Rasulullah mengalah. Mana mungkin keluarga nabi akan mengalah dan gerun dengan terror.

Mereka yang masuk pasukan Umaiyyah itu hadir bukan hanya untuk menakutkan.

Senjata lain dari keganasan atau terror itu tidak lain tidak bukan adalah rasuah. Yang berada di Karbala itu melakukannya demi habuan. Mereka sanggup membunuh cucu cicit Nabi Muhammad kerana mereka diberi hadiah, ditaburi kenikmatan dunia, dan tamakkan kesenangan.

Rasuah ketika era Yazid bukan kecil-kecil. Malah budaya rasuah itu sudah berkembang biak sejak zaman Khalifah Uthman Affan seperti disentuh mendalam oleh Abul A’la Maududi dengan tajuk “Khilafah dan Kerajaan: Satu Penilaian Kritis Terhadap Sejarah Pemerintahan Islam” (1986) dan, karangan Taha Husain dengan tajuk terjemahannya “Fitnah Terbesar Dalam Sejarah Islam” (1990).

Salah seorang pelaku kunci keganasan di Karbala adalah Umar Sa’ad. Dia adalah anak kepada salah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Sa’ad Abi Waqqas. Mengapa dia tergamak membunuh cucu Rasulullah? Membunuh bukan perkara kecil.

Untuk mengujakan Umar Sa’ad memerangi Husayn, Ubayd menjanjikan jawatan gabenor kota Rey (sebuah daerah subur di Parsi). Padahal sewaktu remajanya, Umar pernah bertemu bapa Husayn iaitu Ali Abi Talib yang memesankan, akan tiba satu saat kamu berada di antara syurga dan neraka tetapi kamu memilih neraka.

Pernah satu masa, Umar dalam dilema. Adakah dia harus berada di blok pemerintah (Yazid) atau blok pembangkang (Husayn). Dia sangat khuatir dan tidak dapat memikirkan perbuatan membunuh cucu nabi itu, tetapi dia juga tidak sanggup melepaskan peluang untuk menjawat kedudukan besar di Rey. Dalam benak Umar Sa’ad hanya ada Rey. Ubayd mengancam Umar yang jika dia tidak berdaya melakukan permintaan Yazid maka posisi Rey akan terlepas. Rasuah Rey. Itulah menjadi titik perubahan Umar, titik dia berani untuk membunuh Husayn, maka dia menyahut;

“O Ubayd tak usah harapkan orang lain. Aku sendiri akan ke Karbala.”

Ubayd tahu terdapat 20,000 pucuk surat diutuskan oleh penduduk Kufah untuk memilih Husayn. Tokoh pembangkang itu tokoh yang terkemuka semua segi. Dia tahu jika bertanding dari segi wibawa, Yazid akan kalah. Maka Ubayd melakukan suatu perbuatan keji, memutar belit fakta, dan merasuah rakyat atau pengundi Kufah. Kata Ubayd yang saya petik dan terjemah dari Nafasul Mahmoom oleh Abbas Qummi;

“Wahai orang Kufah. Kamu telah menduga keluarga Abu Sufyan Harb, dan kamu telah mendapati mereka seperti yang kamu hendaki. Ini adalah komander orang yang beriman, Yazid, yang perangainya jujur, seorang yang akhlak baik dan bersikap belas pada rakyat. Dia memberikan hak kepada semua orang, dan menjadikan jalan raya kamu selamat. Dia seperti ayahnya, Muawiyah, yang juga baik. Dan anaknya Muawiyah ini juga menghormati Allah dan memberikan kekayaan dan memberikan hadiah buat mereka. Dia telah meningkatkan ganjaran untuk kamu 100% dan telah menitahkan aku memberi lebih banyak lagi, asalkan kamu mahu menentang musuhnya Husayn. Maka dengarlah katanya dan patuhilah dia.”

Sebaik Ubayd turun mimbar, dia memerintahkan “hadiah” diberikan kepada semua penduduk Kufah. Rasuah; inilah yang – tidak – diperkatakan oleh Ebit Lew dan Syed Farid Alatas. Rasuah mengakibatkan kejadian Karbala, dan Husayn dibunuh kerana ada orang yang sanggup memejam mata oleh rasuah. Jadi punca kejadian jahat ini dan banyak kejadian sebelum-sebelumnya; dan juga kejadian selepasnya – sehingga hari ini – adalah rasuah.

Oleh yang demikian, jika ada mana-mana pemimpin umat Islam tidak kira Arab, Parsi, atau Melayu (Jawa atau Bugis) yang melakukan rasuah, menyogok, dan menawarkan; kita mesti ingat rasuah ini mungkin satu senjata.

Kita mesti ingat boleh jadi saja kita tidak takut dengan kematian, tetapi kita juga boleh jadi berani dengan kehidupan dunia. Untuk hidup kita berani mengkhianat amanah, untuk hidup kita berani melanggar mandat, untuk hidup kita berani berbolak-balik fatwa, untuk hidup kita berani melakukan perbuatan nifak, untuk hidup kita berani membohongi rakyat, untuk hidup kita berani melanggar aturan dan adat, untuk hidup kita berani menabur gula-gula (G), lantikan (L), dan calon (C). Untuk hidup ada ulama berani menjaja dalil. Mereka yang membunuh Husayn itu bukan orang jahil belaka, mereka pernah belajar ilmu agama. Serban mereka besar, jubah mereka bagaikan pukat.

Untuk hidup Umar Sa’ad sanggup sangap jawatan gabenor Rey dan memancung Husayn.

Rasuah yang membunuh Husayn cucunda Rasulullah di Karbala itu bukan berlaku sehari. Peristiwa Karbala itu puncaknya. Hulunya scheme of things. Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri; Keria karipap denderam kuih pauh, menabur rasuah lama-lama membunuh.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.