Panduan Peniaga Kecil oleh Dr M

Ada sebuah buku kecil tulisan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berjudul “Panduan Peniaga Kecil”. Buku ini sekali pandang memang tidak menarik. Kulit bukunya tidak menjanjikan apa-apa. Malah selak sekali dua akan mendapati ia hanyalah semacam manual untuk memulai perniagaan.

Akan tetapi, buku ini yang barangkali dibayangi oleh kegemparan buku “The Malay Dilemma” sebetulnya menjamu hidangan menggiurkan untuk diuliti oleh ahli sosiologi mahupun sejarawan. Oleh sebab buku ini dikarang pada awal 1970-an, sudah tentu konteks, penggunaan angka dijadikan contoh, dan juga beberapa aspek kelebihan dan kekurangan dalam perniagaan tidak lagi sama.

Namun demikian, jika dilihat lebih teliti, kita akan mendapati masalah peniaga kecil yang dinyatakan oleh Mahathir dalam bukunya ini masih wujud, kekal berulangan, dan tetap dihadapi oleh kaum peniaga kecil, khusus orang Melayu.

Mahathir memang seorang nasionalis. Akan tetapi kita mesti mengingat, kita tidak boleh menyamakan nasionalisme Mahathir dengan Donald Trump. Terdapat nasionalisme sihat, yang pernah dijuarai tokoh seperti Ishak Muhammad atau Pak Sako sebagai misalan; dan ada pula nasionalisme racun atau toksik; di mana kita dapat melihat semakin bermaharajalela ekoran mencanak naiknya konservatisme, dan obsesi terhadap ketuanan Melayu-Islam, yang menghakis hak asasi manusia dan menolak kepentingan negara ke bawah.

Dalam buku ini yang diterbitkan pertama kali pada 1973, Mahathir menyatakan orang Melayu memang ketinggalan dalam bidang perniagaan.

Pertama, kerana secara sejarahnya orang Melayu sukar berniaga. Kalau pun ada perniagaan, seperti yang kita baca dalam tulisan Munshi Abdullah, Za’ba, Syed Hussein Alatas, dan Shaharuddin Maaruf kebanyakannya dimonopoli orang kaya-kaya sedia ada, golongan bangsawan, dan kelas kerabat. Perniagaan orang Melayu sering diganggu kelompok disebutkan di atas dan sulit berjaya.

Kedua, orang Melayu secara umumnya lebih suka bertani, berladang, bersawah, dan mengerjakan ternakan. Usaha untuk meniaga kecil-kecilan memang ada tetapi pada 1970-an belum ada keberanian sungguh-sungguh.

Ketiga, dalam urusan perniagaan, orang Melayu sukar untuk bersaing kerana sikap orang Melayu itu sendiri.

Dalam buku ini, Mahathir dengan bahasa begitu mudah menuliskan dorongan agar orang Melayu berniaga, dan menjadi kaya. Akan tetapi untuk itu berlaku, Mahathir menurunkan pelbagai tips dan nasihat berguna. Antara lain, Mahathir mencadangkan supaya orang Melayu serius dalam perniagaan.

Menurut beliau, kedai tepi jalan yang bersifat sementara, yang boleh dirobohkan, atau juga runtuh atas apa sebab pun menunjukkan tiada keseriusan. Jika orang Melayu betul-betul sungguh-sungguh, dan berazam, sesebuah kedai itu harus disediakan dengan niat ia kekal, teratur barangannya, rapi dan berdedikasi pekerjanya, tambahan teliti pula disiplinnya khusus melibatkan keuntungan, modal dan pelbagai lagi.

Dalam perihal ketiadaan modal, Mahathir menjelaskan terdapat perniagaan yang tidak memerlukan modal besar, dan banyak bergantung kepada “kerajinan”, “kejujuran”, “tidak segan” dan bermula sederhana, sehingga tidaklah sampai terjerumus gagal lantaran terburu-buru ingin terus berjaya.

