Terdapat satu kajian akademik oleh Ngai Weng Chan mengenai pengurusan banjir dan bah besar di Malaysia. Chan mengatakan, bencana banjir sering dipandang ringan. Mungkin dipandang ringan, sehinggalah ia menjadi terlalu berat untuk ditanggung.
Jadinya saya dapat katakan begini; mangsa banjir selalunya melupakan banjir, tetapi banjir tidak pernah melupakan mangsanya. Chan menulis banjir kecil sering mengancam pada masa akan datang secara berulangan, lantas menjadi banjir agam. Petikan tulisan tersebut berbunyi begini:
“Malaysians are a forgetful lot and have short memories when it comes to floods. Hence there is a general misconception of the relative unimportance of disasters, especially floods. It is therefore not unusual to find flood victims moving back into their flooded houses even before the flood waters have subsided. It is therefore difficult to ensure safety and healthcare when the victims expose themselves to the filth from the aftermath of a flood.
“In fact, there have been many incidents in which flood victims have refused to heed the call of the police or other warning authorities to evacuate their properties, and by the time the victims evacuate, they have been caught by the flood waters. Many victims think they are well in control based on their experience of flooding, but a big flood may catch them unawares.”
Kajian penting pada 2012 itu ditemukan dengan judul “Impacts of Disasters and Disasters Risk Management in Malaysia: The Case of Floods”, dalam buku “Economic and Welfare Impacts of Disasters in East Asia and Policy Responses”, terbitan ERIA Research Project Report 2011-8.
Persoalannya adakah benar mangsa melupakan banjir sedang banjir sering merindui mangsa? Adakah adil menuduh sedemikian terhadap mangsa?
Sri Muda dikatakan berasal dari Merton Estate yang asalnya berada di Lot 28, Mukim Klang, berkeluasan 58475 hektar. Penghuni awal Merton Estate ini kebanyakannya mereka berbangsa India yang bekerja sebagai penoreh getah. Permulaan Sri Muda adalah ladang getah dan kelapa sawit yang dimiliki oleh sebuah syarikat. Estet ini dibeli dan jatuh ke tangan sebuah pemaju, yang kemudian membangunkan kawasan ini.
Sebuah blog memperihalkan bahawa pembangunan Sri Muda bermula pada 17 Februari 1982. Sri Muda dibuka secara rasmi pada 1983 dan dirasmikan oleh Menteri Besar Muhammad Muhammad Taib.
Blog yang sama juga menjelaskan kebanyakan penghuni Sri Muda terdiri dalam kalangan buruh kilang, peniaga, buruh binaan, pekerja sektor swasta, dan penjawat awam dengan bayangan komuniti B40.
Pun sebuah laman hartanah menggayakan Sri Muda sebagai sebuah kawasan selamat, tanpa banjir, berbaloi untuk pelaburan dan aset, malah bukanlah sebuah bandar kediaman yang kumuh. Sri Muda disebut-sebut sebagai “offers affordable properties”. Kebimbangan banjir dipadamkan begini;
“…the area was flooded once about 20 years ago and many families moved out of Taman Sri Muda because of this flood. However, this flooding doesn’t happen anymore since the rubbish trap and over the river has been fixed in 1995.”
Bahkan bukan itu sahaja, Sri Muda dianggap bukan sebuah kawasan penempatan yang berbahaya;
“…moreover, the river has been made into a large concrete walled storm drain and hence the river now flows smoothly through the area with no danger of flooding.”
Ulasan itu demikian muluk.
Sri Muda malah digandingkan dengan sebuah lagi kawasan kediaman yang lebih berwarna-warni iaitu Kota Kemuning, sehingga katanya, “in recent years, Taman Sri Muda is no longer considered a cheap area, and many of the properties there are owned by investors”. Sri Muda juga dijenamakan sebagai Seksyen 25.
Khursiah Abd Aziz dan Lye Wai Yeng dari Universiti Tun Abdul Razak, menulis sebuah makalah akademik “Dynamism of a Night Market Taman Sri Muda, Shah Alam” untuk Journal of Business Studies Quarterly (2011) menyatakan pasar malam di Sri Muda adalah yang terbesar (justeru paling meriah) di Shah Alam berbanding 26 pusat pasar malam yang lain di Shah Alam. Pasar malam ini tertumpu di Jalan Cermat 25/56 dan Jalan Saksama 25/39, hala ke selatan Shah Alam.