Mahathir malah mencadangkan agar dimulai dengan perniagaan kuih-muih. Tulis Mahathir, “Sekurang-kurangnya orang yang rajin boleh menjaja kuih – satu perniagaan yang keuntungannya tinggi sekali, iaitu 30% dari apa sahaja yang dijual adalah hak penjaja. Rugi tidak ada sama sekali kerana modal bukan dari penjaja. Cuma tenaga sahaja hak penjaja. Bagi peniaga yang mendapat komisyen seperti ini, kejujuran amatlah penting.”

Mahathir juga menegaskan agar seseorang tidak bermula dengan perniagaan yang sama sekali tidak ia tahu dan hanya diceburi kerana kononnya ia memberi keuntungan besar. Sebagai contoh, menurut beliau, menceburkan diri dalam perniagaan berkait perlombongan memang menyediakan keuntungan besar. Namun terdapat banyak masalah jika tidak diurus dengan cekap. Ini akan membawa malapetaka oleh kerana kerugian dalam bidang ini juga begitu tinggi.

Oleh sebab itu Mahathir menasihati agar perniagaan yang dipilih itu ialah berdasarkan “pengalaman dan pengetahuan”. Jika tidak tahu, beliau malah menyarankan agar individu tersebut bermula dengan menjadi pekerja terlebih dahulu, belajar selok-beloknya, dan setelah benar-benar faham akan ehwal perniagaan bidang tersebut barulah melakukannya.

Dalam hal modal, pengarang juga mengingatkan yang modal sedikit bukanlah satu isu. Mahathir menulis begini;

“Perniagaan yang kecil tidak patut dihina, kerana biasanya peratus keuntungannya lebih besar daripada perniagaan yang besar. Perniagaan besar yang bermodal berjuta-juta ringgit, yang termasuk dalam senarai pasaran saham, biasanya memberikan keuntungan 8% hingga 12% pada 1 tahun. Ini pun selepas 1 hingga 3 tahun perniagaan berjalan. Sebaliknya perniagaan kecil boleh memberikan keuntungan 30,000% setahun.

“Umpamanya, menjual kacang rebus. Modal $5.00 untuk membeli kacang dan merebusnya, boleh dijual sehingga habis dalam masa 1 hari, dengan pendapatan kasar $10.00. Ini bermakna modal $5.00, mendatangkan keuntungan $5.00 pada 1 hari, iaitu keuntungan 100% pada 1 hari. Kalau perniagaan ini dilakukan 300 hari dalam 1 tahun, maka keuntungan bersih ialah $1,500 iaitu 30,000% 1 tahun.

“Kalau modal $5.00 ini digunakan untuk membeli saham dari perniagaan besar, keuntungan dalam 1 tahun ialah 60 sen sahaja, jika peratus keuntungan 12% setahun. Nyatalah modal sedikit tidak menjadi masalah, kalau dipilih perniagaan yang sesuai, dan dari segi pendapatan adalah lebih baik membuat perniagaan yang kecil daripada mengejar perniagaan yang besar.”

Selain itu Mahathir mengajarkan agar jumlah modal itu menyertakan belanja tempat, sewa, iklan, hiasan, gaji pekerja termasuk diri sendiri, lesen dan cukai. Bukan itu sahaja, modal mestilah dilebihkan agar dapat menampung keadaan kerugian atau kelembapan perniagaan sekurang-kurangnya tempoh setahun.

Berkait soal tempat, Mahathir seterusnya memesan supaya memilih tempat sesuai. Tempat berniaga menurutnya sangat penting. Ini kerana “jenis perniagaan mestilah sesuai dengan tempat” dan “jenis perniagaan yang maju di pekan besar mungkin tidak maju di pekan kecil”. Salah satu tips berguna ialah, “di pekan besar perniagaan yang sama patut berdekatan, tetapi di pekan kecil atau di kampung perniagaan yang sama patut berjauhan”.

Satu lagi aspek yang ditekankan dan diulang-ulang oleh Mahathir ialah soal “overhead tetap”. Menurut beliau, jika aspek ini tidak dihitung, perniagaan sukar berjaya. Terdapat banyak contoh sesebuah perniagaan baru dimulai lekas gagal kerana mengambil enteng persoalan “overhead tetap” ini. Dr Mahathir mencatatkan begini:

“Semua perniagaan berkehendakkan kepada belanja overhead seperti gaji pekerja, surat-menyurat, lampu, kenderaan, lesen dan sebagainya. Kecil besarnya perbelanjaan overhead ini bergantung kepada besar kecil perniagaan. Makin besar perniagaan makin besarlah overheadnya.

“Perniagaan yang betul-betul besar terpaksa membelanjakan overhead untuk hawa dingin, permaidani tebal, pakaian seragam, kereta syarikat, hiburan dan makanan untuk pelanggan, akaun perbelanjaan pegawai dan sebagainya.”

Kegagalan memahami aspek perhitungan modal atau costing ini akan menjadi petanda maju gagalnya perniagaan.

Juga, Mahathir menggalakkan persaingan berlaku dalam perniagaan untuk berjaya. Malah, Mahathir menggesa peniaga Melayu belajar bersaing dengan peniaga Cina. Kesabaran membolehkan peniaga Melayu beroleh pelajaran dan latihan diperlukan apabila bersaing. Untuk itu adat atau pendekatan berniaga orang Cina hendaklah diperhatikan:

“Mungkin peniaga-peniaga Cina tidak bersifat perkauman dalam perniagaan, tetapi oleh kerana adat, cara dan bahasa perniagaan mereka tidak dapat difahami dengan mudah oleh peniaga-peniaga Melayu, persaingan antara perniaga Melayu dengan Cina kerapkali tidak menguntungkan peniaga Melayu.

“Perkara ini tidaklah dapat peniaga-peniaga sendiri mengubahnya. Tetapi bagi peniaga Melayu yang ingin mencari kejayaan, adalah mustahak memahami sedikit sebanyak cara-cara perniagaan orang Cina….Persaingan ialah sebahagian daripada cara perniagaan. Ianya tidak dapat dielak. Peniaga yang menerima kenyataan ini dan bersedia untuk bertanding akan berjaya dalam usahanya. Dalam bidang perniagaan tidak ada tempat bagi orang yang tidak sanggup menghadapi persaingan.”

Mahathir turut memotivasi peniaga kecil agar tidak patah oleh penipuan. Menurut beliau, penipuan adalah adat dalam perniagaan dan ada aneka cara penipuan yang akan mendera malah membuatkan seseorang itu jeran. Pun bekas perdana menteri ini mengatakan penipuan boleh dielakkan jika tidak melakukan sesuatu terkeluar dari undang-undang.

“Bagi panduan para peniaga, terutamanya orang-orang yang baru atau ingin memasuki bidang perniagaan, satu-satunya jalan yang paling baik untuk mengelakkan penipuan-penipuan yang umum ialah: jangan menerima sebarang cadangan yang tidak mengikut peraturan atau yang terkeluar dari undang-undang.

“Kalau panduan ini diturut betul-betul, peniaga-peniaga tidaklah akan tertipu begitu kerap. Akan tetapi, biasanya tiap-tiap peniaga akan mengalami masalah tipu menipu ini, akan rugi sekurang-kurangnya sekali akibat penipuan, dan kalau bernasib baik, akan kekal dalam perniagaan kerana sudah matang dalam hal penipuan.”

Pengarang turut memberi amaran agar tidak menipu kerana “si penipu tidak boleh kaya berkekalan”. Buku kecil oleh Mahathir ini menurut saya masih lagi revelan dan segar untuk dibaca. Ayatnya bersahaja dan padat seperti kita membaca blog beliau hari ini. Ia membolehkan nasihat dan panduan yang dikemukakan diserap dengan mudah.

Mungkin, buku ini boleh dicetak kembali, dan lebih ramai beroleh manfaat. Tambah-tambah ia banyak menjejerkan tips berguna khusus buat peniaga kecil yang bertatih bermula ekoran bahana pandemik Covid-19.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.