Sri Muda juga dirujuk sebagai kawasan yang indah, dengan semata-mata merujuk papan tanda dalam bahasa Melayu “Anda Berada Di Kawasan Seksyen 25” dan “Anda Sedang Memasuki Zon Bersih”.
Pun, dalam satu laman perbincangan orang awam, terdapat naratif bertentangan mengenai Sri Muda. Sri Muda ditulis sebagai terancam oleh himpitan Sungai Klang dan Sungai Damansara. Jika kedua-dua batang sungai ini melimpah, Sri Muda akan mendapat padah. Pemerhati orang awam dalam laman ini juga menyatakan benteng jalan di Sri Muda menyediakan resepi bencana;
“…roadway embankments act as a berm during floods. While this lessens the chance of flooding on one side, it exacerbates the flood on the other. The floodwaters could have spread out over a wider area, but instead it just piles up on Taman Sri Muda”.
Orang awam yang menulis komentar ini mencadangkan Sri Muda adalah ‘perangkap maut’. Jika benar, siapa yang memasang perangkap? Ini kerana Sri Muda sudah menelan korban. Ia mungkin menelan lagi dan lagi, jika tiada sesajen korban disembelih untuk mendamaikannya (seperti di purbakala!).
Mitos Sri Muda sebuah kawasan indah dan selamat kemudian turut dicabar oleh naratif alternatif lain di laman hartanah yang sama (justeru aneh!) saya singgungkan di atas. Sebuah rencana bergambar oleh Priya Menon dan Kathleen Michael dengan tajuk “Residents See Red Over Dirty Back Lanes In Taman Sri Muda Commercial Areas” bertarikh 13 Oktober 2016 mendatangkan alternatif berbeza ini.
Tulisan kedua-dua mereka berusaha membuktikan Sri Muda adalah kawasan kumuh, kotor, menjijikkan, penuh tikus, kawasan yang mudah menjadi tempat penyakit berjangkit, dan dipadati ‘warga asing’.
Jadi adakah Sri Muda sebuah kejiranan bergaya, dan indah; atau sebuah penempatan marhaen yang sampah dari kelas pekerja yang sarap? Dua naratif berbeza ditemukan.
Hussamuddin Yaacub, pemilik Karangkraf yang beroperasi di Shah Alam menyeru pihak berkuasa menyiasat kebenaran dakwaan tapak Taman Sri Muda, Shah Alam itu asalnya adalah tapak takungan banjir. Menurut beliau, pihak berkuasa perlu membuka semula kes ini untuk disiasat; “Sri Muda sepatutnya menjadi tapak takungan air banjir. Tetapi ia telah dijual kepada pemaju perumahan”.
Kita tidak tahu ‘pihak berkuasa’ mana yang beliau seru? Siapakah yang mahu bertanggungjawab jika ada saman ganti rugi dilayangkan? Apakah ada unsur korupsi di sini yang malangnya setelah beberapa dekad membawa kepada kematian? Yang Berhormat di Sri Muda adalah dari Pakatan Rakyat/Pakatan Harapan sejak 2008, mungkin beliau boleh memulai? Ahli politik parti mana yang memerangkap orang miskin di ‘perangkap maut’?
Hari ini Sri Muda merupakan lembah apitan dua sungai yang dikaitkan dengan tragedi. Terdapat banyak kematian dalam banjir yang melanda Sri Muda baru-baru ini. Ia juga menyimpan 1,001 kisah menakutkan, perit, sedih, cemas, dan mencengangkan. Banjir di Sri Muda itu malangnya tidak mendatangkan Nabi Nuh. Tiada Nuh yang datang menyelamatkan orang Sri Muda. Mereka terbiar meraung berteriak dalam kelaparan dan kedinginan malam di atas atap rumah selama lebih 48 jam.
Sri Muda mungkin menjadi kunci pintu air yang boleh melumpur dan melecakkan pemimpin tertentu. Barangkali lumpur dan lecak terlalu ringan, mungkin Sri Muda akan menenggelam dan melemaskan nama-nama kuasawan tertentu.
Adakah benar mangsa melupakan banjir sedang banjir sering merindui mangsa? Adakah adil menuduh sedemikian terhadap mangsa? Dalam kes Sri Muda nampaknya mangsa tidak mengetahui bahawa banjir yang sering melanda mereka itu bukan soal siapa mendambakan siapa, tetapi sebetulnya ialah soal siapakah yang telah membuka jalan untuk manusia melarat ditempatkan di Sri Muda untuk dibenam, dilemas, dan ditenggelamkan berkali-kali?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.